Bab 29 : HV

Mystery & Detective Series 29168

~Doa Nabi buat pengantin baru.

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi SAW bersabda: Jika mendoakan kepada seseorang ketika ia menikah, maka baginda bersabda,

"Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan." (HR Tirmizi, hadis sahih)~

Hari yang ditunggu-tunggukan sudah pun tiba. Hari dimana menjadi saksi penyatuan dua jiwa yang sekian lama terpisah iaitu hari berlangsungnya majlis akad nikah antara Tengku Eshan Maisur dan Tuan Eshal Maisarah bin Tuan Mahmud. Majlis akad nikah ini telah diawalkan 3 hari dari tarikh asalnya, mengikut permintaan Eshan sendiri. Sebaik sahaja doktor membenarkan Eshan keluar dari hospital, Eshan segera mengusulkan cadangan perkahwinan mereka dipercepatkan dari hari yang sepatutnya kepada seluruh keluarganya.

Reaksi yang dia terima dari ahli keluarganya? Sudah pasti mereka terkejut besar. Tercengang. Tak percaya. Walaupun semua tercengang, tidak percaya, terkejut sekalipun dengan keputusannya termasuk Eshal sendiri, Eshan tidak peduli. Apa yang penting baginya, dia sudah tahu Eshal itu siapa. Eshal itu 'Sarah' dia. Kali ini dia yang akan buat keputusan. Keputusan untuk bawa Eshal kembali ke dalam hidupnya. Muktamad. Titik. Noktah.

Nenda orang paling keras menentang keputusan Eshan untuk mempercepatkan majlis. Tapi Eshan peduli apa. Kalau nenda berkeras, dia pun sama kerasnya. Nak tak nak, nenda mengalah jua. Diaturkan sebuah majlis akad nikah yang serba ringkas buat Eshan pada malam itu juga. Nasib baik semuanya sudah bersiap sedia. Majlis tetap diadakan di Villa Suci, mahligai Tengku Naina sendiri. Villa yang menjadi saksi cinta suci arwah walid kepada uminya.

Walaupun hakikatnya cuma berbaki lagi 3 hari dengan tarikh yang sebenar, Eshan tidak peduli. Dalam masa 3 hari itu macam-macam boleh terjadi. Dia tak mahu ada sebarang penghalang lagi. Banyak 'cerita' yang dia mahu bincangkan dengan Eshal. Teringat apa yang Adham memberitahunya ketika di hospital semalam juga meresahkannya. Kata Adham, ada seseorang mahu berjumpa dengan Sarah atau Eshal. Orangnya juga bukan calang-calang orang. Orang yang berprofil tinggi walaupun kelihatan sangat low profil kata Adham. Tapi sejujurnya itulah yang meresahkan Eshan. Kenapa orang begitu mahu jumpa dengan Eshal? Untuk apa? Kalau difikir secara logik pun, benda itu agak tidak masuk akal.

* * *

Eshan Maisur menyarung sepersalinan baju melayu moden berwarna putih susu ke tubuh tegapnya. Samping dari kain tenun Terengganu setona dengan warna bajunya dihiasi dengan sedikit corak biru cair disarung ke tubuhnya lalu diilit kemas dipinggangnya dibantu oleh Adham Sulaiman. Songkok hitam pula diambil dan diletakkan di kepalanya biar menyerlah aura seri pengantin. Adham membaiki sedikit kedudukan songkok hitam itu agar kemas terletak.

"Alhamdulillah. Akhirnya... saya mampu lihat boss pakai baju ni," ujar Adham sedikit menunduk, membetulkan sedikit kedudukan kain samping bossnya.

Eshan senyum segaris dengar komen Adham. Dia sendiri sebenarnya tidak percaya yang hari ini tiba jua setelah sekian lama menanti. Tipulah kalau dia katakan yang dia baik-baik saja untuk mengakadkan seorang perempuan untuk menjadi suri hatinya. Jantungnya laju berdegup, bagaikan melancarkan mogok mahu keluar dari sarangnya. Dia berdebar, resah, dan gelisah menanti saat ini.

"Saya salute dengan semangat boss. Never give up untuk cari Sarah tapi tak sangka dia sebenarnya sudah lama ada depan mata boss." Sambung Adham, matanya tepat pada wajah majikannya disebalik cermin.

"Aku lagi rasa tak percaya, Ham. Baru semalam aku tahu dia siapa dan tak sangka sekejap lagi aku akan jadi suami dia," balas Eshan turut membalas pandangan itu. Pandangan bermakna. Adham ukir senyum. Rasa bersyukur.

"Perjalanan aku dengan Sarah tak semudah ini kan Ham? Walaupun aku dah kahwin dengan Sarah, itu tak bermakna kisah aku akan tamat disini, kan?" soal Eshan berkenaan dengan apa yang diberitahu oleh Adham di hospital semalam.

Adham mengangguk.

"Apa yang penting aku dah dapat ikat Sarah dekat dengan aku walaupun aku belum ingat semuanya."

Adham berkerut.

"Jadi macam mana boss boleh tahu Eshal itu Sarah?"

Eshan tidak rasa mahu menjawab soalan Adham. itu. Biarlah jadi rahsia dia dulu.

Di bilik sebelah, Eshal Maisarah juga sedang bersiap seperti Eshan Maisur. Eshal memilih jubah labuh berwarna putih susu senada dengan warna baju melayu Eshan. Jubah yang dihiasi dengan sedikit manik dan labuci berwarna biru lembut di hujung lengan baju dan belahan dada baju sehingga ke paras pinggang. Cantik hiasan bajunya. Nampak 'suci' persis Sarah. Selendang labuh berwarna putih susu dililit kemas dan dipakai niqab putih oleh Nafla dan Nazneen. Selesai semuanya, sehelai veil juga dari berwarna yang sama turut menghiasi melindungi mahkotanya. Sungguh serba sederhana cara Eshal di hari bahagianya.

Eshal keluar dari bilik tetamu di rumah Tengku Naina untuk ke ruang tamu di tingkat bawah. Ruang tamu juga dihiasi indah dengan pelamin serba putih dan dihiasi dengan kuntuman bunga mawar biru yang menjadi pilihan Eshan. Katanya, bunga mawar biru itu adalah simbolik kepada 'Sarah'.

Eshan curi pandang Eshal yang duduk tidak jauh darinya di atas ambal ditemani oleh Nafla. Eshan kalih pandangan, nafas ditarik perlahan-lahan, sesekali dia beristigfar dalam hati untuk menenangkan jiwanya yang resah dan berkocak hebat. Dia cuba sedaya upaya untuk tepis segala perasaan ragu-ragu dan sangsi yang datang kerana dia sudah bertekad. Dia akan meneruskan niatnya untuk mengakadkan Eshal Maisarah itu sebagai isterinya. Perempuan yang halal untuknya.

Kutbah nikah dibacakan secara ringkas oleh tok kadi yang sedang bersila secara bertentangan dengan Eshan. Ada satu surah yang menarik perhatian Eshan tatkala tok kadi membacanya,

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu." - Surah an-Nisa : Ayat 1

Eshan sedikit menunduk. Dalam hatinya masih lagi tertanam rasa tidak percaya yang hari ini akhirnya tiba jua. Hampir 11 tahun dia menanti Sarah. Menanti sesuatu yang Eshan sendiri tahu yang Sarah tidak akan menjadi miliknya setelah hati gadis itu dimiliki oleh insan yang bernama Waeez Haikal. Dan siapa dia untuk menolak ketentuan Allah. Orang yang dikatakan tidak akan menjadi miliknya itu, akan menjadi miliknya pada hari ini. Syukur.

Eshal juga seperti Eshan. Resah, gelisah, takut, sebak, teruja dan gembira. Semua perasaan ada dan hanya DIA saja yang tahu. Resah dengan statusnya bakal bertukar dan takut dengan penerimaan Eshan tentang siapa dia disebalik niqab ini. Perasaan sebak ini tidak samanya dengan perasaan ketika dia diijabkabulkan dengan arwah Waeez Haikal dulu. Teringatkan itu, dada Eshal rasa semakin sebak. Memori lama menerpa ke kotak ingatannya.

* * *

2016

"Sayang, if one day... kalau bie dah tak ada, boleh sayang cari Han?" Permintaan Waeez Haikal yang tiba-tiba.

Sarah tergemap. Langsung terhenti kerjanya mencuci pinggan mangkuk di sinki.

"Bie, apa ni... sayang tak suka bie cakap macam tu." Muka Sarah masam mencetum.

Waeez senyum dengan reaksi isterinya. Segera dia melingkar tangannya di pinggang Sarah.

"Kenapa tak suka?"

"Sayang tak suka bie merepek macam tu. Bie dah janji dengan sayang yang bie tak kan tinggalkan sayang dengan anak-anak. Jadi, jangan nak merepek macam ni."

"Bie tak merepek sayang. Mati itu kan pasti. Kita wajib ingat mati."

"Iya, itu sayang tahu tapi sayang tak suka bie sebut perkataan tu..." Sarah protes. Bibirnya makin muncung

Waeez ketawa halus. Lucu dengan Sarah yang berperangai keanak-anakkan.

"Sayang ni... ada lagi ke perkataan lain selain dari mati?"

"Bie! Dah la... Jangan cakap macam tu boleh tak? Sayang tak suka," marah Sarah sedikit kuat. Sungguh dia tak suka dengan gurauan Waeez kali ini.

Waeez ketawa lagi. Tangannya dihulurkan ke hadapan sedikit, membilas tangan Eshal sebersih mungkin lalu kepala pili dipulas. Dia memusingkan tubuh Eshal menghadapnya. Tangan naik pegang kedua belah pipi Sarah.

"Sayang... look here, bie minta maaf kalau sayang tak suka bie sebut macam tu. Tapi bie kena bagitahu sayang juga. Jujur dari hati bie... andai kata berlaku apa-apa pada bie nanti, bie minta sangat sayang cari Han. Sayang kembali pada dia. Sayang jaga Evan dan Eman elok-elok. Jaga diri sayang, jaga anak-anak. Terima kasih sebab sudi terima bie yang banyak kekurangan ini walaupun macam-macam yang sayang kena hadap sejak kenal dengan bie."

"Bie..."

Tak sempat Sarah mencelah, Waeez cepat-cepat memangkah. Dahinya disatukan dengan dahi Sarah. Dia betul-betul rasa terdesak, rasa masaanya kian hampir. Hatinya tidak tenang seperti selalu.

"Syh... dengar. Sayang dengar apa yang bie nak cakap... bie sayang sayang. Tak pernah sekalipun terlintas dalam hati bie yang bie terpaksa terima sayang dalam keadaan sayang macam ni. Bie sayang sayang, ikhlas kerana Allah." Waeez tarik nafas dalam sebelum menyambung.

"Janji dengan bie... sayang akan jaga anak-anak kita elok-elok, jaga diri sayang dan cari Han. Boleh, sayang?"

Sarah tatap mata suaminya. Entah kenapa dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena kepada Waeez. Banyak perubahan suaminya sejak akhir-akhir ini.

"Kenapa bie nak sayang cari Han?"

"Sebab, hanya Han yang cinta dan sayangkan sayang macam bie. Dan mungkin dia lebih lagi dari bie. Janji dengan bie, ya?"

Entah kuasa apa, Sarah mengangguk kecil. Kelegaan terpancar disegenap ruangan wajah Waeez sebaik sahaja Sarah membalas pertanyaannya.

"Terima kasih Sayang." Waeez mengucup dahi Sarah. Lama dan sangat bermakna sehingga matanya berair. Entah kenapa dia rasa lega dengan jawapan itu. Rasa seperti sesuatu yang mencengkam dadanya diuraikan.

* * *

2018

'Bie... akhirnya hari ini tiba jua. Terima kasih bie,' bisik Eshal sebaik sahaja habis sesi 'throwback'nya. Tangannya naik menyeka air mata yang cuba untuk menitik. Eshal tidak mahu sesiapa melihat dia menangis pada hari yang bahagianya ini.

"Kenapa Eshal?" soal Nafla disebelahnya, juga berbisik.

Eshal menggeleng, bukan mahu rahsiakan tapi dia tidak mampu untuk berkata-kata. Hatinya diruntun rasa sebak yang tiba-tiba. Takut andai kata kalau dia berterus terang, makin menjadi-jadi pulak perasaannya.

Nafla tepuk tangan Eshal yang setia dalam genggamannya.

"Istighfar banyak-banyak. Selawat jangan lupa. Tarik nafas dalam-dalam, then hembus. This is your big day, Eshal. Jangan sedih-sedih." Sempat Nafla meniupkan semangat buat Eshal.

Eshal angguk perlahan dan ikut apa yang disarankan oleh Nafla.

"Tengku Eshan Maisur bin Tengku Eqbal..."

Mendengarkan tok kadi menyebut nama Eshan, meremang roma Eshal. Dia tahu, lafaz akad nikah akan bermula sebentar sahaja lagi. Eshal sedikit menunduk, tak sanggup dia lihat muka Eshan. Jantung berdetak makin laju, kalah larian berganti. Tangannya dalam genggaman Nafla sudah berpeluh-peluh.

"Saya." Eshan menjawabnya.

"Aku nikahkan engkau dengan pengantin perempuan, Tuan Eshal Maisarah binti Tuan Mahmud berwakil walikan aku dengan emas kahwinnnya seribu ringgit tunai."

"Aku terima nikahnya, Tuan Eshal Maisarah binti Tuan Mahmud dengan emas kahwinnya yang tersebut." Lancar sahaja Eshan menjawab lafaz akad itu.

"Saksi, sah?" tanya Kadi kepada saksi yang berada di kiri dan kanan Eshan.

"Sah," jawab saksi pertama, Tengku Eqmal.

"Sah," jawab saksi kedua, Baariq.

"Alhamdulillah."

Sedikit doa dibacakan sebelum tok kadi menyerahkan sekeping kertas lafaz taklik untuk Eshan bacakan. Eshan membacanya, sedikit bergetar suaranya. Tak sanggup untuk meneruskan bacaan tapi itulah yang dia perlu baca.

"Saya mengaku apabila saya meninggalkan isteri saya, Tuan Eshal Maisarah binti Tuan Mahmud selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk."

* * *

Eshan bangkit dari ambalnya selepas selesainya sesi akad nikah sebentar tadi. Baariq iringi Eshan ke tempat dimana Eshal dan Nafla berada. Eshan melabuhkan duduknya dihadapan Eshal. Cincin permata biru diambil dari kotak baldunya lalu disarungkan ke jari manis Eshal Maisarah. Eshal Maisarah menunduk, mengucup tangan suaminya. Eshan meletakkan sebelah tangannya diatas kepala Eshal lalu mengucupnya perlahan. Mata Eshan terpejam. Menikmati saat-saat bahagia ini.

'Allah... inikah perasaannya? Perasaan yang KAU janjikan untuk orang-orang yang sabar dengan ujian-Mu?'

Alhamdulillah... Han dan Sarah sudah selamat diijabkabulkan. Tahniah. 'Tapi... kisah aku tak berakhir disini kan?' - Han. Tq to all the readers. HV.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience