Nadira resah di kerusinya. Hanya tinggal satu hari lagi untuk dia menyiapkan assignment yang diberi oleh Encik Firman. Otaknya masih memikirkan apa yang telah terjadi di rumah putih itu semasa dia berkunjung seorang diri 3 hari yang lepas. Kemana gambar itu pergi? Siapa yang mengalihkannya? Kalau ada penjaga di rumah tersebut kenapa dia tidak mendengar apa-apa? Soalan demi soalan mengasak fikirannya.
“Hah!” satu sergahan beserta tepukan keras hinggap di bahunya. Nadira mendengus geram. Dia menoleh memandang gerangan yang telah menaikkan suhu kawah gunung berapinya. Najib tersengih-sengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik.
“Kau nak apa?” tanya Nadira kasar.
“Amboi, garangnya dia. Tak baik tau garang-garang macam tu. Takde yang nak nanti,”
“Suka hati aku lah. Sibuk aje,”
“Alah Dira, janganlah marah. Aku cuma nak ajak kau makan tengahari,”
“Malaslah,”
“Temanlah aku Dira. Aku nak makan kat restoran kegemarannya kau tu,” pujuk Najib. Dia tahu wanita itu tidak akan menolak jika disebut saja restoran nasi ayam kesukaannya itu.
“Aku takde mood nak makanlah Jib. Kau pergi sorang lah,” Najib pelik. Umpannya kali ini tidak mengena.
“Kau mesti risau pasal assignment yang diberi singa tua tu kan?” duga Najib. Perlahan-lahan Nadira menganggukkan kepala.
“Kenapa kau nak semakkan kepala memikirkan semua tu Dira. Kalau dia nak pecat kita disebabkan benda tu, biarlah,”
Nadira mendongakkan kepala memandang wajah Najib. “Senangnya kau cakap Jib. Kau tu memanglah, tak payah kerja pun ada duit. Aku ni bukan datang dari keluarga yang kaya macam kau,” perlahan bunyi suaranya.
“Alah, janganlah macam ni Dira. Aku minta maaf ok. Takpe-takpe, kalau kau masih nak siasat pasal rumah tu, aku temankan engkau. Malam ni aje kan? Esok dah kena beri laporan kat singa tua tu kan?” tanya Najib. Wajah Nadira bertukar ceria.
“Betul ni kau nak temankan aku?”
“Betullah. Tapi sekarang ni kau kena temankan aku makan dulu ye,”
“Baiklah kalau macam tu tapi kau belanja tau,” Nadira bergurau.
“No hal punya. Untuk kau apa pun aku sanggup,”
“Uwekkk. Rasa macam nak muntah pula bila tengok kau macam ni,” Nadira ketawa kuat.
“Betul Dira. Aku sayangkan kau. Esok-esok kalau aku takde lagi, kau jaga diri baik-baik tau. Takde lagi dah teman untuk kau gaduh,” tiba-tiba suara Najib bertukar sayu.
“Ishh, apa ni Jib cakap macam tu. Dah-dah, sebelum kau melalut lebih jauh lagi, jom aku temankan kau makan,” Nadira menarik tangan Najib yang tiba-tiba menjadi sedih. Dan semasa dalam perjalanan balik ke rumah petang itu, sekali lagi dia memberhentikan keretanya di gigi jalan lalu merenung rumah putih itu.
“Ingat! Jangan sesekali kau cuba hendak siasat pasal rumah tu,” sekali lagi dia dikejutkan dengan kehadiran pakcik rongak yang tiba-tiba muncul.
“Saya cuma nak……”
“Tak ada siapa-siapa yang pernah selamat selepas masuk ke dalam rumah tu. Ingat!” tegas pakcik itu sekali lagi. Tapi dia dah dua kali masuk ke dalam rumah itu, takde apa-apa pun. Tanpa mempercayai kata-kata pakcik itu, Nadira memecut keretanya dengan harapan yang malam ini dia akan menyelongkar misteri di sebalik gambar yang tiba-tiba hilang dari tempatnya.
Share this novel