[Lembah Dalam.]
Semua sedang sibuk bersiap untuk melakukan serangan hendap pada beberapa hari lagi setelah bergabung dengan kumpulan mereka di bahagian selatan. Senjata ditajamkan buat kesekian kali. Beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berlatih kombat dengan tekun.
Adriana melihat kawasan sekitar, terasa sedikit rindu kepada ayahnya. Namun, perasaan sakit dibohongi menyebabkan dia menahan rasa lalu bergerak ke kawasan jauh dari kelompok itu. Dia ingin bersendirian.
Tiberius yang sedang memeriksa beberapa kuda tunggangan memanggil adiknya. "Kau nampak Luciana?"
Gaius hanya mengangkat bahu.
"Kau tengok-tengokkan dia. Keadaan sekarang masih bahaya. Dia masih baru di sini."
Gaius hanya mengangguk dan beredar cepat sebelum pesanan abangnya meleret.
Tiberius tersengih. Bila orang kanannya datang mengkhabarkan sesuatu, wajah serius dipasang.
"Tiberius, kawasan ini..."
Gaius membiarkan mereka berbincang dan pergi ke selekoh dimana dia terlihat Adriana tadi.
Dari jauh, Adriana sedang duduk diam di atas batu. Lutut dibawa rapat ke dada, dengan dagu diletakkan. Matanya merenung tepat ke hadapan.
Gaius tidak pasti apa yang direnungnya. Mungkin wanita itu mengelamun. Rasa ingin memanggilnya pulang terbantut bila dia melihat air mata mengalir di pipi Adriana.
Ini membuatkan Gaius serba salah. Mengapa juga dia tidak ingin dekat dengan wanita itu? Jika disebabkan kematian makcik Aylin, Gaius yakin Adriana juga berasa perih.
Kekesalan menjenguk hati mengingatkan pelbagai kemungkinan.
Gaius mengeluh dan duduk memerhati Adriana dari jauh. Apabila wanita itu kelihatan ingin beredar, dia laju menyembunyikan diri.
Beberapa hari berlalu, esok mereka akan bertolak untuk bergabung dengan kumpulan lain.
Adriana masih seperti hari-hari yang lalu, melayan perasaan di atas batu di dalam hutan. Kepalanya diletakkan di atas lutut, dengan esakan yang samar-samar.
Begitu juga kelibat Gaius, yang tidak jemu memerhatinya dari belakang pokok besar.
****
[Utara Rom.]
"Jangan tergopoh-gapah. Bertenang, Antinous. Aku tahu kau risau."
Antinous menepis tangan Hadrianus yang menepuk bahunya. "Bagaimana dengan siasatan pasukan kau? Kita perlu segera bertindak!"
Mendecit mulutnya mendengar bentakan sahabatnya itu. "Aku juga risau, Antinous! Kau tahu macam mana aku menyayanginya. Adriana tidak akan diapa-apakan. Jika mereka berani menyentuhnya, aku sendiri akan menanam mereka hidup-hidup!"
Fikiran Antinous berkecamuk. Ditolak kawannya menjauh. "Mereka tidak akan mengapa-apakan Adriana. Aku tahu... mereka tahu... kisah enam belas tahun lalu..." Antinous menarik kasar rambut hitamnya.
Hadrianus bungkam. "Apa maksud kau?"
"Seorang perempuan tua menemui Adriana beberapa bulan lalu. Dia menceritakan apa yang terjadi. Dia memberi tahu siapa dia yang sebenarnya."
Antinous menerangkan. Dia terlalu tertekan sejak mengetahui orang-orang dari kumpulan pemberontak berusaha mencari anak angkatnya. Kini, Adriana sudah berada di tangan mereka.
"Jadi kau rasa perempuan tua itu ada kaitan dengan kumpulan pemberontak enam belas tahun lalu?"
"Memang ada kaitan. Dia ibu kandung Adriana, Aylin Idigard." Antinous mengambil nafas, terasa sesak dadanya. "Kau tahu aku sering mengikuti perkembangan kumpulan pemberontak yang tersisa. Aylin Idigard bersama beberapa orang yang terselamat pergi ke perkampungan jauh dari kota utama. Aku baru dapat tahu keberadaan mereka ini selepas mereka keluar untuk menemui Adriana."
"..."
"Tavas telah membunuh Aylin Idigard, dan aku telah mengasapkan bilik Adriana bagi memperdayakannya. Malangnya, dia kembali mengingati peristiwa yang disangka mimpi."
Hadrianus kini tidak senang duduk.
"Ah kenapa Tavas membunuh perempuan tua itu!" Hadrianus tidak berpuas hati.
"Kita tidak punya pilihan, Hadrianus. Jika Adriana mengikutinya malam itu, perjuangan mereka pasti semakin tinggi."
"Oleh itu kau cuba meruntuhkan semangatnya? Membiarkan dia terus tidak mengetahui?"
Antinous tertunduk pasrah. Dia malu dengan pemikirannya. Malu dengan keputusannya. Tetapi dia lakukan apa yang perlu dilakukan, iaitu mengekalkan keamanan Rom. Setidaknya selagi nyawa dikandung badan.
Hadrianus beredar dalam kesal. "Kau hanya mengulang sejarah.", omoknya.
****
[Hispania.]
Hampir seminggu selepas serangan hendap antara kumpulan pemberontak dan pahlawan Rom...
Dikala serangan masih aktif...
"Terima kasih, tuan guru." Antoninus tersenyum lebar. Selebar kesyukuran dibenarkan pulang untuk sementara ke Rom.
Tuan guru yang gigih mengajarnya dari kecil hanya mengangguk dengan senyuman nipis. "Jaga diri kamu, dan teruskan perjuangan."
"Baik."
Antoninus yang sedang sibuk mengemas hadiah-hadiah untuk keluarganya tidak perasan apabila seseorang masuk ke dalam biliknya.
"Kau gembira?"
Antoninus terkejut. "Eh pakcik Plinius!"
Plinius berkata dengan wajah serius, "Kau tidak ingin menangguh kepulangan kau?"
Antoninus menjawab tegas, "Sudah terlalu lama aku di tempat orang."
"Ini juga tempat kau, Antoninus. Kau memang dilahirkan di Rom, tetapi tetap asal kau di Hispania."
Antoninus tidak menjawab dan meneruskan kerja membungkus hadiah.
Plinius merasakan dia tidak sepatutnya merahsiakan hal besar sebegini, walaupun disuruh oleh abangnya. "Antoninus."
Antoninus menghentikan perlakuannya tetapi tidak memandang Plinius.
Plinius menyambung, "Tinggalkan hadiah-hadiah itu, dan bawalah kelengkapan bertarung."
Antoninus laju memandang pakciknya. "Apa yang telah terjadi?"
"Peperangan mengejut telah tercetus. Hadrianus dan Antinous telah memimpin tentera mereka."
Antoninus meneliti wajah serius Plinius. Ini sememangnya bukan gurauan! "Mundi!!"
Mundi berlari masuk ke dalam bilik tuan muda itu. "Ya?"
"Kita bertolak sejam lagi." putus Antoninus. Dia mengawalkan jadual perjalanan yang sepatutnya esok pagi kerana ingin ikut berperang bersama ayah dan saudara angkatnya, Antinous.
Pedang di gapai sebelum tangannya terhenti. "Bagaimana dengan Adriana? Dia baik-baik saja?"
Plinius berdehem. "Melalui perbincangan kami dua minggu lalu, Adriana diculik kumpulan pemberontak itu."
Antoninus berkerut. Patutlah sudah lama surat daripada Adriana tidak kunjung tiba. "Mundi!!"
Mundi berlari masuk buat kali kedua. Langkahnya kurang teratur. "Ya, tuan muda?" disebabkan wajah Antoninus yang kemerahan penuh amarah, dia bersikap formal. Tidak memanggil Antoninus dengan namanya seperti selalu.
"Kita bertolak sekarang!"
Mundi tidak membantah. Pasti sesuatu telah berlaku.Oleh itu dengan pantas dia menyiapkan kelengkapan dan kenderaan untuk mereka balik ke Rom.
Perjalanan pulang tidak mengambil masa lama kerana Antoninus memacu kuda tunggangan dengan kencang.
Mundi yang mengikuti dari belakang terpaksa mengikuti langkah tuan mudanya.
Antoninus tidak ingin mengambil kisah akan sekelilingnya sebelum dia tiba di Rom. Di kepalanya hanyalah keselamatan keluarga difikiran, terutamanya keberadaan Adriana.
Sesampai di sempadan, Antoninus tidak berhenti malah terus menunggang laju ke kawasan konflik. Mujur Plinius telah memberitahu lokasi terbabit.
"Tuan muda!" Mundi memanggil, dengan kuda tunggangan yang sedikit tidak terkawal.
Antoninus tidak mengendahkan lalu terus pergi ke tengah pertempuran. Dia mencari Hadrianus, Antoninus, dan beberapa pahlawan yang dikenali.
Tidak lama pencariannya sebelum dia menyerang ganas, menambah kudrat tentera Rom dan meningkatkan peratus kemenangan pihak mereka menyebabkan musuh berundur masuk ke dalam hutan.
Antoninus tidak mengikuti mereka tetapi cepat menghampiri ayahnya.
Hadrianus terkejut melihat kehadiran anaknya di perang ini. "Antoninus, kamu buat apa di sini?"
"Mengapa ayah tidak memanggil aku pulang? Membantu menumpaskan lawan."
"Masih banyak tenaga tentera disini. Ayah tidak ingin menyusahkan kamu."
"Ini bukan soal menyusahkan!", Antoninus berkata geram. "Ibu baik-baik saja?"
"Ayah sudah memastikan keselamatannya seperti selalu. Janganlah kamu risau."
Antoninus menghela nafas. Kurang sedikit kerisauannya. "Uh di mana Adriana? Aku dengar..."
"Mereka membawanya ke kota hujung. Pasti masih di sana.", pastinya Hadrianus tahu adiknya yang membocorkan rahsia.
Antoninus segera berlari untuk naik ke atas kuda apabila Hadrianus menahannya. "Sebelum kau pergi, ada yang perlu ayah katakan. Adriana..."
Namun kata-katanya terputus kerana serangan musuh yang entah muncul dari mana.
Antoninus tidak ingin terus berdiam. Dia laju menaiki kuda tunggangan. "Aku akan menyelamatkannya. Ayah jaga diri."
Tanpa sempat menerima respon Hadrianus, Antoninus telah pergi mengikut hati sendiri. Dalam hatinya berdoa agar dia dapat menemui Adriana masih bebas daripada sebarang kecederaan.
A little compensation though. Next part would be out tonight!
Share this novel