PENGEBUMIAN arwah Syafiqah berjalan dengan lancar. Arwah selamat dikebumikan bersebelahan pusara arwah ibu dan ayahnya.
Hujan renyai-renyai juga turun mengiringi suasana yang hiba ini umpama turut sama menangisi pemergian Syafiqah.
Orang ramai sudah beransur-ansur pergi meninggalkan tanah perkuburan. Yang tinggal di perkuburan sekarang hanyalah kenalan-kenalan rapat Syafiq.
"Kami balik dulu. Salam takziah. Aku doakan kau tetap kuat," ujar Paan memberi semangat. Mail di sebelahnya hanya mampu menepuk-nepuk bahu Syafiq yang masih ditawan kesedihan. Mereka berdua akhirnya beredar setelah turut serta dalam proses pengebumian ini.
Kini yang tinggal hanyalah Syafiq dan Damia, berserta Pak Ya dan Najihah. Masing-masing menekur tanah merah yang menempatkan pusara gadis syurga itu. Sememangnya, kematian Syafiqah amat dicemburui kerana kematian arwah tergolong dalam mati syahid akhirat. Meninggal kerana menjadi korban kebakaran.
Keadaan abu mayat Syafiqah yang dijumpai bomba tadi amat menyayat hati. Tubuhnya dijumpai dalam keadaan rentung sambil memeluk al-Quran. Yang ajaibnya, kalam Allah itu masih selamat. Allah ... besar sungguh kekuasaan-Mu.
Jika Syafiqah pergi dalam keadaan husnul khatimah, mereka reda. Kematian dalam keadaan yang baik, adalah keinginan setiap umat Islam.
Tetapi apa yang mereka tak boleh terima sekarang, Syafiqah pergi disebabkan kedengkian seseorang! Kenapa Syafiqah yang menjadi korban kerana kedengkian tu?
Tadi, pihak bomba melaporkan ada kesan minyak tanah pada pintu hadapan rumah. Setahu Syafiq, dia tak pernah gunakan pun minyak sebegitu dalam rumahnya. Dia pemilik rumah tu, dia tahulah segala selok-belok rumahnya.
Kebakaran ini dirancang seseorang? Pada mulanya Syafiq tidak mempercayai itu tetapi sebaik saja pihak bomba menunjukkan satu tong berwarna putih dalam keadaan separuh terbakar yang dijumpai berdekatan pintu hadapan rumah, nafas Syafiq menjadi sesak. Dia hampir rebah di tempat kejadian itu tetapi mujur Pak Ya sempat menampan.
Bukan kerana litar pintas atau kebocoran gas tetapi disabotaj orang? Siapa je yang boleh terima semua tu. Sejak Syafiq mengetahui tentang kebenaran, mulutnya terkatup rapat. Dia membisu tanpa reaksi. Siapa yang sanggup buat begini kepada dirinya sekeluarga?
"Syafiq, Pak Ya balik dulu." Pak Ya menyatakan hasratnya. Tangannya mengusap perlahan belakang Syafiq untuk menenangkan lelaki itu. "Pak Ya sekejap lagi nak pergi balai polis. Lepas tu malam nanti jangan lupa datang tahlil kat rumah."
Pak Ya mahu bertanggungjawab untuk menguruskan semua. Takkan sekali-kali dia biarkan Syafiq yang sedang tersungkur terkapai-kapai berseorangan. Majlis tahlil arwah Syafiqah juga dia mahu untuk uruskan di rumahnya.
Syafiq tak beriak apa-apa. Matanya masih tertancap tepat pada batu nisan yang terukir nama penuh adiknya, Nurul Syafiqah Amani Binti Rahmat. Suaranya macam sudah habis digunakan kerana meraung sejak semalam. Tak sangka, satu-satunya darah daging yang sentiasa menemaninya sudah pergi dahulu meninggalkan dirinya.
"Makan jangan lupa, solat jangan tinggal. Istighfar dan doa banyak-banyak. Pak Ya tahu, ujian ini berat untuk Syafiq dan isteri. Pak Ya harap kamu berdua tabah hadapi semua ni," ucap Pak Ya lagi sebelum dirinya lambat-lambat bangun dari duduk.
"Kami balik dulu." Najihah minta diri juga. Dia lalu bersalam dengan Damia dan memeluk gadis tu. Sekarang ini, hanya Damia sahaja yang Najihah harapkan untuk menyalurkan kekuatan kepada Syafiq.
"Assalamualaikum." Serentak Pak Ya dan Najihah beri salam. Damia menjawab perlahan tetapi Syafiq masih diam.
Mata Damia terasa panas sekali lagi. Payung yang dia pegang dari tadi dia letakkan di tepi. Sekarang ni dia biarkan rintik-rintik hujan menyimbah tubuhnya dan suami. Dia juga tak kuat dengan dugaan ini, apatah lagi Syafiq.
"Abang ... jom balik rumah mak," pujuk Damia. Syafiq menggeleng.
Kali ini Syafiq memberi reaksi biarpun tiada suara yang keluar. Sudah cukup baik. Jadi Damia takkan sia-siakan peluang ini untuk memujuk suaminya supaya terus kuat.
"Saya tahu, abang sedih. Tapi bila tengok abang macam ni, lagilah saya sedih. Abang masih ada saya, isteri abang." Tertahan-tahan nada suara Damia. Ya Allah, dirinya memang berduka sekarang ini tetapi demi suaminya, dia gagahkan jua untuk berpura-pura kuat.
Setitis. Jatuh mutiara jernih dari kolam mata. Syafiq menangis tanpa suara. Penuh sedu dan sendu.
Damia usap pipi suaminya. Tak apa. Menangislah sepuas-puasnya sekarang. Semoga dengan tangisan ini, muncullah kekuatan pada esok hari. Damia pesan dalam hati.
*****
"Dah kena timpa musibah, tahu pulak nak datang sini, ye?"
Damia dan Syafiq tertunduk. Baru je dia orang duduk atas sofa, sudah dibidas macam tu oleh Mak Siti. Tetapi demi tempat tinggal, mereka harus telan semua.
Sebenarnya, boleh aje mereka menumpang sementara kat rumah Pak Ya. Pak Ya pun siap mengalu-alukan lagi mereka menumpang tetapi mereka terpaksa menolak. Mereka tak mahu susahkan Pak Ya lagi.
Lagipun kalau dia orang menumpang kat rumah Pak Ya, mesti Najihah berasa sedikit tak selesa. Nak jaga aurat kat rumah sendiri lagi, itu membuatkan mereka faham. Jadi jalan yang terbaik sekarang ini adalah menumpang di rumah Mak Siti saja.
"Tu la ... lain kali berlagak lagi. Dulu semua benda nak salahkan mak. Lepas rumah korang terbakar, 'syaitan bertopengkan manusia' ni jugak yang korang nak mintak tolong. Banyak akal sungguh laki bini ni," tambah Mak Siti dengan suara lantangnya.
"Mak ..." rintih Damia. Dia tak kisah dia ditempelak sebegitu tetapi dia lebih risaukan perasaan Syafiq sekarang ini. Suaminya baru saja kehilangan adik, lepas itu terpaksa hadap mulut lancang ibunya pula.
"Kami hanya nak tinggal kat sini sekejap je. Kami dah tak ada tempat tinggal dah sekarang ni. Kami janji, lepas rumah yang terbakar tu siap dibina semula, kami keluar. Kami janji ..." Damia merayu buat kesekian kalinya. Sebelum dia ke kubur tadi, dia sudah menyatakan rayuannya tetapi hampa, Mak Siti keras kepala.
"Menyusahkan betul!" rungut Mak Siti. "Itulah ... dulu mak suruh kamu kahwin dengan Lokman tak nak. Kamu lari dari bernikah. Mentang-mentanglah Lokman tu tak berapa nak handsome, kamu tinggalkan je dia. Sekarang ni, dah kahwin dengan laki handsome, tapi hampeh. Yang dapat bala je memanjang."
Damia kemam mulutnya. Menahan segala panahan yang memetir dari sang ibu. Dia sudah lali dikecam. Suaminya yang di sebelahnya tidak sanggup dipandang. Hatinya berkecamuk dengan rasa serba salah.
"Mak, benda dah lepas kenapa nak ungkit? Lagipun Syafiq baru je kehilangan Syafiqah."
"Habis, kamu nak salahkan mak sebab Syafiqah mati?"
Damia pejamkan mata. Susah bertekak dengan ibunya ini. Ada saja kata-kata yang mahu diputar oleh dia tu. Nafas dihela untuk kekal bertenang.
"Yang laki kamu ni dah bisu ke? Dari tadi mak dengar kamu je yang banyak menceceh," perli Mak Siti lalu dia herotkan senyuman.
Syafiq masih diam dan tertunduk. Kata-kata tajam Mak Siti tak henti-henti menikam dirinya tetapi dia rasakan seperti tiada kesan dengan semua tu. Hatinya sekarang masih gundah dengan sebuah kehilangan.
Kenangan yang dia habiskan bersama arwah Syafiqah kini ligat bermain dalam fikiran. Satu-satunya darah daging yang sentiasa menemaninya tatkala suka dan duka, sudah pergi menghadap Ilahi.
Mak ... ayah ... adik ... semua dah tinggalkan along. Tangis Syafiq dalam hati.
Air mata secara langsung mengalir lagi. Ya Allah, aku dah tak kuat. Aku lemah. Padahal tadi, aku dah berjanji dengan isteri aku untuk terus kuat, tapi aku tak boleh. Hati Syafiq merintih lagi.
Damia tak melatah dengan ibunya yang asyik-asyik melangsi dari tadi bahkan dia terus menenangkan suaminya. Belakang suaminya diusap perlahan dan kata-kata semangat turut dia paculkan.
"Ceh! Dasar lelaki lembik," gumam Mak Siti menyampah. "Dahlah! Tak payah nak nangis mintak simpati depan aku. Nak menangis, masuk dalam bilik. Geli-geleman aku tengok. Disebabkan aku masih ada hati nurani, aku kasi korang laki bini duduk kat sini. Tapi jangan harap boleh duduk lama-lama." Mak Siti beri kebenaran jua untuk anak dan menantunya menumpang seketika di rumahnya.
Bila difikirkan, kalau dia biarkan anak dan menantunya merempat ke mana hala, nanti apa kata orang kampung pulak. Mulut orang kampung ni boleh tahan jugak pedasnya.
Damia terus ucapkan rasa terima kasihnya. Walaupun nampak tak ikhlas, sekurang-kurangnya ibunya tu dilembutkan jua hatinya untuk biarkan mereka suami isteri menumpang di rumah ni.
Selepas pasangan suami isteri tu masuk ke dalam bilik milik Damia, Mak Siti hanya menjeling ke luar. Aku terpaksa! Itu sahaja yang mampu dia jerit di dalam hati.
Malas nak fikirkan tentang hal yang dilalui sekarang, dia halakan matanya ke bawah untuk mengerling jam di telefon. Sudah hampir pukul 3:00 petang. Tiba-tiba keningnya berkerut.
Aik? Along ni pergi ke mana? Semalam kata nak balik pagi tadi. Tapi sekarang masuk waktu petang dah, tak balik-balik lagi. Mak Siti musykil. Semalam Nadia menyatakan yang dia mahu keluar dengan kawan. Nak cari kerja katanya.
Selepas isyak semalam Nadia bertolak keluar tetapi sampai sekarang batang hidung anak sulungnya itu tidak dilihatnya. Pelik betul. Pergi cari kerja atau pergi buat kerja? Hati Mak Siti berbisik sendiri.
*****
Majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan di rumah Pak Ya sudah pun selesai. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Pak Ya jugalah yang banyak menyumbang tenaga dan wangnya demi menjayakan semua ini.
Sayangnya Pak Ya kepada Syafiq tak pernah luntur sejak dulu lagi. Apabila Syafiq sudah kehilangan kesemua ahli keluarganya, makin bertubi-tubi rasa kasihnya kepada lelaki itu.
Mujurlah Syafiq sekarang sudah ada seorang isteri yang boleh diharapnya. Jadi tak terlalu risaulah akan keadaan anak kepada arwah sahabatnya itu.
"Syafiq, Damia. Tunggu!" Pak Ya menghentikan langkah mereka sebelum mereka berdua masuk ke dalam kereta Najihah. Najihahlah yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar Damia sekeluarga dari rumah.
Syafiq dan isterinya hentikan langkah. Begitu juga Mak Siti yang sudah menunggu di depan pintu kereta sambil bercekak pinggang. Mak Siti yang turut hadir dalam majlis ini nampak tak sabar sungguh mahu pulang. Sampaikan selendang yang dipakainya tadi pun habis ditanggalnya.
Dia datang ke sini pun sebab terpaksa. Lagipun, sajalah nak tayang mukanya kat orang kampung ni yang dia itu masih tergolong dalam golongan baik-baik sebab sudi hadir ke majlis tahlil ni.
Masih lagi mahu berperangai plastik!
"Ye, Pak Ya?" sahut Damia sambil melihat wajah lesi suaminya dan Pak Ya bersilih-ganti.
"Ni, Pak Ya nak bagitahu. Kes kebakaran rumah kamu tu dah melibatkan pihak polis dan pihak polis sendiri akan melanjutkan siasatan tentang kes ni. Sebab punca kebakaran disyaki kerana perbuatan orang, polis pun dah ambil bukti tong putih tu sebagai bahan siasatan. Mungkin cap jari pelaku ada pada tong tu," terang Pak Ya panjang. Itulah maklumat yang dia dapat ketika dia hadir memberi keterangan di balai polis tadi. Kalau benar semua yang berlaku ini disebabkan rancangan orang, takkan sesekali dia biarkan pelaku itu terlepas!
Syafiq yang mukanya beriak kosong segera mencerlungkan mata. Dari tadi dia asyik memikirkan tentang pelaku yang dengki kerananya. Tak habis fikir dia, siapa yang sanggup buat semua ni?
"Pak Ya. Kalau pembunuh tu dah kena tangkap, tolong bagitahu saya. Saya nak ajar setan tu cukup-cukup!" Syafiq sudah tak mampu tahan amarahnya. Dendam atas pembunuh tu menabur rasa geram dalam diri.
"Sabar, Syafiq. Pak Ya tahu kamu marah. Tapi kita kena tunggu dulu. Kita pun masih belum pasti sama ada kebakaran tu disebabkan perbuatan orang atau tak. Jadi kamu jangan risau. Apa-apa hal, Pak Ya akan terus inform kamu berdua, ye?"
Damia terus menggenggam tangan suaminya. Bila dia tengok suaminya menggosok mata yang sudah berkaca, hatinya menjadi remuk. Sungguh, dia berharap sangat suaminya lebih tabah menghadapi semua ni. Dan kalau betul kebakaran ini kerana disabotaj orang, dia berdoa sangat agar keadilan memihak kepada mereka.
"Cepatlah! Lamanya korang bersembang ..." Mak Siti mencelah kerana sudah tak tahan menunggu. Lama-lama berdiri ni, letih jugalah. Sudahlah lututnya semakin lemah akhir-akhir ini.
Najihah yang dari tadi mendiamkan diri terus masuk ke dalam perut kereta Avanzanya. Disusuli dengan Mak Siti yang duduk di bahagian paling belakang. Bahagian tengah dikhaskan untuk Syafiq dan Damia.
Sebaik saja mereka semua sudah bersedia untuk bertolak, Pak Ya masih belum habis lagi. Tingkap bersebelahan Syafiq diketuk. Mungkin ada hal lagi yang mahu disampaikan.
"Puan ... saya nak cakap sikit ni." Pak Ya terus bersuara usai Syafiq turunkan tingkap.
Mak Siti yang tadinya memandang ke arah lain terus memandang tepat wajah Pak Ya. Kalau dipanggil puan, dah semestinya dirinya tu yang dituju oleh Pak Ya.
Bila dia tengok mata Pak Ya tepat memandangnya, memang sah. Lelaki tua itu memang mahu bercakap dengannya. Siap berpuan-puan lagi. Jijik sangat ke nak sebut nama aku? Kecam Mak Siti dalam hati.
"Ha, ada apa?" balas Mak Siti dingin.
"Saya nak mintak tolong kat puan. Saya mintak sangat puan layan dan jaga Syafiq dan Damia baik-baik. Mereka perlukan sokongan sekarang ni. Bukan hinaan." Pak Ya menasihati secara terus dan terangnya.
Bukannya dia tak tahu Mak Siti itu perangai macam mana. Sebelum Syafiq kahwin dengan Damia lagi Pak Ya dah sedia maklum tentang ketidaksudian Mak Siti bermenantukan Syafiq itu.
Mulut Mak Siti ternganga luas. Ingatkan Pak Ya nak bagitahu apalah tadi, rupa-rupanya nak kasi ceramah percuma kat dirinya aje! Memang tak makan samanlah dia dengan permintaan Pak Ya itu.
"Huh! Kalau aku tak layan diorang berdua dengan baik pun, aku peduli apa. Laki bini ni dah banyak kali sakitkan hati aku. Aku bagi tumpang diorang duduk kat rumah aku pun dikira baiklah tu."
"Mak ..."
"Diamlah! Mak tak cakap dengan kamu." Mak Siti tak habis-habis memekik. Sudahlah bahang marahnya makin meluap-luap kerana Pak Ya. Anaknya yang mahu menenangkannya pun sudah tak berdaya melawan.
Pak Ya menggelengkan kepalanya. "Janganlah macam tu, puan. Damia ni anak puan dan Syafiq ni menantu puan. Tak salah kan kalau puan bagi peluang untuk terima mereka? Lagipun sampai bila puan nak buang Syafiq hanya disebabkan harta?" ulas Pak Ya lagi.
Mata Mak Siti memancarkan api yang membakar. Perdebatan terasa semakin panas. Tak guna punya si tua ganyut. Rungut Mak Siti dalam hati.
Tak sedar diri, padahal dia dan Pak Ya pun lebih kurang sebaya saja umur mereka. Cuma uban-uban yang menyaluti kepala Pak Ya je yang menampakkan Pak Ya lebih tua daripadanya.
Mak Siti mendesis. "Kau ni siapa eh nak tegur-tegur aku? Kau tu bukan siapa-siapa tau dalam hidup aku jadi tak payahlah nak sibuk itu ini. Aku tahulah kau sayangkan 'anak angkat' kau ni, tapi itu kau. Bukan aku," bidas Mak Siti sekali sembur.
"Memang saya bukan siapa-siapa bagi puan. Tapi saya ni sebagai saudara sesama Islam, kena tegur segala perbuatan puan yang salah tu. Tak baik menganiaya orang lagi-lagi seseorang tu bergelar anak mahupun menantu." Pak Ya tetap menjawab dengan tenang. "Cubalah perlahan-lahan terima Syafiq dan Damia ni sebagai suami isteri. Mereka dah lebih sebulan kahwin dah pun. Doa mereka yang baik-baik dan layan mereka seikhlas mungkin. Ingat puan, kita ni dah tua. Bila-bila masa je Allah boleh tarik nyawa kita."
Kaku. Bibir terasa seperti digam. Kena ceramah kat depan orang lain, memang tipulah kalau tak terasa bibit malunya.
Mak Siti sudah tiada modal mahu melawan kata-kata Pak Ya itu. Ucapan Pak Ya nampak tenang sahaja tetapi sungguh menikam. Bila dibidas melibatkan ajal maut ni, memang sentaplah dia tu.
Damia dan Syafiq dengar sahaja Pak Ya dan Mak Siti berdebat antara satu sama lain. Apabila perdebatan dua orang tua itu berakhir dengan diamnya Mak Siti, mereka yakin Mak Siti dah kalah berdebat.
"Jihah, bawak kereta ni cepat. Bawak tu jangan laju-laju sangat." Keadaan yang senyap membuatkan Pak Ya meneruskan arahannya kepada Najihah.
Najihah yang diam dari tadi menyahut dan mengangguk. Panas jugak perdebatan yang boleh mencetuskan pergaduhan tadi tetapi nasib baiklah ayahnya sentiasa bertenang.
Itulah Mak Siti, lain kali bercakap jangan main sedap mulut aje. Kan dah kena dengan abi. Najihah langsung memacu keretanya sambil melirik-lirik Mak Siti melalui cermin pandang belakang. Tengok Mak Siti sedang merenung ke luar tingkap, mesti sedang bermuhasabah dirilah tu.
Bersambung...
Hmm... Syafiqah dh takde :`\
Share this novel