35

Romance Completed 132664

Cahaya dari lampu bilik yang terang benderang mengejutkan Hana dari lena. Kepala yang memberat dan seakan menyucuk, membuatkan dia berasa tidak selesa. Hana cuba untuk bangun dari pembaringan ketika tekaknya terasa loya.

Azizah yang baru sahaja selesai solat lekas menyarung tudung. Halim dan Badrul yang sedang duduk di sofa juga bangun mendapatkan Hana.

"Hana.. pelan-pelan."

"Hana nak muntah ma..."

Azizah terus mencapai sebuah bekas khas ditempatkan di sebelah katil, lalu Hana mengeluarkan isi perutnya yang tak tertahan.

Terpejam matanya menahan pedih di kerongkong. Azizah menggosok belakang Hana yang sedang mengah. Sekali lagi Hana memuntahkan apa yang tersisa.

Perut Hana seperti dipulas-pulas tambahan pula dengan sakit kepala, hingga mengalir air matanya. "Sakitt ma..."

"Sabar ye, sayang.." Azizah mengelap mulut Hana dengan sehelai tuala kecil.

"Apa doktor cakap dengan mama ayah?"

Azizah menggeleng perlahan ke arah Halim. Ada baiknya jika dia tidak menyampaikan dahulu berita yang didengari semalam. Takut emosi Hana terganggu.

"Hana akan sembuh kalau makan ubat macam biasa..." Azizah menyapu air mata di pipi Hana.

"Bagitahu je ma.. Hana nak dengar." mata kuyu Hana setia memandang Azizah.

Tangan Hana digenggam, masih sejuk seperti selalu. Azizah mencari secebis kekuatan dalam diri.

"Sampai mana dah?" Hana bertanya lagi.

Azizah mengeluh perlahan, bahkan hampir tidak kedengaran.

"Sampai mana dah benda tu merebak, ma?" Hana menggoncang sedikit jari yang di dalam pegangan Azizah.

"Otak.." jawab Azizah sepatah.

Hana pejam mata rapat. Tahu akan kesan sekiranya otak, iaitu salah satu komponen sistem saraf pusat itu terjejas.

"Mana Hazim?" tiba-tiba soalan itu terpacul dari mulut Hana.

Dia ingat dengan jelas peristiwa semalam, sebelum dia jatuh pengsan tak sedarkan diri.

"Kenapa nak cari dia?" Halim mencelah.

Panas telinga dia mendengar Hana menyebut nama lelaki itu. Badrul yang berdiri di belakang ayahnya menggeleng pasrah. Keras kepala juga adiknya seorang ini.

"Hana .... nak jumpa dia." Hana menghantar pandangan sayu ke arah Halim.

"Lepas apa yang dia dah buat kat Hana? Masih nak jumpa dia lagi?" suara Halim malah meninggi.

Hana membisu lalu dia mengiringkan badan ke arah lain. Dalam diam, ada air mata yang berjurai. Bukan bermaksud ingin menentang si ayah, namun dia juga bimbang akan keadaan Hazim.

Dalam keadaan waktu yang semakin suntuk, Hana ingin ditemani Hazim. Dia mahu Hazim di sisinya.

"Ayah tak pernah restukan perkahwinan Hana dengan dia. Dia tak pernah minta izin dengan ayah."

"Abang..." Azizah memujuk Halim supaya bertenang.

Hana makin teresak-esak mendengar kemarahan ayahnya. Bibir digigit agar tangisannya tidak kedengaran kuat.

"Jangan ingat senang-senang ayah nak maafkan perkara yang dia dah buat dekat Hana." sambung Halim lagi sebelum dia keluar dari situ.

Azizah menyusul mengikuti Halim. Seraya dia menitipkan pesan buat Badrul agar menengok-nengokkan Hana sebentar.

"Adik..." panggil Badrul.

Bahu adik disentuh agar menghadapnya namun Hana berkeras tidak mahu.

Hana melepas tangis setelah yakin ayah dan mamanya sudah tiada di situ.

"Dahlah Hana..."

"Leave me alone... please..." kata Hana ketika masih terhinjut-hinjut bahunya menahan sebak.

Badrul hanya mampu berkeluh berat. Susah benar hendak memujuk Hana sekiranya adiknya itu meragam.

Hana tahu, kalau ditanya tentang Hazim pasti berganda-ganda dia dimarahi oleh Badrul. Lalu pada siapa tempat dia mengadu nasib dan berkongsi masalah? Malah mengapa semua orang ingin menyalahkan dia?

.

Awal pagi lagi Hazim ke hospital untuk bertemu Hana. Hasratnya terkubur waktu melihat ibu dan ayah mertua yang duduk di luar wad.

"Anak aku bukan mainan, yang kau boleh campak ke sana sini sesuka hati kau!"

Kata-kata Halim tadi masih jelas di benak Hazim. Walaupun diusir, dia tetap menunggu di situ. Walau Halim langsung tidak ingin memandangnya.

Hazim mendail nombor uminya untuk memberitahu keadaan Hana. Suatu hari nanti pasti dia akan bawa uminya ke sini. Cuma bila, dia tak pasti.

.
.

"Hana, kenapa tak nak makan ubat? Dah pukul berapa ni.. Jangan degil boleh tak?!"

Badrul memegang kejap tray ubat yang ditinggalkan tidak berusik dari tadi. Azizah juga gagal memujuk Hana.

"Hana nak jumpa suami Hana.."

"Buat apa nak jumpa dia lagi?! Selama ni Hana sakit siapa yang jaga? Ada ke suami Hana tu datang jenguk? Datang tanya khabar? Hana sakit pun dia tak tahu!" Badrul naik angin.

"Angah dah penat jaga Hana kan?! Dah penat usung Hana ulang alik hospital! Kenapa tak biar je Hana mati!" kini Hana pula naik hantu.

"Astaghfirullah, Hana!" Azizah menekup mulut.

"Hana!" Tangan Badrul yang cuba menyentuh Hana ditepis kasar.

"Biar je Hana macam ni! Biar hilang semua rasa sakit ni! Hana ni menyusahkan semua orang je.." Hana memukul-mukul dada sendiri, rambut diramas-ramas tanda geram.

"Adik... stop...Dengar! Hana stop!" Badrul cuba menenangkan Hana. Cuba menghentikan Hana dari terus mencederakan diri sendiri.

"Angah dah tak nak jaga adik kan!" berkeras Hana menolak tubuh Badrul di sebelahnya.

"Stop! Kenapa cakap macam tu? Tak kesian ke kat mama? Tak kesian kat ayah?!"

Azizah sudah teresak-esak melihat keadaan Hana. Dia tahu Hana sedang tertekan. Doktor sudah memaklumkan bahawa ianya adalah normal sekiranya pesakit mengalami tekanan perasaan.

Namun kemurungan berlebihan bakal mendatangkan kesan lebih teruk kepada kesihatan si pesakit.

"Hana cuma nak semua ni berakhir..." amukan Hana perlahan-lahan reda.

Badrul merangkul Hana di dekatnya. Dibiarkan Hana menangis semahunya. Malah mata dia juga mulai kabur dengan air mata.

"Sabar, dik..Istighfar.."

"Hana tak sanggup..."

Azizah pantas keluar dari situ. Tidak tahan mendengar luahan hati Hana. Amirah yang dari kaunter pendaftaran ternampak mamanya yang baru keluar dari sebuah bilik. Langkah dilajukan sedikit.

"Mama.." panggil Amirah.

"Along." Azizah terus memeluk Amirah yang baru sahaja sampai.

"Kenapa ni ma? Mana adik?" tanya Amirah kerisauan.

"Hana kat dalam. Dia tak nak makan ubat."

"Macam mana keadaan dia?" Amirah menarik mamanya untuk duduk sebentar.

Sehelai tisu ditarik dari dalam beg yang dibawa, lalu disapu ke wajah Azizah.

"Doktor dah buat apa yang mampu. Tapi kanser tu dah merebak ke otak. Mungkin akan jejaskan sistem badan dia yang lain. Badan dia makin lemah, long. Dos chemo pun dah makin tinggi." dalam sebak Azizah menerangkan perkara sebenar.

"Allahuakhbar..." ucap Amirah.

"Apa maksud mak cik??" suara Hazim menyampuk perbualan dua wanita itu. Mujur dia beranikan diri mendekati Azizah, kalau tidak dia takkan pernah tahu.

Azizah terdiam. Amirah sudah kekeliruan di tengah-tengah.

.
.

"Dikna..." Amirah menegur Hana yang tubuhnya berpaling ke arah lain.

Mendengar suara yang dikenali itu, Hana lekas berpusing. Lega apabila melihat kakak kesayangan ada di sini.

"Along...!"

Setelah menangis dan mengadu macam-macam, barulah Hana ingin makan ubat. Hanya dengan Amirah dia mampu meluahkan perasaan. Amirah merupakan pendengar terbaik sejak Hana kecil.

"Along... adik nak jumpa dia..." luah Hana.

Amirah kelihatan serba salah, namun dia faham akan apa yang dirasakan Hana. Azizah sudah memaklumkan supaya kedatangan Hazim ke situ dirahsiakan dahulu, takut Hana meragam lagi.

"Along pujuklah ayah... please." rayu Hana.

Melihat sinar mata Hana yang jelas mengharap, Amirah tidak sanggup sekiranya Hana kecewa. Sebagai kakak sulung, sejak dari kecil lagi apa sahaja permintaan adik pasti akan dia cuba tunaikan.

"Ayah masih marah. Nanti bila dah reda, along pujuk ayah ya?"

"Janji??"

"Along janji. Tapi adik kena makan ubat tau. Kesian mama, dia risau."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience