BAB 3

Romance Completed 7632

Terlopong mulut Lydia melihatnya. Tidak percaya, dada langit yang tadi dihiasi dengan pelbagai warna, bentuk dan saiz layang-layang kini hanya bersisa tiga layang-layang. Kini hanya tinggal layang-layang merah berbentuk hati, layang-layang hitam berbentuk burung dan sebuah lagi layang-layang lagi bewarna merah hitam berbentuk kumbang.

“Abang, tengok tu. Tinggal tiga je,” ujar Lydia separa menjerit.

Latif yang sememangnya dari tadi memerhati hanya ketawa mendengar ayat yang keluar daripada mulut isterinya itu.

“Abang gelak pulak. Si burung tu jahatlah abang. Habis semua layang-layang lain dia putuskan tali,” komen Lydia lagi.

Dalam tawa yang masih bersisa, Latif memaut bahu isterinya itu. “Layang-layang je pun sayang. Kenapa nak serius sangat ni,” ujar Latif seolah-olah memujuk Lydia.

“Abang tengoklah tu. Sekarang dia kejar si hati tu pulak,” ujar Lydia sambil menudingkan jarinya ke arah layang-layang bewarna hati yang sedang ligat melarikan diri daripada terus menjadi buruan si layang-layang burung hitam.

“Ya, abang tengah tengok ni,” ujar Latif perlahan. Setia melayani Lydia yang kini sedang teruja melihat layang-layang itu.

Dan si burung hitam tadi kini merapati si kumbang merah hitam perlahan-lahan. Mengelilingi si kumbang beberapa kali, hingga pada akhirnya tali mereka terbelit. Namun si burung hitam tidak memutuskan tali si kumbang merah hitam. Membawa si kumbang terbang tinggi bersamanya. Meninggalkan si hati di bawah.

Si hati yang tadinya terbang tinggi kini sudah ketinggalan di bawah. Masih terbang tenang mengikut arah angin. Lydia menarik nafas lega. Namun kelegaannya tidak bertahan lama apabila si burung hitam bersama kumbang merah hitam tadi tiba-tiba terbang rendah menghampiri si hati.

Hati yang tadinya terbang tenang kini kelam-kabut mencari ruang untuk menjarakkan diri daripada si burung. Si burung pula semakin menggila mencari ruang dan peluang untuk merentap tali si hati. Si kumbang yang terbelit sama tidak pula cuba untuk melepaskan dirinya daripada si burung. Akhirnya, dengan kasar, si burung merembat tali si hati sekuat-kuatnya membuatkan si kumbang turut sama merentap tali si hati.

Terbanglah si hati menjunam jatuh ke bumi. Kini di dada langit, terbang megah beriringan si burung hitam dan kumbang merah hitam yang terlilit kemas tali mereka. Kemenangan kini milik mereka.

Muka Lydia sudah mencuka. “Jomlah kita balik abang,” ujarnya serius.

“Eh, abang pula yang kena marah,” ujar Latif cuba berseloroh.

“Jahat sungguh si burung tu. Kesian hati. Si kumbang pulak boleh pulak ikut si burung tu. Tak cuba langsung nak lepaskan diri,” ujar Lydia dalam nada protes.

“Dahlah tu. Layang-layang je pun sayang. Emosi sangat sayang ni.” Latif cuba memujuk. Untuk melegakan rasa marah isterinya itu, Latif membelikan aiskrim kon berperisa vanilla kegemaran Lydia di gerai kecil di Taman Layang-Layang itu dalam perjalanan mereka pulang ke kereta.

Walaupun sudah menikmati aiskrim itu, rasa marah di hati Lydia masih tidak reda. Dia juga tidak tahu kenapa. Latif mengusap-ngusap bahu Lydia untuk menenangkan hati isterinya itu. Mungkin isterinya bisa lebih tenang.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

(Q.S. Ar Rum (30) : 21 )

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience