2 Invitation

Romance Completed 1031568

TENGKU ADAMA melangkah memasuki dalaman pejabat dalam keadaan yang tergesa-gesa. Seperti biasa, kedatangannya akan disambut penuh hormat oleh semua pekerja.
Dia bagaikan Raja Dunia. Para manusia terutamanya golongan wanita penggoda sungguh mengagumi kesempurnaan paras Tengku Adama. Daripada gayanya berjalan, memandang, berkata-kata walau sekasar apa pun caranya, amat meracuni jiwa para pendosa. Namun, biar laku di pasaran cinta, tiada seorang pun yang mampu menakluki hati batu lelaki itu.

"Selamat pagi, Tuan.." Kamal berdiri untuk menyapa hormat biar sudah maklum yang sapaan pasti tidak akan berbalas, keadaan itu sama sahaja setiap hari. Tab kerjanya dicapai sebelum dibawa bersama untuk menuruti pergerakan Tengku Adama.

"Apa jadual i hari ni?"

"Hari ni Tuan tak apa-apa kerja di luar sebab Tan Sri Mansor, dia last minutes batalkan temujanji untuk pagi ni. Katanya, Puan Sri Nurul masuk hospital. Cuma petang nanti kita ada meeting dengan staff, tu je ..."

"Lain?"

"Selain tu, tak ada Tuan. Tapi, sebelum saya terlupa, saya nak ingatkan Tuan sekali lagi tentang jemputan majlis makan malam oleh M.Jaya Holdings malam Sabtu ni..." Seperti biasa, Kamal akan bertutur dalam nada yang amat berhati-hati apalagi tika melihat riak pejal majikannya itu. Jika tersilap sikit, maka matilah imbalannya.

"Wajib ke i pergi?" soal Tengku Adama dingin sedikit kemalasan. Dahinya yang berdenyut-denyut dipicit rakus.

"Tak wajib pun sebenarnya tapi kalau ikut pendapat saya, Tuan kena pergi juga sebab...Tengku Iqbal Rafiq salah seorang daripada client terpenting dalam syarikat ni. Kalau Tuan tak pergi, saya rasa....tak manis sikitlah..." ujar Kamal satu persatu. Tengku Adama hanya diam, cuba mencerna segala isi kata pembantunya itu. Memang ada benarnya apa yang dikatakan oleh Kamal, namun dalam masa yang sama dia tetap merasa kesal. Kerana urusan bisnes, masa untuk dia sendiri acap kali tercuri.

"Dan Tuan kena ingat juga yang Tengku Iqbal pun selalu je datang kat mana-mana event syarikat kita...." Kamal menambah kata sambil tersengih sedikit.
Tengku Adama lantas melepaskan keluhan berat sebelum kembali membawa pandangan tajamnya ke arah Kamal.

"You ikut i pergi and no excuse..!" Tengku Adam mengarah tegas kerana seperti biasa dia tidak suka jika arahannya dipertikaikan mahupun dibantah.

"Boleh Tuan, tak ada masalah.." Ujar Kamal penuh yakin. Bukan dia tidak biasa pun menemani lelaki itu menghadiri mana-mana majlis, bahkan memang dia yang selalu menjadi ekor kepada lelaki bongkak itu. Tetapi, justeru itu yang membuatkan Kamal teruja. Dapatlah juga dia mencuci mata untuk menghendap wanita-wanita cantik dan bekerjaya yang ikut serta.

**********

"BABY...! Oh my God, Wow, you’re gorgeous, Babe! Lawanya! Meletop-top hot!" terpukau seketika Aina melihat penampilan panas satu-satunya teman sehidup semati yang dia miliki. Biar seksi, namun malah itulah yang memperlihatkan aura keanggunan Malaika pada malam itu.

Malaika cuma beriak bersahaja, namun merasa teramat bangga dalam diam. Senyuman menggodanya juga langsung terpancar lebar. Siapa yang tidak suka dipuji?

"Of course la, i belajar tinggi-tinggi kat oversea tau, tak mainlah nak pakai tutup atas sampai ke bawah, kuno sangat!" Ujarnya penuh angkuh. Rambut perang yang terjuntai di sisi muka ditolak ke belakang dengan penuh gaya seorang maharani.

"Bestnya jadi you, Babe! Cantik sangat! Berotak bijak lagi tu... Tapi, Mummy you tak marah ke?" Soal Aina penasaran setelah selesai bertanam tebu di bibir dan tumbuhnya sudah pasti dengan subur sekali.

"Gila tak marah, You tahu hari tu, I sampai rumah je terus kena smash, tapi ada i kisah. My life, my rules!" Malaika bertegas namun riaknya tetap dicorakkan dengan senyuman yang sangat cantik.

Aina tercingangah mendengar kata-kata Malaika. Sempat memuji kagum terhadap kelahiran baharu seorang Malaika.

"Woww...dah semakin kental ekk....! Ni parents you tahu tak yang you akan masuk dalam syurga kita?"

"Tak, kalau mereka tahu mesti kaki i akan diikat dan tak dibenarkan keluar setahun dari rumah.." Malaika membalas sambil meledak tawa lucu. Aina hanya mampu menggelengkan kepala, seram juga hatinya saat memikirkan kegarangan Datin Azma.

"You memang cari matilah, Babe!"

"Alaaa you ni, Aina. Hidup hanya sekali, you tahu kan? Rugilah kalau kita tak enjoy puas-puas! Malam ni i nak minum dan menari puas-puas..." Ungkap Malaika sambil meliukkan tubuhnya mengiringi muzik lagu bergenre techno yang dipasang.

"Babe, malam Sabtu ni you free tak?" Pertanyaan Aina spontan membuatkan Malaika mematikan gerakan tubuhnya yang nakal. Hati mula terhias dengan warna indah pelangi kerana dia pasti, pertanyaan itu pasti akan membawa keuntungan kepada dirinya yang sememangnya sejenis kaki berparty!

"Mestilah free, Daddy bagi masa i sebulan untuk buang stress lepas belajar, then barulah i akan diangkat masuk ke dalam company dia tu. Maksudnya, selama sebulan ni i memang free memanjang. Kenapa? Jangan cakap ada party, babe! Buat i tak sabar tau!"
Terkinja-kinja Malaika bersorak di dalam kereta mewah itu.

"You nak tak temankan i wakilkan daddy i to attend gala dinner company cousin i, Abang Iqbal? Daddy i tak dapat nak pergi, tapi dia paksa i pulak gantikan dia. I seganlah kalau sorang-sorang. Pleaselah Babe, temankan i ye? Nanti bolehlah kita cuci-cuci mata dengan bos-bos besar kat situ! Ramai je yang masih muda and hensem, i jamin!" Aina memujuk bersungguh-sungguh. Bibirnya menggariskan senyuman manis yang amat bermakna dan dipersembahkan ikhlas khusus buat Malaika. Namun kali ini, riak Malaika langsung berubah. Daripada teruja langsung beralih kemendungan.

"Sayang sekali, Aina! You bolehlah memancing, i ni? Mampu tolong you pasang umpan je, nak rasa hasil tangkapan, tak dapat!" Ujarnya penuh kiasan. Aina langsung mengemam tawa sebelum dipecahkan keluar tanpa had kelantangan.

"Wowww, i ingat you berani sangat. Rupa-rupanya masih takut kat suami misteri you tu!" Aina menembak tanpa belas. Malaika langsung menarik muka masam lantaran merasa bengang dengan kenakalan wanita itu.

"You diam, Aina! I tak nak sebut pasal dia tu dah! Buat semak kepala otak je!" Malaika bersuara geram. Hilang terus mood cerianya saat topik tentang suami misterinya yang diperkatakan.

"Eh, cakap pasal dia kan, you tak nak pergi....cari dia ke Babe? Ye la, at least you kenang-kenanglah juga jasa ibu mentuamu itu..." Aina masih seronok mengusik dalam lantunan ayat yang skema. Hatinya kian terhibur melihat kecemberutan air muka Malaika.

"Ibu mentua i memang baik sangat. You tahu, sampai sekarang ni...dia masih lagi bagi i duit, tiap bulan masuk akaun i, sedangkan anak dia tu......Argghh..! Tak, i tak nak ingat dah! Lagipun, dia mesti dah kahwin lain, dengan tunang yang dia banggakan sangat dulu. Entah-entah dah ada lima orang anak. Seorang setahun! Tu kalau beranak seorang , kalau beranak kembar sepuluh oranglah jawabnya!"

Aina kembali memecahkan tawa dengan kata-kata sengkarut (tidak menentu) Malaika.

"Ishh, merepek je you ni! Tapi i nak sangat tahu, husband you tu hensem je tak? You ada gambar dia tak? Ye la, i cuma selalu dengar you cerita je, tapi you tak pernah pula bagi i tengok muka dia..." Aina mula melontarkan umpan yang telah dipasang ke dalam sungai sambil bibir tersengih-sengih tidak sabar menanti hasil tangkapannya.

"Tak ...tak hensem langsung! I tak ada gambar dia dan i tak nak ingat pun muka dia tu! Kalau you nak tahu, muka dia macam monyet setahun tak keluar dari hutan!" Malaika menjawab dengan nada dan niat yang bersungguh-sungguh kerana dia mahu Aina tetap berasa pada pihaknya nanti.

"Gosh, buruk sangat tu! Entah macam mana lah you boleh terjerat untuk berkahwin dengan dia!" Respon Aina setelah berlopong mulut dengan luas. Melihat kepolosan wanita itu, Malaika langsung tersenyum menang.

"Semua tu atas perjanjian, tapi i masih beruntung tau sebab.....dara i masih terpelihara!" Ujarnya semula bersama tampang berbangga. Tubuhnya kembali digoyangkan sambil mengangkat tangan penuh kegedikan untuk mengiringi rentak muzik yang kedengaran.
"Ye la, kalau muka dah hodoh manalah kita ada selera nak tengok kan? Nak kiss pun....euwwww...! Macam...Beauty and The Beast..."

"Haaa...yang tu i sokong!" Malaika bertepuk tangan lalu ketawa terbahak-bahak serupa insan tidak mempunyai iman namun diam-diam jarinya sedang bercurian mengesat air mata kesedihan yang terlalu dipendam seorang diri. Bukan seperti itu cara hidup yang dia mahu, akan tetapi hanya dengan cara seperti itu juga mampu membuatkan duka semalamnya terubati. Tiada wanita yang akan bahagia jika hidup bergantung tanpa tali, tidak dicintai namun hidup terkongkong mati.

"Eh, kejap, jap.....tapi kenapa you ..tak nak tuntut cerai daripada dia? Kata tak suka!" Soal Aina penuh dengan perasaan ingin tahu.

Soalan yang Aina lontarkan langsung membuatkan Malaika mendengus kasar. Memang nada benarnya pertanyaan itu, tetapi Malaika sendiri tidak tahu entah apa yang membuatkan dia tidak sanggup untuk melakukan hal tersebut.

"Issh you ni, banyak sangat soal! Tak nak cakap pasal tu lagi, buat masa sekarang ni i single tau...! Dah, bawa kereta tu laju sikit, i dah tak 'shabar' dah nak berdansa.....!"

***********

DATUK RIZMAN memencongkan laluannya saat melihat kelibat pembantu rumah mereka yang masih sahaja tercongok di sisi tingkap sambil terjenguk-jenguk ke arah luar. Nafas yang berat dihela lalu dia kemudiannya mengatur kaki untuk mendekati wanita itu.

"Baby belum balik ke, Mak Didi?" Soalan yang berbunyi tebakan melilah keluar dari dalam mulut lelaki itu.

"Belum lagi Datuk, katanya keluar kejap je..." Biar sedikit terkejut, masih sahaja pertanyaan majikannya itu dijawab dengan laju oleh Mak Didi.

"Mana pula budak ni pergi, dah pukul 11 dah ni. Ni kalau Datin tahu, perang dunia ke - 10 lah jawabnya!"

"Datin dah tidur ke, Datuk?" Soal Mak Didi tanpa mengalihkan pandangannya dari arah luar.

"Dah, Mak Didi jangan bagitahu Datin pasal..."

"Abang!" Langsung tersentak dua manusia itu tatkala ada laungan kasar yang mencelah ke dalam perbualan mereka.

"Bukan main lagi abang menangkan sangat Malaika tu kan? Memang patut pun budak tu selalu buat perangai, sebab abang ni langsung tak nak bertegas dengan dia!" Muncul Datin Azma bersama das-das tembakannya meluru ke arah titik pendirian suaminya. Manakala, Mak Didi yang turut berada di situ pula terus-terusan menunduk ketakutan.

"Dah lama ke budak bertuah tu keluar, Mak Didi?" Soal Datin Azma sedikit keras. Teragak-agak pembantu rumah warga tempatan itu hendak membuka mulut untuk memberitahu. Anak matanya sesekali dilirikkan ke arah Datuk Rizman, sedang lelaki itu pula masih sahaja menggaru kepala sedikit kebodohan. Memang dia sejenis yang takutkan bini.

"Errr....."

"Mak Didi jangan nak berani-berani sembunyikan apa-apa daripada saya! Pukul berapa Malaika keluar tadi?" Datin Azma mengulang kembali pertanyaannya, kali ini dengan intonasi yang cukup keras biar tidak menengking.

"Pu...pukul 8, Datin. Tapi dia pesan, tak payah risau sebab dia cuma keluar sekejap je..." Mak Didi mula menyatakan kebenaran kerana sudah kecut perut melihat ketegasan majikan perempuannya itu.

"Sekejap dia kata? Memang nak kena budak ni!" Hanya keluhan kata itu yang mampu Datin Azma ungkapkan sebelum membawa rasa yang teramat kecewa menuju ke arah anak tangga semula. Dia tahu, Malaika yang sekarang ini tidak boleh ditegur kasar kerana keperibadiannya benar-benar sudah berubah total. Walau semarah apa pun dia, namun rasa sayang selain perasaan serba salah mereka suami isteri terhadap anak tunggal mereka itu lebih kuat mencengkam. Diri mereka yang seperti ketika itu adalah hasil daripada anak itu berkorban hati. Jika bukan kerana pengorbanan Malaika, barangkali kehidupan mereka mungkin akan masih sahaja seperti dulu, muflis!

*******

"BANGUN.....! Malaika, bangun! Apa nak jadi dengan kamu ni? Astaghfirullahalazim.... bau apa ni Malaika? Sejak bila kamu pandai minum?"
Hampir memecah dada seorang ibu itu melihat keadaan anaknya, dengan keadaan bilik yang bersepah belum lagi disertakan dengan bauan kencing syaitan yang menusuk tajam ke dalam rongga hidungnya.
Tubuh Malaika mula bergerak sedikit saat merasa lena indahnya terganggu oleh seseorang. Kelopak mata yang memberat dibuka paksa, diselangi dengan koyakan senyuman yang teramat manis bergula-gula.
'Indahnya dunia!'

"Apa nak jadi dengan kamu ni? Hidup macam manusia tak ada masa depan! Tengah hari pun dah nak lepas dah, masih tak bangun-bangun lagi??" Datin Azma mula membebel bising sambil tangannya dikerjakan untuk mengemas tempat beradu anaknya yang sudah serupa tongkang pecah. Beg tangan yang berjenama mahal terjelopok sahaja di atas lantai belum lagi dengan segala isiannya yang sudah termuntah keluar.

"Alaaa....Mummy, tak payahlah nak bising-bising. Mummy tahu tak, mengikut kajian ahli bijak pandai, bangun lewat boleh menjimatkan kos perbelanjaan dapur kerana kita tak perlu nak sediakan sarapan pagi..." Ungkap Malaika bersahaja dalam keadaan mata terpejam senang.

"Tak payah nak cari alasan, Malaika! Dah, bangun cepat! Mandi. Mummy tunggu, kita lunch sama lepas ni. Kalau kamu tak bangun juga, Mummy suruh laki kamu datang angkut kamu kat sini!" Datin Azma mengugut, seraya menyusun kaki untuk menuju ke luar.

"Mummy! Isshh! Bencinya!!"
Malaika terus sahaja bangkit duduk dari posisi baringnya tatkala terkecut perut mendengar ugutan wanita itu. Bibirnya juga dicebik tanda menyampah. Dengan kemalasan, dia bangkit berdiri lalu menyusun langkah namun bukan untuk ke bilik mandi, melainkan mendekati almari pakaiannya. Objek itu dibuka, lalu dengan penuh senyuman setiap pakaiannya yang seperti tidak cukup bahan, terkoyak sana sini
dibelek-belek dengan tampang kepuasan.

'Tak sabarnya nak tunggu this Saturday Night! Enjoy lagi....!!' Hatinya berdesis.
Lalu tangannya laju mencapai sehelai dress singkat tidak berlengan dan diambil keluar. Wanita itu tertawa puas kerana merasa otaknya berjaya membuat pilihan yang paling tepat.

Thanks utk komen. Follow IG/FB BBP ya utk gambaran watak dalam Dia Yang Terakhir . :-D:^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience