Bab 37
Dia merenung tajam pada Amalina, sambil berkata dalam nada geram, “Oh! Sakai ni ada di rumah kau rupanya! Sebab dialah kau tolak pinangan aku kan?”
“Cukup Airiel! Jangan hina Leo sampai macam tu sekali!”
“Oo… Kau bela dia ya? Betul-betul aku tak sangka,” kata Airiel dengan kepala tergeleng.
Hari ini benar-benar hari yang malang baginya. Dia kena marah dengan Puan Suriati kerana gagal mencari Peguam Wong. Entah di mana lelaki itu pergi. Dia mendapat berita menyatakan lelaki itu sudah pulang ke Malaysia.
Dan malang itu terasa datang bertimpa-timpa. Sudah jelas dia benar-benar kehilangan Amalina. Dia tidak mungkin dapat memujuk hati gadis itu lagi.
“Nanti kau! Aku kerjakan kau cukup-cukup.” kata Airiel sambil menuding jarinya pada Leo.
Ada dendam yang bersalut dalam hatinya. Ada secarik luka yang tercalar di hatinya.
“Sudah! Lebih baik kau balik, Airiel!” pinta Amalina serius.
Airiel memandu tidak menentu. Kemudian membuat u-turn berpusing semula ke pusat bandar. Dia buntu, tidak tahu hendak ke mana. Akhirnya dia singgah minum pagi di sebuah restoran mamak di Ampang. Airiel mencari tempat yang selesa lalu memesan roti canai dan teh tarik. Matanya memandang ke arah televisyen besar yang terpasang. Ketika itu berita terkini sedang ditayangkan.
“Ini berita yang baru kami terima. Seorang pemuda berusia 27 tahun ditemui cedera parah, di tepi Jalan Mahameru pagi ini. Pemuda itu, dikenali sebagai Irfan Abdul Ghani dipercayai dipukul oleh sekumpulan samseng, ditinggalkan separuh mati di situ. Irfan kini dirawat di hospital. Polis meminta maklumat daripada orang ramai yang melihat kejadian itu yang dipercayai berlaku antara pukul 1 atau 2 pagi. Motif serangan itu masih belum diketahui.”
Airiel terus berlari-lari keluar dari kedai mamak, tanpa sempat menikmati minuman dan roti canai. Dia masuk ke kereta, memandu laju menuju ke hospital. Perlu memastikan Irfan selamat sebelum menghubungi Puan Suriati.
Lewat petang baru Puan Suriati mengetahui tentang kemalangan yang menimpa Irfan. Airiel kena sembur lagi di atas kelewatannya anak muda itu memberitahu perihal anaknya. Airiel sudah pun masuk melihat keadaan Irfan yang sudah pun dimasukkan ke wad. Seluruh wajahnya berbalut, leher patah dan begitu juga kakinya cedera teruk akibat dipukul.
Salah satu tangannya disimen. Dia tidak dapat bergerak langsung, hanya matanya sahaja yang memandang Puan Suriati yang datang menjenguk.
“Fan… kenapa ni? Apa dah jadi pada kau?”
“Puan, Irfan tak boleh bercakap… Biarkan dia berehat.” kata Airiel.
“Kau diam! Aku tak tanya kau, bodoh!” sergah Puan Suriati, suaranya perlahan tetapi riak mukanya menunjukkan kemarahan yang amat sangat.
Airiel diam. Dia rasa menyampah dan meluat melihat Puan Suriati yang terus garang dan marah walaupun dia hanya memberi nasihat.
Irfan memandang ibunya dengan pandangan sayu. Irfan tahu dia kini tak ubah seperti mumia. Hanya nampak dua biji mata. Bibirnya bengkak akibat ditumbuk bertubi-tubi. Lima orang lelaki yang mengepungnya semasa dia hendak masuk ke kereta malam semalam tidak mungkin akan dilupakannya seumur hidup.
Lelaki itu mengheretnya masuk ke dalam sebuah van yang memang sedia menunggu. Dia yang separuh sedar dibawa ke pinggir Jalan Mahameru selepas ditumbuk bertubi-tubi secara bergilir-gilir di satu tempat yang tidak diketahuinya. Semasa dia tiba di tempat seperti gudang lama itu, dia menemui seorang lelaki yang tidak dikenali.
“Kau kenal perempuan ni?” tanya lelaki itu sambil menunjuk ke arah gambar seorang perempuan di bawah cahaya lampu yang bawah.
Dia memang kenal perempuan itu. Namanya Suzy. Dia tidak tahu nama sebenar. Hanya Suzy. Dia berkawan dengan Suzy lebih kurang tiga bulan. Selepas itu dia meninggalkan Suzy. Dia tidak melayani Suzy lagi selepas dia puas mendapat apa yang diingininya daripada perempuan itu. Dia mencari perempuan lain pula…
Dia tidak tahu apa yang terjadi pada Suzy selepas itu.
Irfan tidak menjawab. Dia hanya mencebikkan bibirnya.
“Aku abang Suzy,” kata lelaki itu sambil memegang wajahnya dengan hanya sebelah tangan. Rahangnya dicengkam kuat.
“Adik aku bunuh diri! Dia mati sebab tak tahan tanggung malu. Dia mengandung, kau tahu tak? Kenapa kau tinggalkan dia?”
Irfan terkejut.
“Saya tak tahu!” jawab Irfan mulai rasa takut.
“Oooo… Kau tak tahu ya? Kau ni memang jantan tak guna. Suka mainkan hati dan perasaan orang. Aku mesti balas dendam atas kematian adik aku!” Dia memberi isyarat pada empat lelaki bersamanya supaya memukul Irfan yang terikat di kerusi.
“Habiskan dia?” tanya temannya sambil terus mengepal penumbuk. Sementara dua orang lagi memegang belantan bersedia hendak memukul kaki dan tangan Irfan.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang telah memukul Irfan? Adakah ia perbuatan Leo/Zakuan?
Share this novel