BAB 4

Romance Completed 18608

“Pak cik semua jangan salah faham. Saya selamatkan Wana dari dicabul tadi. Kami tak ada buat apa-apa selain itu.” Adib cuba mempertahankan diri kami di hadapan ayahnya dan beberapa orang kampung. Katanya, dia terlihat ada kereta yang tak dikenali terparkir di luar rumahku membuatkan dia curiga. Setahunya, ayah dan mamaku sudah ke Kedah atas urusan penting.

“Betul. Kami tak buat apa-apa pun.” Aku menyampuk dengan linangan air mata. Mak Cik Na, ibu Adib menggosok belakang aku supaya bertenang.

“Wana dan kamu berpakaian selekeh dan berada dalam keadaan yang berserabut tadi. Itu yang kamu cakap tak buat apa-apa?” Soal seorang orang kampung.

“Wana nak kena cabul tadi, pak cik. Sebab itu dia dalam keadaan macam tu. Saya pula berkeadaan macam ni sebab saya bergelut dengan orang tak guna yang cuba rosakkan Wana tu.” Adib menerangkan segalanya.

“Betul mak cik, pak cik. Memang betul apa yang Adib cakap tu. Percayalah…” Aku menyampuk. Cuba membela nama dan juga maruah kami.

“Habis, yang kamu berpelukan tadi tu, kenapa?” Soal Ayah Adib, Pak Cik Asri secara tiba-tiba. Aku dan Adib terdiam. Kalau itu, semuanya tak disengajakan. Kejadian berpelukan tadi berlaku tanpa dirancang.

“Adib… Adib…” Adib kematian kata. Aku sudah menangis teresak-esak. Kenapa keadaan jadi macam ni? Kalaulah Amir tak buat pasal tadi mesti semua ini tak akan berlaku.

“Sudahlah. Kamu dan Wana memang didakwa bersalah dalam hal ni walau pelbagai alasan yang kamu bagi. Kita tunggu ayah dan mama Wana dulu untuk selesaikan semua ini.” Aku terus memeluk Mak Cik Na bila mendengarkan itu. Macam mana reaksi mama dan ayah nanti. Mesti diaorang terkejut. Ya Allah…

*****

“Adib, bagi balik aku punya handphone!” Marah aku pada Adib yang merampas telefon bimbitku ketika aku sedang bercakap telefon dengan Razlan, rakan sekerjaku.

“Tak nak.” Terus Adib mematikan talian sambil menjelirkan lidah padaku.

“Kenapa kau letak panggilan Razlan tu? Aku kan tengah cakap dengan dia!” Marahku padanya. Tanganku berusaha untuk merampas kembali namun semakin tinggi pula Adib menjulang telefonku itu.

“Adib! Kau memang nak kena!” Aku sudah bercekak pinggang bila Adib hanya ketawa terkekek-kekek sebab dapat mengenakan aku.

Kini, sudah dua minggu aku dan Adib berkahwin. Kami berkahwin selepas persetujuan antara kedua-dua pihak dibuat. Walaupun mungkin kami berkahwin bukan atas dasar keinginan kami sendiri, tapi mungkin disebabkan kami sememangnya rapat sebelum ini membuatkan kami berasa agak selesa dengan perkahwinan ini walaupun tidak sepenuhnya.

“Kalau dah pendek tu, sedarlah diri sikit. Jangan nak lawan lompat dengan aku yang tinggi ni. Hahaha..” Hari ni tak sudah-sudah dia ni nak membuli aku. Sebelum ini aku yang buli Adib, sekarang Adib pula yang buli aku. Ini yang aku tak puas hati ni.

“Bagilah!” Jerit aku lagi.

“Tak nak.” Adib menyembunyikan telefon bimbit aku di poket seluar pendeknya itu.

“Mana kau nak simpan aku punya telefon tu? Bak sini!” Aku menghulurkan tanganku namun Adib hanya buat tidak endah. Tak guna!

“Ooo.. kau cabar aku ek?” Aku merenggangkan tubuh badanku. Gaya seperti pemangsa sudah bersedia untuk menentang mangsanya. Adib tetap dengan muka selambanya. Malah lagi menyakitkan hati bila dia menonton TV sambil makan kacang? Ahh, menguji kesabaran! Karang tak memasal saja ada yang kena buat kenduri tahlil.

“Aku akan pastikan kau menangis teresak-esak, budak cengeng!” Habis berkata, terus lenganku memeluk tengkuknya dan aku himpit tengkuk dia sampai Adib terbatuk-batuk.

“Apa ni Wana. Sakit.. uhuk, uhuk! Lepaskan akulah!” Adib meronta-ronta sambil terbatuk-batuk. Habis bertaburan kacang yang dimakannya di lantai. Aku yang belum puas, terus menyerangnya.

“Ambik kau. Ooo.. mentang-mentang aku tak balas lagi buli kau hari ni, sesuka hati kau aje nak rampas telefon aku ek? Hah, rasakan!” Aku menyekeh-nyekeh kepalanya pula.

“Wana, sakitlah!” Adib menjerit sakit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience