Prolog

Romance Series 20066

DAMIA mengelak pandangan suaminya sebelum kembali bersuara, "Abang, saya dah penat tau hidup miskin macam ni. Saya tak sukalah hidup macam ni lagi-lagi lepas budak cacat tu lahir!" Jari telunjuk Damia tepat menghala ke arah bayi yang sedang tidur di atas katil itu.

"Damia! Cukup!" Syafiq menempik tepat ke arah muka Damia yang mampu membuatnya tersentak.

Tempikan yang kuat itu membuatkan bayi kecil itu mulai menangis. Terjaga kerana ibu dan ayahnya yang galak bertengkar dan bertekak pada pagi buta itu.

Syafiq terus meluru ke arah anaknya dan menggendongnya. Dia menepuk-nepuk belakang badan anaknya untuk cuba menidurkannya semula.

Damia pula memasang muka jengkelnya melihat itu, lalu terus dia pergi ke arah almari yang tersimpan pakaian-pakaian miliknya. Sebuah beg bagasi dibuka dan dimasukkan pakaian-pakaiannya itu ke dalamnya.

"Sayang, sayang nak buat apa tu? Tak dengar ke yang Faliq tengah nangis ni?" Syafiq masih menggendong untuk memujuk anaknya itu agar berhenti menangis tetapi tetap gagal.

Damia memekakkan telinganya dan terus memasukkan barang-barang keperluan yang lain ke dalam beg bagasi itu.

Dia menutup beg bagasinya itu menandakan tugasnya sudah selesai. Beg bagasi itu ditarik tanpa menghiraukan suami dan anaknya yang masih menangis.

"Sayang nak pergi mana?" Syafiq bertanya lagi.

"Saya nak keluar dari rumah ni," jawab Damia yang terkaku langkahnya.

"Habis, Faliq? Sayang nak tinggalkan abang dan Faliq macam ni? Sayang tahu tak yang Faliq baru je tiga bulan? Sayang ni ibu dan isteri jenis apa ha?" Semakin marah Syafiq dengan kelakuan Damia yang keterlaluan itu.

"Selama ni sayang balik lambat setiap malam, abang tak pernah kata apa pun. Abang sabar je dengan perangai sayang. Tapi perbuatan sayang kali ni memang betul-betul melampau!" sambung Syafiq. Tangisan Faliq makin deras dan kuat tak mampu Syafiq tenangkan.

Damia menguatkan dirinya bertentang mata dengan suaminya itu. "Abang yang nakkan anak sangat, jadi abanglah yang jaga. Lagipun dulu sembilan bulan 10 hari saya mengandungkan budak tu, penat lelah, pitam mual semua saya tanggung. Jadi sekarang giliran abanglah pulak sebab abang yang beria nakkan anak sangat, kan."

Kurang ajar!

Itu sahaja perkataan yang sesuai menggambarkan sikap Damia ketika itu. Jika lelaki di hadapannya itu bukan Syafiq, sudah pasti dibelasah sampai mati Si Damia itu. Tetapi mujurlah lelaki bernama Syafiq Aiman itu memang dikenali dengan sikap sabarnya itu.

"Tapi kita dah pernah berjanji nak jaga anak ni sama-sama. Sayang pernah kata kan, yang Faliq ni tanda cinta kita masa sayang mengandung dulu. Sayang tak ingat ke?" Syafiq cuba menenangkan diri.

"Tak! Tu dulu. Sekarang lain. Dulu saya ingat budak tu akan lahir dengan sempurna macam anak orang lain tapi tengok, budak tu dilahirkan buta. Saya malu tahu tak!" bentak Damia.

Terkejut dengan jawapan biadab Damia itu membuatkan Syafiq tersedu-sedan.

"Budak ni nama Faliq. Faliq ni anak kita. Sayang yang lahirkan dia. Dia buta atau tak, dia tetap anak kita." Syafiq mengelus-elus lembut kepala Faliq biarpun tangisan semakin menjadi-jadi.

Malas layan, Damia terus berjalan keluar dari bilik dengan menarik bagasinya. Sikap degilnya tu, mahu cakap apa pun memang tak akan jalan.

"Sayang ... sayang!" Syafiq mengejar Damia sambil menggendong Faliq. Masih tidak menyangka dan menerima isterinya sanggup berbuat demikian.

Pintu rumah dihempas dengan kasar. Si isteri melangkah laju keluar daripada 'neraka' itu. Wajahnya turut tidak menunjukkan sebarang riak. Daripada belakang, si suami pantas memegang erat tangan isterinya.

"Lepaslah!" Si isteri meronta. Akhirnya dirinya berjaya melepaskan diri.

"Sayang tak kesiankan anak kita ke?" rayu si suami walaupun nadanya kedengaran tegas. Si isteri langsung tidak menoleh malahan terus tetap dengan pendiriannya. Maafkan Damia, abang ...

"Nur Damia Qistina!"

Kaku. Damia memberhentikan langkah. Kepalanya ditundukkan.

"Sekali kau melangkah, kau bukan lagi isteri aku!" teriak sang suami. Perasaan sebak mulai menghurungi hatinya. Tanpa Damia sedar, air mata mulai menitis membasahi pipinya namun dibiarkan. Dia tidak mampu menipu dirinya bahawa hatinya masih menyayangi suami dan anaknya.

'Maafkan sayang, abang ...' bisik Damia perlahan lalu menggagahkan diri untuk melangkah pergi. Segala memori manis dia dan suaminya mulai bermain dalam kotak fikiran.

Ah! Biarlah masa yang menjawab tentang jodoh dan kisah cinta kita. Mungkin semuanya ... sampai di sini saja.

"Tak Damia. Jangan pergi."

"Damia."

"Damia!"

KADANG, MEREKA YANG DATANG SEMENTARA ITU LEBIH MENAKUTKAN DARI MEREKA YANG SENTIASA ADA SETIAP MASA.

Thank you kepada yang sudi baca. Insya-Allah author akan update KS setiap hari memandangkan manuskrip dah 80% siap ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience