BAB 5

Family Completed 666

“Ha? Hari jadi awak?”

“A’ ah.” Jawab Ain, keriangan sambil membuai dirinya di buaian.

“Oh, bila? Di mana?” aku bertanya dan tumpang gembira. Mataku yang dari tadi asyik memerhati kanak-kanak yang riang bermain di gelungsur kini tertancap tepat ke mata Ain yang berwarna coklat hazel ala-ala orang arab itu.

“Bulan depan. Dekat rumah saudara saya,”

“Alaa, tak buat parti kat rumah awak ke? Kalau boleh saya nak join,” rumahku dan rumah Ain memang tak jauh. Cuma selang beberapa buah rumah sahaja.

“Mm, tahun ni tak bolehlah. Tapi takpe, saya janji akan beri awak rasa sikit kek hari jadi saya nanti,” Ain menguntum senyuman manisnya.

“Sikit je?”

“Ye, sikit je,” Ain ketawa kecil.

“Ceh, kedekutnya,” aku turut tergelak bersama Ain. “Awak nak hadiah apa?”

“Ermm.., Entah. Tak kisahlah, ikut suka hati awak,”

Aku tersenyum. Sebuah patung beruang comel bersaiz sederhana sudah terbayang di fikiran. Apatah lagi berwarna merah jambu, warna kesukaan Ain. Pasti Ain menyukainya!

“Ha, tersenyum-senyum tu mesti ada makna.” Sergah Ain. Aku tersengih. Pandanganku dilemparkan ke arah seorang lelaki yang menjual ais-krim di taman permainan berhampiran rumah aku dan rumah Ain.

“Eh, jom makan ais-krim, macam biasa,” ajakku, terus bangun dari buaian itu.

“Jom, hari ni, awak belanja, eh?” Ain membuat muka comel, menagih simpati.

“Boleh, saya belanja, awak bayar,” aku ketawa terbahak-bahak. “Yalah, saya bergurau saja. Apa masalahnya, Birthday Girl..,” Muka Ain yang masam terus bertukar menjadi berseri-seri!

“Yes! Ais-krim free!”

“Yelah, nanti, hari jadi saya awak belanja saya pulak,”

“Boleh, saya belanja, awak bayar,” Ain mengulang gurauan aku. Ain pantas belari seperti anak kecil apabila melihat aku seperti ingin mencubitnya!

DING DONG!

Loceng rumah Ain berbunyi. ‘Siapalah yang datang malam-malam macam ni. Ganggu saya nak tonton tv sahaja,’ monolog Ain di dalam hati. Alangkah terkejutnya Ain apabila melihat rakan baiknya dalam pakaian tidur membawa beg yang berisi pakaian.

“Assalamualaikum,” perlahan sahaja suaraku, menahan perasaan tidak puas hati.

“Wa.. Wa’alaikumussalam.. Eh, apa yang awak buat ni, Raihana? Di rumah saya? Malam-malam? Pukul 9?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Ain. Aku hanya menunduk. Rasa serba-salah terus menyelubungi diriku. Mungkin kerana melihat reaksi mukaku yang berubah, Ain mengajakku memasuki rumahnya.

Ain merenung mukaku sebaik sahaja kami melabuhkan punggung ke atas sebuah sofa. Aku hanya berdiam diri, menyusun ayat yang bakal diluah.

“Saya.. saya..” Aku agak tergagap-gagap pada mulanya, “Saya nak tumpang rumah awak, boleh?” Aku melentokkan sedikit kepalaku, meraih simpati.

“Mengapa pula?” suara Ain agak tinggi. Melihat dahinya yang kerut seribu, aku terus terkedu. Ain menghela nafas lemah.

“Lari dari rumah?” Ain bertanya kepadaku dengan tenang. Aku mengangguk lemah. “Tapi.. kenapa?”

“Mama saya outstation. Ayah tiri saya tak sukakan saya,” pendek sahaja jawapanku. Aku berharap agar Ain faham dengan keadaan ini. Aku bukan sengaja lari dari rumah, cuma aku tak tahan. Ketiadaan mama selama seminggu kerana pergi menjalani kursus benar-benar menyeksakan aku. Bukan saja dimarah oleh ayah tiriku, malah diherdik dan dipinggir pula oleh kakak-kakak tiriku. Alangkah indahnya hidup kalau mama tidak bercerai dengan Abah, tentu kami sedang bahagia sekarang. Menonton TV, berbual-bual, bergurau-senda dan bergelak ketawa. Ke manakah hilangnya bahagia yang aku kecapi suatu masa dahulu?

Ain sekali lagi merenung mataku. Tajam. Tiba-tiba dia tersenyum, “Mujur ayah dan ibu saya tiada selama dua hari. Awak bertuah, Nor Raihana Aisyah!”

Aku menghembus nafas lega. Bagaikan beban yang dipikul semua hilang serta-merta. Aku mulai mengukir senyuman. Lantas aku memeluk Ain seerat-eratnya. “Thank you!!”

“Jadi, awak tinggal dengan siapa?” tanyaku setelah pelukan ku terlerai.

“Kakak saya. Tu pun nasib baik sebab dia baru balik asrama. Dia berada di dalam biliknya, sedang siapkan kerja sekolah,” Ain menuding jari ke bilik kakaknya, Nina.

“Ayah dan ibu awak pergi mana?” soalku lagi.

“Mereka pergi lawat abang saya di MRSM. Selepas itu, pergi ziarah Mak Long saya. Kata mereka, ada kenduri kahwin anaknya.”

“Ooo.. Apapun, terima kasih tau Ain! Awaklah sahabat saya sehidup semati!” Aku memeluk Ain. Kali ini, lebih kuat lagi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience