Di rumah, Syahid menceritakan keinginannya kepada neneknya.
"Tadikan Nek, Syahid pergi bazar jumpa Omar."
"Apa dia buat kat sana?"
"Tolong mak dia berniagalah, nek. Syahid tengok kat kedai dia banyak jual kuih, nek. Macam-macam jenis. Cantik-cantik, mesti sedapkan, nek. Yelah, ramai juga orang beli kuih kat gerai mak dia tu. Laku, nek. Mesti dia dapat banyak duit kan?"
Nek Kiah tersenyum mendengar celoteh cucunya. Dia dapat rasa apa yang difikirkan cucunya itu.
"InshaAllah, bila rajin tentulah dapat banyak duit. Tapi berniaga ni kena ada modal. Tak ada modal macam mana nak dapat buat semua kuih-kuih tu untuk jual. Syukurlah kita dapat makan apa yang ada."
"Tapi setiap tahun pun kuih raya kita sama aje. Kerepek ubi dengan kerepek pisang. Syahid nak juga rasa makan kuih sedap-sedap macam tu. Kadang-kadang Syahid sedih bila rumah kita je yang tak ada kuih-kuih sedap macam tu. Tadi kat gerai Omar tu Syahid ada nampak mak dia jual kuih semperit. Cantik betul kuih tu, nek. Tapi harganya mahal sangat. Syahid teringin nak makan, boleh ke kita beli nek?"
"Berapa harga sebalang?"
"Err...Rm25 harganya, nek."
"Oh, ye ke. Nantilah nenek fikirkan."
"Tahun ni kita belilah dua tiga jenis kuih raya untuk rumah kita. Nanti mesti kawan-kawan Syahid nak datang sini. Tak adalah dia orang boleh ejek rumah kita tak ada kuih raya. Bolehkan, nek?"
Hiba hati Nek Kiah mendengar keinginan cucunya untuk membeli kuih semperit tersebut. Pada masa yang sama, dia juga berasa terbatas dengan keadaan kewangan mereka yang hanya cukup-cukup setiap bulan.
Dengan lembut, Nek Kiah mengusap kepala cucunya.
"Nenek faham apa yang kamu nak. Sabarlah ya. Nenek akan cuba usahakan untuk beli kuih tu nanti. Buat masa sekarang ni duit belanja kita cukup-cukup sampai hujung bulan ni. Kita kena berjimat. Tak boleh terlalu beli barang yang mahal-mahal."
Nek Kiah tersenyum tawar melihat wajah kecewa Syahid. Dia mengerti perasaan cucunya, tetapi dia tidak mahu Syahid merasa terbeban dengan keadaan mereka. Dengan lembut, nenek memeluk si cucu.
"Dengar sini nenek cakap. Kita kena selalu bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang. Kita ni diuji dengan rasa teringin nak kan itu ini. Tapi, kita masih ada makanan untuk makan, tempat tinggal untuk berteduh, baju untuk dipakai. Nak dibandingkan dengan orang yang hidup jadi gelandangan. Lagi kesian. Jangan kata nak ada tempat tinggal, makanan pun belum tentu dia dapat makan dalam sehari tu. Kita, masih ada semua tu. Tak semua apa yang kita nak dalam dunia ni kita akan dapat, cu. Sebab tulah kita kena selalu bersyukur."
Syahid merasa hangat di hatinya mendengar kata-kata neneknya. Dia menyedari bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung kepada benda-benda mewah atau mahal. Tetapi pada masa yang sama, dia masih merasa sedikit kecewa kerana tidak dapat merasai kuih-kuih raya yang diimpikannya.
Malam itu, Syahid duduk di sudut biliknya, memikirkan kata-kata neneknya. Dia merenung gambar-gambar kuih semperit di dalam sebuah buku resepi yang hampir dimamah usia. Buku yang dikatakan milik ibunya satu ketika dulu hanya terpampang nama pendek gara-gara dibahagian keratan tersebut sudah pun terkoyak. Dengan buku itulah dia tahu tentang serba-sedikit nama-nama kuih raya.
Syahid termenung lagi. Dia berfikir bagaimana dia mahu mendapatkan duit untuk membeli kuih-kuih raya yang sedap tahun ni.
Nak beli bahan-bahan untuk membuat kuih raya, tentu banyak nak guna duit. Tapi, kalau dia cari kerja sambilan mungkin boleh. Kerja apa yang dia boleh buat? Dimana?
Syahid berfikir lagi. Tolong mak Omar boleh kot? Mana tahu mak Omar baik hati bagi dia kerja. Macam Omar tolong mak dia. Dapat upah. Dengan upah dapatlah dia beli kuih sedap-sedap. Syahid senyum.
Dia tahu perjalanan itu tidak akan mudah, tetapi dia bersedia untuk berusaha demi membahagiakan neneknya dan mewujudkan impian mereka untuk memiliki kuih raya yang istimewa
#cerpen #authorciciaida #author #reading #lovereading #penulisnovel #cerpenraya #ceritaramadhan #raya #dollowers #highlights
Kerana sabar itu indah. Tq yang follow cerita2 CA.
Share this novel