KISAH 14 - NASI GORENG PONTIANAK

Horror & Thriller Series 23829

Sesekali saya ingin juga berkongsi pengalaman seram saya ketika masih lagi seorang pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia yang terletak di Kubang Kerian, Kelantan. Baik, buat pembaca yang membaca kisah seram saya sebelum ini, pasti semuanya tahu tona dan gaya penceritaan saya yang serius.

Tapi, untuk kali ini, cerita seram ini bersifat komedi dan kelakar. Kisah ini berlaku lebih kurang 8 tahun lepas, dan ketika itu, umat Islam sibuk membuat persediaan untuk Hari Raya Aidiladha. Ketika itu, saya di tahun 2 di USM, dan saya menyewa di sebuah rumah yang terletak di sebuah rumah di Demit, di sebuah lorong bernama Lorong Pak Teh Soh.

Pada awalnya, saya menyewa bersama-sama 2 orang rakan saya, yang juga merupakan pelajar di USM, tetapi mereka pulang ke kampung sewaktu itu. Oleh yang sedemikian, saya berseorangan dan biasanya, apabila masa cuti sebegini, saya selalu lepak dengan seorang lagi kawan saya yang bernama Andi.

Dia orang Sabah, dan ketika itu, seperti saya, dia juga tidak pulang ke kampung kerana ingin berjimat untuk membeli tiket penerbangan ke Tawau. Saya pula kononnya ingin belajar lebih ketika orang lain semua sibuk beraya. Lagipun saya malas nak menghadapi jem mahupun menaiki bas yang memakan masa yang agak panjang untuk tiba di Muar, Johor.

Saya menjemput Andi daripada asrama kampus kesihatan (desasiswa) untuk lepak menonton movie dan bermain game di rumah. Andi sekepala dengan saya dan kami berdua mempunyai minat yang lebih kurang sama.

Saya masih teringat, sewaktu hari hampir malam, kami berdua membuat keputusan untuk masak sahaja di rumah itu, manakan tidak, kedai makan yang biasa semuanya tutup, dan seperti anda maklum, rakyat di Kelantan merayakan Aidiladha lebih meriah daripada Aidilfitri. Kedai makan yang tipikal seperti KFC dan McDonald's pula dipenuhi orang ramai dan ada yang perlu beratur sehingga ke luar daripada restoran tersebut.

Di rumah pula, ada bahan-bahan seperti ayam dan sayur di dalam peti ais. Juga, terdapat periuk nasi yang membolehkan saya memasak nasi. Jadi, saya membuat keputusan untuk memasak nasi goreng sahaja malam itu.

Tujuan sebenarnya adalah bersifat serampang dua mata, satu, sebab saya kelaparan, dan kedua, saya kononnya nak menunjuk skil dan kemahiran memasak kepada Andi. Malangnya nasi goreng tersebut tak jadi dan senang cerita, rasa nasi yang saya masak tak sedap. Memang tak sedap langsung lah.

Jadi setelah makan malam, Andi walaupun makan dengan muka ibarat tertelan kapur barus tetap berkata makanan yang saya masak itu sedap, barangkali untuk menjaga hati saya. Jam 9.00 malam Andi perlu pulang ke kampus, jadi saya siap-siap dan menghantar dia ke kampus kesihatan menggunakan kereta Proton Satria saya, dan setelah lepak sebentar di biliknya, jam 10 malam saya pulang ke rumah.

Memang pelan asalnya nak mengajak sahaja Andi untuk tidur di rumah saya, di bilik kawan saya. Tetapi, mereka mengunci pintu bilik mereka. Mungkin mereka takut saya curi barang kepunyaan mereka gamaknya, walaupun sebenarnya saya seorang yang baik hati dan jujur amanah orangnya.

Perjalanan saya untuk balik ke rumah sewa memakan masa lebih kurang 15 minit daripada USM. Rumah sewa tersebut tidaklah isolated, namun jauh ke dalam, dan kawasannya tiada lampu jalan. Yang ada hanyalah lampu-lampu daripada rumah di sekitar kawasan tersebut. Masuk sahaja ke kawasan itu, pasti saya akan membuka high beam, maklumlah, rabun silau saya agak tinggi akibat asyik bermain game sahaja sebelum tidur.

Sampai di rumah, saya meletakkan kereta di bawah bumbung dan menutup gate, kemudian saya menutup pintu grill dan sliding door, sebelum masuk ke dalam bilik saya. Bilik saya merupakan master bedroom rumah tersebut, dan terletak di hadapan sekali menghala pintu pagar hadapan rumah. Kiranya, daripada tingkap bilik saya, boleh nampak jelas garaj kereta.

Saya duduk di kerusi dan mula membuka buku untuk studi, setelah hampir seharian membuang masa. Sedang saya studi, tiba-tiba terdengar bunyi hentakan di boot kereta saya di luar. Ibarat macam ada orang mengetuk boot kereta saya berkali-kali. Saya tidak mengesyaki apa-apa, terus saya menjengah keluar.

Ternampak seekor anak kucing sedang melompat-lompat di atas kereta saya, kerana banyak kelkatu yang terbang di atas, mungkin anak kucing tersebut ingin menangkapnya. Maklumlah masa tu pun musim hujan baru nak bermula.

Saya segera ke dapur, dan mengambil baki nasi goreng di dapur, kerana di dalamnya ada ayam, mungkin kucing tersebut berselera walaupun saya rasa tidak. Saya letakkan di dalam pinggan dan memanggil kucing tersebut dengan membuat bunyi seakan-akan bunyi cicak. Kucing tersebut datang dan mula makan, dan saya menutup semula sliding door dan masuk untuk meneruskan study.

Jam 2 pagi, tiba-tiba bunyi pinggan di luar semakin lama semakin kuat, seolah-olah ada orang yang menyeret pinggan itu ke depan dan ke belakang. Makin lama makin kuat, sehinggakan saya terfikir, eh, bernafsu sungguh kucing tu makan. Betul-betul kelaparan ni.

Tiba-tiba rasa seram sejuk dan berdiri bulu roma saya di tengkuk. Namun, yalah, saya masih tak menyangka ada apa-apa yang buruk berlaku, saya menjengah melalui pintu bilik saya dan...

Alangkah terkejutnya saya bila terlihat sekujur tubuh sedang menunduk ibarat orang sedang bersujud, dan meratah tulang-temulang yang berada di dalam pinggan itu. Rambutnya hitam dan panjang sehingga ke lantai dan berbaju putih. "Dia" tunduk sahaja seolah-olah sangat khusyuk makan sehinggakan tidak perasan hamba Allah ini sedang melihatnya.

Saya jadi terlalu takut, perlahan-lahan saya berundur semula dan masuk ke dalam bilik saya. Yang kelakarnya, saya berundur dan duduk di sudut bilik saya, kerana saya teringat, biasanya dalam cerita hantu di televisyen, hantunya akan muncul daripada belakang, jadi kalau saya dah duduk di sudut, coverage mata saya bagus dan boleh nampak seluruh bilik saya, dan di belakang saya pula dinding, kecuali kalau hantu tu main tipulah, main tembus dinding....Boleh pulak terfikir sebegitu.

"PRANG!!", bunyi pinggan pecah menyebabkan saya gagal menahan air kencing sehinggakan saya terkencing dalam seluar. Saya jadi terlalu takut. Berkumat-kamit ayat kursi dan apa-apa ayat saya baca. Muka pucat lesi dan menggigil ketakutan, takut tiba-tiba "dia" muncul daripada atas, atau dia masuk ke dalam rumah.

Jam 5.30 pagi, saya masih tergamam di sudut bilik. Bunyi seretan pinggan sudah pun lama berhenti. Tiba-tiba perut saya memulas nak terbuang air besar, mungkin kerana makanan yang saya masak mengakibatkan perut memulas pula. Namun, akibat saya terlalu takut, maka saya tahankan sahaja.

Masa berlalu perlahan, dan saya membatukan diri di situ sehinggalah azan subuh berkumandang, cepat-cepat saya bangun, tapi bukan ke toilet lah, mana taknya, orang kata bila azan, syaitan lari bersembunyi dalam toilet, takut bila saya lari ke nak buang air, pontianak tu pun lari nak sembunyi daripada azan di toilet yang sama, bertembung pula... memang lawak bila difikirkan betapa detailnya saya berfikir sewaktu itu

Bila hari cerah, saya bersihkan bilik yang berbau hancing, dan bila saya berjalan keluar rumah, saya dapati memang pinggan tersebut pecah, seolah-olah dileparkan ke dinding. Hujungnya, selepas kena gangguan sebegitu, hari-hari saya tidur bilik Andi sampailah kawan housemate saya pulang daripada kampung halamannya.

Jadi, itulah antara pengalaman yang kelakar jika saya teringat kembali tentang apa yang berlaku di Kelantan semasa saya belajar di USM. Setahun kemudian, saya berpindah keluar daripada rumah tersebut.

TAMAT

Share this novel

dukELawa
2019-10-04 07:33:35 

rasa2 cik ponti tu sakit perut tak?


NovelPlus Premium

The best ads free experience