Bab 8: Bongkar

Romance Series 20066

NADIA dan Mak Siti sama-sama bersila di ruang tamu sambil melipat pakaian. Mujurlah, walaupun perangai mereka berdua itu dua kali lima, tetapi sekurang-kurangnya terselit jugaklah sisi kebaikan dalam diri mereka tu.

Iaitu rajin.

"Kamu ambik cuti ni ada apa, along?" Mak Siti memulakan bual.

"Kejap lagi nak keluar dengan Amelia. Nak sambut birthday dia kat bandar tu."

"Bandar? Ni Amelia yang mana satu ni?" balas Mak Siti dengan naik seoktaf nadanya.

"Ala, mak. Amelia anak Datuk Hisyam tu. Mak tahu kan yang along berkawan dengan dia. Lagipun mak sendiri yang suruh along rapat dengan dia."

Mak Siti tampar paha. Dengar sahaja perkataan 'Datuk' membuatkan dia secara automatik ingat akan gerangan Amelia itu.

"Ouh dia tu ..." Menjuih mulut Mak Siti.

Nadia mendesis. Ibunya yang beria-ia suruh berkawan dengan Amelia, tapi dia juga yang lupa. Ceh!

"Baguslah. Mak suka kamu rapat dengan dia. Tapi ni mak nak bagitahu ... " Badan Mak Siti sengaja dimajukan ke hadapan untuk mendekati anaknya itu. Sebelah tangannya menghadang mulut lagak seperti mahu berbisik.

Nadia mengerutkan dahi. Benda apalah yang ibunya ini mahu katakan sampai mahu berbisik begitu. Macam nak beritahu rahsia negara pulak.

"Jangan lupa mintak sikit ganjaran dari dia," sambung Mak Siti.

Makin berkerut dahi Nadia. "Mak ni! Ke situ pulak."

Mak Siti gelak besar. "Along, along. Macam tak biasa pulak kamu ni. Kamu kan kawan baik dia mestilah selalu dapat habuan. Pergi teman shopping dia belanja, yang ni kamu nak sambut birthday dia, takkanlah nak sambut free je, kan?"

Sisi mata duitan Mak Siti semakin terang. Kalau bab duit ni, memang dia mahu bolot semua. Sampaikan sanggup gunakan anak-anak sendiri demi keuntungan peribadi.

"Yalah. Mak ni macamlah tak kenal along. Lagipun bukan mak sorang je tau yang nakkan ganjaran tu. Along pun naklah."

Habis terburai gelak tawa mereka. Gelak tawa jahat. Gelak tawa persis karakter antagonis dalam drama.

Nadia dan Mak Siti. Kalau mahu diibaratkan, mereka seperti pantulan cermin. Dua kali lima saja perangai.

Haih! Kalau perangai okey, baguslah. Yang ni? Perangai tak semenggah langsung!

"Bagus! Macam ni la anak mak. Bukan macam adik kamu tu. Degil. Mak suruh buat apa pun bukannya nak dengar. Lepas tu yang tahu makan, tidur, habiskan duit orang. Itu je la kerjanya." Tiba-tiba angin Mak Siti berubah 200 peratus apabila mengingatkan anaknya yang seorang lagi tu.

"Macamlah mak tak kenal dengan angah tu. Hidup dia tu memang sentiasa menyusahkan je kerja." Tikaman lidah Nadia mulai mencucuk-cucuk ibunya.

"Menyusahkan sikit je mak boleh terimalah. Ni dah betul-betul menyusahkan. Darah mak ni dah boleh jadi tinggi level kerajaan langit tau tak?"

Nadia mengerutkan dahi lagi tanda tak faham perkara yang ingin disampaikan ibunya.

"Betul-betul menyusahkan? Dia buat apa lagi tu?"

"Kelmarin dia mintak duit kat mak. Dia mintak RM100. Katanya nak repair motor. Motor dia rosak." Mak Siti menggelengkan kepalanya. Pening kalau mahu fikirkan pasal Damia tu.

"Aik? Bukan ke motor dia baru je beli dua bulan lepas? Takkanlah dah rosak?" Nadia bertanya kehairanan.

"Tulah yang mak pelik."

"Habis tu? Mak bagilah duit tu kat dia?"

Mak Siti hanya mengangguk. "Kamu tau kan perangai adik kamu tu macam mana. Kalau tak bagi, mulalah perangai merajuk dia tu. Tak nak makanlah, tak nak jaga kedailah. Kalau dia tak nak jaga kedai, rugilah mak."

Itulah Damia. Perangai tak matang umpama sudah sebati dalam dirinya.

"Memang melampau angah tu. Entah betul ke tak motor dia tu rosak." Nadia semakin geram.

"Kalau dia menipu memang siaplah. Cukup-cukup mak kerjakan dia nanti." Tangan Mak Siti semakin laju melipat kain. Semakin panas hatinya, semakin ligat dia selesaikan kerjanya.

"Assalamualaikum!"

Suara seseorang memberi salam kedengaran dari luar. Suara yang memang tak asing bagi Mak Siti.

Maka terbantutlah sesi membawang dua-beranak tu.

"Waalaikumussalam." Seraya Mak Siti bangun dari duduknya untuk menjenguk keluar.

Ternyata benar tekaannya, susuk seseorang yang sedang berdiri di luar rumahnya ialah Mak Cik Zakiah, rakan gosipnya di kampung itu. Wanita yang terlilit kemas dengan selendang putih di kepala itu menghadiahkan senyum.

"Amboi, Kiah. Masuklah," pelawa Mak Siti.

Mak Cik Zakiah menuruti sahaja pelawaan Mak Siti. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Setelah itu dia labuhkan punggungnya di atas sofa empuk berwarna merah hati itu.

Nadia yang sedang melipat baju terus mendapatkan Mak Cik Zakiah dan bersalam dengannya.

"Untung kau dapat anak rajin macam Nadia ni. Rajin sangat tolong kau buat kerja rumah," puji Mak Cik Zakiah. Nadia apa lagi, tersipu malu dibuatnya.

Mak Siti yang duduk berhadapan Mak Cik Zakiah tertawa kecil.

"Anak kau Amira tu pun apa kurangnya," ujar Mak Siti.

"Ha, kau datang rumah aku ni, ada stok batik baru lagi ke?" Mak Siti sambung bertanya.

Mak Cik Zakiah, kalau selain bergosip, pasti dia mahu promosikan kain batik jualannya. Kadang pula, setiap kejiranan kampung itu dia mahu singgah semata-mata untuk luaskan bisnes kecil-kecilannya itu.

"Eh, taklah. Stok batik dari Kelantan tu tak sampai lagi. Lagipun aku tak ada bawa kan beg besar tu datang sini," terang Mak Cik Zakiah.

Mak Siti mengangguk laju. Betul juga apa yang Mak Cik Zakiah cakap. Kalau dia mahu promosikan kain batiknya, tak adalah wanita itu datang dengan tangan kosong. Yang dia bawa sekarang pun, hanyalah sekaki payung yang dia tinggalkan kat luar rumah tadi.

"Sebenarnya kan, aku ada dua benda nak bagitahu kat kau ni, Siti."

Kedengaran serius, Mak Siti terus menegakkan badannya. Selalunya kalau Mak Cik Zakiah serius sebegitu, pasti ada benda yang mahu dia sampaikan. Mulalah sesi bergosip dua mak cik ini.

"Benda apa tu?"

"Baru tadi kan kau cakap pasal Amira. Sebenarnya ... dia dah nak kahwin."

Mak Siti memasang muka terkejut. Turut dia tumpang gembira dengan berita yang disampaikan Mak Cik Zakiah itu.

"Tahniah, Kiah! Akhirnya kau bakal dapat menantu jugak. Ni bakal menantu kau tu kerja apa?"

"Alhamdulillah, terima kasih. Dia kerja businessman je. Orang yang jual-jual produk tu." Mak Cik Zakiah menjawab. Bangga.

Bercakap pasal kahwin, mestilah ada rasa dengki dalam hati Mak Siti. Lagi-lagi anak kawannya itu yang bakal berkahwin dengan lelaki yang tak kurang hebat pekerjaannya. Lagi membuak-buaklah rasa dengki itu.

Lantas mata Mak Siti terus tertancap pada Nadia yang sedang ligat melipat kain. Berpura-pura tak dengarlah tu!

"Ni kau pulak, bila nak dapat menantunya?" tanya Mak Cik Zakiah.

Mak Siti tersentak seketika. Tiba-tiba sahaja diajukan soalan sebegitu. Macam tahu-tahu saja dirinya tu iri hati.

"Err ... bukannya anak aku ni tak nak kahwin. Tapi tu la, dia sibuk sangat kerja kat kilang tu sampaikan nak cari boyfriend pun payah," dalih Mak Siti.

Padahal dirinya dan anaknya itu yang terlalu memilih hal-hal tentang menantu dan suami ini. Sama-sama mahu memilih yang kaya dan berharta sahaja. Kalau macam tu, memang lambat lagilah Si Nadia itu nak bersuami.

"Ye ke? Tak apalah nanti adalah tu calon yang sesuai."

Nadia hanya tersengih seperti kerang busuk memandang Mak Cik Zakiah.

"Tapi Siti, kau kan ada dua anak dara. Kalau tak Nadia ni yang kahwin dulu, mesti anak kau yang lagi sorang tu langkah bendul," sambung Mak Cik Zakiah yang makin menyibuk.

"Damia?" Tertawa kecil Mak Siti menyebut nama anaknya itu. "Dah kalau kak long dia yang rajin ni pun lambat kahwin, apatah lagi dia tu. Kau tahu kan Damia tu macam mana."

Nadia hanya senyum dan bersetuju dalam hati. Adiknya diumpat dan diperlekehkan sebegitu? Mestilah dia suka.

Mak Cik Zakiah menggeleng-geleng saja kepalanya. "Cakap pasal Damia tu, benda kedua yang aku nak bagitau kat kau tu pasal dialah."

Senyuman Mak Siti tadi kian memudar. Riak wajahnya langsung berubah.

"Pasal dia? Apa yang Damia tu bu ... buat?" Tersekat-sekat Mak Siti bertanyakan hal itu. Masalah apa lagilah yang Damia ini timbulkan.

"Dua hari lepas, aku nampak Damia tu naik motor dengan sorang lelaki. Tapi aku tak tahulah siapa laki tu," kata Mak Cik Zakiah.

"Dua hari lepas?" Mata Mak Siti merewang cuba mengingat kembali.

"Oh, dua hari lepas Damia tu ada bagitau aku yang motor dia rosak. Mungkin laki tu yang tolong hantarkan Damia balik sini." Mak Siti tepuk sekali tangannya apabila teringat akan itu.

"Iya? Habis tu, siapa lelaki tu? Boyfriend dia ke?" Kening Mak Cik Zakiah dijongketkan.

"Damia dengan laki tu naik motor apa?" tanya Mak Siti. Sengaja tak mahu menjawab dulu soalan Mak Cik Zakiah.

Jenis motor harus dipertanyakan dahulu. Kalau motor jenama Ducati atau setarafnya, pandai-pandailah Mak Siti aturkan rancangan lain. Tapi kalau jenama motor yang tak begitu memuaskan hatinya, lupakan ajelah.

"Motor EX5 buruk je. Tengok gaya lelaki tu, macam orang kampung. Tapi tak pernah pulak aku tengok dia kat kampung ni," balas Mak Cik Zakiah.

Mak Siti telan liur. EX5 buruk? Lelaki kampung? Takkanlah Damia sekarang berkawan dengan lelaki sebegitu?

Tidak! Itu tak dibenarkan!

Mak Siti hanya mampu hadiahkan gelak tawa yang janggal. Memang jelas sangat dibuat-buat.

"Kau ni, takkanlah boyfriend dia. Mungkin laki tu hanya lalu-lalang kat situ dan nampak Damia tu dalam kesusahan. Lepas tu laki tu pun hanya nak bantu dia. Kita mana tahu, kan?" Mak Siti cuba menafikan.

Mak Cik Zakiah memasang muka pelik. "Bukan boyfriend? Habis tu aku tengok Damia tu siap bertampar dan bergelak sakan dengan lelaki tu atas motor. Mesra betul aku tengok dia orang. Takkanlah Damia tak kenal laki tu kut ..."

Mak Siti semakin tak sedap hati. Matanya dijelingkan ke arah Nadia.

Nadia yang sudah selesai melipat pakaian dari tadi hanya tercengang. Sengaja dia pasang telinga dari tadi mendengar cerita dari mulut Mak Cik Zakiah itu. Ternyata dia turut terkejut dengan 'berita panas' tentang adiknya.

Mak Siti tersengih. Dia tetap berkeras menafikan lelaki itu hanyalah orang asing bagi Damia.

Tak naklah nanti Mak Cik Zakiah itu berfikir kawan Damia atau 'bakal menantunya' itu hanya pemilik motor EX5 buruk saja. Malulah Mak Siti nanti.

Dalam hatinya, memang sudah membara api amarahnya itu. Anak sendiri berkawan dengan lelaki macam tu? Balik sekejap lagi siap kamu, Damia!

*****

Damia menapak masuk ke dalam rumah, Mak Siti yang duduk di ruang tamu melemparkan jelingan tajam. Kakaknya yang mengenakan blouse biru turut di situ.

Kenapa dia orang pandang aku macam tu? Muka macam nak telan orang. Damia bertanya sendiri tapi dia tak nak endah.

Tadi sewaktu menjaga kedai, ibunya tu menelefon agar Damia segera menutup kedai dan pulang ke rumah. Padahal sepatutnya ketika ini, giliran ibunya pula yang menjaga kedai tu. Tetapi, dirinya ditengking agar segera menuruti arahan.

Kenapa tiba-tiba nak marah? Dirinya ada buat salah ke?

"Kamu suka sangat eh lawan cakap mak?" Suara Mak Siti memecah hening.

"Apa maksud mak?"

Mak Siti langsung bangun dari duduknya dan menghampiri Damia. Kini muka mereka benar-benar menghadap antara satu sama lain.

"Hari tu, kamu kata motor kamu rosak, kan?"

Damia mengangguk laju. "Ya, mak. Angah tak tipu. Memang betul motor angah rosak."

Dalam fikiran Damia, dia berspekulasi yang ibunya itu marah kerana menganggap dirinya menipu tentang motosikal itu, padahal sebenarnya bukan.

"Mak tak cakap kamu menipu pun. Yang mak nak tanya sekarang ni, jantan mana yang hantar kamu balik dua hari lepas? Cakap cepat!" Suara Mak Siti meningkat ke oktaf yang lebih tinggi.

Dua hari lepas? Lelaki?

Cis! Ni mesti ada orang yang pecahkan tembelang.

"Ma ... macam mana mak tahu?"

"Jawab pertanyaan mak!"

Damia tersentak. Dia memandang sebentar muka Nadia, kakaknya itu sudah memancarkan riak mengejek. Jelas tersungging senyuman di bibirnya.

Damia hela nafas. Semestinya dia tak mampu nak menipu lagi. Semuanya kerana mulut-mulut puaka yang bongkarkan perkara tu!

"Dia ... kawan angah. Nama dia Syafiq."

Mak Siti mengangkat sebelah keningnya.

"Ah! Mak tak peduli nama dia. Tapi kamu kata dia ka ... kawan kamu? Dia kerja apa?" Tahap kesabaran Mak Siti hampir meletus.

"Penjual sate." Damia menundukkan wajah. Dah bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang bakal diterimanya.

"Sate?" Mak Siti lalu tergelak besar. "Sate kamu cakap? Sate yang kamu bawa balik tu, sate dialah?"

Nadia turut tertawa. Apa yang ibunya buat, dia ikutkan sajalah.

Damia tidak menjawab sepatah pun. Kepalanya masih tertunduk. Dia tahu yang sebenarnya ibunya sedang marah.

Seperti dijangka, Mak Siti terus berubah reaksi. Dia menolak kasar bahu anaknya itu.

"Hei! Kamu tahu kan yang mak tak izinkan kamu berkawan dengan orang yang mak tak suka. Kamu tahu tak?"

"Mak ... tapi dia orang kampung sebelah je, mak. Lagipun Damia dengan dia kawan je."

"Ha, hari ni kawan. Esok lusa? Bercinta, kahwin lari, mengandung lepas tu beranak. Kalau sampai tahap tu, memang muka kamu ni lunyai-lunyai mak kerjakan!"

"Dari kamu sekolah sampai besar panjang ni, memang suka melawan. Lepas ni, mak takkan izinkan kamu jumpak jantan tu lagi. Faham?" Jari telunjuk Mak Siti diacungkan tanda memberi amaran. Mak Siti lalu terus beredar masuk ke dalam bilik setelah melepaskan amarah.

Nadia setelah itu berjalan mendekati adiknya. Puas setelah menyaksikan adiknya diugut dan dimarah sebegitu.

"Padan muka kau. Lain kali, buatlah lagi." Dengan sinisnya Nadia katakan itu. Dia lalu beredar keluar meninggalkan Damia keseorangan di ruang tamu itu.

Nafas Damia ditarik dan dihembus laju. Matanya berkaca-kaca. Mahu menangis rasanya ketika itu. Padahal dia dan Syafiq baru saja berhubungan sebagai kawan tapi sudah mendapat tentangan sebegini.

Entah apa lagilah yang perlu Damia hadap jika hubungannya dengan Syafiq itu menjadi semakin serius.

Tak boleh terbayang ...

Bersambung...

Mak Siti dh tahu semua, so more conflicts coming soon hmm... Anyway thank you sudi baca dan support hehe ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience