Bab 4

Mature Content Series 167

Semangat Alif Najmi membuak-buak sejak pagi lagi. Hatinya tidak sabar menunggu malam menjelma. Semalam lagi dia sudah merancang untuk berjumpa dengan Sham, pemilik gerai Syam Burger Corner (SBC).
Setibanya di rumah, Alif terus merebahkan badan ke atas katil. Rasanya waktu berjalan begitu perlahan. Malam ini, dia bertekad untuk lepak di SBC. Bukan untuk menikmati burger — tetapi untuk melihat Sham, satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya yang telah lama dikunci.
Tepat jam 8:30 malam, Alif menapak menuju ke gerai dengan hati berbunga-bunga. Tiba-tiba, iPhone 15 miliknya bergegar, menari-nari sambil mendendangkan lagu "Iris".
Melihat nama Farez tertera di skrin, Alif hanya membiarkan. Dia terus aktifkan mod senyap — biarlah Farez pula merasa bagaimana perasaannya setiap kali panggilan tidak dijawab.
________________________________________
“Eh bro, kenapa tak call je kalau nak burger? Budak saya boleh hantarkan.” tegur Sham sebaik ternampak kelibat Alif.
“Tak apa, saya sorang-sorang kat rumah pun. Kat sini boleh juga teman berborak.” jawab Alif sambil menghulurkan tangan.
“Maaf bro, tangan saya kotor.” jawab Sham, menunjukkan tapak tangannya yang masih bersalut minyak dari kuali.
Alif menarik semula tangannya perlahan. Ada rasa kecewa yang sukar dijelaskan — tangan yang ingin dihulur bukan untuk bersalaman semata-mata, tetapi sebagai tanda dia sedang membuka ruang hatinya.
________________________________________
“Bro nak burger apa?” soal Sham, kembali kepada rutin.
“Double daging special… dengan air ‘Love You’.” jawab Alif, separuh gurauan, separuh mencuba nasib.
“Apa?” soal Sham, seakan terkejut.
Sebenarnya Sham dengar jelas. Mujur Aiman tiada ketika itu — kalau tidak, mahu dicanangnya satu kampung. Alif cepat-cepat menarik balik kata-katanya.
“Tak ada apa… saya gurau je.” balasnya.
Sham nampak merah di telinga. Alif yakin — reaksi itu bukan biasa. Kalau benar tiada apa, tentu Sham akan tergelak. Tapi kali ini lain. “Mungkin aku tak bertepuk sebelah tangan…” detik Alif.
________________________________________
“Aiman mana?” Alif mengalih topik.
“Bro, nak tahu? Aiman tu ‘manager besar’ kat sini. Sebelum pukul 9, jangan harap nak nampak bulu hidung dia. Entah apa dia buat kat rumah tu, aku pun tak tahu. Nak kata ada bini, nenek kebayan pun tak lalu dengan budak tu.” jawab Sham selamba.
“Amboi, amboi, amboi!” tiba-tiba muncul suara Aiman. “Suka hati kau je kan mengumpat aku? Kau tahu tak, mengumpat tu lebih berdosa dari berzina?”
Aiman terus melancarkan khutbah:
“Rasulullah S.A.W bersabda: ‘Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang yang berzina apabila dia bertaubat, Allah akan ampunkan. Tetapi orang yang mengumpat tidak akan diampunkan sebelum orang yang diumpat memaafkan.’”
“Dan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12: ‘Janganlah sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah kamu makan daging bangkai saudaramu sendiri?’”
Aiman siap berlagak seperti khatib. Alif menahan senyum.
Sham pula sudah tergolek ketawa. “Alhamdulillah, sejuk hati aku ada sepupu macam kau, Syeikh Maulana Al-Buaya Darat Aiman. Sejak bila kau jadi pengganti Ustaz Kazim? Nak masuk Pencetus Ummah ke lepas ni?”
Aiman menjeling. “Kau ingat kepala gila-gila aku ni tak tahu hukum? Lain kali pandang aku dengan mata hati, baru kau tahu suci murninya jiwa aku ni.”
________________________________________
Alif hanya tersenyum melihat gelagat dua sepupu itu. Memang sesuai sangat mereka bekerja bersama — perangai gila-gila, tapi saling melengkapi.
“Mak cik, slow sikit! Ada yang muka terbakar nanti sebab aku goreng atas kuali burger ni!” ugut Sham.
“Apa kau ingat aku ikan siakap ke nak digoreng?” balas Aiman.
“Kalau kau siakap, aku masak tiga rasa. Tapi bila aku tengok muka kau… lebih macam ikan mayong. Buat asam pedas sedap ni. Boleh jamu satu taman!”
“Banyak la kau punya ikan mayong.” Aiman sudah tergelak besar.
________________________________________
Sham memang pandai ambil hati. Walaupun Aiman masih terbakar kerana tidak dijemput dari rumah tadi, dia akhirnya cair juga.
“Man, nah minum dulu.” kata Sham sambil hulur dua gelas air.
“Eh! Kau buta ke? Dua gelas Coke ni nak potong kaki aku ke?” Aiman memeluk lutut sambil berpura-pura takut.
“Kau ni kenapa bongek sangat! Tu untuk pelanggan la! Kalau aku nak potong kaki kau, bukan guna air — guna ni.” kata Sham sambil mengangkat parang panjang yang disediakan untuk keselamatan gerai.
“Mak aii, yang ni jangan buat main-main, tempat dia bawah meja tu, cepat simpan! Gurau je pun.” Aiman lari duduk ke meja.
________________________________________
“Eh bro, apa mimpi datang malam-malam ni?” soal Aiman, perasan niat Alif lain macam.
“Tak ada apa… ambil angin je. Dapat la ushar-ushar minah kolej depan tu.” jawab Alif selamba, walau niat sebenar adalah usha bos gerai.
Aiman menjeling. “Nak ushar minah kolej ke… nak ushar bos saya?”
“Man! Tolong beli tisu kejap!” jerit Sham menyelamatkan keadaan.
Alif menarik nafas lega. “Fuh… macam mana dia tahu? Aiman ni bela hantu raya ke apa?”
________________________________________
“Bro, burger dah siap. Makan sini je lah.” kata Sham.
“Memang saya nak makan sini pun. Boring kat rumah. Kat sini, boleh juga tolong sikit-sikit.”
“Oh, boleh sangat. Bukan senang dapat pekerja percuma.” jawab Sham sambil ketawa.
Alif tersenyum. Kalau ikut hati, tiap malam aku nak lepak sini.
________________________________________
“Dah lama bro sewa kat sini?” soal Sham.
“Agak lama… tapi saya jarang keluar.”
“Lepas ni lepak la sini selalu. Saya pun selalu sorang kat gerai ni. Aiman asyik hantar tempahan. Ada juga teman borak kalau bro ada.”
“InshaAllah.” jawab Alif. Hatinya mekar. Mungkin inilah yang dinamakan cinta…
________________________________________
Tiba-tiba, sebuah kereta Satria GTi berhenti di hadapan SBC. Alif kenal sangat — Farez.
“Lif, apasal tak jawab call aku?” jerkah Farez sebaik turun.
“Assalamualaikum bro, rileks la… duduk minum dulu.” sambut Sham selamba.
“Eh, kau ada call ke? Silent kot.” Alif berpura-pura memeriksa telefon.
“Ak, ah tersilent la, tadi ingatkan aku dah on notification, rupanya aku matikan isyarat gentar.” Kata Alif. Sengaja membuat cerital, padahal dia yang matikan isyarat gentar.
“Jom ikut aku kejap. Ada hal sikit. Urgent.” kata Farez sambil menarik tangan Alif.
“Kot ya pun, minum la dulu. Tak nampak ke aku tengah makan ni.” jawab Alif, cuba melengahkan.
“Tapau je lah. Jom cepat!”
Terpaksa juga Alif ikut bila Farez menarik tangannya macam ibu tarik anak.
________________________________________
“Sham! Saya gerak dulu ya. Esok saya bayar. Kawan ada hal penting.” jerit Alif sambil berlalu.
Sham hanya mengangkat ibu jari.
Kereta Satria GTi terus membelah malam. Ke mana? Alif pun tak pasti...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience