Bab 8

Romance Series 59136

Seperti biasa, Ahad. Aku melapangkan fikiran di pantai. Di tempat yang sama dan menghayati pemandangan yang sama. Takkan pernah sesekali aku bosan dengan pemandangan tersebut. Juga seperti biasa aku menunggu kehadiran Adam. Setelah sekian lama, aku seperti terbiasa menghabiskan hujung mingguku bersama dia. Meskipun jarang berbual, dan sekadar memerhati dia melukis.

Ikutkan, hari ni aku mahu duduk bersama nenek, memandangkan nenek sudah tinggal bersamaku. Tapi aku membantutkan niatku pula. Masa keluar mahu membeli barang, aku lalu sini, dan akhirnya aku mengambil keputusan untuk singgah sebentar. Lepak sekejap ambil angin tak salah kan?

Kelakar juga, bila benda dah jadi kebiasaan, contohnya berjumpa dengan Adam, aku jadi terbiasa. Paling aku tak sabar menantikan setiap hasil lukisannya.

“Mia?” aku menoleh. Menyangkakan dia tapi lain. Dahiku berkerut. Sepatutnya tak begini. Aku segera berdiri. “Nak pergi mana?”

Segera aku gelengkan kepala. Tak patut begini. Aku belum sedia nak jumpa dia lagi. Aku tahu lambat laun dia akan tahu aku selalu di sini. Tapi aku masih tak sedia nak hadap dia sekarang. Bukan sekarang.

“Saya kena balik sekarang.”

Dia menghalang aku pergi. Bila aku cuba ke kiri, dia ikut. Aku ke kanan juga dia ikut.

“Mia, aku dah lama tahu kau selalu duduk kat sini. Sebab aku tahu ni tempat kau selalu pergi. Tolong Mia, jangan mengelak. Aku tahu, kau sendiri tahu yang aku yang menyanyi kat sini kan?”

Aku terdiam kerana tak mampu nak menidakkan pertanyaan darinya. Ya, dari awal aku dengar suaranya dulu, aku tahu itu Daniel. Mana mungkin aku tidak mengenali suara tersebut. Lagi – lagi bila pertama kali dia mainkan lagu yang pernah aku curi kertas notnya. Bila aku curi lihat, aku tahu tu dia.

Patutnya aku tak terus duduk di sini. Tapi hampir setahun, aku diamkan. Aku ambil risiko untuk buat tidak kenal. Aku mahu terus hayati muziknya.

“Daniel, saya kena balik sekarang.”

Tapi dia tetap menghalang aku pergi.

“Mia, aku tahu kau benci aku. Aku salah. Aku minta maaf. Aku datang bukan sebab nak ingatkan kau pasal tu.”

“Dah tu pasal apa Dan?” wajahnya tidak memberikan sebarang riaksi. Dari tadi aku mengelak dari melihat wajahnya. Tapi sekarang, aku pandang. Aku tatap.

Banyak yang berubah pada wajah yang dulunya bersih dari segala misai, jambang dan janggut. Rambutnya yang dulu sentiasa pendek dan tersisir rapi kini panjang mencecah bahu. Dia berbeza dari yang terakhir kali aku melihatnya. Nampak lebih matang dari segi penampilan.
Pemakaiannya juga berbeza. Dia lebih santai dengan baju t – shirt, tiada lagi sweater yang menemani. Dia sama sekali berbeza sekarang. Tapi satu perkara yang masih sama. Dialah Daniel yang pernah lukakan aku. Aku takkan pernah lupakan itu.

“Macam ni Mia, apa yang boleh aku buat untuk redakan marah kau kat aku?”

Pantas aku menggelengkan kepala. “Tak Dan. Awak salah. Saya tak marahkan awak langsung. Saya dah banyak kali bagitahu kan? Jadi tolong. Saya nak balik.”

“Kenapa kau mengelak dari aku sekarang?”
Serius kau tak faham Daniel? Sampai sekarang kau tak faham? Sampai sekarang, aku masih tak mampu nak padam perasaan aku kat kau. Lagi kita rapat, lagi tu aku akan terus tertipu dengan perasaan aku sendiri. Aku tak boleh nak bencikan kau langsung. Paling teruk, aku tak boleh nak padam sayang aku kat kau.
“Sebab ni yang terbaik untuk kita. Kita tak boleh berkawan. Bukan sekarang.”

“Nak tunggu lagi sepuluh tahun baru kau nak bercakap balik dengan aku? Kau buat aku rasa teruk. Aku tahu, aku tak patut buat kau macam tu dulu, aku minta maaf. Tapi bagi aku peluang untuk jadi kawan kau macam dulu. Aku tak boleh nak pandang muka Aliya dan Acap sebab aku rasa bersalah dekat kau. Tentang apa yang aku buat kat kau selama ni.”

“Benda dah lepas. Lupakan.

“Mia, tolong. Aku yakin kita boleh berkawan balik macam dulu. Aku menyesal dengan tindakan aku dulu. Patutnya dari dulu kita hanya kawan. Aku sendiri tak faham perasaan aku. Aku tak tahu apa yang aku nak.”

Ayat terakhirnya membuatkan aku teringat hari tu. Hari terakhir aku bersamanya. Setelah hampir sebulan dia mengelak dari bertemu dengan ku. Malah dia memberi pelbagai alasan sekiranya Acap dengan Aliya mengajak ke dewan, tempat biasa. Dia juga jarang mesej ku, malah tidak lagi menelefonku seperti dulu. Aku tak tahu mengapa. Tapi dari situ, aku tahu ada sesuatu dengan dia.

Mulanya aku sangkakan dia penat dengan assignment, projek untuk kelas dan muziknya. Tapi aku asyik membohongi diri aku sendiri hanya sekadar untuk sedapkan hatiku sendiri. Sampailah bila Aliya sendiri yang bertanyakan Daniel ketika di dewan. Dia terdiam. Aku sendiri tak mampu menjawab persoalan Aliya.
Bila kawan – kawan terlibat dalam hal macam ni, memang rasa janggal. Bukan aku tak pernah cuba bertanya, tapi dia kata dia okey. Dan kali ni, aku tahu mesti dia akan cakap benda yang sama. Tapi tidak. Berbeza jawapannya.

“Salah aku. Bukan dia. Dia tak buat salah apa pun. Mia, maafkan Daniel”

Ayat ringkas dari Daniel. Aliya dan Acap memandangku. Menanti apa yang akan aku kata kan. Tapi tiada. Aku sendiri terkedu. Melihat Daniel terduduk, aku tak tahu nak katakan apa. Aliya menarik Acap keluar dari dewan. Mungkin mahu memberikan masa untuk aku dan Daniel berbincang.

“Apa maksud awak? Awak berubah sebab apa sebenarnya?” Dia masih tidak memberikan jawapan. Itu makin menyakitkan. “Kalau saya tak buat salah apa – apa, jadi tolonglah bagitahu, apa yang jadi sebenarnya?”
Diam membisu. Itu bertambah menyakitkan perasaan aku.

“Daniel, tak perlu cakap. Saya tahu. Sebab awak sukakan dia lagi? Betulkan?”

Dia tidak menjawab, hanya merenungku. Aku tahu, jawapanku betul. “Selama tiga tahun, awak bohong saya, macam mana awak boleh buat macam tu? Awak tak ada perasaan kat saya, tapi macam mana awak palsukan semua tu?”
Daniel menunduk. Hati aku makin sakit. Tolong jawab Daniel. Aku nak jawapan. Bukan diam membisu.

“Mia,” akhirnya dia membuka mulut. “Aku fikir, kalau aku pilih kau, aku boleh lupakan dia. Tapi tak Mia. Aku rasa bersalah sebab tipu kau selama ni. Tipu perasaan kau. Sebab tu aku nak betulkan balik semua ni. Kita patut jadi kawan, macam dulu balik. Aku jujur tak tahu apa yang aku nak. Aku sayang kau, betul ni Mia. Cuma, aku tak tahu.”

Mudahnya jadi kau Daniel. Bila kau tiada jawapan apa yang kau mahu. Bila kau tahu dia akan kembali, mungkin sebab tu kau mahu aku keluar dari hidup kau. Nak jadi macam dulu? Tak mudah. Kau nak sorokkan macam mana sekalipun, aku tahu.

“Aku dan dia, mungkin takkan bersama. Mungkin paling tepat takkan berjodoh. Aku tak sedih sebab tu. Aku akan lebih sedih kalau aku terus sakitkan kau. Aku tahu, kalau aku teruskan, kau yang merana. Jadi aku nak akhiri semua ni. Untuk kebaikan kau. Aku minta maaf sebab aku jadi macam ni.”

Entah kenapa aku tertawa mendengar jawapannya. Ketawa, tapi air mata turut mengalir. Hati? Tak perlu diterangkan. Sakitnya tak terkata. Aku tak kuat nak pandang muka dia lagi buat masa ni.

“Nak tahu kenapa awak jadi macam ni?” aku merenung dia dengan perasaan amarah. Dia yang masih duduk mendongak memandang aku. Wajahnya kusut, aku nampak rasa bersalah yang bersarang di dalam dirinya. Tapi, perlu ke aku peduli bila hati aku berkecai disakiti macam ni? “Sebab dalam hati awak tu, awak tak tahu apa yang awak nak. Awak tamak. Awak selfish. Awak tak tetapkan satu benda dalam hati awak. Kalau awak buat macam tu, awak dah lama perjuangkan benda tu. Tapi awak mengalah. Bagus kita putus. Jadi saya tahu sekarang yang saya tak pernah ada dalam hati awak. Sebab tu senang awak buang saya.”

Aku mengapai beg aku, tak peduli sekiranya kata – kata aku menghancurkan dirinya. Pentingnya aku dah luahkan apa yang terbuku dalam hati aku. Aku kena pergi dari sini, sebab aku tahu, aku tak betah untuk terus ada di dalam satu ruang dengannya.

Mujur dia berlaian course dariku, jadi aku boleh terus menghindari kewujudan dia. Aku tak mahu tengok muka dia atau tengok bayangan dia sekalipun.

Beg aku ditarik saat aku mahu pergi. Aku menoleh, tidak peduli sekiranya dia melihat air mata yang bertakung kini telah membasahi pipiku. “Kita masih boleh jadi kawan macam dulu kan?”

Kawan? Dia ingat ni lawak ke? Macam mana aku nak berkawan dengan orang yang hancurkan hati aku.

“Dengar sini. Teruskan hidup dengan rasa bersalah tu kalau awak nak saya maafkan awak. dan jangan sesekali muncul depan saya hari ni, esok, lusa, atau setahun akan datang sekalipun, jangan pernah sesekali muncul depan saya buat masa ni.”

Aku merentap beg aku. Tangannya terkulai lemah melepaskan beg tersebut. Dia seperti kaku mendengar permintaanku.

Dan aku pernah cakap, aku tak mahu dia muncul depan aku. Sekarang dia di hadapan aku. Tanpa segan menegur aku. Macam kejadian hari tu tak ada makna baginya.

“Please, saya nak balik Dan.”

Dia mengeluh berat. Akhirnya, dia mengangguk. “Kau tahu aku ada kat sini, tapi kenapa kau masih datang?” soalnya saat aku mahu pergi.

Aku berhenti melangkah. Kenapa? “Sebab saya rindu lagu tu. Tapi saya tak nak jumpa awak langsung. Jadi tolong, jangan muncul depan saya.”

“Mia, aku selamanya takkan lupa kata – kata kau tu. Kau betul. Kau buat aku sedar salah aku sebab tak tahu apa yang aku nak. Bila aku tahu, semuanya terlambat. Aku cuma nak cakap, aku menyesal sebab terlambat untuk aku sedar aku tak perjuangkan sesuatu yang bernilai bagi aku.”
Nafas ku hela berat. Bagus kalau kata – kata tu ada makna baginya. Sebab aku tak mahu ianya jadi kosong kalau dia tak faham setiap apa yang aku perkatakan masa tu. “Perjuangkan muzik awak.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience