Bab 18

Romance Series 105910

Tuan Nabihah memandang wajah Juwita. Jelas sekali Juwita nampak gelisah ditempat duduknya. Walaupun sering mendengar cerita mengenai Juwita, namun belum pernah sekalipun mereka bertemu. 

"Maaf kalau Haris buat Juwita rasa tak selesa. Tapi aunty dan uncle ada perkara yang perlu dibincangkan dengan Juwita." Juwita masih kaku. Tangan Juwita diraih lalu diusap dengan penuh kasih sayang.

"Ni mesti Haris takutkan Juwita pasal gosip tu, kan?" Tuan Nabihah cuba menembak. Dia tahu bagaimana Haris gemar menyakat Juwita. Dari dulu lagi, jika Haris bercerita pasal Juwita pastikan takkan lepas cerita mengenai dia mengenakan gadis itu.

"Hari ni Ju ambil half day tanpa record ye. Saya betul-betul perlukan bantuan Ju." Akhirnya Tuan Mansur bersuara. Juwita terkebil-kebil. Masalah apa pula yang akan timbul kali ni. Dia mula tak sedap hati.

Tuan Mansur memandang Tuan Nabihah. Seakan mengharapkan sedikit kekuatan dari isterinya itu. Tuan Nabihah mengangguk. Tangan suaminya digenggam erat. Sekeping gambar Tuan Mansur serahkan kepada Juwita.

Terkebil-kebil Juwita memandang. Dia tidak mengerti mengapa gambar itu berada di dalam simpanan Tuan Mansur. Lama dia memandang Tuan Mansur, mengharapkan penjelasan mengenai gambar itu.

"Ju kenal siapa dalam gambar tu?" soal Haris lembut. Dulu dia sering melihat nendanya memeluk gambar itu. Ketika itu dia sendiri tak tahu siapakah gerangan wanita berkebaya nyonya itu. Juwita mengangguk sebagai jawapan kepada soalan Haris.

"Ni ibu aku." Sesaat, dua saat, akhirnya air mata Tuan Mansur menitik.

"Tak salah apa yang saya rasa selama ni Ju. Ingat tak saya selalu cakap wajah awak selalu mengingatkan saya pada seseorang?" Juwita angguk. Mana mungkin dia lupa kalau saban kali dia bertemu dengan bosnya itu, dia akan dihidangkan dengan ayat yang sama.

"Ini Tuan Zaitun Zalila Binti Tuan Mansur Shah. Saya, Tuan Mansur Ilyas Bin Tuan Mansur Shah." Entah mengapa Juwita tergamam. Mulutnya yang sudah melopong segera ditutup dengan kedua belah tapak tangannya. Kenapa selama ini dia tidak perasan nama Tuan Mansur berbinkan sama dengan nama ibunya dibintikan.

"Ibu, tak ada adik beradik ke?" Ketika itu Juwita sudah menginjak usia lima belas tahun. Rambut Juwita  panjang dan sedikit kerinting dihujungnya diusap lembut oleh Zaitun. Wajah itu tak penah lekang dengan senyuman.

"Ada. Ibu ada dua orang adik kembar. Kembar sepasang. Macam Idi dengan Ida." Ada nada sayu di situ. Juwita pantas menoleh memandang Zaitun.

"Tapi, kenapa Ju tak pernah jumpa mereka?" Juwita penasaran. Ada keluhan di bibir Zaitun.

"Ju, bukan ibu tak nak kenalkan dengan adik beradik ibu. Ibu nak sangat. Tapi ibu tak mampu nak buat macam tu. Bukan salah mereka. Semua salah ibu. Tapi ibu yakin dan percaya satu hari nanti kami akan bertemu semula." Zaitun mengoyak senyuman dalam kepayahan.

Ye... Juwita masih ingat cerita itu. Tentang kewujudan adik beradik ibunya namun, dia tak sangka akan bertemu seperti ini. Malah dia sendiri tidak tahu kisah disebaliknya.

"Jadi Tuan Mansur ni, adik ibulah? Ada lagi sorang, kan?" Tuan Mansur mengangguk.

"Uncle dah lama cari ibu Ju. Kami hilang jejak sejak ibu Ju berhijrah keluar dari Malaysia." Juwita garu kepala.

"Ju tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ju cuma tahu yang ibu masih ada adik tapi siapa, Ju tak tahu. Cuma yang Ju tahu, ibu sangat yakin satu hari nanti dia akan bertemu semula dengan adik dia. Sekarang ni bukan dia yang jumpa, tapi Ju." Juwita ketawa kecil. 

"Ibu tak pernah ceritakan sebab apa?" Juwita menggeleng.

"Walau seribu kali pun Ju tanya, jawapan ibu tetap sama. Salah ibu. Sampai kekadang tu arwah baba marah ibu sebab ibu selalu salahkan diri sendiri." Lancar saja mulutnya bercerita.

"Uncle nak minta tolong boleh?" soal Tuan Mansur. Dia sangat mengharap Juwita sudi membantunya. Dia sudah tidak sanggup memegang amanat ini terlalu lama. Dia perlu sampaikan amanat ibunya kepada Zaitun.

Zaitun anak beranak perlu mendapat hak mereka yang sepatutnya. Mujur saja Tuan Nabihah sering menyokong tindakan Tuan Mansur.

Walaupun perkahwinan mereka adalah perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Namun, mereka tetap hidup harmoni dan bahagia. Tapi adat berumahtangga, pasti ada pasang surutnya. Itulah adalah fitrah yang tak mungkin mampu mereka elakkan. 

"Tuan Mansur nak saya tolong apa?" Entah mengapa terhambur ketawa Haris. Mencuka wajah Juwita mendengar ketawa Haris. Entah apa yang lucu pun dia tak tahu.

"Kalau dah papa ni adik ibu kau, kenapa panggil Tuan Mansur lagi?" soal Haris seolah-olah menjawab persoalan mengapa dia ketawa. Juwita tersengih lalu menunduk. Hujung kening kanannya yang tidak gatal digaru. Tuan Mansur dan Tuan Nabihah turut tersengih.

"Sorry. Ju tak biasa. Tapi Ju cuba ye." Haris menepuk lembut kekura tangan Juwita. Tergamam seketika Juwita dibuatnya.

"Ju minum petang dekat sini boleh? Nanti petang, minta Haris hantar Ju balik." Juwita terdiam seketika. 

"Hmmm... bukan tak sudi tapi, kereta Ju ada dekat office. Kalau Haris hantar Ju balik, esok macam mana Ju nak pergi kerja?" Jelas riak kecewa di wajah Tuan Mansur dengan penolakan Juwita.

"Sebenarnya uncle nak jumpa ibu Ju." Terus terang diucapkan. Dia tidak mampu membendungnya lagi. 

Juwita garu kepala. Tapi tidak lama selepas itu dia tersenyum. Pasti ibunya gembira apabila bertemu dengan Tuan Mansur dan tanpa sedar, Juwita bersetuju dengan usul Tuan Mansur. Jawabnya esok kena naik grablah. Tak pun, buat muka tak malu tumpang Si kurita tu.

"Uncle dengan aunty nak keluar pergi ambil baju aunty sekejap. Ju duduk sini dulu ye. Buat macam rumah sendiri." Tuan Mansur sudah angkat punggung apabila Juwita kelihatan gelisah.

"Ju ikut sekali boleh tak?" Juwita kelihatan salah tingkah. Tuan Nabihah memandang Juwita penuh makna. Seakan faham dengan kegelisahan yang melanda hati Juwita.

"Ju jangan risau. Mak Leha ada dekat dapur. Mak Leha tu pembantu rumah kami." Juwita melepaskan nafas lega.

"Aunty pergi sekejap je. Sepatutnya esok aunty ambil baju tu, tapi tadi kawan aunty call minta datang hari ni sebab esok dia ada urusan penting." Juwita menggangguk mengerti.

Tidak lama selepas mereka keluar, Juwita mula meneroka ruang tamu banglo itu. Kelihatan sebuah kolam renang yang terletak di tepi kanan rumah itu. Terus Juwita melangkah ke sana. Dia melangkah menuju ke gazebo yang terletak berhampiran kolam renang itu.

Termenung dia memikirkan apa sebenarnya yang berlaku pada ibunya selama ini. Kenapa sampai ibu terpaksa berpisah dengan keluarganya? Kenapa ibu sering menyalahkan dirinya sendiri? Persoalan itu hanya ada jawapan pada ibu dan dia nekad dia akan menuntut jawapan pada setiap soalannya.

"Jauhnya menung." Teguran Haris membuatkan Juwita kembali ke alam realiti. Di tangannya terdapat beberapa buat album. Juwita jungkit kening.

"Album lama. Nak tengok?" Buntang mata Juwita. Terus dia teruja. Album di tangan Haris segera dicapai.

"Ini siapa?" Juwita memandang gambar seorang wanita di muka depan album yang diselaknya.

"Ini arwah nenda." Lama Juwita merenung gambar itu.

Wajahnya anggun. Terserlah sifat tegas dari raut wajah itu. Malah jelas terpancar keangkuhan juga. Segera Juwita beristifar.

"Papa cakap, arwah nenda dulu tegas orangnya. Semua benda dia nak atur sehinggakan jodoh anak-anak pun dia yang akan atur." Haris mula berbicara. Lama dia merenung gambar itu.

"Nenda pergi masa aku tingkatan empat. Aku ingat lagi, masa tu nenda selalu sebut nama Zaitun. Aku tak tahu siapa Zaitun. Papa pun tak pernah cerita walau berkali aku tanya. Kalau kau nak tahu, album-album ni pun papa sorok. Papa cuma pernah cakap sejak kakak papa keluar dari rumah ni, nenda tak mahu tengok lagi album-album lama."

Jeda...

Haris menarik nafas dalam. Cuba mengingati memori lama.

"Gambar yang papa tunjuk tadi, itulah satu-satunya gambar yang nenda selalu cium masa dia sakit." Ada nada sebak di situ. Haris kelihatan menahan air mata.

"Seminggu sebelum nenda meninggal, nenda minta aku temankan dia setiap kali balik sekolah. Nenda cakap, dia rindu Zaitun. zaitun tu mak kaulah kan?" Haris ketawa cuba menghilangkan suasana sayu diantara mereka.

"Kau tahu sepanjang seminggu tulah aku selalu dengar nenda puji ibu kau. Dia kata ibu kau baik. Tapi nenda selalu pentingkan diri sendiri sampai nenda tergamak abaikan kebahagiaan anak-anak."

"Nenda atur jodoh buat ibu kau, tapi ibu kau berkeras menolak jodoh yang nenda atur kerana ibu kau terlalu cintakan baba kau. Tapi siapa sangkakan, jika sudah tertulis bukan jodoh memang takkan bersatu." Juwita menanti penuh sabar. Mengharapkan Haris terus bercerita.

"Malam sepatutnya ibu kau dinikahkan dengan pilihan nenda, lelaki itu tak muncul. Nenda dapat malu besar. Ada yang kata lelaki tu tak muncul sebab ibu kau dah terlanjur dengan lelaki lain." Haris telan air liur. 

Terasa perit menceritakan apa yang pernah diceritakan oleh nendanya apatah lagi melibatkan maruah seseorang.

"Ibu kau menangis berminggu-minggu sebab kecewa. Nenda tak percayakannya. Sampailah satu hari, ibu kau minta baba kau jumpa nenda. Kerana malu dengan cerita yang tersebar, nenda nikahkan mereka dan halau ibu kau keluar dari rumah ni."

"Nenda buang nama ibu kau dari wasiatnya. Kata nenda, dia tak mengaku ibu kau tu anak dia. Nenda sampai haramkan kaki ibu kau jejak rumah ni sekalipun nenda dah tutup mata. Tapi saat kebenaran terbongkar, rupanya lelaki itulah yang banyak menjahanamkan hidup perempuan lain." Haris tersandar lesu. Matanya dipejam rapat.

"Lelaki itu jugaklah yang telah merosakkan hidup Tuan Zalilah Zarina. Dia yang berniat memecah belahkan keluarga nenda kerana ingin bolot segala harta nenda. Tapi belum pun sempat semua tu terjadi, nenda ubah wasiat saat-saat akhir. Dan pesan nenda supaya papa tak berhenti menjejak kau sekeluarga." Juwita terdiam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience