BAB 3
TUJUH TAHUN KEMUDIAN...
NUFA sibuk membelek dirinya pada cermin. Lipatan shawl di kepala diperkemas sambil membetulkan ozel brooch di atas kedua-dua belah bahu. Setelah merasakan penampilan diri sudah kemas dan cantik sempurna. Tas tangan di atas meja solek dicapai. Untuk sentuhan terakhir sebelum membawa kaki keluar dari bilik. Nufa menggerakan tubuhnya ke kiri dan kanan. Melihat imej diri sendiri yang dilengkapi baju kebaya moden hijau terang disepadankan dengan shawl berwarna hijau muda. Kulitnya yang putih kemerahan-merahan, bertambah berseri apabila dipadankan warna hijau.
"Petang nanti aku balik lewat sikit." Beritahu Salsabila setelah mereka bertembung di pintu bilik masing-masing.
"Ada kelas tambahan ke?"
"Taklah... Latihan koir. Minggu depan dah nak bertanding."
"Hebat students kau... Boleh masuk ke peringkat negeri. Tahniah."
"Well... Tengok pulak siapa cikgu yang mengajar. Aku ni bukan nak bangga diri. Tapi kalau aku latih bebudak tu. Gerenti menang." Salsabila berbicara bangga sambil membetulkan kaca mata putihnya.
"Cehh... Riak takabbur sudah mari. Okey lah aku gerak dulu. Hari ni pasar malam. Kau nak kirim apa-apa tak?"
Bibir Salsabila bergerak ke kiri dan ke kanan. "Tapaukan..." Mengambil beberapa detik untuk berfikir, akhirnya. "Kau beli aje apa-apa pun. Aku onz je."
Nufa senyum segaris. "Menu seperti biasa aku tapaukan untuk kau."
"Okeh cun. Hah satu lagi. Tolong belikan aku air asam boi Pak cik Harun."
Nufa angguk sambil membawa langkahan perlahan ke pintu utama. Setelah menyarung sepasang kasut di kaki dirinya dibawa masuk ke dalam perut Myvi.
Sambil menunggu enjin kereta panas. Nufa membaca doa naik kenderaan dan berselawat. Sempat dia menilik wajahnya di cermin melihat penampilan tudung yang kelihatan sudah kemas sempurna. Mengambil masa dua minit. Myvi hitamnya mula keluar daripada pagar rumah sewa.
Dalam kelajuan sederhana Myvi Nufa bergerak menyelusuri jalan menghala ke Kuala Besut. Hampir dua tahun dia mencari rezeki di bumi Terengganu ini. Syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah, memudahkan urusannya selama dia berada di bumi Besut yang dirasakan sungguh unik. Satu keistimewaan warga Besut adalah berdialek Kelantan. Penduduk Besut bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan dan terdapat juga sebahagian kecil bertutur dalam Bahasa Melayu Terengganu iaitu penduduk dari Daerah lain di Terengganu yang tinggal di Besut. Makanan di sini juga enak-enak. Kena dengan selera Nufa.
Dalam diri sedang mengelamun kecil. Nufa merasakan keretanya semakin lama semakin bergerak perlahan. Dada sudah berdetak tidak sekata. Apa pula tak kena dengan kereta? Jangan buat hal.
Semakin dalam Nufa tekan pedal minyak namun tika itu juga enjin keretanya mati, betul-betul di hadapan pintu masuk Wisma Perwira. Nufa mula gelabah. Dipandang ke kiri dan kanan. Hanya pemandangan bukit dan bangunan sahaja yang terlihat di mata. Sunyi dan sepi suasana ketika itu. Di atas jalan raya pula hanya ada beberapa buah kenderaan yang lalu lalang. Perasaan takut mula menerjah diri. Tanpa sempat berfikir panjang. Telefon bimbit di dalam tas tangan segera diambil. Nombor mama didail.
"Selamat pagi puteri bongsu mama. Dah sampai ke sekolah?" sapa Datin Azizah ceria menyambut panggilan anak bongsunya.
"Ma... Kereta Nufa mati kat tepi jalan. Nufa nak buat apa ni?" Rengek Nufa bak anak kecil.
"Laaa... Minta tolong lah kawan-kawan Nufa. Mama tak boleh nak tolong. Kalau dekat dah lama mama tolong."
Tubir mata Nufa sudah digenangi air hangat. Anak manja seperti dirinya. Pasti akan cepat gelabah. Ditambah pula dia tak pernah melalui situasi sebegini.
"Nak minta tolong siapa, ma? Kereta orang mati dekat kem TUDM. Tak ada sorang pun yang berhenti tolong." Adu Nufa dengan suara gementar. Di hujung talian, Datin Azizah menarik nafas cemas.
"Mama bagitahu papa." Rengek Nufa lagi dengan suara hampir menangis.
"Kalau mama bagitahu papa. Bukan nya papa boleh tolong. Kita orang dekat Kuantan. Nufa di Terengganu."
"Habis tu... Macam mana ni, mama?"
Deruan nafas resah Datin Azizah berhembus di corong telefon. "Call lah mekanik."
"Nufa mana lah kenal mekanik kat sini. Sebelum ni tak pernah pulak Myvi kesayangan mama ni buat hal. Orang nak buat apa ni, mama? Nufa takut lah. Tolong Nufa mama."
Di hujung talian Datin Azizah sudah kehilangan bicara. Mendengar esakan halus Nufa, hati tuanya menjadi resah tidak keruan.
"Nufa dah lambat nak ke sekolah. Macam mana ni, mama?"
"Call grab." Datin Azizah memberi cadangan.
"Habis tu kereta ni macam mana? Takkan nak tinggal macam tu je? Kang tak pasal-pasal lesap Myvi kesayangan mama."
SEBELUM helmet disarung ke kepala. Sempat jam di tangan dibelek, sekilas. Waktu sudah berdetik ke angka 7.45 pagi. Hari ini mood nak cari sarapan pagi macam okey. Kebiasaan waktu-waktu pagi dan hujung minggu macam ni. Lagi best terbongkang atas katil bujang.
"Bro... Awal betul nak merempit." Sergah satu suara dari arah belakang.
"Off duty. Nak cari sarapan lah. Nak ikut ke?"
"No thanks... Nak gerak balik kampung jenguk anak bini."
"Cuti lulus ke?"
"Yeah... Kalau tak lulus tak ada nya aku bersemangat macam ni. Okey lah bro. Aku dah nak gerak ni. Cepat gerak cepatlah sampai."
"Beres bro." Susuk Ayub diperhati sehingga kelibat itu hilang masuk ke dalam kereta.
Sebaik kereta Honda Civic milik Ayub keluar daripada pekarangan kuarters. Tayar Superbike Ducati nya bergolek meninggalkan ruang parkir.
Sekejap-kejap jam di skrin telefon ditenung. Dalam kiraan sudah lima belas minit Myvi nya tersadai di bahu jalan. Tapi tak ada seorang pun yang baik hati mahu menolong. Nufa berdiam diri di dalam kereta sambil berfikir. Namun otaknya pada hari ini semacam lembab dan tak berfungsi dengan cemerlang.
Tok! Tok! Nufa tergamam. Diurut dadanya membuang debar. Figura lelaki yang bertopi keledar full face diamati. Dalam kepala otak sudah berfikir yang bukan-bukan.
Bahu Nufa terhinggut apabila ketukan di tingkap kereta berbunyi. Kali ini lebih kuat. Tok! Tok!
Dalam rasa serba salah dan dihimpit perasaan sangsi. Pintu kereta dibuka, sempit.
"Kenapa cik? Kereta rosak ke?"
Sebaik sahaja suara garau itu bertanya. Nufa menarik pintu kereta lalu menutupnya rapat. Telefon di seat penumpang sebelah dicapai dengan tangan sedikit menggigil.
"Ma... Nufa takut," ujar Nufa sebaik panggilannya bersambut. Matanya turut mengerling ke sisi. Kelihatan lelaki itu menggeleng lalu beredar dari situ.
"Sabar la. Mama dengar suara Nufa cemas begini. Rasa nak luruh jantung mama ni." Suara Datin Azizah dah kedengaran risau yang amat.
"Tadi... Tadi ada sorang lelaki ni... Tapi macam orang jahat." Nufa kerling cermin sisi. Dia hembus nafas lega apabila kelibat lelaki tadi tidak kelihatan. Fuh! Nasib baik dia dah pergi.
"Tak baik prasangka buruk. Mungkin dia ikhlas nak tolong Nufa."
"Kalau dia orang jahat macam mana?"
"Mulut tu cuba jaga. Kata-kata tu ibarat doa. Cuba lah sebut dan fikir yang baik-baik. Dah berapa kali mama pesan. Tutur kata tu jaga. Jangan nak berprasangka."
Keluhan berat terlepas daripada bibir Nufa. Ya, itulah kelemahannya. Suka berprasangka buruk.
"Orang tu dah pergi dah pun." Keluhan dibuang lagi.
"Itulah jual mahal lagi. Orang nak tolong tu bukannya nak bersyukur."
"Nufa ni macam mana mama?" tanya Nufa polos.
"Macam mana apa? Turunlah dari kereta tu. Minta tolong." Suara Datin Azizah sudah bertukar oktaf. Jika tadi oktaf satu. Ni dah oktaf tiga. Geram sungguh dengan perangai Nufa Inshirah. Manja tu satu hal. Prasangka tu satu masalah besar juga.
"Taknak Nufa takut." Titisan air mata diseka. Tak mahu make up rosak gara-gara menangis.
Hembusan berat berhempas keluar daripada bibir Datin Azizah. "Mama ni kan... Kadang-kadang geram tahu tak dengan perangai Nufa. Cuba lah berani. Belajar berdikari. Sampai bila nak harapkan mama dan papa?" Datin Azizah buang keluhan kasar. Inilah habuan bila terlebih manjakan anak bongsu. Panggilan ditamatkan.
Baru sekerat perjalanan. Ismail menukar laluan. U-turn dibuat. Berdesup motosikal nya berpatah balik ke kuarters.
'Aku ni nampak macam orang jahat ke? Rasanya takda pula aku tanya soalan pelik.' omel hati Ismail.
Tok! Tok!
Tubuh Nufa berhinggut terkejut. Dikalih pandangan ke sisi. Ah sudah! Lelaki tadi datang balik. Automatik pesanan mama memukul ke benak. Dalam debar dan takut masih bersisa. Pintu kereta dibuka perlahan.
"Jangan takut saya bukan orang jahat. Kenapa dengan kereta Cik?" soal Ismail sambil membuka helmet yang tersarung di kepala.
"Tiba-tiba mati. Tak tahu rosak apa," balas Nufa. Masih bersisa ketakutan. Namun sempat dia membelek wajah lelaki di depan ini.
"Oh... Boleh Cik keluar dulu? Mari saya tengokkan."
"Err... Boleh."
Berulang kali enjin cuba dihidupkan namun masih sama. Tetap tak mahu hidup.
"Mungkin bateri kong." ujar Ismail sambil menutup bonet depan. Nufa di sisi dikerling sekilas.
"Saya dah lewat nak ke sekolah."
"Cikgu?" tanya Ismail sambil melirik ke pergelangan tangan. Sudah pukul 8 pagi.
Tidak menjawab pertanyaan itu. Nufa mahu kembali semula masuk ke dalam kereta.
"Takpa... Saya boleh hantarkan Cik."
Langkah Nufa terhenti. Wajahnya bertukar riak tidak percaya. Kening diangkat. Motosikal berkuasa tinggi dikerling. Lelaki ini nak hantar dia ke sekolah dengan motor ni? Memang tak lah dia nak.
"Terima kasih. Saya boleh pergi sendiri."
"Jangan risau saya hantar Cik dengan kereta. Tunggu sini kejap. Saya masuk dalam ambik kereta."
Sepanjang perjalanan. Nufa diam tidak berkutik. Lagi pun nak cakap apa dengan lelaki di sebelah ni.
"Nanti saya jumper kereta awak." Suara Ismail pecah kesunyian yang ada.
"Hah! Jumper?" soal Nufa dengan muka blur dan seposen. Apa benda jumper tu? Sumpah, dia tak tahu pasal kereta. Dia hanya tahu memandu saja.
"Haah jumper. Bateri kereta awak kong."
Bateri kong. Jumper. Nufa hanya mendengar bicara itu sepintas lalu. Pandang dihala ke luar tingkap.
"Petang nanti saya jemput awak kat sekolah. Pukul berapa waktu sekolah tamat?"
"Pukul 2.00."
Ismail mengangguk. Kini keretanya sudah hampir ke pagar sekolah Seri Bukit Puteri.
"Encik. Turunkan saya dekat luar pagar je. Berhenti sini."
Ismail akur. Honda City megahnya diberhentikan betul-betul di hadapan pagar sekolah.
"Terima kasih." Ucap Nufa sepatah.
"Sama-sama. Petang karang tunggu saya datang jemput."
Nufa membalas dengan mengangguk. Ismail memerhati gerak-geri gadis itu sehingga bayangan Nufa hilang dari mata.
"Muka macam familiar." Ismail berbisik pada diri sendiri.
Langkah luas dibuka. Dengan nafas sedikit mengah akhirnya Nufa sampai ke tingkat satu, dimana terletaknya bahagian pejabat.
"Lewat nya." tegur Kak Zihan yang memegang jawatan pembantu operasi di sekolah itu. Sambil berbalas senyuman. Kak Zihan ambil purse di dalam tas tangan.
"Kereta rosak."
"Habis tu macam mana boleh sampai ke sekolah?"
"Ada yang tolong hantarkan."
"Tunang?"
Nufa menggeleng. "Taklah... Tunang saya duduk jauh nun di Singapore."
"Tak apa lah sesiapa pun. Janji Nufa sampai ke sekolah dengan selamat. Akak nak ke kantin." Kak Zihan buka langkahnya menghala ke pintu keluar. Nufa pula sudah membawa laluan kakinya ke bilik guru.
"Lelaki tadi tolong hantarkan. Entah tak tahu... Dia cakap bateri kong." Sambil letak beg tangan di atas meja. Nufa alihkan telefon bimbit ke telinga kiri.
"Ye mama... Orang tahulah. Tadi orang dah ucap terima kasih. Mama ni, ingat Nufa ni tak beradab sangat ke?"
Muka Nufa mencebik. "...Dah tu takkan nak suruh orang tu tunggu Nufa dekat pagar sekolah. Entah baik ke tidak lelaki tadi."
Telefon dijarakkan dari telinga apabila suara petir mama menjerit namanya. "Ma... Slow sikit panggil Nufa. Nanti pekak pulak telinga anak kesayangan mama ni."
Sedia maklum jika nama penuh disebut mama, pasti mamanya sudah bengang dengan tingkah lakunya. Cepat-cepat talian diputuskan. Nufa henyak punggung ke kerusi sambil fikiran menerewang pada nasib kereta Myvi kesayangan mama. Mudah-mudahan lelaki tadi seorang yang baik hati dan budiman.
"Tapi muka garang."
Kepala Nufa menggeleng beberapa kali. Cuba membuang fikiran jahat yang dah mula menghasut, mengheret otaknya jauh tersasar ke depan.
"Astaghfirullahaladzim... Nufa, tak baik tau kau prasangka buruk. Think positive okey." Nafas panjang ditarik dan dia cuba untuk tersenyum. Menceriakan suasana hati yang sejak tadi disapa kegusaran.
Share this novel