Kisah 3 : 20 Tahun Kemudian

Horror & Thriller Series 7260

SIAPAKAH yang sanggup tinggal berhampiran satu kawasan perkuburan? Maksud aku, betul-betul berhampiran. Ia sangat dekat sehingga anda boleh melihat batu nisan jika membuka pintu belakang rumah. Begini, taklah dekat sangat. Kawasan perkuburan dan rumah lama aku dipisahkan dengan sebuah tembok bata yang mempunyai pintu kecil untuk keluar dan masuk dari tanah perkuburan. Bagus, kan?

Orang malang yang tinggal berhampiran satu kawasan perkuburan ialah aku. Hebat, bukan? Aku telah tinggal di rumah lama itu untuk hampir 18 tahun. Pada waktu siang, kawasan perkuburan itu hanya kelihatan seperti sebuah padang yang besar dengan batu-batu putih di atasnya.

Pada waktu malam anda mesti berhati-hati, sekurang-kurangnya. Ramai rakan-rakan menolak untuk bermalam di rumah saya pada waktu itu. Anda mesti boleh agak sebabnya. Semuanya pengecut untuk bermalam di rumah aku. Katanya berhantu. Pernah sekali tersebar cerita yang menyeramkan tentang rumah aku. Abang kepada rakanku ternampak pocong di halaman rumahku sewaktu dia pulang ke rumah di suatu malam. Betul atau palsu? Aku sendiri tidak dapat pastikan.

Pada minggu lepas, sewaktu aku memberi makan kepada kucingku di belakang rumah, aku mendengar satu bunyi bising yang datang dari kawasan perkuburan. Aku cuba mengintai melalui sebuah lubang di pintu itu tetapi tidak dapat melihat apa-apa. Lima minit kemudian, aku mendengar bunyi itu sekali lagi. Kali ini ia berbunyi seperti seorang lelaki meminta pertolongan kecuali dia hampir berbisik.

Aku dapat mendengar bunyi itu kerana aku berdiri sangat hampir dengan tembok yang memisahkan kawasan belakang rumah dan perkuburan. Aku cepat-cepat masuk ke dalam dan mengambil kunci untuk membuka pintu kawasan perkuburan.

Kawasan perkuburan kelihatan lengang. Tiada sesiapa pun di situ. Aku tidak merasa takut kerana pada waktu itu jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Aku melihat sekeliling untuk mencari sumber suara dan masih tidak menjumpai apa-apa. Aku hanya berdiri lebih kurang dua kaki dari pintu itu apabila aku merasakan satu tepukan di atas bahu. Aku terperanjat dan menoleh ke belakang.

"Boleh kamu tolong saya?" Lelaki itu bertanya dengan risau. Dia kelihatan seperti seorang lelaki yang normal kecuali dia mempunyai satu parut yang amat jelas kelihatan di pipi kirinya. Parut itu berbentuk salib. Itu tidak normal.

"Err... ya." Aku menjawab. "Boleh saya meminjam sebatang cangkul?" Lelaki itu bertanya lagi. "Sudah tentu boleh. Tunggu kejap, saya ambil kan" Aku terus bergegas ke kawasan belakang rumah untuk mendapatkan cangkul. Apa salahnya jika aku meminjamkan lelaki itu sebatang cangkul?

Setelah mendapatkan cangkul, aku menuju ke kawasan perkuburan beberapa minit kemudian dan mendapati bahawa lelaki itu sudah tiada. Mungkin lelaki itu telah pulang ke rumahnya. Aku mengunci pintu dan masuk ke rumah. Malam itu semuanya berjalan seperti biasa.

Apa yang bakal terjadi dua hari selepas itu membuatkan keluargaku berpindah. Aku dan ibuku amat suka berkebun. Kami biasanya akan menghabiskan masa menanam sayur-sayuran di belakang rumah. Terdapat satu ruang yang cukup luas untuk tanaman sayur seperti tomato dan timun.

Seperti diarah oleh ibu, aku mula menggali tanah kerana ibu merancang ingin membuat sebuah kolam kecil. Aku tidak menyedari bahawa aku telah menggali terlalu dalam sehinggakan cangkul terkena sesuatu.
Aku terus menggali kerana perasaan ingin tahu yang mendalam walaupun aku berasa amat letih.

Rupa-rupanya aku telah menggali sebuah keranda hitam. Ia telah dikebumikan di kawasan belakang rumah ku sekian lama. Tetapi aku amat hairan kerana keranda itu tidak dikebumikan 6 kaki bawah tanah seperti yang sepatutnya. Ibu menelefon polis dan mereka mengenal pasti mayat tersebut kepunyaan seorang pembunuh bersiri yang mengamalkan ilmu hitam 20 tahun yang lalu.

Dia dikenali sebagai ‘Orang Setan’ kerana terkenal dengan pembunuhan di mana dia mencekik seorang gadis belasan tahun sehingga mati dan kemudian menoreh lambang salib terbalik di dahinya. Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui sepucuk nota di sebelah mangsa.

Nota itu tertulis,

-Bila tiba masanya... Aku akan kembali... aku akan kembali 20 tahun lagi. Aku bersumpah.-

Pencarian penjenayah ‘Orang Setan’ diteruskan selama beberapa tahun, namun menemui jalan buntu. Bagaimana dia tertanam di belakang rumahku masih menjadi tanda tanya. Ibu membuat keputusan untuk berpindah tidak lama selepas itu.

Dan ibu akhirnya menceritakan yang seolah-olah ada seseorang akan mencekiknya pada waktu malam apabila dia sedang tidur. Ibu berfikir ia hanya satu mimpi yang buruk. Katanya dia merasakan dua tangan mencekik lehernya dengan kuat selama 5 saat.

Apabila dia memasang lampu, ibu melihat tiada sesiapa di dalam bilik. Tiada tanda seperti pecah masuk. Menurut ibu, semua tu berlaku pada dua hari sebelum kami menemui mayat ‘Orang Setan’.

Hari ini aku dan ibu berasa gembira tinggal di dalam rumah baru kami. Aku dan ibu menunggu dengan penuh minat tentang berita mengenai ‘Orang Setan’ di depan TV. Polis melaporkan yang mereka akan mendedahkan muka penjenayah yang berbahaya itu.
Polis juga berasa bingung berkenaan keadaan mayat itu. Ia tidak terjejas walaupun telah ditanam selama 20 tahun. Mayatnya masih sempurna. Seolah-olah dia masih hidup.

Kami juga terkejut mengetahui bahawa rumah yang kami diami sebelumnya sebenarnya adalah lokasi pembunuhan terakhir yang melibatkan ‘Orang Setan’. Dan sejurus selepas itu, muka pembunuh bersiri itu muncul di skrin TV.

Terdapat parut di pipi kirinya yang berbentuk salib terbalik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience