BAB 4

Mystery & Detective Series 5545

EMPAT buah khemah telah siap dipasang sebelum terbenamnya matahari. Sebuah khemah kepunyaan Ayu. Fira dan Nisa berkongsi khemah manakala Linda memilih untuk tidur sendirian. Sebuah khemah lagi milik Haiqal dan Zafuan. 3 buah kerusi lipat disusun mengelilingi tapak unggun api yang masih tidak bernyala.

"Eh mana Ayu? Ada siapa-siapa nampak dia tak?"

Nisa tiba-tiba bersuara apabila menyedari wanita itu tiada dikhemahnya. Padahal baru sebentar tadi dia nampak kelibat Ayu yang sedang menyusun barang di dalam khemah yang berada bersebelahan dengannya.

Fira yang sudah terbaring di dalam khemah menjengah keluar dengan wajah yang terpinga-pinga. Kekalutan di luar khemah mengganggu fokusnya.

"Apa yang kecoh sangat ni?"

"Ayu... kau ada nampak dia tak?" Soal Nisa sekali lagi. Fira pantas menggeleng. Cermin kecil disimpan semula ke dalam beg sebelum kembali menyarungkan kasutnya.

"Menyusahkan betullah!" Marah Linda. Matanya meliar melihat sekeliling.

"Ni semua salah kau. Kau yang beria nak dia join kita. Kan dah menyusahkan." Pandangan Fira beralih kepada Nisa yang sedang berdiri di sebelah khemah kepunyaan Ayu. Wanita itu sekadar diam membisu.

"Tak ada gunanya korang bertekak. Sekarang ni kita semua kena berpecah cari dia. Hari dah makin gelap. Kita kena cepat." Zafuan mengusulkan cadangan. Haiqal mengangguk laju.

"Aku cari arah sini, kau pergi cari arah sana." Haiqal menunjuk arah. Zafuan mengangguk.

Tanpa melengahkan masa mereka segera beransur dari situ. Nisa dengan laju membuntuti teman lelakinya manakala Linda dan Fira mengekori Zafuan dari belakang.

"Ayu!"

Nama tersebut bergema silih berganti di dalam hutan. Burung lari berterbangan setiap kali mendengar laungan tersebut. Masih tiada sahutan.

"Mana pula minah ni pergi." Bebel Linda perlahan namun didengari oleh Zafuan. Lelaki itu hanya pekakkan telinga. Sejujurnya dia sendiri berasa geram dengan tindakan Ayu yang pergi tanpa memaklumkan kepada mereka.

Mereka sudah berjalan jauh dari tapak khemah. Kelibat Ayu masih belum kelihatan. Sedang mereka sibuk mencari tiba-tiba Fira berhenti melangkah.

"Air! Aku dengar bunyi air. Apa kata kita cuba cari dia dekat sana. Mana tahu dia ada dekat situ ke." Ujar Fira bersemangat. Linda dan Zafuan bersetuju. Mereka bertiga mula mengikut suara air yang kian jelas kedengaran di telinga.

Mereka tiba di sebatang anak sungai yang sangat jernih airnya. Batu dan pasir di dasar amat jelas kelihatan. Untuk kesekian kalinya nama Ayu dilaung berkali-kali namun masih tiada jawapan. Linda menoleh ke arah Zafuan lalu menggelengkan kepalanya.

Langit sudah berubah menjadi jingga. Matahari sudah semakin rendah. Bila-bila masa bulan akan mengambil alih. Angin senja yang menderu singgah dingin di wajah mereka. Bila diamati bunyi seperti bisikan yang mendayu-dayu. Daun-daun kering mula jatuh bertebaran.

Tiba-tiba bunyi ranting dipijak kedengaran di seberang sungai. Semakin lama semakin dekat. Semak samun disekitarnya mula bergerak-gerak seperti ada sesuatu di situ. Bimbang jika binatang buas. Maklumlah mereka sekarang sedang berada di tengah-tengah hutan. Bermacam jenis hidupan tinggal di dalam rimba ini. Fira mula cuak. Dia segera bersembunyi disebalik tubuh lebar Zafuan.

Zafuan dan Linda berbalas pandang. Lelaki itu memberi isyarat supaya berundur. Mereka melangkah setapak ke belakang, perlahan-lahan. Tidak mahu gerak-geri mereka menarik perhatian makhluk di sebalik semak itu. Mata Zafuan mula melilau mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Sebagai langkah berjaga-jaga.

Bunyian di sebalik semak semakin jelas kedengaran. Bayang hitam mula samar-samar kelihatan. Tidak pasti sama ada manusia atau bukan. Makhluk apakah itu? Jantung semakin rancak berdegup. Sebatang kayu sebesar dua jari diambil Zafuan. Linda sempat mengutip beberapa ketul batu untuk dijadikan senjata.

Dalam posisi berjaga-jaga Zafuan dan Linda memegang senjata masing-masing. Dalam ketakutan Fira tiba-tiba tersilap langkah lalu jatuh terjelepok ke tanah. Dia mengaduh kesakitan. Perhatian Linda dan Zafuan mula beralih kepadanya.

Pada ketika itu juga bunyi pijakan ranting serta daun kering semakin hampir. Kali ini semakin laju seolah-olah sedang menghala ke arah mereka dengan pantas. Berlari, mungkin.

"Ahhh!"

Jeritan kuat kedengaran. Kayu yang dikendong bertaburan di lantai. Ayu juga sudah jatuh terduduk. Zafuan, Linda dan Fira turut terkejut dengan jeritan tersebut. Hampir saja Linda membaling batu yang ada ditangannya.

Disangkakan binatang buas rupanya Ayu yang berada di seberang sungai. Masing-masing tidak mengeluarkan sebarang kata kerana masih terkejut. Ayu mengusap dadanya beberapa kali. Fon telinga tanpa wayar diambil dari kedua belah telinganya lalu dimasukkan ke dalam poket seluar.

"Ingatkan siapalah tadi." Tutur Ayu sambil bingkas bangun. Kayu yang jatuh dilonggokkan semula sebelum diangkat.

"Kau ni memang tak ada telinga ke? Kita orang menjerit bagai nak rak apasal tak menyahut?"

Ayu mengerutkan dahi. Tidak jelas dengan apa yang diperkatakan oleh Zafuan itu. Wajah mereka bertiga dipandang silih berganti. Bila masa pula namanya dipanggil? Dia langsung tidak sedar. Mungkin kerana lagu yang terpasang di fon telinga agak kuat sehingga tidak mendengar panggilan mereka.

"Eh kejap. Korang ni datang cari..."

"Boleh tak jangan menyusahkan orang. Tiba-tiba hilangkan diri. Kita sekarang ni ada dalam hutan tau." Marah Linda tiba-tiba.

Ayu terdiam. Longgokkan kayu ditangannya diperkemaskan. Dia kemudian berjalan merentasi anak sungai. Batu sungai dipijak satu persatu.

"Sorrylah kalau aku dah buat korang semua risau. Aku bukan pergi mana-mana pun. Aku cuma cari kayu untuk buat unggun api." Balas Ayu sambil menyerahkan kayu tersebut kepada Zafuan. Dia kemudian berlalu pergi. Lelaki terkebil-kebil tanpa suara.

Haiqal dan Nisa kembali je tapak khemah tanpa sebarang berita baik. Namun hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ. Yang lain masih belum kembali. Suasana di dalam hutan sudah semakin gelap. Mereka berdua kemudian mengambil lampu suluh dari beg galas.

Beberapa ketika kemudian Ayu tiba dengan tangan kosong. Wajahnya yang masam mencuka bertukar manis apabila melihat Nisa yang berlari sambil memanggil namanya.

"Ayu... awak pergi mana? Buat saya risau je."

"Sorry..."

Serentak dengan itu Zafuan tiba sambil membawa kayu lalu diletakkan di bulatan unggun api. Linda dan Fira ketinggalan beberapa langkah di belakang. Sempat Linda melemparkan jelingan yang tajam kepada Ayu ketika berjalan melepasi wanita itu.

Merasakan ada sesuatu yang terjadi antara mereka, Nisa segera menukar topik. Melihat dari tingkah laku Linda dia sudah dapat mengagaknya. Dia tahu rakannya itu seorang yang agak baran sikapnya. Meskipun mulutnya sangat lantang tetapi dia sebenarnya seorang yang sangat baik.

LANGIT sudah gelap gelita. Cahaya bulan purnama yang memancar bumi tidak mencecah tanah. Hanya samar-samar sahaja dek tertutup dengan pohon yang tumbuh tinggi di hutan.

Mereka berenam baru sahaja selesai menjamu makan malam. Ayu tidak menyertai mereka di unggun api. Dia sekadar duduk di khemah sambil membaca buku.

"Tak sangka dapat makan makanan yang sedap macam ni dalam hutan." Ujar Nisa teruja.

Tidak pernah dia tahu ada makanan yang boleh terus di makan tanpa perlu memasak. Cuma perlu panaskan sahaja. Rendang, ayam masak merah semuanya ada.

Cahaya dari unggun api menerangi malam mereka. Fira kelihatan sedang mencari sesuatu di dalam begnya.

"Kau cari apa tu Fira?" Soal Linda yang sedang duduk bersandar di kerusi lipat.

"Kau ada nampak beg makeup aku tak, yang kecil tu." Soal Fira kembali. Linda menggeleng laju.

Nisa bangkit dari kerusi lalu menuju ke khemah. Zip beg galasnya dibuka.

"Yang ni ke?"

Sepantas kilat Fira menyambar.

"Macam mana beg ni boleh ada dengan kau?"

"Ayu bagi pada aku tadi. Lupa pula nak bagi pada kau." Balas Nisa bersahaja. Dia kembali mengambil tempatnya di kerusi lipat. Bersebelahan dengan Haiqal. Lelaki itu hanya duduk di lantai beralaskan bongkah kayu.

Ayu yang sedang membaca buku di khemahnya dijeling. Fira bingkas bangun lalu menuju ke arah Ayu.

"Apasal kau ambil barang aku?" Tanya Fira berbaur marah. Ayu mendongak. Wajah wanita itu direnung seketika.

Buku ditangannya dikatup kasar sebelum berdiri menghadap wajah Fira yang bengis itu.

"Pembetulan. Aku tak ambil pun barang kau tu. Aku terjumpa masa keluar dari van tadi. Dah sah-sah bukan barang aku jadi aku bagilah pada Nisa. Kalau aku nak ambil buat apa aku bagi pada dia." Bidas Ayu panjang. Cerlung Fira memandangnya.

"Kau tak payah nak panjangkan cerita. Beg kau pun dah jumpa, kan. Jangan bunuh mood aku dengan pergaduhan korang yang macam budak-budak ni."

Linda bersuara. Keluh berat dihela sebelum Fira kembali ke sisi sahabatnya itu. Untuk kesekian kalinya angin kuat bertiup sepintas lalu. Dinginnya hingga terasa di tulang. Deruan angin lalu membawa satu irama yang sama. Seolah-olah berbisik di telinga mereka. Setiap kali angin bertiup bulu tengkuk tegak berdiri. Merinding.

"Zaff, tolong ambilkan kayu." Arah Haiqal yang menjadi tukang jaga unggun api. Zafuan yang bersandar pada sebatang pokok tumbang segera bangkit.

Beberapa batang kayu sebesar lengan dimasukkan ke dalam api yang semakin malap dek tiupan angin sebentar tadi. Tidak lama selepas itu api kembali marak.

"Korang nak dengar satu cerita tak?" Suara Haiqal memecah keheningan malam.

"Cerita apa? Kalau cerita seram aku tak nak dengar." Balas Fira. Kepalanya digeleng laju.

"Kenapa, kau takut ke?" Soal Linda mengejek.

"Nenek aku pesan kalau dalam hutan kena jaga sikit tutur kata kita. Jangan cakap benda yang bukan-bukan." Sampuk Nisa. Fira mengangguk.

"Kalau macam tu kau tutup ajelah telinga kau tu sebab aku nak dengar. Cepatlah cerita Carl."

Pandangan Haiqal tertumpu pada Nisa seketika sebelum membuka ceritanya.

"Ada seorang perempuan yang tinggal di pinggir hutan dengan nenek dia. Dari kecil sampailah dia besar nenek dia selalu larang dia bermain berdekatan hutan tu. Tiba-tiba suatu hari dia terdengar ada suara yang berbisik memanggil nama dia. Bila dia ikut suara itu dia sangat terkejut. Suara berbisik rupanya datang dari hutan larangan."

"Dia rasa sangat gementar tapi pada masa yang sama dia ingin tahu siapa yang panggil dia. Kebetulan pada hari tu nenek dia tak ada dekat rumah. Jadi dia terus berjalan masuk ke dalam hutan tersebut. Sejak hari itu orang dah tak nampak kelibat dia lagi. Tamat!"

"Ish, kau suka cerita sekerat jalan. Ceritalah elok-elok sikit." Marah Linda yang sudah mula tertarik dengan cerita tersebut. Tawa Haiqal pecah.

Ayu yang sedang khusyuk membaca di dalam khemah turut memasang telinga. Novel seram yang sedang dibaca ditutup lalu diletakkan di sisi beg. Zip khemahnya dibuka. Dia melihat Zafuan yang bersandar pada pohon tumbang sambil memejamkan mata.

"Tidur ke mamat ni?" Bisiknya di dalam hati. Namun fokusnya kembali pada Haiqal yang sedang rancak bercerita.

"Okay aku sambung." Ujar Haiqal.

"Bila nenek perempuan tu balik dia tengok cucu dia tak ada. Dia mula cemas sebab perkara macam tu tak pernah terjadi. Dia mula panggil orang kampung untuk bantu cari cucunya yang hilang tu."

"Semua orang syak dia masuk ke dalam hutan. Nenek dia tak percaya. Tapi bila orang kampung bawa cebisan baju dan selipar yang dijumpai dalam hutan nenek tua tu terus meraung. Mereka semua syak perempuan tu dah dibaham makhluk hutan pernah menjadi buah mulut penduduk suatu masa dulu."

"Kalau tak silap aku sampai sekarang hutan tu masih lagi dikunjungi orang."

"You tak payah nak menakutkan I dengan cerita musang you tu. Itu semua dongeng mat saleh je." Tutur Nisa sambil memukul lembut bahu teman lelakinya. Haiqal sekadar tersenyum.

"Serigala tau Nisa bukan musang. Musang tu yang hari-hari curi ayam belakang rumah nenek kau." Balas Linda nakal menahan tawa.

"Yeke? Bukan musang eh? Manalah aku tahu."

"Seramnya. Habis tu dekat dalam hutan ni ada serigala juga ke?"

"Tak payah nak acah-acah takutlah Fira. Serigala tu kalau dia nampak muka kau dia yang lari dulu tau." Sakat Linda lagi. Tawa mereka pecah, bergema di dalam hutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience