Anis Raihanna mengulingkan badan ke kiri kanan. Mahu mencari posisi yang lebih selesa untuk menyambung tidurnya.
Buk!
Tubuhnya selamat mendarat di lantai bilik Afiq Raihan. Sakit sungguh pinggangnya. Dia terus duduk bersila.
"Aduh, sakitnya! Macam mana boleh jatuh katil ni. Lasak sangat ke aku tidur?" gumamnya sendirian.
Pandangan diliarkan ke sekeliling. Dahinya dikerutkan.
"Aik, bukan aku dekat bilik aku ke semalam? Macam mana boleh ada dalam bilik dia?" soal Anis Raihanna kepada diri sendiri.
Dia bingkas berdiri. Kelibat Afiq Raihan dicari di dalam bilik tidur tersebut.
Tiba-tiba, dia teringat kembali bagaimana dia boleh berada dalam bilik suaminya. Tangannya menepuk dahi.
"Ya Allah, dia yang urutkan aku semalam. Ah malunya! " ucapnya perlahan.
Dia memeriksa katil Afiq Raihan. Risau sekiranya bocor memandangkan semalam hari pertama dia datang bulan. Jadi aliran darahnya mungkin banyak.
"Fuh, nasib baik! Kalau tak, buat malu aku je."
Anis Raihanna menghela nafas lega selepas menyedari dia tak bocor atau apa. Langkahnya diatur keluar dari bilik tidur suaminya.
Dia berjalan sambil mencekak pinggang. Sesekali dia memicit pinggangnya bagi menghilangkan kesakitan.
"Ha bangun pun! Ingat nak terbungkang atas katil aku tu sampai esok pagi." tegur Afiq Raihan dengan nada memerli.
Dia melabuhkan punggung di atas sofa yang berada di ruang tamu. Bungkusan nasi lemak yang dibelinya diletakkan di atas meja makan.
"Ha eloklah pagi-pagi dah perli aku. Cubalah cakap morning ke bagi salam ke. Ini asyik perli je kerjanya." balas Anis Raihanna tak puas hati.
Dia memandang bungkusan yang Afiq Raihan letakkan di atas meja makan. Dari jauh aroma nasi lemak tersebut menusuk rongga hidung. Dia mula kecur air liur.
"Oi, kau beli dekat mana nasi lemak ni? Sedap betul bau dia." soal Anis Raihanna kepada Afiq Raihan.
Dia membuka bungkusan nasi lemak itu. Matanya terpejam rapat. Amboi, bau pun terliur dah ni!
"Takkanlah aku beli nasi lemak tu dekat kedai tayar pulak. Kedai makan la. Pergi mandi. Pakai t-shirt dengan seluar track. Ikut aku joging dekat taman. Lepas joging baru makan. Dah cepat sikit." arah Afiq Raihan selamba.
Anis Raihanna terlopong. Joging dulu baru makan? Aku dah kebulur dah ni. Takkan dia tak tahu nafsu makan perempuan bila datang bulan macam mana?
"Tak naklah joging. Kau pergi la sorang. Atau pun kau workout je lah dalam bilik gim kau tu. Aku nak makan jugak. Lapar!" balas Anis Raihanna.
Afiq Raihan menghampiri isterinya. Sekelip mata bungkusan nasi lemak Anis Raihanna dirampas oleh Afiq Raihan. Mata Anis dibulatkan tanda tak percaya dengan tindakan suaminya.
"Tak nak pergi joging dengan aku kan? Boleh. Tapi nasi lemak ni aku yang beli. So, kalau kau nak belilah sendiri." kata Afiq Raihan selamba.
Senyuman sinis terbit dibibirnya.
Bungkusan nasi lemak tersebut dibawa bersama. Jelingan daripada isterinya langsung tidak dihiraukan.
"Fikir aku tak boleh beli sendiri lah tu. Daripada aku beli baik aku buat sendiri nasi lemak tu. Lagi sedap. Huh." balas Anis Raihanna geram.
Dia melangkah ke dapur untuk memasak nasi lemak buatannya sendiri. Walaupun dia sedang malas tahap gaban sekarang ni, dia gagahkan diri untuk masak. Perutnya sudah berbunyi dari tadi.
"Pergilah masak. Aku nak joging dengan anak jiran sebelah rumah. Cantik orangnya. Lemah lembut, sopan santun. Lagi satu, dia tak garang tau." kata Afiq Raihan.
Dengar saja Afiq Raihan mahu berjoging dengan perempuan lain, Anis Raihanna terus panas hati. Takkan aku benarkan!
"Apa?! Kau tunggu aku mandi jap. Lepas tu, kita pergi joging sama-sama. Kalau kau pergi dengan perempuan tu, siap kau aku kerjakan!" kata Anis Raihanna yang berbaur amaran.
Dia segera melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri. Perutnya yang berkeroncong diminta untuk diisi langsung tak dihiraukan.
Afiq Raihan tersenyum kemenangan. Tak sangka taktiknya berjaya kali ni. Terkejut juga bila dapat lihat reaksi isterinya tadi. Rasa nak tergelak pun ada.
"Hana, Hana.." ucap Afiq Raihan sambil mengeleng kepala.
???
"Oi, tunggulah aku! Jangan laju sangat!" jerit Anis Raihanna yang termengah-mengah.
Dia duduk berehat seketika. Peluh mula membasahi tubuh. Udara segar dihirup silih berganti. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut.
"Baru tiga pusingan, takkan dah pancit kot. Jomlah buat lagi tiga, aku tak puas lagi ni." tegur Afiq Raihan.
Dia membuat beberapa regangan sebelum kembali berjoging. Tidak ramai orang yang berada di taman tersebut memandangkan hari itu adalah hari kerja.
"Kau gila ke lagi tiga pusingan? Aku dah tak larat ni. Dah la aku tak sarapan lagi. Duduk la sini kejap. Rehat." balas Anis Raihanna pula.
Afiq Raihan hanya menurut kata isterinya walaupun dia masih tak puas berjoging lagi. Dia mengambil tempat disebelah Anis Raihanna.
"Kau ambik cuti hari ni untuk joging je ke? Kenapa tak workout dekat rumah?" soal Anis Raihanna memulakan perbualan.
"Haah memang aku cuti hari ni nak joging je. Aku tak nak workout dekat rumah. Aku cadang nak joging sambil lepaskan tekanan. Kepala aku serabut bila masalah semalam timbul." luah Afiq Raihan.
Dia menjatuhkan pandangan ke arah padang yang menghijau itu. Sedikit sebanyak tekanannya hilang.
Angin yang meniup lembut bagai membawa segala tekanannya pergi. Dia memejamkan mata bagi menikmati ketenangan yang dirasakan itu.
Anis Raihanna terpempan dengan jawapan diberikan oleh Afiq Raihan. Tak sangka hal semalam masih menganggu fikiran suaminya.
Dia bersimpati terhadap Afiq Raihan. Usia perkahwinan mereka berdua telah menginjak sebulan lebih. Tetapi, orang yang memerangkap mereka sebulan lalu masih tak henti menganggu rumah tangganya.
Tak bolehkah dia nak mengecapi kebahagiaan bersama Afiq Raihan buat sementara? Dia tahu mereka akan berpisah.
Sekurangnya dia mahu bahagia bersama suaminya buat masa ini. Dia sendiri sudah berjanji dengan Tok Nek untuk hidup bahagia dengan Afiq Raihan.
Tak kira apa cara sekalipun, dia tetap akan cari jalan untuk hidup bahagia dengan Afiq Raihan. Anis Raihanna mengukir senyuman.
"Afiq, jom lumba lari tiga pusingan nak? Boleh kau lepaskan tekanan. Siapa kalah kena belanja aiskrim." ajak Anis Raihanna.
Afiq Raihan segera membuka kelopak matanya. Kornea mata miliknya bersinar apabila Anis Raihanna bersetuju untuk berjoging dengannya. Tangan isterinya ditarik.
"Ok! Jom!" kata Afiq Raihan penuh bersemangat.
Senyuman lebar terhias di wajah Afiq Raihan. Terpancar kegembiraan pada riak mukanya.
Anis Raihanna menguntum senyuman apabila melihat reaksi Afiq Raihan. Bibirnya diherotkan mengukir senyuman. Senang hatinya apabila terlihat senyuman Afiq Raihan.
"Aku happy selagi kau happy Afiq"
???
"Yeay! Aku menang! Ha apalagi? Belanjalah! Aku nak aiskrim mint chocolate chip!" sorak Anis Raihanna teruja.
Dia sendiri tak sangka dia akan menang dalam perlumbaan yang diaturnya. Padahal dia buat semua tu semata-mata nak buat Afiq Raihan gembira.
Tapi sekarang, dia yang terlebih gembira. Afiq Raihan tergelak kecil melihat tingkah Anis Raihanna. Tak ubah macam kanak-kanak riang dapat aiskrim.
Dia sengaja membiarkan Anis Raihanna menang. Lagipun, dia kasihan terhadap isterinya yang tak menjamah apa-apa dari pagi tadi.
"Afiq, cepatlah! Aku lapar gila ni." rungut Anis Raihanna.
Boleh pulak mamat tu jalan lenggang kangkung. Aku yang tengah lapar ni apa dia tahu? Aku makan jugak mamat ni kang!
Aum! Eh eh...melalut dah aku ni.
"Ya sabar sikit! Tak lari gunung dikejar. Tak kemana jugak aiskrim kau tu. Sabar tu kan separuh daripada iman. Nak aku bagi khutbah pulak ke?" bebel Afiq Raihan.
Anis Raihanna menjulingkan mata ke atas. Mula dah mamat tu nak berceramah pagi buta ni.
Tak salah mamat tu nak ceramah dia. Tapi tak boleh ke kalau ceramah dia lepas makan? Ada jugak yang mati kebulur jugak ni.
"Ya aku cuba sabar. Tapi tolong cepat sikit tak? Aku risau kena gastrik pulak ni. Rasa nak pengsan pun ada." balas Anis Raihanna.
Tiba-tiba, kedai yang menjual aiskrim diseberang jalan itu seperti hendak ditutup. Anis Raihanna bergegas lari ke seberang jalan tanpa melihat kiri kanan.
Afiq Raihan yang tersedar dengan perbuatan isterinya segera mendapatkan Anis Raihanna.
Vroom! Vroom!
Sebuah kereta laju ke arah Anis Raihanna. Afiq Raihan makin mempercepatkan larian.
Pin!
Hon dibunyikan kuat ke arah Anis Raihanna. Anis yang baru menyedari sebuah kereta sedang memandu laju ke arahnya menutup mata.
"Hana!"
???
Afiq Raihan meluru ke arah Anis Raihanna dengan pantas. Dibawa
isterinya ke dalam pelukan.
Buk!
Mereka berdua tergolek dibahu jalan. Afiq Raihan melindungi tubuh isterinya menggunakan tubuh badannya sendiri.
Plat kereta yang cuba melanggar Anis Raihanna sempat dihafal oleh Afiq Raihan. Dia pasti pemandu tersebut sengaja buat demikian. Kelajuan yang digunakan lebih tinggi daripada biasa.
Anis Raihanna membuka mata. Dia tersedar dalam dakapan suaminya. Anis meringis kesakitan.
"Aduh.." ucap Anis Raihanna perlahan.
Sikunya terhentak kuat pada jalan tar. Darah mula mengalir dari situ. Afiq Raihan mula cemas.
"Hana, kau okay tak ni? Biar aku tengok siku kau." kata Afiq Raihan.
"Afiq jom balik. Aku tak larat lah." balas Anis Raihanna lemah.
Afiq Raihan hanya mengangguk kecil. Dia memapah Anis Raihanna pulang ke rumah.
???
"Aku nak mandi dulu. Tak selesa lah." kata Anis Raihanna kepada Afiq Raihan.
"Hmm, pergilah. Nanti biar aku rawat luka kau." balas Afiq Raihan.
Anis Raihanna mengangguk sebelum beredar membersihkan diri. Afiq Raihan segera mendail nombor seseorang.
"Hello, Fakhrul. Aku nak minta tolong kau cari kereta ni. Plat VE6567. Kereta tu nyaris langgar Anis tahu tak?" kata Afiq Raihan sebaik panggilan disambungkan.
Dia meraup muka dengan kasar. Tak dapat dibayangkan sekiranya Anis Raihanna dilanggar oleh kereta tersebut.
"Astaghfirullah, nanti aku carikan. Aku cadangkan kau pergi bercuti mana-manalah Fiq.
Sekurangnya perempuan tu tak dapat cari Anis buat masa ni. Boleh juga kau tenangkan fikiran. Aku tahu kau tengah serabut. Bersabarlah Fiq." balas Fakhrul.
"Terima kasih Fakhrul. Nanti aku fikirkan. Kalau ada apa-apa perkembangan, call aku terus. Aku letak dulu.
Assalamualaikum." kata Afiq Raihan sebelum menamatkan panggilan.
"Auu!"
Jeritan Anis Raihanna mengejutkan Afiq Raihan. Dia bergegas mendapatkan isterinya.
Kelihatan Anis Raihanna cuba mencuci luka di sikunya sendiri. Dahi isterinya terkerut bagai menahan kesakitan.
"Kenapa tak panggil aku? Biar aku buat." kata Afiq Raihan.
Dia duduk disebelah isterinya. Afiq Raihan mengambil alih untuk merawat luka Anis Raihanna.
"Lain kali jalan tengok kiri kanan. Kalau aku tak ada tadi macam mana? Apa aku nak jawab dekat ibu abah hm? Tak sayang nyawa ke macam mana?" bebel Afiq Raihan sambil tangannya lincah merawat luka isterinya.
Anis Raihanna tersenyum nipis. Dia suka apabila Afiq Raihan mengambil berat tentang dirinya. Terasa seperti disayangi.
Raut wajah Afiq Raihan diperhati oleh Anis Raihanna. Khusyuk betul lelaki itu mencuci lukanya. Dia baru perasan terdapat kesan luka di dahi suaminya.
"Okay, dah siap. Selesa tak? Nak aku ketatkan atau longgarkan balutan ni?" soal Afiq Raihan prihatin.
Siku Anis Raihanna dibalut kemas oleh Afiq Raihan. Anis Raihanna hanya mengangguk tanda selesa.
Kini giliran Anis Raihanna pula yang merawat luka Afiq Raihan. Dia meletakkan ubat antibakteria pada kapas sebelum mencuci luka Afiq Raihan.
"Auu! Lembut la sikit. Sakit tahu tak?!" marah Afiq Raihan.
"Tahanlah sikit. Kata lelaki, kenalah kuat. Lain kali, nak rawat orang rawat diri kau tu dulu. Faham?" kata Anis Raihanna dengan nada memerli.
Afiq Raihan hanya diam tak membalas. Raut wajah isterinya dipandang. Tenang hatinya apabila tiada apa-apa yang terjadi kepada Anis Raihanna.
"Dah siap. Aku nak makan kejap. Kalau nak apa-apa panggil aku tau." pesan Anis Raihanna sebelum meninggalkan Afiq Raihan.
Tangan Anis Raihanna ditarik oleh Afiq Raihan. Anis Raihanna segera menoleh.
"Kenapa? Nak apa?" soal Anis Raihanna.
"Kemas barang kau. Kita pergi holiday. Nak?" kata Afiq Raihan.
"Seriuslah! Gila ke tak nak! Tak pernah lagi kau ajak aku pergi holiday. Bila nak pergi? Sekarang? Esok? Lusa? Dekat mana?" soal Anis Raihanna bertubi-tubi.
Terlalu teruja apabila Afiq Raihan mahu membawanya bercuti bersama. Dah lama dia tak pergi bercuti.
"Kita gerak hari nilah. Dekat mana? Ada lah rahsia. Tapi aku janji tempat tu ada laut. So, pergilah kemas barang cepat. Lambat tinggal." sambung Afiq Raihan.
"Okay!" balas Anis Raihanna.
Dia segera mengatur langkah ke bilik mahu mengemas barang. Afiq Raihan tersenyum.
???
Sedari tadi, Fakhrul mengekori sebuah kereta sedan hitam yang mempunyai plat kereta sama seperti yang diberitahu oleh Afiq Raihan.
Pemandu kereta tersebut adalah seorang perempuan. Fakhrul percaya perempuan tersebut adalah Aria.
Klik! Klik!
Fakhrul mengambil beberapa gambar Aria bersama dengan dua orang lelaki yang berpakaian hitam. Wajah gadis itu terlindung menyukarkan Fakhrul mendapatkan maklumat lanjut.
Dia percaya yang Aria bukan calang-calang orang. Nampaknya Aria merupakan pembunuh upahan profesional. Fakhrul mengambil langkah berhati-hati apabila berurusan dengan musuh sebegitu.
Jika tersilap langkah, dia mungkin kehilangan nyawa atas kecuaian dirinya sendiri. Aria seperti menoleh ke arahnya.
Perempuan itu mengukir senyuman sinis. Fakhrul segera mengambil wajah Aria yang tidak terdedah.
Seraya itu, dia segera beredar dari situ. Persoalan bermain di fikiran apabila wajah Aria menjengah fikiran.
"Kenapa muka perempuan tu macam pernah nampak? Takkanlah..."
Share this novel