Satu malam, Pak Ghani datang ke rumah Pak Kadir untuk memintanya mengubati penyakit anaknya yang terkena ilmu hitam. Faridah merupakah anak Pak Ghani yang sulung. Pada mulanya Pak Kadir agak keberatan kerana inilah kali pertama dia berhadapan dengan situasi yang sedemikian. Penyakit yang terkena Faridah sememangnya sukar untuk diubati.
Bagi Pak Kadir, dia bukanlah seorang bomoh handal kerana kebolehannya hanya bergantung kepada jenis ilmu yang ditujukan. Setelah mendengar serba sedikit daripada Pak Ghani, Pak Kadir berasa simpati dan mengambil keputusan untuk pergi melihat sendiri keadaan anak Pak Ghani itu.
“Begini sajalah Ghani, saya bukanlah pandai sangat, setakat nak tengok-tengok tu bolehlah. Segala ikhtiar dan usaha itu segala-galanya bergantung kepada kehendak dan izin Allah. Saya sekadar berusaha,” kata Pak Kadir merendah diri.
Pak Kadir mencapai bajunya yang tersangkut di tiang dan terus pergi ke rumah Pak Ghani yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya. Ketika Pak Kadir menjejaki halaman rumah Pak Ghani, kelihatan ramai sanak saudara yang datang menziarahi Faridah.
Kebanyakkan daripada mereka kelihatan muram dan sedih. Kesayuan dan kesedihan jelas terukir pada wajah mereka. Apabila Pak Kadir memasuki rumah Pak Ghani, matanya terus terpandang kepada sekujur tubuh yang terletak di tengah-tengah ruang tamu.
MasyaAllah… rasa sayu dan terkejutnya bukan kepalang. Faridah yang terkenal dengan kecantikannya boleh berubah dengan sebegitu rupa. Kecantikannya telah berubah menjadi wajah yang pucat lesi. Matanya menjadi bulat, lengannya menjadi terlalu kecil sebesar buluh runcing. Beliau hanya mampu mengaduh dan mengerang kesakitan.
Namun apa yang lebih menyedihkan lagi apabila Pak Kadir menyaksikan perut Faridah yang sebar sebesar tempayan. Perutnya itu semakin membesar sehingga tidak mampu lagi ditampung oleh badan Faridah yang sekecil itu.
Cubalah kita renungkan perasaan ibu dan bapanya. Siapa yang sanggup melihat anak kesayangan menjadi sebegitu rupa. Siang dan malam hanya mendengar rintihan kesakitan. Bagi Pak Ghani dan isterinya, mereka sudah kering air mata dan tidak mampu lagi untuk berbuat apa-apa.
Bukannya tidak mahu berikhtiar tetapi sudah beribu-ribu duit habis dibelanjakan untuk mengubati anaknya itu.
Share this novel