Chapter 2

Romance Completed 4761

BAB 2

"Ibu....ibu....," Kamal berlari mendapatkan ibunya yang sedang menyiang ikan di sinki. Termengah-mengah, dia cuba mengambil nafas.

"Ada apa Mal? Kenapa berlari-lari macam tak cukup tanah ni? Kan dah semput," ujar Mak Mah sambil tangannya mengorek keluar isi perut ikan bawal yang bakal dijadikan santapan tengahari mereka anak beranak nanti.

"Mal dapat surat UPU bu, Mal dapat sambung belajar ke Universiti. Mal boleh jadi doktor bu. Mal boleh belikan ibu rumah besar, pakaian baru, makan yang sedap-sedap. Mal boleh sekolahkan adik-adik. Ibu tak payah berkerja teruk-teruk lagi ibu," lontar anak sulung dari tiga adik beradik itu.

"Ya Allah, syukur Alhamdulillah. Usaha keras Mal akhirnya berbalas," seraya mengangkat tangan menadah penuh kesyukuran.

Walaupun Mak Mah tersenyum, hatinya bersulam gundah kerana terfikirkan bayaran yang perlu dijelaskan.

"Aku kena usahakan jugak kumpulkan duit supaya Mal dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Tak kan aku biarkan anak-anak aku hidup susah," tekad Mak Mah.

Kamal bagaikan dapat meneka apa yang sedang bermain di benak fikiran ibunya terus memeluk Mak Mah dari belakang.

"Ibu jangan risau ya pasal belanja Mal masuk Universiti tu, semuanya ditanggung. Mal dapat biasiswa. Cikgu sekolah Mal yang tolong sebab Mal kan pelajar terbaik daerah. Jadi sebagai hadiah, Mal dapat biasiswa penuh," katanya sambil tersenyum.

Berguguran air mata Mak Mah, entah bila anak sulungnya ini membesar menjadi seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab. Seingat-ingat Mak Mah tidak pernah sekalipun dia meninggi suara kepada Kamal.

Kamal adalah seorang anak yang sangat mendengar kata, kehidupannya sebagai ibu tunggal tidak pernah sedikit pun rasa terbeban kerana Kamal sentiasa ada membantu mana yang perlu.

**********************

Pulang sahaja dari sekolah, cepat-cepat Kamal bersiap menyediakan makan minum adik-adiknya. Pada umur 12 tahun, dia sudah boleh diharapkan untuk memasak nasi dan menggoreng lauk-pauk mudah.

"Sedaplah telur goreng along masak ni" kata Hisyam yang dari tadi seronok mengunyah nasi panas bersama kicap serta telur goreng.

"Eleh, nak ambil hati Alonglah tu kan? Sebab kejap lagi nak pergi main dengan si Halim. Macamlah kitaorang tak kenal adik manja sorang ni," sakat Farisya.

Terus Hisyam berhenti mengunyah. Dia hilang selera kerana kakaknya sudah pecah lubang. Habislah dia kena marah dengan Along. Walaupun Along tidak pernah memarahinya, dia tahu Along tidak suka dia pergi mandi sungai. Bahaya katanya.

"Nak pergi mana dengan Halim tu nanti Hisyam?"

"Haaaa....eh takdelah. Tak ke mana-mana pun," Hisyam menjawab pertanyaan abangnya.

"Nanti ikut Along pergi masjid. Kita bersihkan kolam. Nanti boleh dapat banyak pahala. Sama juga konsepnya. Main air. Cuma kat kolam masjid tu tak boleh lah berguling sakan. Tak elok. Kalau takut bosan, ajak sekali si Halim," Kamal menyusun bicara.

Selesai makan, Hisyam dan Farisya mengambil alih tugas membasuh pinggan kerana orang yang masak tidak perlu mengemas dapur.

"Aduiiiiii, kenapa kau cubit kakak? Nasib tak terlepas pinggan ni. Sakit tau tak? Meh sini kau," Farisya kini saling berkejaran dengan Hisyam.

"Wekk...wekk..tak dapat! Kakak gemuk! Padan muka, siapa suruh bocorkan rahsia. Kan dah kena cubit," ejek Hisyam sambil berlari pusing satu rumah.

"Ya ampun budak-budak ni. Apa yang bising-bising kat atas tu? Hisyam, Farisya apa yang kecoh tu? Bergegar lantai rumah ni anak-anak oii, roboh kang rumah kita nanti," jerit Mak Mah dari bawah rumah.

"Hisyam ni dia cubit Eisya, pastu dia kata Eisya gemuk. Mana ada Eisya gemuk kan bu? Eiiii....bencilah," luah Farisya yang masih lagi cuba menangkap tangan Hisyam.

"Ada-ada je kamu berdua ni. Pening kepala ibu," kata Mak Mah sambil menggelengkan kepala. Hisyam dan Farisya tak ubah bagai Tom & Jerry kalau bergaduh. Dua-dua sibuk nak menang. Ada sahaja yang digaduhkan, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang mengundang air mata.

Tapi sebagai kakak, Farisya lebih banyak mengalah. Mungkin juga kerana dia satu-satunya perempuan, dia akhirnya terpaksa menerima kenyataan, tenaga lelaki lebih dari kudratnya sebagai seorang anak gadis. Jarak umur mereka yang dekat juga menyebabkan dua beradik ini rapat.

Adatlah kalau dah namanya adik beradik, sekejap bercakaran, sekejap lagi sambung berkasih sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience