BAB 2 - KEMALANGAN

Romance Completed 727295

“DATO’ kita terus balik ke rumah ke?” soal pemandu Dato’ Bahar iaitu Pian.

“Ya. Kita terus balik ajelah. Badan pun penat sangat ni, lepas main golf tadi.”

“Baiklah Dato’.”

Dato’ Bahar mengelamun, sambil memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba dia memikirkan Atilia. Entah apa yang dibuat anaknya ketika ini. Adakah sedang dimarahi Juliana? Dia tahu, Juliana kerap memarahi anaknya. Tetapi, Dato’ Bahar hanya membiarkan sahaja. Lagipun Juliana sudah menjadi ibu tiri kepada Atilia. Tiada masalah jika Juliana mahu memarahi anaknya.

“Eh... Dato’, ada kemalanganlah dekat depan tu.” Pian bersuara tiba-tiba.

Dato’ Bahar tersentak. “Mana Pian?” Matanya terus sahaja meninjau ke luar tingkap.

“Itu, Dato’.”

“Ha’ah la Pian. Berhenti Pian. Kita pergi tolong.”

Pian mengikut arahan majikannya, lalu kereta diberhentikan di tepi jalan.

Terdapat kereta Audi yang sudah pun remuk di bahagian hadapan, akibat dilanggar lori kecil yang datang dari arah bertentangan.

“Pian, kamu pergi tolong orang dekat lori tu. Saya pula, tolong yang kereta Audi tu. Awak call ambulans terus.”

“Baik Dato’.”

Dato’ Bahar terus meninjau dari luar tingkap. Terdapat seorang lelaki yang sudah pun tidak sedarkan diri ketika ini. Kedua-dua kakinya pula tersepit di bawah stering keretanya. Dengan pantas Dato’ Bahar membuka pintu kereta. Dia mahu menarik lelaki tersebut keluar dari perut kereta tersebut.Tiba-tiba sahaja hidungnya terhidu bau minyak kereta yang begitu kuat ketika ini. Pandangannya terus dialihkan ke arah tangki minyak. Ya, memang ada titisan minyak kereta yang sedang mengalir keluar dari tangki minyak tersebut. Dato’ Bahar tidak boleh menunggu lama lagi. Bila-bila masa sahaja kereta ini akan meletup.

“Pian! Tolong saya tarik lelaki ni! Kereta ni macam dah nak meletup!” jerit Dato’ Bahar.

Pian dengan pantas berlari, untuk membantu Dato’ Bahar. Tubuh lelaki yang tidak sedarkan diri itu, terus sahaja ditarik keluar, dan dijauhkan sedikit dari kereta miliknya, yang sudah menunggu masa untuk meletup.

Bom!

Bunyi letupan telah mengejutkan mereka berdua. Lelaki yang dibawa keluar tadi, telah diletakkan di atas rumput. Manakala pemandu lori pula, berada tidak jauh daripada mereka.

“Dah call ambulans?” Dato’ Bahar memandang Pian.

“Sudah Dato'.”

Hampir lima belas minit menunggu, sebuah kereta ambulans telah pun tiba di tempat kejadian. Dua lelaki yang cedera parah tadi, terus dibawa masuk ke dalam ambulans tersebut.

“Kita ikut belakang ambulans,” kata Dato’ Bahar.

Pian mengangguk.

Dalam 10 minit, mereka telah pun tiba di hospital. Dato’ Bahar terus membantu untuk urusan pendaftaran. Alangkah terkejutnya dia, saat dia mendaftarkan nama lelaki yang memandu kereta Audi tadi. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah Seth Zarif. Dan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di Malaysia.

JULIANA tidak senang duduk, apabila anak perempuannya Yasmin, masih belum pulang lagi. Entah ke mana anak perempuannya itu pergi. Sudahlah senyap. Nombor telefonnya juga langsung tidak dapat dihubungi.

Kedengaran bunyi enjin kereta, telah pun masuk ke pekarangan rumah. Juliana meninjau ke luar. Itu pasti anaknya.

Tidak lama itu, pintu utama dibuka. Terjegul susuk tubuh Yasmin di muka pintu.

“Mana kamu pergi ni ha? Langsung tak beritahu mama. Suka sangat keluar tak beritahu. Tak boleh ke, lepas habis kelas terus je balik rumah,” bebel Juliana, sambil menyilangkan kedua-dua tangannya ke dada.

“Yasminkan dah beritahu Lia, yang Yasmin ada kelas. Penatlah. Balik-balik rumah dengar mama ni berleter.”

“Ada kelas? Takkan sampai ke malam kelasnya?”

“Mama ni. Takkan Yasmin nak tipu mama pula? Penatlah. Janganlah nak berleter je. Yasmin dah besar. Bukan budak-budak lagi.”

“Itulah kamu. Bila mama cakap sikit je, kamu kata mama ni berleter. Budak tu pun bukannya beritahu mama, yang kamu nak balik lambat. Lain kali kamu sendiri yang beritahu mamakan senang? Ni langsung tak. Yang mama ni, asyik fikir ke manalah kamu ni tak balik-balik lagi.”

Yasmin mendengus kasar. Balik sahaja ke rumah, ada sahaja yang dibebelkan oleh ibunya.

“Yang papa kamu ni pun satu, tak balik-balik lagi. Jam dah nak pukul 9 malam. Mama ni dah lapar tau? Sudahlah, mama dah malas nak tunggu lagi. Jomlah kita makan. Lantaklah dia orang, nak makan ke tidak.” Juliana melangkah menuju ke meja makan.

“Mama makan ajelah. Yasmin dah makan dekat luar tadi.”

“Makan dekat luar? Ni lauk banyak-banyak, siapa yang nak makan?”

“Simpan ajelah. Kalau dah malas nak simpan, buang je. Dahlah, Yasmin naik atas dulu.” Yasmin menaiki anak tangga dengan tubuhnya yang lemah longlai.

Entah kenapa, dia terfikir mahu menuju ke bilik Atilia. Kaki diayun laju menuju ke bilik adik tirinya. Pintu bilik dikuak kasar. Kelihatan Atilia yang baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak.

Belum sempat Atilia membuka telekungnya, kepala adik tirinya terus sahaja ditolak dengan kuat. Wajah Atilia terus sahaja tersembam di permukaan sejadah.

“Hoi! Aku dah pesan dekat kau kan? Beritahu mama aku, yang aku balik lambat, sebab ada kelas. Kenapa kau tak beritahu!” marah Yasmin.

“Yang akak nak marah-marah Lia ni kenapa! Apa masalah akak? Tolak-tolak kepala orang pula!”

“Suka hati akulah nak tolak kepala kau ke apa? Nasib baik kau tak beritahu aku pergi Genting tadi. Kalau kau beritahu tadi, memang nahas kau, aku kerjakan. Itu baru aku tolak kepala je.” Yasmin berlalu pergi meninggalkan Atilia.

Atilia memegang dahinya. Nasib baiklah tidak terasa sakitnya. Sakit hatinya dengan sikap kakak tirinya yang selalu sahaja mencari masalah dengannya.

Dah tujuh tahun duduk sini, dua-dua tak berubah. Ada je benda nak cari pasal dengan aku. Kenapalah papa kahwin dengan Auntie Jue? Atilia mengeluh perlahan.


KHALID berlari menuju ke kaunter pendaftaran. Dia benar-benar susah hati, apabila mendapat tahu yang majikannya mengalami kemalangan jalan raya.

“Maaf nurse, tumpang tanya. Ada tak pesakit bernama Seth Zarif masuk ke hospital ni? Dan sekarang ni dia dekat wad berapa?”

“Siapa tadi? Seth Zarif ya? Sebentar ya, saya semak dulu nama dia.”

Khalid mengangguk. Dia benar-benar risau. Salahnya juga, kerana membiarkan Seth Zarif berseorangan mengambil tunangnya Sara. Sara sudah dihubungi. Tetapi wanita itu tidak dapat datang ke hospital kerana mengalami jetlag. Dan wanita itu juga marah-marah, kerana membiarkan dia berlama di KLIA berseorangan.

“Okey saya dah semak nama pesakit tadi. Pesakit masih di dalam wad kecemasan. Belum dibawa ke wad biasa lagi. Encik boleh tunggu di ruang menunggu ya?”

“Oh iya ke? Tak apalah, saya tunggu. Terima kasih nurse.”

“Sama-sama.”

Khalid terus menunggu di ruang menunggu. Di hatinya berdoa, semoga majikannya itu tidak mengalami kecederaan parah.


“YOU ni ke mana? Dah lewat baru balik?” bebel Juliana.

“Tadi I pergi tolong orang. Ada kemalangan,” balas Dato’ Bahar.

“Sibuk sangat nak pergi tolong orang tu kenapa? Biarlah orang lain yang tolong.”

“Yang you membebel ni dah kenapa? Pergilah ambil air untuk I. Ni tak, dari tadi membebel je,” marah Dato’ Bahar.

“You nak minum, kan? Ha, pergilah ambil sendiri.” Juliana berlalu pergi meninggalkan Dato’ Bahar keseorangan di ruang tamu.

Dato’ Bahar mendengus kasar. Balik ke rumah, ada sahaja yang tidak kena.

Tidak lama itu, muncul Atilia sambil membawa segelas air. “Nah, pa air.” Gelas dihulurkan.

“Eh, Lia. Terkejut papa. Thanks,” ucap Dato’ Bahar. Air diteguk perlahan.

“Tadi kenapa pa? Ada orang accident ke?”

“Ha’ah, nasib baik papa sempat tolong dia. Sebab kereta dia waktu tu, dah nak meletup. Sikit je lagi,” jelas Dato’ Bahar.

“Lah, iya ke? Nasib baik sempatkan Pa? Patutlah pelik, tengok papa tak balik lagi.”

Dato' Bahar hanya tersenyum sedikit. Dia benar-benar penat hari ini.

“Hmm, pa... Lia nak minta izin boleh tak?”

“Minta izin? Minta izin apa pula tu?” soal Dato’ Bahar.

“Esok Lia nak keluar, lepas habis kelas. Papa izinkan tak?” pinta Atilia. Lagipun dia sudah berjanji dengan Irfan tadi.

“Nak keluar dengan siapa tu?” Dato’ Bahar bertanya lagi.

Atilia tersengih seperti kerang busuk. Dia kelihatan malu-malu. “Er...” Entah kenapa, dia tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Risau tidak diizinkan bapanya pula.

“Dengan boyfriend ke?” teka Dato’ Bahar.

Atilia mengangguk sedikit. Tepat pula tekaan bapanya.

“Papa tak tahu pun, Lia dah ada boyfriend. Siapa dia tu? Bila nak bawa dia jumpa papa?”

“Alah, baru je pa. Nantilah, ada masa Lia bawak dia jumpa papa ya?”

“Yalah, elok-elok. Jangan buat benda yang bukan-bukan tau? Jangan malukan papa. Lia tu perempuan. Jaga diri tu baik-baik.”

“Papa ni sampai ke situ fikirnya. Lia tau jaga diri Lia. Papa janganlah risau ya?”

“Papa bukan apa, Lia tu satu-satunya anak papa. Papa tak naklah Lia buat benda yang bukan-bukan. Orang cakap, jaga kambing lagi senang, dari jaga anak perempuan seorang tau?” Hidung mancung anak perempuannya dicuit.

“Ya Insya-Allah pa, jangan risau okey? Hmm, pa. Boleh tak, kalau papa ambil orang gaji semula? Lia tak sempat nak balik masaklah pa. Kelas pun bukan tentu habis awal. Kadang-kadang tu cepat, kadang-kadang tu lambat.”

Dato’ Bahar mengeluh. Ingatkan bila dah berhentikan orang gajinya, isterinya Juliana yang akan buat semua kerja rumah. Tetapi lain pula yang jadinya, apabila anaknya Atilia pula yang buat kesemuanya.

“Yalah, esok papa carikan orang gaji yang baru.” Dato’ Bahar mengusap lembut kepala anaknya.

“Papa dah makan belum? Lia tak makan lagi ni. Lia masak sedap tau?”

“Iya ke? Ha, Jomlah. Papa pun belum makan lagi ni.” Dato’ Bahar dan Atilia menuju ke dapur untuk menjamu selera.

Usai makan malam, Atilia terus merebahkan badannya di atas katil. Telefon bimbit diambil dari atas meja, lalu nombor telefon Irfan didail. Tidak lama itu, panggilannya terus sahaja dijawab.

“Assalammualaikum, hello awak. Buat apa tu?”

“Waalaikummussalam, saya dekat luar ni. Lepak dengan member.”

“Oh iya ke? First time saya dengar awak keluar lepak dengan member.”

“Bosanlah awak. Duduk rumah je. Tu yang saya keluar ni. Macam mana esok? Jadi ke kita nak keluar ni?” soal Irfan.

“Jadi. Saya dah minta izin dengan papa saya. Dia terkejut juga bila dapat tahu yang saya dah ada boyfriend.” Atilia ketawa kecil.

“Awak tu yang nak berahsia sangat.”

“Yalah tu. Hmm, papa saya ada cakap, nanti dia nak saya bawa awak jumpa dia. So, macam mana? Dah bersedia ke nak jumpa papa saya?”

Irfan ketawa. “Jumpa papa awak eh? Kenapa saya rasa macam segan pula ya?”

“Ha? Jangan nak segan pula ya? Lambat laun, saya akan bawa awak jumpa dengan papa saya tau?”

“Yalah. Saya tak kisah. Bila-bila masa awak boleh bawa saya.”

“Okeylah, kita jumpa esok.”

“Okey awak. Good night,” ucap Irfan.

“Good night. Jangan lepak lama sangat dekat luar tu.”

“Ye sayang. Assalammualaikum.”

Atilia sedikit tersentak, apabila Irfan memanggilnya sayang. Perasaannya tiba-tiba sahaja berbunga-bunga ketika ini.

“Waalaikummussalam.” Talian dimatikan. Atilia tersenyum sendiri.

Ketika ini, Yasmin sedang berdiri di luar pintu bilik Atilia. Dia sudah mendengar segala perbualan Atilia dengan Irfan tadi. Tiba-tiba hatinya terdetik rasa cemburu.

Dia nak bawa jumpa uncle? Dan dia akan kahwin dulu? Aku ni pula bila nak ada boyfriend? Si Atilia yang nerd tu pun, dah ada boyfriend. Fikir Yasmin.

“ESOK I nak ambil orang gaji baru.” Dato’ Bahar sedang menonton televisyen di hadapannya.

Juliana memberhentikan tangannya dari menyapu losyen. “Apa? You nak cari orang gaji baru? Kenapa pula you nak cari orang gaji? Lia tu kan ada. Tak payah nak keluar duit bayar orang gaji.”

“Kenapa pula anak I yang nak kena masak semua? Sepatutnya you tu yang kena masak, kemas rumah semua. Agak-agaklah you ni pun.”

“I buat semua ni sebab I nak Lia tu belajar buat kerja rumah semua. Kalau nanti dia kahwin, tak tahu nak buat semua macam mana? Nanti bakal suami dia cakap apa pula?”

“You tak payah nak sibuk sangatlah. Anak I tu, umur dia 12 tahun dah tahu masak tahu tak? Dah, you tak payah nak membebel ke apa. Yang penting esok, I nak ambil orang gaji. Bukannya I tak mampu nak bayar orang gaji.”

“Suka hati you la.” Juliana berbaring di atas katil, sambil menarik selimut. Malas dia melayan suaminya. Sengaja Juliana memberhentikan orang gajinya yang sebelum ini, supaya semua kerja rumah akan dilakukan oleh Atilia. Dia bukannya apa, dia betul-betul bencikan anak tirinya itu. Kalau boleh, dia tidak mahu Atilia hidup bersenang-lenang. Biar semua kerja rumah dibuat oleh Atilia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience