Bab 1 : Pasar Malam

Romance Series 403830

September, 2018.

Hari Sabtu petang, Anne sudah bersiap untuk pergi ke pasar malam di Gombak. Dia akan menaiki bas sahaja dari flat yang disewa bersama beberapa rakan lain di Pinggiran Batu Caves ini. Kerja di KL, gaji pula tak seberapa, cukup-cukup sahaja dengan belanja bulanan ya, oleh itu Anne hanya mampu menaiki bas sahaja. Jadilah, dari tak ada. Kan?

Hendak beli motor, dia takut. Jalan di bandar tidak sama macam jalan di kampung. Kenderaan semuanya laju. Besar-besar. Tersilap dihimpit, boleh tertiarap dia di jalan itu. Nasibnya selepas itu? Hanya Allah sahajalah yang akan tahu. Entah-entah terus kembali ke rahmatullah.

"Anne, asal hari Sabtu je kau pergi pasar malam. Asal hari Sabtu je kau pergi pasar malam. Kau tak terasa nak diet ke?" Tanya Baiti.

"Salah ke? Aku kan belum makan hari ni. Bukannya aku hari-hari pergi pasar malam pun." Anne membela diri.

Selalunya begitulah, hari Sabtu, dari pagi dia hanya akan bertahan dengan air kosong. Menyelesaikan kerja membasuh dan menjemur baju serta cadar dan selimut. Menjelang petang baru makan.

Jimat, sebab makanan yang dijual di pasar malam lebih murah berbanding dengan gerai berdekatan rumahnya ini. Lagi pun, bila ke pasar malam, boleh juga dia membeli sayur dan buah dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaraya biasa.

"Tak faham aku. Cubalah berhenti makan makanan pasar malam tu. Cuba eat-clean. Barulah tak gemuk." Bebel Baiti lagi.

"Tak, masalahnya, kalau aku gemuk pun kenapa? Duit kau ke yang luak?" Tanya Anne lagi.

Baiti mengangkat bahu.

"Mata aku yang semak, kau tahu tak?" Baiti terus berlalu masuk ke bilik tidurnya.

Anne yang sudah kehilangan mood dengan pertanyaan Baiti tadi, tetap juga mengatur langkah untuk keluar dari rumah sebelum dia menuruni tangga flat itu untuk ke perhentian bas. Air mata yang hampir menitis itu dia lap sahaja dengan hujung lengan baju yang dipakai. Bedak bayi ditabur ke tangan dan disapu ke mukanya kembali selepas air mata sudah di lap.

"Anne, jangan layan lah mulut Baiti tu. Tunggu Yus sekejap tau. Yus nak pergi jugak. Kita saing naik bas sama-sama ya." Yusra yang menepuk bahu kanannya perlahan mengejutkan Anne, tetapi dia masih mengukirkan senyuman kecil untuk menghalang galau yang sudah bertandang di hati.

Perjalanan mereka sekejap sahaja dari Pinggiran Batu Caves untuk ke pasar malam di Sri Gombak, berhampiran dengan 360 Urban Residences di Jalan Makmur, Taman Sri Gombak. Menunggu bas Rapid KL itu yang agak lama walaupun di hari Sabtu kerana ada yang bekerja di hujung minggu.

"Anne, hari ni nak beli apa?" Tanya Yusra.

"Anne ingat nak beli sayur sikit, buah, hmmm, makanan sikit. Yus nak beli apa?" Soal Anne pula.

"Samalah. Buah kat pasar malam ni murah sikit. Boleh lah untuk bawak bekal pergi kerja. Makan dekat office Yus tu tak boleh mahal sangat pun. Tapi kalau hari-hari tapau boleh kurus poket Yus ni." Rungut Yusra.

Anne tergelak. Yusra yang bekerja di pejabat asrama UIAM pun merungut tentang kos makanan yang agak murah di kafe. Ini kan Anne yang bekerja di kawasan berdekatan KLCC. Poketnya sahaja yang kurus. Badan tak kurus-kurus. Hukhuk.

Seperti biasa, di pasar malam itu, ada seorang remaja berkerusi roda yang menjual pelbagai jenis kek di dalam bekas yang berada di ribanya.

"Kak, minggu ni tak nak beli kek?" Sapa remaja itu dengan nada yang ceria.

"Akak nak beli sayur dengan buah dulu. Nanti akak datang. Simpankan satu bekas Red Velvet dengan satu bekas Pandan Gula Melaka ya." Balas Anne pula.

"Okey kak."

Setelah beberapa meter mereka melepasi remaja itu, Yusra mencuit lengan Anne.

"Oh, setiap minggu yang Anne beli kek tu, Anne beli dengan dia ke?" Tanya Yusra dengan nada perlahan.

Anne mengangguk.

"Buat apa beli kalau Anne tak makan? Anne tak makan kek kan? Takkan beli semata-mata nak bagi kami makan." Soal Yusra lagi, masih tidak berpuas hati dengan anggukan dari Anne.

Anne cuma mengangkat kedua bahunya. Malas nak ambil pusing dengan soalan dari Yusra.

"Anis Rumaysa! Yus tanya ni. Jawab lah." Bebel Yusra.

"Haaaa ya, ish Yus ni dah macam mak dekat kampung. Asal marah je panggil nama penuh. Asal marah je panggil nama penuh. Memang Anne beli dengan dia lah kek tu. Sedap kan kek dia? Tak apalah Anne tak makan kek. Tapi kawan-kawan kat rumah makan.

Bila Anne beli, Anne dapat dua kebaikan. Satu, Anne tolong adik tu. Dua, Anne dapat belanja kawan-kawan makan. Bagus adik tu kan, dalam keadaan diri dia macam tu, gigih lagi usaha jual kek. Kadang-kadang bila bangun pagi kan, time malas nak kerja bila fikirkan Diva K tu, Anne ingat balik pasal adik ni. Terus rasa semangat nak pergi kerja." Balas Anne.

Yusra terdiam. Anis Rumaysa ni memanglah baik orangnya. Itu yang menyebabkan dia mudah sahaja kena buli. Terutamanya dengan Baiti.

*****

"Ris..." Panggil Khalisah.

"Ya Kak Long." Pandangannya dialihkan ke wajah kakak sulungnya itu.

"Tengok apa? Dari tadi Kak Long panggil, Ris buat tak tahu je?" Tanya Khalisah dengan pandangan mata yang sukar dimengertikan oleh Idris.

"Tengok apa? Tengok gerai-gerai yang ada ni lah. Mana lah tahu ada apa-apa yang sedap boleh dibeli." Balas Idris laju.

"Ya ke? Macam tengah usha awek je?" Perli Khalisah.

"Awek apanya? Datang pasar malam beli makanan. Bukan nak cari awek." Bebel Idris pula.

"Manalah tahu. Senyap je." Gumam Khalisah lagi.

"Payah betul dengan perempuan ni, kita banyak cakap salah, kita senyap pun salah. Dah tu Ris kena buat-buat pengsan ke macam mana? Ada apa-apa lagi tak? Nak balik dah ni." Idris cepat-cepat mengalih topik.

Kalau dibiarkan Kak Long membebel, nanti tak pasal-pasal masuk ke topik kahwin. Tak pasal-pasal jugak nanti Kak Long sibuk nak kenalkan dia dengan jururawat yang ada di klinik Kak Long. Jenuh nak menepis nanti. Cukuplah dengan masalah yang ada.

Idris menghentikan langkahnya di hadapan gerai kuih-muih tradisional yang bersebelahannya ada seorang remaja perempuan yang berkerusi roda menjual aneka kek. Sempat dia memasang telinga mendengar perbualan remaja itu bersama dengan dua orang perempuan.

"Terima kasih Kak Anis. Setiap minggu Kak Anis beli kek yang Wida jual." Plastik berisi kek bertukar tangan.

"Eh janganlah nak berterima kasih. Akak dengan kawan-kawan akak memang suka, sedap dorang cakap. Kita jumpa lagi minggu depan ya. Bye Wida."

"Baik Kak Anis. Bye."

"Ris! Ya Allah Yarabbi, kau ni pantang ditinggal sendiri terus melangut entah kemana-mana Idris. Cepatlah nak balik dah ni." Bebel Khalisah.

"Kejap lah. Nak beli kek ni." Idris mendekati Wida.

"Ya bang, nak kek apa ya?" Tanya Wida.

"Perempuan tu tadi beli kek apa eh, macam sedap je yang dia pilih?" Tanya Idris sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal, cuma untuk menghilangkan kekok.

"Oh kakak tadi tu ke? Dia beli Red Velvet dengan Pandan Gula Melaka ni." Wida menunjukkan kedua kek tersebut.

"Okey. Saya nak sama macam dia." Balas Idris sambil mengeluarkan duit dari dompetnya.

Khalisah mengangkat kening. Idris dipandang lama. Idris kan tak makan kek? Jangan cakap yang...

Enjoy reading :) Terima kasih untuk komen-komen semua. Tahniah juga buat rakan pembaca sebab berjaya menghabiskan chapter Pengenalan semalam. Hihihi Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience