38

Romance Completed 132664

Pagi itu hujan masih renyai, dan bagaikan tiada tanda-tanda akan berhenti. Hajah Azizah dan suami masih setia di sebelah katil Hana. Sayup kedengaran keduanya mengalunkan ayat-ayat al-Quran.

Hana membisu tanpa sepatah kata. Hanya dada berombak lemah, menghayati bacaan yang dilantunkan sambil tangan kemas diganggam Azizah. Sakit sudah semakin lama semakin terasa, hingga menyesakkan dada.

Usai solat subuh, Hazim masih duduk di surau. Kata-kata Hana semalam masih mengganggu fikirannya. Jika sesuatu bakal terjadi kepada Hana, berat bagi Hazim untuk memaafkan dirinya sendiri.

Bibir tidak putus-putus berzikir, mengharapkan pertolongan yang Maha Besar. Saat rasa tidak sedap hati menjengah, Hazim lekas bangun dari situ.

Bunyi mesin yang berada di sebelah katil mengejutkan Azizah yang sedang khusyuk. Jari-jari Hana yang kebiruan di dalam pegangan juga makin sejuk dirasakan.

"Ma—ma.. Allah.." suara Hana tenggelam timbul.

Hana yang sedari tadi diam sedang tercungap-cungap mencari nafas.

"Hana! Abang..! Ya Allah..." cemas suara Azizah mendengarkan bunyi nafas Hana makin tidak teratur, bagai tersekat.

"Hana..!" Halim mengoncang lembut lengan Hana sebelum berlari keluar mencari pertolongan.

Hazim berlari anak apabila melihat Azizah dan Halim berpelukan di hadapan bilik yang menempatkan isterinya.

Halim menenangkan Azizah yang bagai hilang arah. Hazim turut melihat melalui cermin bilik, lalu dia terdiam sendiri.

Lutut terasa lemah, seluruh tubuh menggigil ketakutan. Bayangan doktor dan sekumpulan jururawat yang sedang giat melakukan CPR dipandang dengan perasaan berat.

Sering Hazim dengari khabar kematian sejak berada di situ, namun dia belum bersedia sekiranya hari ini khabar itu datang dari kalangan orang yang disayangi.

Dia belum sedia kehilangan Hana.

.
.

Tubuh Hana kaku ibarat tidak bernyawa, wajahnya pucat lesi. Mata masih terbuka, walaupun tidak mampu berkata-kata. Doktor memaklumkan bahawa denyut jantung Hana berhenti sebentar tadi.

Badannya juga sudah semakin lemah. Jangkitan kuman menyebabkan organ-organ utama berhenti berkerja. Tidak banyak yang mampu diusahakan. Tanpa bantuan mesin, sesungguhnya Hana sudah 'tiada'.

Kedengaran bisik-bisik halus sesama pengunjung di dalam bilik itu. Ramai sudah ke mari. Seluruh keluarga terdekat sudah berkumpul bersama-sama. Hanya berdoa agar ada keajaiban berlaku.

Amirah masih belum berhenti mengalirkan airmata. Camilla yang ibarat mengerti situasi yang sedang berlaku juga menangis. Badrul sudah bengkak habis matanya.

Halim sudah redha, bersedia dengan apa juga kemungkinan. Hati dipagut rasa sedih yang teramat, melihat Hana sedang nazak.

Azizah mengusap kepala anak perempuannya penuh kasih. Kering sudah airmata menangisi nasib Hana. Andai ini takdirnya, dan andai ini mampu mengurangkan sakit Hana, dia redha. Redha Hana kembali kepada sang pencipta. 'Ya Allah, permudahkanlah urusan anakku..'

Mulut Hana bergerak-gerak bagai ingin mengucapkan sesuatu, namun tiada yang terluah.

Azizah mengangguk tanda faham.

"Mama dah ampunkan Hana.. Hana rehat ya... mama doakan Hana.." bisik Azizah bersulam air mata.

Hazim setia di sisi Hana. Manatap wajah kesayangan itu buat kali terakhir. Berkali-kali dia mencium tangan Hana meminta ampun. Kata-kata semangat tetap dituturkan, walaupun Hana hanya sesekali menggerakkan mata.

"Sabar, sayang.. Jangan tinggalkan abang.." ujar Hazim dalam tangisan, makin tak tertahan sebaknya.

"Maafkan abang, maafkan abang.. Ati.. Tahan ye, sayang. Jangan tinggal abang, Ati.."

Ada airmata yang mengalir dari pelupuk mata yang hampir terpejam itu. Hana tidak mampu berkata-kata, hanya pandangan dihantarkan ke wajah-wajah di sekelilingnya.

Mama, ayah, along, angah... dan akhirnya suami. Kesemuanya dipandang Hana buat terakhir kali.

Penat. Dia mahu berehat dari segala kesakitan ini. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan insan-insan di sekeliling.

Satu-persatu kenangan lama bagai diulang tayang. Bermacam kenangan pahit dan manis yang telah ditempuhi. Dia pernah bahagia walau sekejap.

Andai kini masanya untuk dia pulang, Hana akur. Hidup atau mati diserahkan pada Yang Maha kuasa, siapalah dia untuk melawan takdir. Sekurang-kurangnya kalau dia sudah pergi, ringan beban yang dipikul ahli keluarga.

.
.

Usai waktu maghrib, hujan di luar masih renyai. Seakan menggambarkan perasaan jiwa-jiwa yang sedang bersedih.

Keadaan Atilia Hana semakin tenat. Mengerti bahawa anak perempuannya sedang menghadapi sakaratul maut, Halim membisikkan dua kalimah syahadah di telinga kanan Hana.

Esakan demi esakan kedengaran. Tangan di sebelah kiri Hana, erat digenggam Hazim.

Badrul yang berada di tidak jauh dari situ cuba ditenangkan Ammar. Bukan mudah merelakan satu-satunya adik perempuan pergi.

"Laillahaillallah..." payah kedengaran suara Haji Halim.

Tergerak-gerak bibir kering Hana, cuba mengulangi bacaan yang sama. Jalan pulang sudah begitu hampir dia rasakan.

Azizah memeluk kejap tubuh Hana. Mata Hana yang separuh terbuka semakin layu.

"Muhammadur rasulullah...."

Sampai sahaja ke ayat terakhir, Hazim merasakan tangan yang digenggamnya mulai melurut jatuh.

"Innalillahiwainnailaihirajiun..."

Jasad yang tadinya bertarung nyawa sudah keras kejung. Sesaat, dua saat, suara tangisan memenuhi ruang itu.

Hazim masih meramas-ramas tangan Hana yang sejuk beku. Air matanya tidak berhenti mengalir. Pipi dan dahi isteri dikucup penuh kasih, tanda ucapan selamat tinggal. "Ati.... "

Badrul terduduk mencangkung. Walau dikesat berkali-kali, matanya tak mahu kering. Melihat Hana menghembuskan nafas terakhir di hadapan mata sendiri, Badrul pasrah. Ternyata Tuhan lebih menyayanginya.

Ammar yang sedar akan apa yang berlaku bertindak pergi dari itu. Pedih matanya ditahan. Sehinggalah menapak keluar dari wad Hana, berhambur jua tangisannya.

Ammar tidak sempat menemani Hana di hari-hari terakhir wanita itu kerana kekangan masa. Namun dia redha, kerana dia sempat meluahkan hasratnya terhadap Hana.

'Ampunkanlah dosa-dosanya Ya Allah, tempatkan dia di kalangan hamba-hambamu yang beriman.' bisik hati Ammar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience