Bab 10

Romance Series 72307

BIBIR tersenyum sendiri sambil menatap seraut wajah yang sedang lena di sisinya itu. Perlahan tangannya naik mengusap pipi Hayyan. Sayangnya dia pada lelaki ini hanya ALLAH yang tahu.

“Rhea sayang abang,” ucapnya perlahan. Walaupun dia tahu Hayyan tak akan dengar, dia tetap mahu mengucapkan lafaz cinta itu.

Wajah dirapatkan dengan wajah Hayyan. Puncak dahi Hayyan dikucup sayang. Perlahan-lahan Rhea mengalihkan tangan Hayyan yang melingkar di pinggangnya.

Selama tiga tahun ini, ini kali pertama dia tidur nyenyak. Fikirannya yang selama ini memberat dengan pelbagai rasa menjadi tenang. Benarlah, Rhea tidak perlukan ubat lain. Dia cuma perlukan Hayyan.

Dengan berhati-hati Rhea turun daripada katil. Dia tidak mahu mengejutkan Hayyan yang sedang nyenyak tidur itu. Jam baru menunjukkan pukul empat pagi tapi Rhea perlu bangun dan kembali ke bilik Armel. Dia bimbang jika Armel mencarinya nanti. Ya lah, ini kali pertama dia meninggalkan Armel tidur sendirian di biliknya.

Sempat Rhea mengerling sekilas ke arah Hayyan. Dia nampak tubuh lelaki itu bergerak. Cepat-cepat dia melangkah keluar meninggalkan bilik.

SAYUP-SAYUP suara azan subuh daripada masjid menyedarkan Hayyan daripada tidurnya. Dia mengeliat perlahan.

Tangan meraba tilam di sebelahnya. Kosong. Mata yang masih mengantuk itu terus terbuka segar. Dahinya berkerut halus. Bukan ke malam tadi Rhea tidur di sebelahnya? Kemana pula isterinya itu pergi?

Hayyan bangun daripada pembaringannya. Selimut diselak. Dia termanggu sendiri. Mengingat kembali perbualannya dengan Rhea malam tadi buatkan dia meraup kasar wajahnya. Entah apa yang merasuk fikirannya sehingga dia meminta mereka berpisah.

Mengenangkan pengorbanan wanita itu menjaganya selama ini buatkan dia sedar betapa beruntungnya dia memiliki isteri seperti Rhea. Tapi Hayyan tak boleh menipu dirinya. Orang yang dia cinta ketika ini adalah Trisha.

Dia senang Rhea berada di sisinya tapi dia tak mampu memaksa dirinya untuk menerima dan mencintai wanita itu selayaknya seorang isteri.

“Ya ALLAH, bantulah hamba-Mu ini.” Wajah diraup perlahan. Sungguh fikirannya sedang bercelaru saat ini. Macam-macam yang bermain di dalam kepalanya.

SELEPAS menyiapkan tempahan kek pelanggannya, Rhea terus memandu keretanya menuju ke rumah Jauriah. Tadi kakak iparnya menghubunginya memaklumkan ibu mertuanya itu jatuh tangga.

Walaupun Rhea tahu wanita itu tidak akan senang dengan kehadirannya, dia tetap mahu pulang menjenguk Jauriah. Walau bagaimanapun layanan yang dia terima, hakikatnya wanita itu tetap ibu mertuanya.

“Assalammualaikum.”

Jauriah tarik muka kelat bila nampak Rhea di muka pintu. Meluat!

“Waalaikumsalam,” jawab Hayati. Dia bangun daripada sofa dan menuju ke pintu utama. Menyambut kedatangan adik iparnya itu.

“Mak macam mana?” soal Rhea risau. Tangan Hayati disalam hormat.

“Kaki mak bengkak. Nampak macam terseliuh,” balas Hayati. Kalau dia ada tahu memandu, dah lama dia bawa Jauriah ke klinik.

Tapi dia tidak tahu memandu. Lesen motosikal adalah. Takkan dia nak bawa Jauriah ke klinik naik motosikal. Sebab tu lah dia telefon Rhea meminta pertolongan. Nak hubungi Hayyan, adiknya itu sedang bekerja. Takut menganggu pula nanti.

“Mak...” Rhea menghampiri Jauriah yang sedang duduk di sofa itu. Tangan dihulur mahu bersalaman dengan wanita itu.

Hulurannya disambut acuh tak acuh saja. Pandang muka Rhea pun dia tak sudi. Lebih rela palingkan wajah ke arah lain daripada memandang muka menantunya itu. Entah apa yang membuatkan dia benci sangat pada Rhea.

Rhea duduk di sisi kaki Jauriah. Belum sempat tangannya mahu menyentuh kaki wanita itu, tangannya sudah ditepis kasar oleh Jauriah. Membuatkan dia tersentak.

“Jangan sentuh! Kaki aku ni sakit.”

“Maaf mak.” Laju bibir itu mengucap kata maaf.

“Bengkak kaki mak ni. Kita pergi klinik nak?” ajak Rhea.

“Setakat nak bawa aku ke klinik kerajaan, tak payahlah Rhea. Letih aku nak menunggu nanti. Kaki aku ni dah lah sakit.”

“Kalau macam tu, kita pergi klinik swasta.”

“Tak payah! Aku tunggu Hayyan dengan Trisha datang je. Kau tu bukannya ada duit sangat. Nanti tak cukup duit pula nak bayar duit rawatan aku. Aku juga yang tanggung malu nanti,” selar Jauriah .

Rhea mengetap bibirnya. Hatinya memalu pilu. Tipulah andai dia tidak terasa langsung dengan kata-kata wanita itu.

“Mak,” tegur Hayati. Dia yang baru keluar daripada dapur itu terkejut mendengar kata-kata Jauriah pada Rhea.

Rhea hanya mampu tersenyum. Apa lagi pilihan yang dia ada? Lagipun ini bukan kali pertama dia kena begini.

“Mak nak makan dulu? Rhea ada masakkan sup ayam untuk mak.”

“Tak payahlah. Sekejap lagi aku nak ajak Trisha bawa aku pergi makan dekat kedai yang lagi sedap. Tak ada selera aku nak makan lauk-lauk biasa ni.”

Tubir mata Rhea terasa hangat. Dia senyum lagi. Beruntungnya menjadi Trisha... Trisha tak perlu buat apa-apa pun untuk mendapat tempat di hati wanita itu. Sedangkan dia, macam-macam dia lakukan untuk mengambil hati wanita itu tetapi tetap tidak dihargai.

“Takpalah Rhea. Kalau mak tak nak makan, biar along je makan. Along pun dah lama tak makan masakan Rhea. Mesti sedap macam selalu,” celah Hayati.

Terubat hati Rhea mendengar kata-kata Hayati. Dia tahu kakak iparnya itu cuba memujuknya.

Tidak lama kemudian, bunyi enjin kereta kedengaran di luar rumah.

“Assalammualaikum.”

Rhea langsung menoleh ke muka pintu. Riak wajahnya terus berubah bila nampak Trisha memegang lengan Hayyan. Erat sekali.

Pandangan matanya dan Hayyan saling beradu buat seketika. Hayyan tergamam melihat Rhea. Dia tidak tahu Rhea ada di sini. Nak cepat masuk ke dalam rumah sampai tak perasan kereta milik isterinya itu ada di luar rumah.

Hayyan menepis perlahan tangan Trisha yang erat memegang lengannya tadi. Roman wajah Trisha langsung berubah.

“Mak.” Trisha segera menghampiri Jauriah.

“Trisha, sakit kaki mak ni,” adu Jauriah.

“Ala kesiannya mak... Jom kita ke klinik,” ajak Trisha.

Hayati mencebikkan bibirnya. Daripada awal dia memang tak berkenan dengan perangai Trisha. Tapi nak buat macam mana, Jauriah sayang sangat pada gadis itu.

Hayyan masih memandang ke arah Rhea tanpa sepatah kata. Entah mengapa dia jadi serba salah melihat riak wajah isterinya itu. Lagi-lagi bila Rhea nampak Trisha memegang lengannya tadi. Tentu isterinya itu terluka.

“Hayyan, jom bawa mak ke klinik.” Suara Trisha menyentakkan Hayyan.

Pandangan terus dialih ke arah Trisha dan Jauriah. “Err... Ya.” Hayyan mendapatkan Jauriah. Tubuh maknya itu dicempung masuk ke dalam kereta Trisha. Ya, mereka datang ke sini tadi dengan kereta Trisha.

Rhea hanya mampu memandang mereka bertiga masuk ke dalam kereta. Sedangkan dia ditinggalkan terkulat-kulat di sini tanpa sepatah kata. Sakitnya...

“Rhea, along minta maaf bagi pihak mak,” ucap Hayati. Bukannya dia tak nampak Rhea terluka walaupun senyuman tak lekang di bibir adik iparnya itu. Senyuman mungkin boleh dipalsukan tapi tidak pandangan mata. Melalui pandangan matanya, Hayati sudah dapat membaca hati wanita itu.

Rhea menggeleng perlahan. “Tak ada apalah along. Jangan risau. Mungkin mak lebih selesa dengan Abang Hayyan.”

“Rhea...” Hayati terus mendapatkan Rhea. Tubuh Rhea dipeluk erat seakan memberi kekuatan.

Air mata Rhea tumpah juga. Dia menangis tanpa suara.

“Rhea okey,” balas Rhea. Nada suaranya bergetar menahan sebak.

Hayati mengusap perlahan belakang tubuh Rhea. Kuatnya wanita ini. Andai dia yang berada di tempat Rhea belum tentu dia boleh menjadi sekuat Rhea.

Moga ada sinar kebahagiaan buat wanita bernama Rhea Azra suatu hari nanti...

Happy reading!

Share this novel

Siti Rohani Idris
2023-11-21 11:07:10 

please update again soon


NovelPlus Premium

The best ads free experience