Bab 2: Sampah

Romance Series 895792

“PUAN TYA... ini adalah sumbangan untuk Aqif dari pihak tadika untuk anak-anak yatim,” ujar Cikgu Yani sambil menyerahkan satu sampul kepada aku.

Aku sempat menoleh melihat Aqif yang kini berusia enam tahun itu berlari dengan riang di dalam kelas mengejar rakannya. Waktu sekolah sudah tamat dan aku datang untuk menjemput Aqif. Aku kembali memandang Cikgu Yani dengan senyuman yang pahit.

“Maaf, cikgu. Saya rasa mungkin ada lagi budak-budak yang lebih memerlukan.” Aku menolak.

Cikgu Yani mengerutkan dahinya. “Tahun lepas pun puan beri alasan yang sama ketika ada pihak yang ingin memberi sumbangan. Ini adalah rezeki Aqif, puan harus terima,” gesa guru kelas Aqif itu.

“Seperti yang saya cakap lagi, saya minta cikgu beri kepada kawan-kawan dia yang lebih memerlukan. Saya ucapkan terima kasih dan minta maaf. Saya cuma rasa tidak selesa menerima apa-apa bantuan,” ujarku perlahan. “Saya minta diri dulu...”

Aku terus pergi mendapatkan Aqif dan Cikgu Yani mengeluh halus melihat pendirianku.

“Ibu, cikgu bagi apa tadi?” soal Aqif yang berjalan sambil melompat kecil. Tangannya masih memegang tanganku dengan kejap.

“Surat biasa je, sayang. Aqif lapar tak? Ibu dah masak hari ni.”

“Wah! Ibu masak! Lamanya ibu tak masak. Aqif lapar sangat ni!” jerit Aqif girang.

Aku tersenyum kerana buah hatiku seorang ini sentiasa merawat hatiku yang lara. Setiap kali aku melihat wajahnya luka aku semakin berdarah, tetapi dia jugalah menjadi penawarnya. Aqif anak yang sangat bijak, dan wajahnya juga sangat comel. Memiliki sepasang mata hazel yang galak, kulitnya cerah dan hidungnya mancung terletak. Sesiapa pun akan jatuh sayang setiap kali melihat wajahnya itu.

“Ibu, ibu tak kerja hari ni?” soal Aqif lagi.

Aku menggeleng dengan perlahan. Kali ini aku sukar untuk menjawab pertanyaannya. Aku sebenarnya sudah kehilangan kerja. Sudah dua minggu aku menganggur selepas kehilangan kerja. Enam tahun yang sukar sejak kematian Adam. Aku harus membesarkan Aqif seorang diri dengan kudrat yang aku ada.

“Ibu, papa Sofea!” jerit Aqif sambil menunjuk di hadapan.

Aku memperlahankan langkah kerana lelaki yang baru keluar dari kereta itu tersenyum kepadaku. Kereta yang mahal dan sudah tentulah lelaki itu juga segak bergaya. Tetapi hatiku tetap sahaja tidak pernah berdegup lebih dari biasa. Malah, sudah terlalu lama hati ini tidak berdegup untuk sesiapa pun.

“Tya...” tegurnya sehingga aku terpaksa berhenti di hadapannya.

“Hai, Aqif!” tegur Ilham kepada anakku.

“Hi, uncle!” balas Aqif ceria.

“Tya... saya nak bercakap sekejap...”

“Papa!” jerit Sofea sambil berlari ke arah kami. Ilham tidak jadi meneruskan ayatnya apabila Sofea muncul.

Ilham duduk mencangkung dan terus memeluk anak gadisnya itu erat. Aku dapat melihat perubahan air muka Aqif ketika itu. Tetapi aku tidak sesekali akan melayan perasan yang tidak-tidak. Ya, aku sedar Aqif tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang ayah...

“Papa! I miss you!” kata Sofea sambil memberi ciuman di pipi kanan Ilham.

“I miss you too, sayang. How was your day?”

“Good! Aqif tolong Sofea bila kena buli dengan Daniel!” adu Sofea dengan comel.

Aqif tersenyum malu dan menyorok di belakang aku. Aku akhinya tersengih juga dan Ilham ketawa sambil memandangku.

Ilham kembali bangun berdiri. “Tya... saya call nanti ya? Saya tak nak bercakap depan anak-anak.”

Aku terus mengerutkan dahi. “Macam mana awak dapat nombor saya?”

Ilham tersenyum sambil membuka pintu keretanya untuk menyimpan beg sekolah Sofea.

“I’ll call you...” katanya lalu melambai tangan kepada Aqif. Dia masuk ke dalam kereta bersama Sofea. Sofea turut melambai ke arah Aqif yang masih diam di sebelahku.

Kereta itu berlalu pergi dan aku masih tidak bergerak. Nafasku dihela perlahan menandakan aku benar-benar rasa fikiranku sesak. Aku benar-benar tidak suka dengan situasi seperti ini.

PADA petang itu sahabat aku Anis telah mengunjungi aku di rumah sewa yang kecil dan agak daif ini. Rumah teres lama yang serba kurang. Bocor di sana sini, dan aku tidak mempunyai banyak dana untuk membaiki kerosakan. Jika dapat makan pun sudah aku bersyukur.

“Tya, Aqif mana? Senyap je?” soal Anis.

“Dia tidur. Letih sekolah..,” jawabku perlahan.

“Ya... Dia membesar dengan baik sebab ibunya sangat hebat,” puji Anis lalu tersenyum kepada aku.

Aku hanya mampu tersengih pahit. Di dalam benakku ada sesuatu yang ingin aku tanya kepada Anis.

“Tya, aku ada bawa ni,” ujar Anis terlebih dahulu.

Aku mengerutkan dahi melihat sampul yang seperti pernah aku lihat sebelum ini.

“Cikgu Yani suruh aku bagi kepada kau. Duit bantuan anak yatim kepada Aqif. Kenapa kau tolak, Tya?”

Aku terpempan. Cikgu Yani adalah jiran Anis. Sampai begitu sekali dia bertindak supaya aku menerima.

“Aku tak perlukannya, Anis. Ramai lagi yang lebih layak...”

“Siapa lagi yang lebih layak, Tya? Kau ibu tunggal, dan Aqif anak yatim. Ini rezeki Aqif, kau tak sepatutnya tolak. Lagipun, kau perlukan sumber kewangan sekarang. Kau kan baru diberhentikan kerja,” hujah Anis dengan serius.

Aku menggeleng perlahan. “Aku masih boleh berusaha. Aku masih ada kudrat. Kenapa aku kena terima bantuan? Aqif tak perlukan bantuan, sebab ibu dia masih hidup. Aku adalah ibu dia, dan aku adalah ayah dia. Jadi... dia bukan anak yatim piatu,” tegasku bersama dada yang terasa sesak. Hampir tersumbat saluran pernafasanku.

“Tya...” Anis mengeluh halus.

Aku menolak tangan Anis perlahan. “Pulangkan semula kepada Cikgu Yani. Aku minta maaf, Aqif tidak perlukan sumbangan ni...”

Anis akhirnya tidak mampu berkata apa lagi. Dia menyimpan kembali sampul itu dengan wajah tidak berpuas hati dengan pendirian aku.

“Anis, kau beri nombor aku kepada Ilham?” soalku tanpa berselindung.

Anis terpempan. “Err... Tya.”

“Jujur aje Anis. Aku tak marah.”

“Ya, aku mengaku memang aku yang bagi nombor kau kepada dia. Ilham dah banyak kali minta nombor kau. Aku rasa kau harus bagi dia peluang, Tya,” ujar Anis.

Aku minum sedeguk air teh yang sudah suam di bibir cawan. Anis masih menanti jawapan aku.

“Anis... Kau tahu kan, aku cuma nak fokus untuk besarkan Aqif. Aku tak nak terlibat dengan mana-mana lelaki...”

“Ilham itu duda dan kau ibu tunggal... Tak ada masalah untuk mulakan hidup baru, Tya. Lagipun, Aqif tentu nak kasih sayang dari seorang bapa...”

“Aqif okey je, Anis. Dia hanya perlukan aku...”

“Adakah sebab kau masih teringatkan ayah Aqif?”

Aku pantas mengangkat mata aku memandang Anis. Sehingga wanita itu terkesima.

“Arwah sudah lama pergi, kau harus cari bahagia, Tya. Sekurang-kurangnya seseorang yang boleh kau bergantung.”

Aku menelan liur dan melepaskan nafas berat. Sebenarnya Anis tidak pernah tahu tentang kisah silam aku. Kami baru beberapa tahun berkenalan sejak aku berpindah di kejiranan ini. Ketika itu, kami sering bertemu di perhentian bas untuk pergi bekerja.

Lama-kelamaan kami menjadi mesra dan saling berkongsi cerita. Tetapi, aku tidak akan membuka aibku sendiri. Anis hanya tahu aku cuma ibu tunggal yang kematian suami dan harus berjuang sendirian membesarkan anak. Tidak lebih.

“Aku tak perlu bergantung kepada sesiapa Anis. Aku dah dapat pekerjaan baru. Esok aku akan mula kerja,” ujarku bersama sedikit senyum senang.

Wajah Anis berubah gembira. “Alhamdulillah... Tya! Kerja di mana?”

“Auto World. Sebuah outlet jenama kereta mewah. Tapi, aku cuma kerja cleaner. Itu sudah memadai sebab aku tak boleh memilih kerja. Aku kena membesarkan Aqif...”

“Tak apa, Tya. Kerja dulu, mana tahu nanti ada kerja yang lebih terjamin. Lagipun... Kerja sebagai kerani di pejabat seperti dulu, kau sering diganggu. Tak pasal-pasal dituduh mahu menggoda bos. Isteri lelaki tak guna tu paksa supaya kau dipecat. Langsung tak adil!”

“Biasa je tu, Anis. Dunia ni memang kejam. Malah lebih kejam dari ibu tiri dan ibu mertua...” balasku bersahaja.

Anis ketawa mendengar humour yang aku cuba selitkan pada petang yang damai itu.

“Macam mana kau tahu ibu tiri dan ibu mertua itu kejam? Kau dan arwah Adam kan anak yatim piatu...”

Aku tersenyum. Ya, aku dan arwah Adam membesar bersama di rumah anak-anak yatim.

“Aku pencinta kisah dongeng Cinderella... Dan drama Melayu. Pastilah aku tahu...”

PADA pagi itu aku sangat bersemangat kerana aku akan memulakan kerja di tempat baru. Aku harus kuat demi anak ini walaupun aku berkali-kali jatuh menyembah bumi. Setiap kali itu aku akan berusaha bangkit. Ya sendiri!

Aku melahirkan Aqif tanpa siapa-siapa pun di sisi aku. Aku malah berpantang sendirian di rumah sewa. Aku gagah juga bangkit untuk membuat segalanya. Ketika aku melihat wajah anakku, segala kesakitanku terhapus malah aku semakin kuat untuk menghadap dunia.

“Aqif, nanti selepas tadika. Ummi akan ambil Aqif dan Aqif kena duduk di rumah ummi sampai ibu balik dari kerja. Faham?” ujarku kepada Aqif ketika aku memimpin tangannya ke tadika yang hanya selang beberapa buah dari rumahku. Nasib aku baik kerana kemudahan seperti itu dekat dengan tempat tinggal aku. Benar, dalam setiap kesulitan pasti disertakan kemudahan.

“Baik, ibu. Ibu hati-hati pergi kerja. Jangan lupa makan. Ibu selalu terlupa makan dan sakit,” kata Aqif dengan wajah sugul.

Aku tidak sampai hati setiap kali melihat kesayangan aku itu. “Sayang... Terima kasih, sebab ambil berat tentang ibu,” ujarku lalu duduk mencangkung. Aku mengemaskan pakaiannya sambil tersenyum.

“Handsome anak ibu...”

“Do I look like ayah?” soalnya.

Mati senyuman aku ketika itu. Serta-merta.

Anak bijak ini...

“Tidak. Awak serupa ibu.” Aku nafikan.

“Tak! Langsung tak sama. Orang pasti tidak tahu Aqif anak ibu...” Aqif mencebik.

Aku mengecilkan mata memandangnya. “Ibu yang melahirkan awak!”

“Ya, terima kasih sebab melahirkan Aqif. Tapi... Aqif tetap tak serupa ibu! Bye!” Aqif terus berlari ke arah pintu tadikanya.

Aku menggeleng perlahan. “Perangai siapa ni...”

“Aqif, awak lupa cium ibu!” Aku menjerit lantang.

Aqif menoleh sambil melemparkan flying kiss dan mengenyitkan mata kepada aku.

“Jangan nakal-nakal sayang!” pesanku lagi. Bersama keluhan berat. Aku memandang Aqif yang sudah hilang daripada pandangan mataku kerana disambut gurunya.

HARI pertama aku menjalankan tugas sebagai tukang cuci di bangunan mewah itu agak berjalan lancar. Aku memakai seragam berwarna biru dan mencuci di bahagian pejabat.

“Tya, selepas ni awak cuci di showroom ya. Saya di tingkat atas,” kata Kak Asma, rakan baru aku. Tetapi dia sudah lama berkerja di sini.

Aku angguk patuh. “Baik, saya turun selepas selesai di sini.”

Selepas 15 minit, aku turun bersama kelengkapan mencuci tingkat showroom. Ketika tiba di tingkat paling bawah, aku terpana dan tidak sedar mulutku terbuka sedikit. Mataku tidak berkedip melihat kereta jenama mewah itu di showroom.

Ketika aku mencuci cermin pun, aku masih tidak dapat memalingkan wajah daripada melihat ke arah kereta yang ada. Apatah lagi apabila melihat seorang wanita cantik sedang berbual dengan jurujual dan cuba untuk melihat keselesaan kenderaan itu.

Aku yakin wanita itu pasti anak orang kaya ataupun isteri lelaki yang berharta. Senyuman wanita itu tidak lekang di bibir menandakan dia menyukai kenderaan itu.

Aku tersenyum sendiri melihat kebahagiaan orang lain.

Tanpa aku sedar, aku sedang mencuci cermin di pintu utama. Entah bagaimana pintu itu ditolak dari luar. Sehingga dahiku terkena pintu dan akhirnya aku jatuh terjelepok dengan jeritan kecil.

“Aduh!” Aku memegang dahi yang pasti bakal benjol. Hadiah hari pertama? Apa yang pasti semua mata sudah terarah kepada aku. Aduh... Kali ini aku benar-benar malu! Sudahlah ini tempat orang ada-ada sahaja yang boleh masuk.

“Kenapa menghalang jalan? Ke tepi.”

Suara garau itu sedikit meninggi kerana aku jatuh betul-betul di hadapan pintu. Aku masih bingung kerana kepala aku sakit! Dan bukan salah aku pintu itu dibuka mendadak! Siapa orang kaya kerek ini?! Aku masih menunduk dan memegang dahiku.

“Kau nak tidur di sini ke?!”

Berdesing telinga aku kali ini. Bingit sahaja bunyinya. Suara ini... Aku menelan liur dan terus menunduk.

“Maaf, Tuan Erfan! Ini cleaner baru. Dia masih belum biasa lagi! Cepat bangun!” kata seorang jurujual lalu menarik tanganku.

Aku merentap kasar tangan lelaki itu dengan wajahku masih menunduk. Aku mampu bangun sendiri! Tetapi... Sebaris nama itu, cukup untuk membuat kesakitan di dahiku hilang. Lenyap begitu sahaja!

“Customer boleh lari kalau tengok cleaner yang sama je macam sampah! Aku datang kemudian je! Hilang selera!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience