Bab 37

Drama Completed 5973

"Hey kau ni siapa hah?! Kenapa kau culik kami?!!" jerit Syaza.

"Kenapa kau ni bising sangat? Kau tak tengok ke budak dua orang tu lagi tidur?" ujar lelaki itu tenang.

Syaza melihat Mikail dan Afif yang masih belum terjaga di atas tilam. Sayu hatinya memandang wajah mereka berdua yang tenang dibuai mimpi itu.

"Kenapa kau culik kami? Siapa yang upah kau?" tanyanya lagi dengan nada yang sedikit rendah.

"Aku tak culik korang pun lah. Bos aku upah aku untuk jaga korang kat sini," lelaki itu masih tenang menjawab soalan Syaza.

"Siapa bos kau?"

Belum sempat soalan tersebut dijawab oleh lelaki itu, pintu bilik diketuk dari luar oleh seseorang.

"Ha itu pun bos dah sampai. Kau duduk sini dulu diam-diam. Kalau kau berani buat macam-macam, aku tak teragak-agak tembak kepala kau," ugut lelaki itu lalu mengatur langkah untuk membuka pintu buat bosnya.

Syaza hanya terkedu mendengar ugutan tersebut.

"Zack... Kau jaga diorang dengan baik tak? Kau tak berkasar dengan diorang kan?" tanya seorang wanita berhijab yang menutup separuh wajahnya dengan pelitup muka kepada lelaki yang bernama Zack itu.

"Bos don't worry. Diorang baik-baik aje,"

"Good,"

Syaza menghayati suara wanita itu. Suaranya mengingatkan Syaza kepada seseorang yang amat dikenalinya.

'Tak mungkin....' nafinya dalam hati.

"Hai, Syaza. Lena tak tidur semalam?" wanita itu mendekatinya.

"Ka..kau siapa?" soal Syaza takut-takut. Dia mengundur ke belakang apabila wanita itu terus mendekatinya.

"Kau tak kenal aku?" kening wanita itu bertaut. Sengaja dia melembutkan cara percakapannya.

Syaza tidak memberi sebarang respon.

Wanita itu mengeluh kecil lalu membuka pelitup mukanya. Hampir pengsan Syaza kerana terkejut melihat wajah wanita yang berada dihadapannya pada waktu itu.

...

"Bang, semalam saya berborak dengan Adam," ujar Mak Minah tersengih-sengih sambil menuangkan teh panas kepada suaminya.

"Ha korang berborak apa?" Pak Mail menjongket kening tanda berminat.

"Adam nak kita masuk meminang Saraa lepas dia balik dari Sarawak nanti," terserlah sinar kegembiraan di mata Mak Minah.

"Alhamdulillah..!" Pak Mail meraup wajahnya penuh kesyukuran.

"Akhirnya tercapai jugak impian kita nak bermenantukan si Saraa tu kan, bang," senyuman semakin melebar.

"Hmm tu la orang kata jodoh tak ke mana,"

"Kan... macam kita jugak dulu, berkawan sampai ke jinjang pelamin," usik Mak Minah sambil mengenyitkan matanya.

"Heish kamu ni...," Pak Mail tersengih malu.

...

"Sa...SARAA?!!" dia terjerit kecil lalu meletakkan tangan di mulutnya.

Saraa ketawa besar melihat reaksi Syaza.

"Kenapa? Kau tak percaya ke?" tanyanya sinis.

"Kenapa Saraa? Kenapa?!!" Syaza menggoncang bahu Saraa kuat.

"Hey! Soalan jenis apa kau tanya ni?!!!" Saraa menepis tangan Syaza yang berada di bahunya dengan kuat.

"Kenapa kau buat kami macam ni, Saraa?!!" Syaza masih tidak percaya bahawa Saraa sanggup berbuat sedemikian terhadap mereka.

Saraa terus mencengkam leher Syaza lalu mendorongnya ke belakang sehingga ke dinding. Syaza terbatuk-batuk kecil kerana sukar untuk bernafas. Zack hanya memerhatikan tindakan bosnya tanpa perasaan.

"Kau patut bersyukur tau sebab aku suruh Zack jaga kau, Mika dan Afif kat sini! Kalau ikutkan hati aku, aku nak je bawak kau sekali untuk diseksa bersama dengan mak dan kakak kau! Tapi malangnya sekarang ni kau tengah bawak bayi tak berdosa dalam rahim kau!" katanya.

"Le..lepaskan aku... Aku tak... tak dapat ber... bernafas!" rayu Syaza tersekat-sekat.

"Kalau aku taknak?" sinis Saraa sambil menguatkan cengkamannya.

"Kak Saraa, kenapa buat Kak Syaza macam tu? Kesian dia," tanya Mikail lemah yang baru terjaga dari lenanya. Dia menggosok-gosok matanya untuk menjelaskan penglihatannya yang kabur akibat baru terjaga.

Saraa segera melepaskan cengkamannya apabila tersedar Mikail sudah bangun dari lenanya.

"Eh Mika dah bangunlah," sapanya mesra lalu duduk di birai katil dan memeluk Mikail.

"Kita kat mana ni, kak?"

"Kita kat hotel, sayang,"

"Hotel?" Mikail hairan.

"Ha'ah. Akak ada hal yang nak diuruskan dengan ibu, ayah dan kakak Mika. Jadi untuk sementara waktu ni abang ni dengan Kak Syaza akan jaga Mika dan Afif kat sini,"  jelas Saraa lembut kepadanya.

"Kenapa perlu kat sini? Jaga kat rumah je tak boleh ke?" tanya Mikail lurus tidak mengetahui apa-apa.

"Tak boleh, Mika. Nanti orang kampung tahu tentang urusan akak dengan diorang. Hal yang akak nak uruskan dengan mereka ni tak boleh ada sesiapa yang tahu,"

"Ohhh," Mikail mengangguk faham.

"Saraa, apa yang kau ran....," kata-kata Syaza terhenti apabila Saraa menjelingnya tajam.

Saraa mendekati Syaza lalu berbisik di telinganya.

"Kau tahu apa rancangan aku. Tapi aku tak benarkan dia pun tahu apa yang aku rancangkan. Dia tak tahu apa-apa jadi kau jangan nak memandai nak bagitahu dia,"

Syaza menelan liur mendengarnya.

"Kau jaga mereka berdua ya, Syaz," pesannya. Dia sengaja tunjuk mesra di hadapan Mikail.

Syaza menunduk lalu mengangguk perlahan.

Saraa tersenyum puas lalu mencium dahi Mikail dan Afif dan terus membuka langkah untuk keluar dari bilik itu. Namun sebelum dia membuka pintu untuk keluar, dia menoleh ke arah Mikail semula lalu memanggilnya.

"Mika, sini kejap,"

Mikail turun dari katil lalu berlari mendekatinya. Dia mencangkung lalu memegang kedua-dua belah bahu anak kecil itu.

"Mika boleh janji sesuatu tak kat akak?" suaranya kini mulai sayu.

"Janji apa?" Mikail juga meletakkan tangan kecilnya di bahu Saraa. Mereka seakan-akan separa berpeluk.

"Mika kena janji dengan akak yang Mika tak akan jadi budak jahat. Nanti kalau ada orang buat jahat dengan Mika, Mika tak boleh ada simpan dendam kat diorang. Mika mesti tanamkan sifat pemaaf dalam diri Mika. Boleh?" air matanya mula bergenang.

"Okey, kak. Mika janji yang Mika akan jadi budak baik dan tak berdendam dengan sesiapa," Mikail mengangkat tangan kanannya seakan-akan berikrar.

"Janji ni amanah yang akak bagi kat Mika tau. Kalau Mika tak tepati janji ni nanti Allah marah tau," air matanya sudah mengalir membasahi pipi.

"Ye kak. Mika tahu," Mikail mengesat air mata di wajah Saraa.

"Mika...,"

"Ye?"

"Akak sayang Mika. Maafkan akak ya," dia terus memeluk tubuh kecil Mikail dengan air mata yang semakin deras menuruni pipi. Hatinya semakin diulit rasa sebak apabila semakin lama memandang wajah Mikail.

"Akak takde salah dengan Mikail....," Mikail mengusap belakang badannya.

Selepas pelukan dilepaskan, dia terus memandang tepat di mata Syaza yang merah akibat menangis melihat adegan dia dan Mikail.

"Kau tolong jagakan diorang untuk aku," pesannya.

Syaza mengangguk.

Saraa mengesat air matanya, memasang kembali pelitup mukanya lalu memulas tombol pintu untuk keluar dari bilik tersebut.

"Saraa aku mohon jangan...,"

Syaza terduduk lalu bersandar di dinding. Dia meraup wajahnya kerana mengenangkan apa yang bakal terjadi terhadap ahli keluarganya yang lain.

Mikail mendekatinya lalu mengusap bahunya.

"Kak Syaza tak perlu sedih ya. Nanti habis urusan Kak Saraa dengan mak ayah Mika dan mak Kak Syaza, kita baliklah kat rumah lagi," Mikail cuba menenangkannya.

"Betul cakap Mikail. Kau tak payah nak sedih sangat. Kau faham pesanan Saraa tadi kan?" ujar Zack tenang namun jelas berbaur ugutan dalam percakapannya.

"Aku faham. Maafkan aku sebab terlalu emotional sangat,"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience