BAB 2

Drama Series 29253

“KAU ni kan tak penat ke? Orang waktu rehat digunakan untuk rehat bukan study!” tegur Vanida membuatkan diriku tersontak. Entah bila dia masuk ke sini aku tak perasan.

“Kau tau kan aku macam mana? Selagi ada masa terluang aku akan buat apa je kerja yang ada. Aku tak suka buang masa macam tu,” balas aku sambil tangan aku laju membuat carian di internet mengenai tugasan yang telah diberikan oleh pensyarahku.

“Tapi janganlah push diri kau sangat. Belajar, belajar juga. Rehat kenalah rehat betul-betul. Ni kau buat apa ni?”

“Buat assignment lah yang Puan Ana bagi. Kau lupa ke? Kan Puan Ana ada bagi tugasan, suruh buat kajian pasal tarian nusantara.”

Vanida terus menepuk dahinya. Hmmm… Pasti dia lupalah tu. Aku dah boleh agak dah.

“Alamak! Aku lupalah. Bila ek dia nak?”

“Minggu depan,” jawabku, datar.

Kami berdua merupakan pelajar ASWARA, fakulti teater jadi tugasan kami lebih pada seni pementasan dan tarian. Aku tersenyum hambar dan menggelengkan kepala melihat perangai sahabatku ini. Aku memang sudah masak benar dengan perangai pelupanya itu. Aku melirikkan anak mata dan melihat Vanida sudah menempel dihadapan wajahku. Pasti dia ingin meminta bantuan akulah tu. Faham dah!

“Warda… Boleh tak aku copy paste assignment kau? Aku janji aku tak copy bulat-bulat. Nanti pandai-pandailah aku adjust.” Dia cuba memujukku dengan suara lunaknya. Aku malas melayan perangainya yang satu ini. Vanida mengusap-usap lengan dan menggoncangkan tubuhku dengan riak wajah kasihan. Mengharap simpatiku.

“Bolehlah…” Gedik betul suaranya membuatkan aku tersenyum senget. Menyampah.

“No! Assignment sendiri, pandai-pandailah buat sendiri.”

“Alah… Bolehlah…” pujuknya lagi.

“No, V! Lagipun ada masa lagikan. Bukan tak ada masa. Kau buat jelah. Bukan susah pun. Bahan rujukan banyak. Tinggal kau cari je.”

Aku melihat wajah cemberutnya. Bukan aku tak nak bantu tapi aku tak nak Vanida terbiasa begini. Lebih baik berusaha sendiri daripada minta macam ini. Dah memang aku dari dulu pun begitu. Tiada sesiapa yang membantuku jadi kenapa aku perlu bantu orang lain kalau mereka boleh buat juga. Bukan aku kedekut ke apa, tapi memang itu prinsip hidup aku. Tapi aku bukanlah sekejam itu. Aku akan bantu juga bila mereka memerlukan bantuan.

“Aku tak boleh bagi kau copy, tapi aku boleh bantu kau siapkan assignment ni. Dengan syarat! It's not free, okey.” Putus aku tidak sampai hati melihat wajah cemberutnya itu.

Terus satu tamparan hinggap di bahu aku sehingga aku menyeringai kesakitan.

“Hish! Kau ni dengan aku pun nak berkira!” rungutnya, tidak puas hati.

“Kata anak orang kaya, tapi kedek!” Sambungnya lagi, marah.

“Yang kaya, bapa aku. Bukan aku. Aku apa je yang ada. Skuter buruk tu je,” balas aku, datar.

“Ah…”

Aku melihat Vanida mengigit bibirnya. Pasti dia berasa serba salah dengan keterlanjurannya tadi. Vanida tahu tentang kisah hidupku. Walaupun pada awalnya dia tidak percaya, sama seperti rakan-rakan yang lain, tapi bila dia sendiri melihat dengan mata kepalanya bagaimana layanan Tan Sri Zubari kepadaku, dia mempercayainya. Dan sejak itu, kami jadi semakin rapat. Dialah kawan yang memahami diriku dan sentiasa ada untuk aku. Sampai aku bekerja separuh masa di sini pun dia ikut sekali. Katanya buat duit beli starbucks.

“Eh… Hujung minggu ni kita tengok wayang nak? Ada cerita baru keluar. Jom!” Dia cuba mengubah topik perbualan kami.

“Malaslah aku. Kau pergi jelah dengan yang lain.” Tolak aku, lembut.

“Alah… Kau ni… Jomlah. Bukan selalu…” pujuknya lagi.

Aku mengeluh lalu memandangnya yang sudah buat muka seperti anak kecil.

“Kau kira, ya. Nak keluar tengok wayang, mestilah nak keluar duit. Tiket wayang sekarang dah berapa? Lepas tu masuk situ bukan setakat tiket je, mesti nak beli popcorn semua tu. Kos lagi tu. Dah tengok wayang, mestilah nak jalan-jalan, nak makan, nak shopping. Semua tu duit tau. Daripada aku pergi habiskan duit aku dengan benda lagha tu, baik aku simpan duit. Boleh aku beli benda lain yang lebih manfaat,” jelas aku, panjang lebar. Vanida sudah mencebikkan bibirnya.

“Kau ni… Kau patut ambil course akaun tau, bukan teater!” rungutnya lagi. Aku hanya menyumbingkan bibirku sahaja.

“Bukan selalu pun kita berjimba. Alah… Kau anggap je sambil enjoy sambil study. Yalah, kita kan student teater dan perfileman, jadi mestilah kena tengok semua cerita baru. Untuk rujukan kita juga.”

“Sekarang banyak je platform online yang tayangkan semua filem. Nanti dah keluar dalam platform tu semua, aku langganlah. Lagi jimat sebab aku boleh tengok banyak kali. Lepas tu nak study cerita tu pun lagi senang. Depan mata tengok dia, dekat tangan ada buku catatan. Kalau wayang, dekat tangan ada popcorn je,” tukas aku, sinis. Aku mendengar Vanida mendengus.

“Kau ni banyak sangat alasannya. Cuba hidup tu chill-chill je. Ni tak! Hari cuti kau habiskan masa dengan cari duit. Kalau tak cari duit, kau duduk rumah jadi hamba keluarga kau. Kau boleh pula tahan semua tu? Kalau aku, dah lama aku chow dari situ,” bentaknya, melepaskan geram.

Aku tersenyum sinis mendengar kata-kata Vanida. “Kau fikir aku nak ke jadi hamba dia orang? TAK NAK, wei!!! Aku pun ikutkan hati nak je keluar dari rumah tu. Kau ingat siapa boleh tahan bila kita dilayan macam tak wujud dalam rumah tu.”

“Jadi, keluar jelah! Sekarang pun kau hidup berdikari sendiri. Dah tak perlu bantuan bapak kau yang tak macam bapak tu.”

Aku mengeluh seraya membalas, “Hmmm… Belum masanya lagi, V. Sampai masanya aku akan pergi jauh, V. Jauh dari sini dan aku tak nak balik ke rumah tu lagi,” tekadku, selama ini.

“Ke mana kau pergi, aku akan ikut, Warda. Itu janji aku!”
Aku hanya tersenyum tipis mendengar janji Vanida. Aku tak mengharapkan dia mengotakan janjinya. Cukuplah dia memberikan aku semangat untuk mental aku selama ini. Itu sudah cukup!

AKU mencuci pinggan-mangkuk yang penuh dalam singki itu. Orang kaya memang begini ke? Selepas makan memang dia orang tidak akan basuh sendiri perkakas yang telah dia orang gunakan sendiri. Perlu ada orang lain yang mengemas dan cucikan untuk mereka. Nak merungut pun tak guna, dah memang itu tugas skop orang gajikan, kalau tak nanti dicop makan gaji buta. Tapi… aku bukan orang gaji. Aku anak kepada pemilik rumah banglo ini. Hmmm… nak buat macam mana? Aku bukan pernah dianggap sebahagian daripada mereka. Makan pun tak pernah semeja!

“Dahlah, Warda. Kamu pergi rehat sana. Kerja ni biar Mak Ton je yang buat,” sapa Mak Ton, pembantu sebenar di rumah ini. Mak Ton juga sudahku anggap seperti mak sendiri. Aku menumpang kasih pada Mak Ton. Tiada Mak Ton, entah apa jadi dengan diri aku? Aku sendiri tak tahu.

“Tak apalah, Mak Ton. Sikit je ni,” balasku dengan lembut. Aku terdengar keluhan Mak Ton. Aku tahu sebenarnya Mak Ton risaukan diriku ini.

“Mak Ton bukan apa… Mak Ton kesian dekat kamu. Mana nak study, kerja part time lagi. Bila balik kamu nak kena tolong Mak Ton pula uruskan rumah ni,” keluhnya, lirih.

”Dah tanggungjawab saya Mak Ton. Lagipun saya larat buat semua ni. Mak Ton jangan risau, ya.” Aku mengukirkan senyuman untuk menyakinkan Mak Ton.

“Macam mana Mak Ton tak risau, kamu tu buat kerja tak berhenti! Warda… kesihatan kamu tu pun penting juga. Jangan paksa diri, nak. Rehatkan badan tu.”

Aku mengangguk perlahan. “Tak apa, Mak Ton. Warda masih muda lagi. Tenaga Warda banyak lagi. Mak Ton tu yang kena jaga kesihatan. Jangan nak buat kerja berat sangat. Kerja berat, biar Warda je yang buat. Mak Ton berehat je.” Aku memulangkan semula kata-kata nasihat kepada Mak Ton.

Mak Ton mengangguk sedikit bersama senyuman tipisnya terukir di bibir tuanya.

“Orang nasihatkan kamu, kamu nasihatkan orang balik. Haih… Warda, Warda…” Tergeleng-geleng kepala Mak Ton menyebabkan aku tertawa.

“Haaa… dah siap pun…” Aku membilas gelas yang terakhir lalu aku letakkan pada rak untuk mengeringkannya. Aku merenjis-renjiskan tangan yang basah di singki lalu dilap pada tuala kecil yang tergantung di sisiku.

“Jadi, semua kerja dah siap. Mak Ton bolehlah balik. Kesian Pak Samad tunggu Mak Ton dari tadi. Lagipun dah lewat sangat ni, Mak Ton.” Aku menjeling jam di dinding. Jarum jam sudah pun menginjak pukul 10 malam. Ikutkan pada waktu begini Mak Ton dan Pak Samad sudah pulang ke rumahnya. Tapi, hari ini agak lewat sedikit, sebab Tan Sri balik lambat tadi. Jadi makan malam mereka juga tertangguh juga.

“Yalah, Mak Ton balik dulu. Kamu tu pergi rehatkan badan. Esok je kamu sambung buat kerja tu semua.”

Aku tersenyum mendengar arahan Mak Ton. Arahan daripada seorang emak kepada anaknya. Sikit sebanyak kehadiran Mak Ton dalam hidup aku, mengubat rindu aku pada arwah ibu dan nenek.

“Yes, madam!” Aku mendabik tangan ke kepala, menurut perintah.

Mak Ton tertawa melihat selorohku. Aku juga ikut ketawa. Ah! Seronoknya jika aku memang anak kandung Mak Ton.

PERGI sahaja Mak Ton pulang ke rumahnya, aku terus masuk ke dalam bilik aku yang berada berhampiran dengan dapur. Sebenarnya bilik itu dikhaskan untuk pembantu rumah, tetapi oleh kerana Mak Ton tidak tinggal di situ jadi bilik itu menjadi bilikku. Jangan beranganlah untuk aku memiliki bilik lain di rumah itu selain bilik kecil ini. Sekurang-kurangnya ada bilik dan katil untuk aku berehat sudah mencukupi. Aku sedar diri siapa aku untuk meminta lebih dari ini.

Aku menghempaskan tubuh badanku di atas katil bujang itu untuk melepaskan lelah. Berkeriuk bunyi katil itu apabila aku menghempaskan tubuh kecilku di situ. Maklumlah katil lama, jadi macam-macam bunyinya keluar. Tapi aku tetap bersyukur.

Hanya beberapa saat aku menelentang untuk meluruskan pinggang yang seharian digunakan, aku terus meniarap dan mencapai peranti telefon berjenama Oppo di sisi katil. Aku capai sekali earphone yang bersebelahan dengan telefon. Aku sambungkan earphone dengan telefon dan aku pasangkannya pada kedua lubang telingaku. Aku terus menyeret skrin telefon dengan jari telunjuk dan aku terus menekan simbol youtube. Aku terus menaip dan mencari carian yang kuingini. Jumpa sahaja apa yang dicari, terus dimainkan dan aku melintangkan telefon agar lebih besar paparan videonya. Video tarian zapin ditayangkan dan kedua kakiku t yang dijulang ke langgit turut tergoyang-goyang mengikut rentak yang aku dengar. Sebelah tanganku meliang-liuk mengikuti gerak tari yang sedang kulihat.

Sedang asyik menonton video, pintu bilikku ditolak dengan sangat kasar oleh seseorang.

“WARDA SOFEA!”

Tersentak diriku dan terus terduduk aku di atas katil. Aku melihat wajah yang menyeringai merenung tajam padaku. Tak tertelan liur melihat wajah itu. Haaa… Nampaknya malam ini malam yang panjang untukku. Pasti ada sesuatu yang tidak kena yang aku lakukan menyebabkan dia akan menyerangku sebentar nanti. Aku sudah lali dan bersedia. Badanku ibarat punching bagnya. Nampaknya aku akan dapat habuanku malam ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience