"Rahadatul Jannah binti Ryzal Fathi." Jawab Rayyan sewaktu ditanya oleh daddy dan mummy akan nama adiknya yang telah dipilih.
"Ayen suka nama tu. Rahadatul tu maksudnya kemakmuran, kebaikan, sesuai lah dengan nama Jannah tu kan mummy? Mummy suka?" Sambung Rayyan lagi.
"Mummy suka. Suka sangat-sangat. Terima kasih sebab pilih nama yang baik-baik untuk adik Ayen." Satu ciuman dihadiahkan pada dahi Rayyan.
"Daddy pun suka nama tu. Pandai Ayen pilih. Terima kasih banyak-banyak Ayen." Puji Ryzal pula.
"Sama-sama mummy, sama-sama daddy." Tangan Rayyan melingkar pada pinggang Myra.
Melihatkan kejadian itu, hati Ryzal sedikit tersentuh. Dia tahu, secara adatnya, dengan umur yang menghampiri 50 tahun, dia yang paling dekat dengan kematian. Takut. Akan tetapi, saat ini, kalau pun ditakdirkan Allah ambil nyawanya, dia reda.
Tiada yang perlu dirisaukan lagi. Rafiq dan Rayhana pasti akan membantu dia menjaga keluarganya. Rayyan pula, satu-satunya hero yang dia ada juga sudah boleh diharapkan untuk menjaga mummy, kakak-kakak dan adiknya.
"Shhhh, Abang Ayen kan ada. Baby jangan lah menangis. Mummy, kenapa ni?" Soal Rayyan dengan nada yang panik apabila tangisan Rahadatul semakin nyaring.
"Pampers dia basah ni. Kena tukar pampers dia dulu." Beritahu Myra.
"Mummy, kakak nak tukarkan. Please!" Rayu Raudhah.
"Mummy Nia pun nak tolong jugak." Rayu Rania.
"Ayen tunggu dekat luar lah. Cukuplah sekali adik terkencing dengan tangan Ayen lepas dia mandi semalam. Tak nak lah Ayen dekat dengan adik dulu sekarang ni. Lepas dia dah siap pakai pampers baru Ayen datang balik. Bye adik." Laju langkah diatur menuju ke luar dari bilik tidur Myra.
"Elok-elok tolong mummy. Tu adik betul-betul. Bukan anak patung tau Raudhah, Nia." Ryzal mengingatkan kedua anak perempuannya.
Semalam, sewaktu Myra di dapur untuk makan tengahari, masing-masing menerpa masuk ke bilik sebaik sahaja terdengar bunyi adik merengek. Masing-masing berebut mahu mengangkat adik dari tempat tidurnya sehingga hampir sahaja terlepas dari pegangan.
Menjerit Ryzal yang sempat melihat kejadian yang mencemaskan itu. Haih, anak-anak. Tidak dapat dibayangkan apa reaksinya jika berlaku perkara buruk itu.
"Ya daddy. Sorry pasal semalam. Kakak dengan Nia akan lebih berhati-hati bila pegang adik." Balas Raudhah.
*****
"Macam mana perasaan awak bila ada adik?" Tanya Ikhwan petang itu sebaik sahaja mereka selesai bermain badminton di halaman rumah Jannah.
"Okey je. Tapi mungkin sebab dia perempuan. Jadi malam-malam dia suka menangis." Balas Rayyan.
"Kalau adik lelaki mungkin tak menangis kot, kan?" Soal Ikhwan lagi.
Rayyan menganggukkan kepalanya.
"Saya rasa macam tu lah. Tapi nak buat macam mana, kalau Allah takdirkan saya dapat adik lelaki. Reda je lah. Nenek cakap, bila dia dah besar sikit mungkin tak menangis.
Daddy pulak cakap, saya kena jaga adik baik-baik. Bukan adik je, kakak-kakak yang dua orang tu, dan mummy jugak. Sebab saya satu-satunya anak lelaki daddy." Terang Rayyan.
Ikhwan pula menganggukkan kepala, tanda bersetuju dengan apa yang diberitahu Rayyan tadi.
"Kiranya, awak dah jadi Super Rayyan lah, kan? Sebab awak kena jaga semua orang dalam keluarga awak. Saya tak ada mak ayah. Tak boleh jadi hero." Ujar Ikhwan dengan suara yang sayu.
"Kenapa pulak, atuk nenek awak kan ada. Awak boleh bantu jaga atuk nenek awak. Lepas tu kan Wan, awak kena selalu doakan supaya ibu awak cepat-cepat sembuh.
Nanti dia boleh balik rumah. Bila dia balik rumah, awak boleh jadi hero untuk tiga orang. Atuk, nenek dan ibu awak. Hmmm, saya bagi awak nama Satria Ikhwan. Kita sama-sama jaga keluarga kita, okey?" Rayyan menepuk bahu Ikhwan perlahan.
"Betul cakap awak Ayen. Saya tak terfikir langsung. Kalau ayah saya tak nak jaga saya, tak nak saya, tak apa. Saya boleh jadi hero untuk saya sendiri lah."
"Betul tu Wan. Jom kita balik mandi dulu. Kalau lambat nanti atuk awak keluar cari awak."
"Jom, esok kita main badminton lagi ya."
"Okey Wan. Assalamualaikum!"
Mereka berdua saling melambai sebaik sahaja Ikhwan mula melangkah untuk balik ke rumahnya.
Enjoy reading! :) Love, N
Share this novel