Surya : Bab 2
Sepasang kaki melangkah menghampiri pagar yang memisahkan blok bangunan buruk itu dengan kawasan sekitar yang lebih cantik. Satu bentuk tubuh seolah-olah mencari laluan bagi memudahkan dia masuk ke dalam kawasan bangunan. Lubang pada pagar dijumpai di sebalik semak halus. Merangkak tubuh itu masuk ke dalam kawasan bangunan yang suram.
Kakinya terus melangkah laju menaiki tangga satu persatu. Nafasnya seakan laju seolah-olah excited menaiki bangunan itu.
Setiba di tingkat empat langkah gadis itu terhenti. Tingkat atas sekali. Matanya menatap pada hujung koridor yang memaparkan pemandangan yang cukup cantik, walaupun cuma kawasan kampus.
***
"Huaaaargghhh..." menguap Salwa seakan tidak cukup tidur. Pakaian untuk kelas hari ini sudah disusun kemas dan digantung pada penyangkut di almari besi.
Melihat pada Surya dan Adila masih lelap. Sudah biasa baginya bangun awal daripada orang lain demi mengelakan kes berebut bilik mandi dan tandas. Kena pula Salwa jenis yang mandi berjam.
Usai mandi, Salwa melangkah perlahan menuju ke kamarnya. Anak matanya merasakan ada sesuatu yang memerhatinya dari belakang. Seakan mustahil kerana dia mandi seorang diri. 'Ada orang bangun awal jugalah ni.' Langkahnya diteruskan.
Sepasang mata memerhatikan gerak-geri Salwa.
"Allah!" Terkejut Salwa apabila Surya didapati berdiri dihadapan pintu bilik. 'Mengigau ke apa minah ni?' Atas bawah Surya diperhati oleh Salwa. "Woi, Surya. Sedar tak?" Perlahan bahu Surya ditepuk.
Surya berjalan perlahan menuju katil. 'Celaka betul mengigau macam ni.' Mencarut hati Salwa.
*
Selesai kelas tengah hari. Bermakna masa makan tengah hari. Surya dan Adila menuju ke kafe di blok akademik. Mereka lebih gemar beli makanan di situ kerana lebih murah dan banyak pilihan serta masih segar dari dapur.
Salwa yang bukan sekelas dengan mereka datang dengan wajah penat. Mungkin subjek Fizik di peringkat universiti terlalu kompleks baginya. Kena pula dia tidak sekelas dengan rakan-rakannya semester ini. Duduk Salwa di sebelah Surya sambil meletakan sepinggan makanan di hadapannya.
Selepas mengeluh, Salwa tepat memandang Surya. "Kau mimpi apa tadi?" Berkerut dahi Salwa. Adila cuma memandang sambil mengisi makanan ke dalam mulutnya.
"Mimpi? Apa pula, Salwa? Bila ni?"
"Sebelum subuh tadi. Kau tiba-tiba terpacak depan pintu. Tak pernah pula kau macam tu sebelum ni."
"Oh... entahlah, Salwa. Aku pun tak ingat. Ha ha..." Surya hanya tergelak hambar. Wajahnya bersahaja. "Maaflah kalau aku takutkan kau..."
"Serius seram, weh. Kalau aku ada sakit jantung, tak pasal rebah depan bilik tu."
Perbualan mereka berubah selepas Adila tersedak air. Air muka mereka juga berubah menjadi penat ketawa memandang reaksi Adila yang seakan baru dapat nyawa semula. Merah padam mukanya. Surya yang sedikit simpati, ambilkan tisu dikaunter untuk lap kain Adila yanh terkena air.
***
Share this novel