Bab 86

Romance Completed 207871

"Pretty.."

Intan menoleh pandang ke belakang. Dilihat Carlos sudah tegak berdiri di belakangnya.

"Matahari semakin naik ni, dah panas" tutur Carlos lagi.

Intan hanya mengangguk. Tanganya naik mengusap nisan. Intan kemudian bangun lalu mengambil balang kaca serta bekas bunga rampai tadi lalu bangun dan membuka langkah meninggalkan kawasan perkuburan tersebut. Kepala ditoleh seketika sebelum kaki terus melangkah mengekori Carlos di hadapan.

Dari jauh dilihat Fahmi tertegak bersandar pada pintu kereta dan sebaik Intan dan Carlos sampai, Fahmi terus masuk ke tempat pemandu. Manakala Intan ke bahagian penumpang belakang dan Carlos di penumpang hadapan.

Enjin kereta dihidupkan dan kereta terus meluncur pergi. Intan masih lagi tertoleh pandang pada kawasan perkuburan itu. Suasana sunyi sahaja di dalam kenderaan tersebut.

"Pretty, are you okay?" soal Carlos sambil mencuri pandang pada Intan melalui cermin pandang belakang. Dilihat Intan hanya mengangguk dan pandangannya masih lagi ke luar kenderaan.

"Carlos, thank you so much. Saya tak tau apa yang saya nak buat kalau awak tak ada" ucap Intan lalu membalas pandangan Carlos di cermin pandang belakang.

"Pretty.. dah memang tugas dan tanggungjawab saya" balas Carlos sambil tersenyum dan mengangguk. Dah memang sepatutnya apa yang dilakukan itu, tidak tertanding dengan apa yang telah Caden korbankan untuknya. Fahmi di sebelah tidak berkutik, hanya tekun memandu kenderaan.

"Hm.. awak ada jumpa Rick?" soal Intan pada Carlos, pandangan tadi sudah dihala ke luar kenderaan.

"Tak ada, kali terakhir saya jumpa semasa di forensik, itu pun sekejap sahaja. Kenapa pretty tanya?" soal Carlos lalu memandang sekilas Intan di belakang.

"Tak.. saya rasa bersalah pada Rick" jawab Intan. Sugul sahaja wajahnya.

"Bersalah? kenapa rasa bersalah pula? Alice yang mencari masalah hingga menyebabkan Caden.. Argh!!" marah Carlos. Keras suaranya. Fahmi yang memandu terkejut dengan tindakan Carlos, tertoleh seketika pada Carlos dengan wajah yang cuak.

"Sorry pretty. Saya tak boleh terima dengan apa yang Alice buat. Bukan sekali dia cuba mencederakan dan melakukan perkara tak sepatutnya pada pretty. Rasa bersalah tu tak patut wujud" mendatar sahaja ayat Carlos. Pandangan dibuang ke luar tingkap sambil tangan naik meraup rambut.

"Hm.. mayat Alice macam mana? siapa yang uruskan?" soal Intan ingin tahu. Mendengus kuat Carlos bila mendengar soalan Intan.

"Sorry.. saya cuma curious" kata Intan serba salah.

#Flashback#

Sementara menunggu Fahmi pergi membeli makanan, Intan dan Carlos masih setia menunggu Caden yang masih lagi dalam bilik pembedahan. Kusut wajah Intan waktu itu, begitu juga Carlos. Kedua-duanya diam melayan rasa bimbang. Intan waktu itu bersandar di kerusi menunggu sambil mata terpejam manakala Carlos pula tertunduk dengan kedua-dua tangan memegang kepala.

Intan membuka mata dan terus tegak duduknya manakala Carlos pula terus mendongak apabila mendengar bunyi beberapa pasang kasut menghala ke arah mereka. Dilihat Aniq dan Syam yang datang bersama Detektif Azman, Salim dan Shira.

Carlos terus tegak berdiri dan menghulur salam pada keempat-empat lelaki tersebut manakala Intan pula hilang dalam pelukan Shira. Terus teresak Intan di situ. Shira menarik Intan supaya mengambil duduk di kerusi menunggu, manakala Carlos pula berbual dengan Aniq, Syam serta yang lain.

"Intan.. sabar banyak-banyak. Aku tahu kau kuat. Kita doa banyak-banyak semoga Allah selamatkan Caden." pujuk Shira sambil mengusap perlahan belakang Intan. Shira tahu walaupun Intan nampak kuat tapi hatinya juga rapuh.

"Shira.. aku risau. Caden hilang banyak darah.. masa dalam ambulan tu Caden dah tak sedar.. sampai dia dibawa masuk ke bilik pembedahan. Aku takut kehilangan dia Shira" ngongoi Intan lalu kepalanya diletakkan pada bahu Shira.

"Ye.. aku tau kau sayang dan takut kehilangan dia tapi kita tak boleh tentukan semua tu. Ajal, maut semua di tangan Allah.. apa yang penting kita doa semoga dipermudahkan urusan Caden dan semoga dia selamat" pujuk Shira sambil memeluk lembut tubuh sahabatnya itu. Sebab itulah dia takut nak berkahwin, bimbang andai perkara seperti ini berlaku, dia tidak kuat. Lihat sahajalah pada sahabatnya ini, banyak betul cabaran dan dugaannya.

Setelah rasa sedikit tenang, Intan tegakkan tubuh lalu Shira menyerahkan tisu pada Intan untuk mengesat matanya yang basah.

"Thanks Shira, kau sudi datang sini teman aku" ucap Intan sambil mata dikesat. Bengkak matanya kerana banyak menangis.

"Tak ada apalah, itu gunanya kawan. Kalau ada apa-apa, kau call je aku. Kalau kau tak ada tempat nak tidur atau nak pergi, kau boleh je tidur rumah kita dulu. Aku pun masih tinggal sorang lagi, tak ada orang yang boleh gantikan kau kat rumah tu" balas Shira sambil tersenyum. Kekura Intan ditepuk perlahan.

Intan hanya mengangguk. Betul juga, tak kan dia nak balik rumah yang dah jadi lokasi pembunuhan tu. Nak ke bilik rehat di hotel? lagi la rasa tak mampu untuk tinggal seorang. Rumah ayah? hm.. hubungan dengan ayah pun masih ada masalah.

"Hm.. nanti aku tumpang rumah kau je lah buat sementara. Boleh kan" tanya Intan serba salah.

"Kau ni, tadi kan aku dah cakap. Tinggal je kat rumah aku. Kau ni, macam tak biasa pula. Baju kau pun masih ada lagi dua tiga helai" balas Shira pula. Sedang asyik berbual, Aniq dan Syam datang menghampiri.

"Intan. Awak okay ke?" soal Aniq pada Intan yang dilihat sembab mukanya.

Intan bingkas bangun begitu juga Shira.

"Saya okay." balas Intan pendek.

"Terima kasih Tuan sebab datang tepat pada masanya" ucap Intan sambil memandang Aniq dan Syam bergilir.

"Itu semua atas tindakan Carlos. Dia yang hubungi saya dan maklumkan perkara ini. Mujurlah saya dan team sempat sampai awal" balas Aniq. Simpati dia pada Intan. Berliku benar perjalanan hidup wanita seorang ini. Kalau orang lain, mungkin sudah lama tersungkur.

"Nanti awak bermalam di mana?" soal Syam pula.

"Saya tumpang rumah Shira, tak sanggup saya nak ke rumah yang dah jadi lokasi pembunuhan tu" balas Intan.

"Eloklah macam, buat masa ni jangan tinggal seorang diri, kalau boleh biarlah berteman" nasihat Aniq pula.

"Baik Tuan." balas Intan.

"Tapi pagi nanti jangan lupa jumpa ASP Fairus untuk rakaman percakapan mengenai kejadian tadi" Syam ingatkan.

"Intan.. disebabkan kejadian ini, pegawai atasan dah tahu mengenai hubungan awak dan Caden. Mungkin awak akan dikenakan hukuman tatatertib kerana perkahwinan tidak melalui jabatan dan tidak membuat permohonan tapi saya akan cuba apa yang boleh untuk bantu awak." terang Aniq. Berubah wajah Intan sebaik mendengar kata-kata Aniq.

"Lagi satu, Tuan Rahman pun dah ambil maklum mengenai kejadian ini." tambah Aniq lagi.

"Tuan Rahman nak ikut sekali tadi tapi Dato' KJSJ Selangor nak jumpa, itu yang dia tak jadi datang. Mungkin pagi nanti dia akan datang" Syam pula mencelah. Intan dilihat sudah menunduk seketika sebelum kembali memandang ke hadapan.

"Tak apa Tuan, saya dapat rasa satu hari nanti perkara ini akan diketahui juga. Saya sedia terima apa juga hukumannya." balas Intan jujur. Itu lumrah.. Jika langgar peraturan, tatatertib akan menunggu untuk melaksanakan hukuman.

"Tapi buat masa sekarang, awak tak perlu fikirkan itu semua. Doakan banyak-banyak untuk Caden semoga dia selamat." pesan Aniq.

"Saya rasa, dah kena gerak. Masih ada lagi laporan yang belum siap. Ada apa-apa boleh hubungi saya terus. Tak perlu segan" pesan Aniq.

"Intan, saya balik dulu. Jaga diri baik-baik" pesan Syam pula.

"Intan, aku balik tau. Nak datang rumah bagitau, nanti aku datang ambik kau" pesan Shira lalu tubuh Intan ditarik dalam pelukannya. Diusap perlahan belakang tubuh Intan.

"Puan, kitaorang balik dulu. Pasal pejabat, Puan tak payah fikir." Kata Salim pula. Azman di sebelah hanya mengangguk.

"Terima kasih semua sebab sudi datang" balas Intan pula. Air mata yang meleleh, diseka dengan belakang tangan.

Fahmi yang entah bila sudah kembali pun dia tidak sedar. Tengok-tengok dah ada berdiri di sebelah Carlos.

"Puan, ni ada pau dengan milo panas. Puan makan sikit, buat alas perut" kata Fahmi sambil menghulur bungkusan plastik pada Intan.

"Terima kasih Fahmi. Awak dengan Carlos tak makan sekali?" soal Intan sambil menyambut huluran Fahmi.

"Pasal saya dan Fahmi awak tak perlu risau. Sekarang ni, sini duduk dulu. Makan" arah Carlos lalu bergerak ke arah kerusi menunggu. Fahmi turut sama mengekori.

"Awak kena makan. Nanti tak ada tenaga" kata Carlos lagi lalu pau di dalam plastik diambil dan diserahkan pada Intan. Perlahan huluran disambut. Dicubit sedikit pau dan disua ke mulut. Tidak tertelan rasanya. Menitis lagi air mata.

Perlahan Carlos mengeluh. Dia tahu apa yang Intan rasakan sekarang. Dia juga bimbangkan Caden. Tidak sanggup kehilangan seseorang yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.

#Flashbackend#

"Pretty... pretty.." panggil Caden.

Tiada balasan, senyap sahaja. Lalu Carlos menoleh ke belakang. Dilihat pipi Intan sudah basah.

"Pretty.." panggil Carlos lagi sekali bersama sentuhan pada lengan Intan.

Terkekut Intan lalu menoleh pada Carlos.

"Kita dah sampai" kata Carlos.

Share this novel

Angah Ajalah
2020-06-19 19:56:50 

caden mati ke..ni yg malas baca ni..


NovelPlus Premium

The best ads free experience