Bab 48

Short Story Series 55082

“Areen.” Rina memanggil nama Areen apabila melihat wanita itu yang mahu berlalu pergi. Rina yang baru keluar daripada bilik wad yang menempatkan Haikal yang masih tidak sedarkan diri terlihat Areen yang sedang mengintip.

“Rina.” Areen bersuara hampir tidak kedengaran kerana berasa malu dirinya tertangkap sedang mengintip daripada luar.

“Masuklah, Haikal pasti gembira jika mengetahui awak datang melawatnya ketika ini.” Rina mendekati Areen yang seperti keresahan itu.

“Kenapa… kenapa kau tak beritahu aku yang Haikal itu suami kau?” Areen bertanya apabila melihat Rina yang tenang di hadapannya. Sejak daripada semalam dia memperhatikan daripada jauh. Hampir gugur jantungnya apabila mengetahui bahawa Rina Altafunisa adalah isteri kepada teman lelakinya. Dia berasa seperti dunia sedang mentertawakan dirinya yang selama ini memandang hina kepada Rina.

Ternyata Rina tidak menipu. Dia benar-benar mempunyai suami dan anak yang dikandungnya itu adalah anak yang sah hasil perkahwinan Rina dan Haikal. Sedangkan dirinya mengandung anak luar nikah bersama Haikal. Dia berasa malu untuk terus berhadapan dengan wanita itu tetapi sengaja dia berlagak tenang kerana keegoannya.

“Jangan risau, selepas ini Haikal akan menjadi milik awak sepenuhnya. Saya akan berpisah dengan dia.” Rina mengusap lembut lengan Areen agar wanita itu selesa seperti selalunya apabila berbicara dengan dia.

“Kau nak berpisah dengan Haikal? Kenapa?” Areen mengerutkan keningnya. Adakah Rina mahu mengalah demi dirinya?

“Awak wanita yang dicintai Haikal bukan saya dan awak juga lebih memerlukan Haikal berbanding saya dan Qalifh.” Rina menjawab lagi dengan tenang.

“Aku…aku sebenarnya datang sini untuk pastikan dia baik-baik saja. Selepas ini aku tidak akan lagi menganggu dirinya. Aku akan tinggal di luar negara.” Areen memberitahu niat kedatangannya ke situ.
“Areen, macam mana dengan anak di dalam kandungan awak?” Rina terkejut mendengar pengakuan Areen itu.

“Kau tahu aku mengandung?” Merah padam wajah Areen apabila Rina mengetahui rahsia yang cuba ditutupinya. Areen menggigit bibir ketika melihat Rina mengangguk. Pasti Rina membawa hasil ujian ketika mengutip kertas itu di lantai.

“Kau jangan berani beritahu sesiapa mengenai hal ini. Aku akan gugurkan kandungan ini di luar negara jadi kau tak perlu risau. “ Areen berkata semborono tanpa memikirkan kata-katanya itu.

“Astaghfirullah, cukup satu dosa yang awak dan Haikal lakukan jangan ditambah lagi dosa besar ini. Anak ini tak bersalah Areen. Dia berhak untuk meneruskan hidup. Haikal harus bertanggungjawab di atas perbuatannya. Kasihan anak ini.” Rina menyentuh perut Areen yang sudah sedikit membuncit. Dia berasa kasihan terhadap anak yang berada di dalam kandungan Areen jika sampai Areen menggugurkannya.

“Aku tak tahu sampai bila Haikal akan sedar Rina. Doktor juga tidak dapat memastikan sama ada dia akan segera bangun atau tidak. Perut aku ini tidak akan selamanya seperti ini, dia akan terus membesar. Bagaimana aku nak hidup dengan umpatan orang sekeliling? Kalau orang tua aku tahu aku mengadung pasti mereka akan membuang aku. Aku takut, kau faham tak!” Areen meluahkan rasa gelisahnya yang selama ini dipendamnya sendiri.

“Apapun alasannya jangan pernah melakukan sesuatu yang awak akan menyesal. Kita doa sama-sama agar Allah cepat membangunkan Haikal dan bertanggungjawab kepada awak.” Rina cuba memujuk lagi agar Areen tidak melakukan perkara yang mendatangkan mungkar Allah.

“Aku tak sekuat kau. Aku juga tidak sebaik kau. Aku rasa macam nak mati sekarang ini. Apa yang perlu aku lakukan?” Areen memeluk Rina dengan tangisan hiba kerana dia benar-benar sedang berputus asa dengan hidupnya.

“Kembali kepada Allah, Areen. Allah rindukan awak sehingga Allah memilih awak untuk ujian yang besar ini. Allah rindu mendengar suara tangisan awak meminta kepada-Nya. Allah rindu akan air mata awak yang bertaubat kepada-Nya. Percayalah semua ini akan baik-baik saja.” Rina memujuk memahami keadaan Areen yang pernah dia alami. Dia tahu rasa takut apabila dipandang serong oleh orang sekeliling. Siapa yang sangka semua ini terjadi kepada Areen disebabkan lelaki yang sama.

“Areen, pakcik akan melindungi kamu dan anak kamu. Kamu tidak bersendirian, nak.” Tan Sri Mansur berkata tiba-tiba. Dia yang mendengar sejak daripada tadi berasa sebak kerana pisang berbuah dua kali cuma kali ini Haikal dan Areen tiada ikatan perkahwinan seperti dengan Rina.

Areen dan Rina memandang Tan Sri Mansur serentak. Rina tersenyum mendengar kata-kata Tan Sri Mansur yang mahu menjaga Areen. Dia berasa bersyukur kerana bapa mertuanya itu mahu menerima Areen.

“Pakcik pernah gagal dalam melindungi Rina kali ini pakcik mahu menebusnya dengan menjaga kamu sehingga anak kamu lahir. Pakcik akan meminta Haikal bertanggungjawab terhadap kamu sebaik saja Haikal sedar. Kamu jangan risau.” Tan Sri Mansur berkata lagi dengan linangan air mata kasihan melihat dua wanita yang menjadi mangsa nafsu anaknya.

“Terima kasih.” Areen menangis lagi melihat kebaikan Tan Sri Mansur dan Rina terhadapnya. Dia memeluk Rina kembali kerana dia berasa lega urusannya dipermudahkan oleh Allah.

‘Ya Allah, berkati Rina Altafunisa.’ Areen berdoa buat pertama kalinya selepas sudah lama dia meninggalkan Allah. Dia berjanji kepada dirinya sendiri yang dia akan menjadi wanita yang baik daripada sebelumnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience