BAB 26

Romance Completed 11647

"Hamka.." Aku memandang ke arah Hamka yang sedang kusyuk memandang ke arah kaca televisyen. Cerita kartoon Toy Story 3 yang ditayangkan amat menarik perhatiannya.

"Ye?" Dia menjawab. Matanya tidak lepas memandang ke arah kaca televisyen.

Aku hanya mengeleng kepala melihat tingkahnya. Kebudak budakan betul. Aku meneruskan melipat baju yang bertambun di dalam bakul.

Masuk kali ini, sudah lima kali aku menguap. Penat betul. Pagi tadi aku bangun awal kerana Hamka mengajakku qiamulai. Alhamdulillah sekarang hatiku sudah terbuka untuk solat. Tudung juga sudah dipakai di dalam rumah.

"Hamka, nak solat jugak." Kataku apabila Hamka membuka pintu biliknya.

Hamka tercengang melihat aku yang memakai telekung solat. Dia meraup wajahnya sambil mengucapkan Alhamdulillah. Aku hanya tersenyum melihat gelagatnya.

"Jom turun. Kita solat kat bawah." Ajak Hamka. Aku menuruti langkahnya menuju ke ruangan solat.

Selesai membaca doa, Hamka bertanya kepadaku. "Rose dah kenapa?"

"Salah ke? Takpelah kalau macam tu." Aku cuba menanggalkan telekung solat. Namun cepat cepat dihalang olehnya.

"Ehhhh jangan jangan. Pakai balik." Kata Hamka. Dia yang baru sahaja membuka Al-Quran menutupnya kembali.

Aku memasamkan muka. Telekung disarungkan kembali. Muqaddam dicapai dan dibawa ke hadapan Hamka.

"Ajar." Ujarku sepatah.

Hamka tersenyum memandangku. Nasib baik ustaz ini tidak garang, kalau garang sudah lama aku batalkan niat hendak belajar mengaji. Selama ini pernah juga mengaji. Tapi disebabkan otak telah dicemari dengan rokok, arak dan dadah, habis semua yang dipelajari hilang dari ingatan.

Tergagap gagap aku membaca kata kata cinta Allah itu. Bodohnya rasa diri ini kerana meninggalkan-Nya buat sekian lama. Kali ini aku tekad, aku tidak akan berpatah balik ke jalan itu.

"Jauh termenung. Fikir pujaan hati ke?" Usik Hamka. Dia sudah tersengih seperti kerang busuk di atas sofa.

"Yelah. Fikir pujaan hati Rose. Rindu." Aku menjelirkan lidah ke arahnya. Betullahkan? Fikirkan Hamka.

"Siapa? Nak tahu juga." Hamka bangun dan duduk bersila di hadapanku. Dia mencapai sehelai baju t shirt dan dilipat. Kemas.

"Tak boleh. Rahsia." Aku mengeleng elengkan kepala.

"Takpelah kalau macam tu. Taknak kawan." Hamka memeluk tubuh. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain dan mencebikkan bibirnya.

Baru saja jari didekatkan dengan wajahnya kerana hendak mencubit pipinya, aku teringat sesuatu. "Rose tak ada hak." Aku melarikan tangan dan meneruskan melipat baju sambil menahan geram.

Hamka memandang wajahku. Dia tersenyum. "Pandai sayang abang." Katanya sebelum melangkah ke dapur.

Tidak lama kemudian, dia datang sambil membawa segelas air Nescafe. Aromanya saja sudah mampu menghilangkan kantuk yang menguasai diri. Mug yang dihulurkan kepadaku dicapai. Terus aku meneguk air yang suam suam kuku.

"Terima kasih." Aku mengenyitkan mata kepada Hamka. Sedap juga air Nescafe ini. Cukup rasa.

***

Kereta yang dipandu Hamka meluncur laju ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Hari ini kami akan menjemput kepulangan Mak Mah dan Pak Mid. Rindu rasanya kepada dua insan yang telah banyak membantu aku.

"Mak Mahhhhhh." Aku berlari ke arah Mak Mah dan memeluknya erat. Orang di sekeliling sudah tidak diendahkan.

"Rindunya." Aku mencium pipi tua Mak Mah.

Mak Mah tergelak kecil. "Rindu Rose jugak. Banyak Mah Mah belikan hadiah untuk Rose." Kata Mak Mah.

"Bukan dia sorang. Kita pun beli juga." Sampuk Pak Mid. Kami hanya ketawa dengan teguran Pak Mid.

"Ehem. Orang kat sini tak ingat ke?" Hamka yang berdiri di belakangku mematikan tawa kami bertiga. Rasa bersalah mula menerpa. Aku pula yang lebih lebih dengan ibu bapa orang. Aku berundur dan memberi laluan kepada Hamka.

"Kenapa tak ingatnya. Kami selalu doakan kamu kat sana." Ujar Mak Mah sambil memeluk anak terunanya yang seorang itu.

"Hadiah pun ada untuk kamu." Sampuk Pak Mid. Hamka turut memeluk Pak Mid. Terharu melihat kasih sayang antara tiga beranak itu.

Serta merta wajah ibu menerpa ke ingatanku. Aku menarik nafas dalam dalam bagi menghilangkan rasa sedih. Kata Hamka, kita tak boleh meratapi pemergian seseorang. Seksa dia di sana. Cukuplah sekadar menitipkan doa.

"Jom." Mak Mah memegang tanganku. Kami berjalan beriringan di belakang Pak Mid dan Hamka. Untung ada Mak Mah, dapatlah aku melepaskan rindu aku pada ibu.

"Macam mana sepanjang kami tak ada? Rose okay je kan, Hamka?" Tanya Pak Mid apabila kami sudah berada di dalam kereta.

Aku dan Hamka berpandangan. Selepas itu, meletus ketawa daripada mulut kami. Hanya kami berdua yang tahu maksud ketawa itu.

"Panjang ceritanya Pak Mid." Ujarku dengan tawa yang masih bersisa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience