Bab 26

Short Story Series 55831

Beberapa bulan telah berlalu dan sudah beberapa bulan juga Rina sudah boleh berjalan semula bahkan dia sudah boleh berlari-lari anak walaupun masih tidak begitu laju tetapi dia sudah berasa amat bersyukur kerana boleh menggunakan lagi kedua kakinya. Rina duduk termenung di halaman rumah Tan Sri Mansur menikmati pemandangan taman mini yang mempunyai kolam ikan yang sangat cantik di mata Rina ketika itu.

Rina mendongak ke atas melihat keseluruhan luar rumah agam Tan Sri Mansur yang besar dan mewah itu. Siapa yang sangka dia akan duduk disini bersama keluarga mertuanya. Siapa juga yang sangka dia tinggal sebumbung dengan Aqil yang merupakan adik iparnya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segela sesuatu yang tidak diketahui oleh manusia.

Rina jarang dapat keluar daripada rumah kerana apabila keluar dia hanya pergi ke hospital untuk membuat terapi selain daripada itu masanya hanya dihabiskan di rumah bersama Qalifh. Buku kecil matshurat yang baru selesai dibaca tadi dimasukkan ke dalam poket jubahnya dan dibetulkan purdahnya yang hampir terlurut kembali ketempatnya. Rina sudah mengenakan purdahnya semula. Purdahnya kini hanya dilepaskan apabila dia berada di dalam biliknya bersama Qalifh.

Rina berjalan menuju ke arah jambatan kecil di tengah-tengah kolam ikan itu. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya ketika itu sehingga hatinya tidak tenang selagi masalah itu masih belum diselesaikan. Seperti yang dikatakannya dahulu, Rina akan pergi daripada rumah ini apabila dia sudah sembuh. Dia akan tinggal di kampung bersama Qalifh dan menjalani hidupnya yang baru di sana tetapi kasih sayang yang dihulurkan oleh Tan Sri Mansur kepada dirinya dan Qalifh membuatkan dia menjadi tidak sampai hati mahu mengungkapkan keinginannya itu.

“Ya Allah, sudah banyak yang KAU berikan kepada hamba sehingga hamba-Mu ini malu untuk meminta. Tunjukilah hamba jalan yang lurus, jalan yang KAU redhai dan jalan yang membawa keselamatan di dalamnya. Hamba tidak layak untuk terus berada di rumah mewah ini kerana ini bukan yang hamba inginkan. Hamba juga tidak layak untuk menikmati keselesaan yang diberikan oleh bapa mertua hamba kerana hamba takut hamba leka terhadap-Mu. Hamba tidak ingin jauh daripada-Mu maka janganlah KAU tenggelamkan hamba dengan nikmat yang cuma sementara ini.” Rina berdoa memohon pengharapan daripada Sang Khaliq.

“Ya Allah, seandainya hamba berdosa kerana menggegarkan tiang ‘arasy-Mu akibat keinginan hamba untuk berpisah daripada suami hamba maka ampunilah hamba. Jangan KAU palingkan wajah-Mu daripada hamba. Hamba sanggup kehilangan segalanya yang hamba ada asalkan KAU tidak meninggalkan hamba.” Rina berdoa lagi dengan bibir yang bergetar.

Rina baru saja mahu masuk ke dalam semula apabila terlihat kereta berjenama Honda milik Aqil memasuki ruang tempat letak kereta di luar rumah mereka. Rina segera memutarkan langkah kakinya menuju ke arah Aqil yang baru saja pulang daripada syarikat itu.

“Rina? Buat apa di luar petang-petang macam ini?” Aqil mendekati Rina yang berdiri agak jauh daripada dirinya.

“Aqil, bolehkah kamu hantar saya ke mahkamah syahriah dalam waktu yang terdekat ini?” Rina langsung bertanya tidak menjawab pertanyaan Aqil.

“Mahkamah syariah? Untuk apa Rina mahu ke sana?” Aqil bertanya masih tidak dapat menangkap kata-kata tersirat daripada Rina itu.

“Saya sudah sembuh dan sudah tiba masanya saya pergi dari sini. Awak masih ingat kata-kata saya yang lalu, bukan?” Rina mengingatkan semula kata-katanya kepada Aqil yang sudah lupa.

“Rina mahu minta fasakh daripada abang Haikal?” Aqil terkejut seraya membulatkan matanya kerana tidak percaya Rina masih dengan pendiriannya mahu berpisah daripada Haikal.

“Benar, itulah yang terbaik.” Rina menjawab perlahan.

“Papa tidak akan bersetuju Rina. Sudahkah awak fikir masak-masak tentang perkara ini? Perkara ini tidak boleh dibawa main-main. Kamu harus fikir baik dan buruknya bukan hanya untuk diri kamu sahaja tapi Qalifh juga.” Aqil semakin mendekati Rina cuba untuk memujuk wanita itu agar memikirkannya sekali lagi.

“Saya sudah memikirkannya bahkan setiap hari saya fikirkannya. Saya sudah tetap dengan pendirian saya. Tidak bolehkah awak tolong saya?” Rina terus memaksa agar Aqil membantu dirinya.

“Rina, awak sudah sediakah bergelar janda muda? Awak tahu pandangan orang sekarang ini terhadap seorang janda. Awak sudah bersedia mendengar tomahan mereka?” Aqil cuba menakutkan Rina dengan andaian masyarakat sekeliling mereka yang menganggap janda itu adalah sesuatu yang tidak baik bahkan menjadi satu aib kepada mereka yang ditinggalkan oleh suami.

“Apa bezanya seperti dahulu, Aqil? Lupakah awak siapa saya satu ketika dulu? Saya ada seorang suami pun tetap saya dicaci dan dihina. Jadi apa bezanya kalau saya seorang janda? Tomahan mereka sudah lali saya mendengarnya. Kata-kata nista yang mereka lemparkan sudah menjadi sebahagian luka dalam hidup saya. Tiada yang akan berubah Aqil. Semuanya tetap berada di tempat yang sama. Cuma bezanya satu...kebebasan. Saya bebas daripada gantung tak bertali ini. Saya bebas daripada sangkar yang tidak kelihatan. Tak bolehkah awak mengerti?” Rina bertanya sambil tersenyum disebalik purdahnya. Matanya tidak memandang Aqil sebaliknya dia memandang ke atas melihat langit yang sudah mula memerah.
Aqil diam sejenak.

“Saya mahu membantu awak tetapi saya tidak mampu. Maafkan saya Rina.” Akhirnya Aqil meluahkan rasa. Dia mahu membawa Rina ke pejabat agama tetapi dalam masa yang sama dia takut Tan Sri Mansur terluka. Dia tidak mungkin menghancurkan hati bapa angkatnya itu. Sudah banyak jasa Tan Sri Mansur kepada dirinya.
Giliran Rina diam sejenak.

“Tidak mengapa jika Aqil tidak mahu, Rina tidak akan memaksa. Aqil, dunia ini kelakar bukan?” Rina bertanya dengan senyuman matanya yang menyepet menandakan wanita itu sedang tersenyum kepada lelaki itu.

“Kenapa?” Aqil mengerutkan keningnya.

“Kita berpijak pada dunia tetapi tanpa kita sedar kita dipermainkan olehnya. Rina harap sangat dapat bebas daripadanya satu hari nanti.” Rina menjawab selamba dan memusingkan badannya semula untuk masuk ke dalam rumah.

“Mengapa masih disitu? Tidak mahu masuk?” Rina menoleh ke belakang apabila Aqil tidak mengikuti langkahnya.

“Rina, Aqil tolong Rina.” Aqil menjawab perlahan sebelum meninggalkan Rina masuk ke dalam rumah tanpa menoleh lagi ke arah wanita itu. Entah mengapa dia merasakan Rina seperti menyindir dirinya tetapi dia tahu Rina bukanlah seorang yang suka menyindir. Mungkin disebabkan apa yang dikatakan oleh Rina itu benar dan dia tidak mahu menanggung dosa kerana menyeksa batin wanita muda itu. Rina berhak bebas seperti orang lain. Menjalani hidupnya dengan kebahagiaan. Dia akan mencuba memujuk Tan Sri Mansur untuk mempertimbangkan keinginan Rina itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience