15 Jangan Kejam, Duhai Takdir!

Family Series 57531

“Mardhiah! Ya Allah, Dhiah… maafkan tok… tok bersalah. Tok kejam! Ampunilah tok Dhiah…”

Kenapa dengan Tok Teh?! Rhett terusan tergamam. Kaku sekujur tubuh memandang Tok Teh yang mulai meraung-raung menangis. Potret itu dipeluk dan dicium berulang kali. Teragak-agak Rhett mahu bertanya. Melihat keadaan Tok Teh, Rhett rasa tidak sedap hati.

Dia melabuh punggung di sebelah Tok Teh lalu memeluk erat bahu toknya itu. Dia tidak tahu apa yang terjadi. Apa yang buat Tok Teh menangis bersungguh-sungguh tapi nalurinya kuat mengatakan ianya ada kaitan dengan potret Deila dan ibunya.

“Kenapa ni, tok? Janganlah nangis macam ni. Sedih saya tengok. Apa sebenarnya terjadi tok?” Dalam usaha cuba mengusir rasa tidak sedap hati, Rhett memujuk Tok Teh. Bahu Tok Teh diusap dan ditepuk-tepuk perlahan.

“Mardhiah, Rhett. Wanita dalam gambar inilah Mardhiah, bekas pembantu rumah kita dahulu.”

Dada semakin diserang kegelisahan bila dengar suara sayu Tok Teh menjawab. Habis tu, kalau pun ibu Deila pernah bekerja di rumah mereka, mengapa nenda sesedih itu? Rindu sangat pun perlukah tangisan meraung-raung seolah menyesali sesuatu? Apa sebenarnya yang belaku? Naluri Rhett mendesak ingin tahu.

“Oh, macam tu. Dah jumpa kan? Mardhiah dalam gambar ni yang tok cari. Jadi, tak perlu sedih lagilah, tok. Bukankah tok patut rasa gembira? Dah, jangan nangis.”

“Bawa tok jumpa Dhiah.” Permintaan Tok Teh buat Rhett tercengang sebentar. Rasa bersalah pulak mahu beritahu Tok Teh. Nanti semakin menjadi-jadi pulak tangisannya. Rhett berfikir sejenak.

“Dia dah tak ada, tok.”

“Ya Allah! Dhiah…. Oh Dhiah! Maafkan tok nak, maafkan tok…” Tok Teh kembali meraung.

“Kenapa ni, tok? Kenapa tok sedih macam ni?” Kebingungan Rhett melihat. Dia tidak tahu harus pujuk bagaimana lagi.

“Bawa tok jumpa anak ini, Rhett. Tok nak minta maaf… dia perlu tahu semuanya… siapa tok dan apa yang telah tok lakukan.”

Rhett semakin diasak rasa ingin tahu. Penat dia berteka teki tapi tidak sampai hati mahu desak nenda yang sedang bersedih ketika itu.

“Tok, boleh tak tok jelaskan kepada saya apa sebenarnya yang berlaku?” Rhett memujuk lembut. Air mata yang membasahi wajah tua nenda dikesat perlahan.

Tok Teh kelihatan cuba menenangkan diri. Bahu masih terhinggut-hinggut menahan esakan. Potret masih didakap erat. Rhett hanya memandang pelik bercampur rasa curiga.

“Macam ni Rhett. Sebenarnya…” Tok Teh mulai bercerita sambil merenung jauh ke luar tingkap. Peristiwa puluhan tahun lalu kembali terimbas di layar mata. Masih segar dalam ingatan. Malah, setiap butir perkataan yang meluncur dari bibirnya pada ketika itu juga masih dia ingat.

“Tolonglah puan… jangan buat saya macam ni. Izinkan saya jumpa Tuan Razif sekejap saja. Saya cuma ingin beritahu dia sesuatu. Saya janji saya akan pergi dan tak akan muncul di depan puan mahu pun Tuan Razif lagi.” Rayuan sayu bersama tangisan pilu seorang wanita yang sedang melutut memeluk kakinya masih jelas dalam ingatan Tok Teh.

“Hey, lepaskan kaki aku! Jangan sentuh aku perempuan sial! Aku jijik dengan kau! Pergi!!! Kau keluar dari rumah aku Dhiah! Aku tak mahu kau pijak kaki kotor kau tu di sini lagi, pergiii!!!”

“Puan! Izinkan saya jumpa Tuan Razif! Tolonglah saya puan!”

“Aku kata pergi!!!” Tubuh kecil wanita itu bergolek bila disepak oleh kakinya. Ya Allah! Tok Teh melepaskan tangisan sekali lagi sambil meraup wajahnya. Tak sanggup mahu mengenang semula kejadian itu. Kejamnya dia kepada wanita itu.

“Puan! Jangan buat saya macam ni puan.” Wanita itu merangkak mendekati lalu merangkul semula kaki Tok Teh.

“Celaka! Kau ingat dengan merayu-rayu macam ni aku akan serahkan Razif kepada kau ke hah?! Dasar perempuan murahan kau ini! Tahu Razif dah ada tunang dan bakal berkahwin, kau masih mahu menggoda dia! Semua salah kau sendiri! Bodoh! Dasar perempuan kampung! Pergi aku kata! Jangan kau sentuh aku dengan tangan kotor kau tu!” Sekali lagi tubuh wanita itu bergolek bila Tok Teh menyepak tubuh kecil itu seperti menyepak sebiji bola. Bergegas dia masuk ke dalam rumah lalu menghempas pintu sekuat hati.

Buat beberapa ketika wanita itu merayu-rayu di luar sebelum akhirnya berputus asa dan mulai beredar sambil memegang perutnya. Itu kali terakhir Tok Teh melihat Mardhiah.

Dia tahu semuanya. Apa yang berlaku di dalam rumah itu. Beberapa kali dia tertangkap secara tak sengaja Mardhiah berbalas pandang dengan anak terunanya tetapi awalnya dia diamkan saja. Sangkanya benda itu tidak serius kerana Razif sudah bertunang dengan wanita pilihan dia dan suami. Malangnya, suatu hari dia melihat Mardhiah muntah-muntah di dalam tandas. Dan dia mulai berubah menjadi seorang wanita kejam selepas itu!

Rhett terduduk di atas lantai sebaik sahaja Tok Teh keluar dari biliknya. Tangisan yang ditahan-tahan kerana ada Tok Teh tadi pecah jua akhirnya.

“Tidak!!!” Rhett meraung sepenuh hati. Mengapa begini? Mengapa?!

Takdir, tolong jangan terlalu kejam kepada mereka berdua!

Bagaimana dia mahu berhadapan dengan gadis itu bila kebenaran itu kini diketahui? Bagaimana dia mahu teruskan hidup bila semuanya bakal berubah? Bagaimana dia mampu menukar rasa yang telah mulai bercambah buat gadis itu?

Mengapa takdir begitu kejam?

Rhett tidak mampu menahan perasaan. Dia menangis semahunya sambil memeluk gambar berbingkai segi empat itu.

“Why?!”

Kerana terlalu penat, Rhett akhirnya tertidur dalam keadaan mengekerot sambil memeluk gambar tersebut di atas lantai marmar di dalam biliknya.

DEILA Araferro yang sedang termenung jauh tersentak bila sebiji gula-gula lollipop tiba-tiba melayang dan menghempuk kepalanya.

“Aduh!” Deila terjerit kecil lalu menggosok kepala. Bebola mata mencerlung ke satu arah, di mana tawa berdekah-dekah seorang pemuda mulai kedengaran.

“Ambik kau! Berangan tak sudah kau di situ kan! Jenuh saya panggil, jenuh saya bercakap sorang-sorang!” Gerutu Amirul sambil tarik wajah kelat.

“Nak sangat cari pasal dengan saya kan?” Bingkas Deila angkat punggung sambil menyambar buku kira-kira berkulit tebal dan keras di meja kaunter.

Buntang mata Amirul sebaik sahaja melihat buku tersebut digenggam erat oleh Deila. Ni kallau kena kepala, confirm berlubang!

“Del, saya gurau je…” Amirul undur setapak. Bola mata mengawasi pergerakan Deila. Soalnya, minah ni paling pakar bab melontar. Tidak pernah terbabas. Mesti kena setepak.

“Del!!!” Mujur Amirul bertindak pantas dan berjaya mengelak serangan pertama dari Deila. Sudah dia agak, Deila pasti mahu melontar buku berkulit keras itu ke arah dia.

“Main kasar nampak? Saya cuma guna sebiji gula-gula, kau pakai benda keras ni? Nak bagi kepala saya pecah ke?!”

“Tak cukup lagi tu, Mirul! Kau tunggu sat! Tunggu!” Terkedu Amirul apabila Deila bergegas keluar dan memungut sebiji batu sebesar bola tenis. Serius? Ni kalau kena kepala boleh koma seminggu!

“Deila! Kau jangan memain, bahaya tu Del! Kau nak saya masuk kubur ke?!” Amirul terpekik kaget bila lihat Deila meluru ke arahnya.

“Del!” Amirul sudah lari lintang pukang keliling meja kaunter bila lihat tiada tanda Deila mahu berhenti.

“Jangan lontar! Please jangan dekat! Del!”

PRANG!

Amirul duduk sambil membungkus kepala dengan lengan saat dia dengar bunyi benda berjatuhan. Kepala diramas laju. Fuh, lontaran minah tu terbabas! Amirul menyeringai lalu berdiri dari sebalik meja kaunter yang diperbuat dari kayu. Terkejut bukan kepalang bila sebungkus mi kering menghempap tepat di wajah tampannya. Amirul terundur sebelum jatuh terduduk di lantai.

“Deila!!!” Bergema suara pekikan Amirul memenuhi segenap ruang di dalam kedai runcit tersebut. Tak sakit mana pun sebenarnya, yang sakit sangat ialah hati Amirul. Tak sangka dia diserang dengan cara mengejut macam tu. Tak sempat nak elak langsung.

“Nak sangat cari gaduh kan?!” Suara Deila bergema, tambah buat hati Amirul bagai dipulas-pulas. Amirul kutip balik mi kering yang jatuh berhampiran dengan dia. Bingkas dia bangun lalu melontar bungkusan itu ke arah Deila tanpa fikir panjang.

BUK!

Amirul melongo apabila lontarannya mengena tepat di muka Deila. Ini julung-julung kali terjadi dalam hidup! Amirul bersorak keriangan.

“Huwaaa!!!”

Amirul yang sedang melonjak kegembiraan spontan terkejung bila Deila tiba-tiba menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangan lalu duduk mencangkung dan menangis dengan suara kuat.

“Del!” Tak mungkinlah sakit terkena mi kering itu sampai buat seorang yang lasak seperti Deila menangis, mustahil! Malah, kadang-kadang Deila lebih lasak dari Amirul dalam beberapa aspek.

Amirul kelam kabut mendapatkan Deila. Dia ikut duduk mencangkung di depan Deila. Buat seketika, Amirul kelihatan sedikit tergagap. Rasa bersalah dan dia tidak tahu macam mana mahu mulakan sesi meminta maafnya itu.

“Del… sakit ke? Bagi saya tengok muka kau.” Amirul tanya dengan suara tersekat-sekat. Hanya gelengan dan tangisan yang Deila berikan.

“Saya minta maaf. Tak sengaja.” Padahal memang niat mahu membalas kerana sakit hati. Amirul ketap bibir. Rasa bersalah pula cakap macam tu. “Maksud saya tak sengaja lempar dekat muka kau.” Baru dia rasa lega setelah pembetulan dibuat.

“Tak, tak sakit Mirul. Ni yang sakit!” Deila tumbuk dada sendiri sambil nangis teresak-esak. “Saya buat-buat tabah selama ini Mirul. Saya menderita, Mirul. Betul cakap kau. Saya yang tersakiti. Saya yang bakal menangis sampai berkedut!”

Amirul terpempan. Kelu lidah. Rasa simpati mulai menebal. Sudah dia agak sebenarnya, cuma Deila tak nak dengar. Dia lelaki. Dia tahu! Hanya lelaki yang paling memahami spesisnya. Pertama kali dia lihat Rhett, dia sudah tahu. Lelaki itu tak mungkin mampu hidup di dunia mereka. Pasti lelaki bandar itu sudah tabur bermacam janji manis kepada Deila. Lepas tu menghilang. Dah berbulan tak muncul-muncul. Bukan Amirul tidak perasan perubahan Deila semenjak lelaki itu pergi. Dia cuma buat-buat tak tahu padahal dia turut merasa sakit melihat perubahan sikap Deila.

“Del…” Amirul memandang Deila dengan rasa pilu. “saya bangga dengan kau.” Bahu Deila ditepuk perlahan. Tangisan Deila menyurut. Perlahan, tangan dia larikan dari wajah. Bebola mata Amirul ditentang dengan mata yang merah dan.basah.

“Kau ejek saya kan?!” Sinis Deila tanya.

Pulak! Laju Amirul geleng. Kata sedih, siap nangis-nangis. Tapi masih penjahat!

“Tak Del, ikhlas. Saya bangga tengok kau lalui semuanya dengan tabah selama beberapa bulan ni. Saya yakin, bulan-bulan seterusnya akan jadi lebih mudah. Masa menyembuhkan, percayalah.”

Deila kesat air mata. Selepas melepaskan beban di dada melalui tangisan, dia rasa sedikit lega kini.

“Macam mana kau tahu? Kau bukan pernah bercinta pun, apa lagi putus cinta.”

“Saya tahulah. Kadang-kadang saya layan cerita cinta, novel cinta. Banyak saya belajar dari situ.”

Deila tergelak kecil mendengar penerangan Amirul. Dia sendiri pun tak layan cerita bergenre macam tu! Amirul ni berjiwa romantis kot. Untunglah siapa yang berjaya memiliki Amirul.

“Asal ketawa pulak? Kau ejek saya eh?” Amirul tarik muncung memanjang. Deila tergelak lagi lalu menggeleng. Telatah Amirul memang menghiburkan juga menjengkelkan! Lebih berat ke arah menjengkelkan sebenarnya sebab Amirul ni kuat merajuk.

“Tarik saya, Mirul!” Melihat Amirul lebih dulu berdiri, Deila hulur tangan. Amirul sengih lalu menarik Deila bangun.

“Thank you, Mirul.” Ikhlas dari hati, Deila ucapkan kata-kata itu. Amirul tersenyum dan mengangguk.

“Kak Del!!!” Suara seorang remaja lelaki memanggil dari luar kedai. Deila dan Amirul berbalas pandang. Hampir serentak mereka berdua buka langkah menuju ke luar kedai.

“Kenapa Fuad?” Deila memandang remaja lelaki yang terpacak di luar kedai, sedang termengah-mengah seperti baru saja selesai berlari. Fuad ni anak jiran yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Fuadlah yang selalu jadi orang suruhan opah untuk memanjat pokok buah-buahan atau menebas semak samun di belakang rumah.

“Kak Del, lebih baik kakak balik sekarang. Ada… err… ada polis datang rumah kakak naik… apa tu? Err…”

“Polis?!” Serentak Deila dan Amirul bersuara lalu berpandangan.

“Mirul, kau tutup kedai!” Deila berlari dengan panik masuk ke dalam kedai runcit untuk mengambil kunci kereta dan beg tangannya.

“Del, tunggu!” Panggilan Amirul tak diendahkan. Deila buru-buru masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan meluncur pergi. Tergeleng Amirul memandang.

Amirul kelam kabut menutup kedai. Dia berniat mahu menyusul Deila. Dia ikut risau bila dengar polis datang ke rumah opah. Apa je orang tua seperti opah tu mampu buat hingga polis datang ke situ?

Deila Araferro memperlahankan kenderaan apabila melihat beberapa orang kampung berkumpul di jalan masuk ke rumahnya, menyebabkan Deila tidak dapat masuk ke halaman rumah. Jantung hampir luruh saat bebola mata tertancap pada satu figura memakai seragam lengkap anggota polis sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang kampung. Buru-buru Deila meletakkan kereta di bahu jalan. Tak mungkin dia dapat masuk ke halaman rumah pada waktu itu.

Ketika terkocoh-kocoh mahu keluar dari kereta, sebuah motorsikal menghampiri lalu berhenti di sebelah kereta Deila. Amirul membuka topi keledar lalu dia letak di dalam bakul motorsikalnya.

“Fuad tak tipu, Mirul!” Deila berkata dengan rasa cuak.

“Tenang, Del. Rasanya tak mungkin opah buat salah. Mungkin hanya salah faham. Jom kita masuk dan tengok opah.’

Deila menarik nafas sedalamnya. Tubuh menggigil saat langkah mula dibuka. Amirul menghentikan langkah lalu memandang Deila.

“Kau takut ke? Pegang kain jaket saya! Jangan sentuh saya sudah, tak pasal-pasal datang tok kadi nikahkan kita nanti!” Sempat lagi Amirul bergurau lalu tertawa kecil. Deila mencebik. Tapi tangan menurut. Hujung kain lengan Amirul dipegang erat. Amirul mendahului sementara Deila berjalan di belakang Amirul.

“Wah! Deila, tengok tu!!!” Jeritan terkejut Amirul membuat Deila turut tersentak. Segera dia memanjangkan leher untuk melihat kerana badan Amirul menghalang permandangan di hadapannya.

“Ya Allah!” Deila pantas menutup mulut dengan tangan. Mata terbelalak.

“K… kenapa benda tu boleh ada di laman rumah saya, Mirul?!”

“Kita tengok opah, Del!” Tak tunggu lama, tangan Deila Amirul tarik menuju ke pintu rumah. Bebola mata Deila masih tertancap pada benda yang terparkir di halaman rumah mereka. Sebuah helicopter! Tak hairan ramai orang kampung terutama kanak-kanak memenuhi halaman rumahnya.

“Opah! Opahhh!!!” Amirul jerit ketika mereka berada di ambang pintu. Deila yang berada di belakang Amirul kembali memandang ke depan, cuba mencari kelibat opah.

Saat itulah, bebola matanya ditentang oleh sepasang mata yang berada di ruang tamu rumah. Deila tergamam. Tubuh tiba-tiba mengeras. Amirul turut tercengang.

“Del… itu…” Amirul tidak mampu meneruskan kata. Dia berpaling. Hati jadi sakit bila lihat bebola mata Deila mulai berkaca.

Bab 16 menyusul lewat sikit hari ini, x siap edit lagi

Share this novel

norsila
2024-02-25 08:54:16 

aduhhh jgn buat hal dlia pengsan lak huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience