Chapter 17

Mystery Completed 14816

Bab 17

Di bahagian dalam gua sangat gelap. Leo telah mengingatkannya supaya membawa lampu suluh. Dengan menggunakan lampu suluh kecil mereka terus meredah bahagian gua yang tingginya hanya sama aras dengan kepala. Ada ketikanya mereka terpaksa membongkokkan badan, ataupun merangkak. Akhirnya tiba juga di kawasan yang agak terang. Terdapat sebuah lubang yang agak tinggi, bagaikan sebuah tingkap.

“Terpaksa panjat ke atas,” kata Leo.

“Tinggi juga, boleh ke?”

“Kau nak ambil gambar gajah tak? Atau kau nak balik aje?”

Amalina hanya memandang geram ke wajah Leo. Kadang-kadang sikap sinis Leo berjaya menyakitkan hatinya.

“Tinggi macamana pun kena panjat juga,” tegas Leo.

“Kau tunggu, biar aku cuba dulu cari jalan untuk memanjat. Mungkin dari batu yang lekuk tu kita boleh cuba jadikan tempat berpijak.”

“Tolong berhati-hati Leo. Aku tak mahu kau jatuh.”

Leo menggigit bibir. Dia merenung Amalina. Kau sudah jatuh cinta padaku? Dia bertanya dalam hati. Bukankah kau sudah mengungkapkannya di dalam diarimu itu? Apakah aku hanya bermimpi membaca diarimu malam tadi? Pun aku tidak tidur walaupun sepicing. Tiba-tiba Leo tersenyum.

“Kalau aku jatuh?” Leo sengaja menggantungkan ayatnya.

“Bermakna aku juga yang susah. Siapa yang akan bawa aku keluar dari tempat ni?”

“Aku akan berhati-hati.Tapi aku suka juga kalau jatuh… Jatuh cinta!” kata Leo.

Akhirnya mereka tiba jua di muka pintu lubang itu. Pemandangan dari situ amat menakjubkan. Lubang itu menghala ke satu kawasan tanah pamah yang ditumbuhi rumput. Tak sangka dalam hutan ini ada padang rumput rupanya! Bisik hati Amalina. Mereka berada di tempat yang tinggi dan padang itu berada lebih kurang 30 meter ke bawah. Dan di padang itu terlihat sekumpulan gajah! Amalina benar-benar teruja dan dia hampir menjerit.

Gajah-gajah itu sedang berkubang. Ada banyak lopak air di situ.

Gajah boleh hidup selama 65 hingga 70 tahun. Ia hampir-hampir menyamai umur manusia.

“Aku tak sangka, di Malaysia masih ada gajah,” bisik Amalina ke arah Leo yang duduk berdekatan dengannya. Mereka mencari tempat selesa di sebalik timbunan batu.

“Terima kasih Leo!” Kata Amalina sambil melemparkan senyuman gembira.

SETELAH kembali dari Gunung Ais, Leo mengalami mimpi yang sangat aneh. Gambaran Wajah lelaki dalam mimpinya begitu jelas tergambar di ruang mata. Siapakah dia? Dia dapat melukis gambaran wajah itu satu persatu. Bentuk wajahnya bujur dengan dagu yang lekuk. Dia mempunyai sepasang mata yang kecil tetapi tajam, keningnya lebat dan hitam. Rambutnya pendek, kemas dan berdahi agak lebar. Ada tahi lalat di tepi kening di sebelah kiri.

Dia masih ingat kata-kata lelaki itu di dalam mimpinya; “Aku datang untuk membunuh kau!” Tubuh Leo tiba-tiba merinding, seperti kedinginan. Wajahnya pucat. Bibirnya menggeletar.

Amalina memandang wajah Leo. Sekali pandang dia dapat merasakan bahawa Leo tidak sihat. Amalina mengangkat tangannya hendak menjamah dahi Leo, tetapi lelaki itu mengelak lantas menjauhi kepalanya.

“Aku bukannya nak buat apa-apa. Aku cuma nak rasa dahi kau saja,” terang Amalina.

“Aku… Aku tak apa-apa.”

“Kau tak sihat. Aku nampak muka kau pucat, macam demam.”

“Aku sihat,” jawab Leo sambil menyedut cecair yang terasa panas di dalam hidungnya.

Dia selesema.

“Ya, sedutlah hingus kau tu! Selesema tu terjadi akibat infeksi virus yang menyebabkan keradangan pada membran mukus yang melapisi hidung dan tekak. Hidung akan tersumbat dan berair, kadangkala sakit tekak, sakit kepala dan sekaligus demam,” kata Amalina dengan lancar bagaikan dia seorang doktor.

“Kau tahu, hampir 200 virus yang menjadi penyebab demam selesema. Tapi yang paling biasa menyerang terdiri daripada dua kumpulan iaitu rinovirus dan koronovirus.”

“Kau nak takutkan aku ya? Kau takkan berjaya sebab aku tak takut,” balas Leo.

“Bukan menakut-nakutkan kau, Leo. Aku tahu kau tak takut. Malah kau pasti akan katakan yang kau bersedia untuk mati kan?”

Leo ketawa pendek.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Leo benar-benar jatuh sakit? Apa yang akan berlaku kepada Amalina seandainya Leo sakit?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience