Chapter 2

Thriller Completed 13723

Bab 2

Zira menutup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya sambil menjerit. Maria pun apa kurangnya. Dia terus melompat lalu bersembunyi di belakang Zira.

Di belakang Zira, dia menggosok dada beberapa kali untuk menenangkan diri.

“Eiii! Aku bencilah tengok cerita hantu Korea ni! Hantu diorang memang suka buat aksi pelik-peliklah!” ujarnya sebelum menjerit lagi.

“Sudahlah kau, hari tu masa tengok cerita hantu Tamil pun kau takut. Semuanya kau takutlah!” tempelak Maria.

Sempat lagi dia mengata kawan baiknya sedangkan dia sendiri pun apa kurangnya, terlebih-lebih penakutnya.

“Eii! Janganlah sembunyi kat belakang aku, Maria! Rimaslah!” pekik Zira, geram.

“Adoi… Orang atas ni main guli lagi. Hish! Tak reti nak rehat ke diorang tu?”

Tiba-tiba Zira mengubah topik. Dia mendongakkan kepalanya memandang ke siling rumah mereka. Namun yang kelihatan hanya kipas 4-bilah yang sedang berpusing pada tahap sederhana.
Begitu juga dengan Maria. Dia membuat muka meluat. Memang mereka meluat dengan jiran di atas mereka, tidak habis-habis memekak.

Ada-ada sahaja pekerjaan yang dilakukannya. Kebiasaannya, lantunan guli akan kedengaran pada waktu malam. Tidak kerap, tetapi… memang ada.

Memang tidak aman kalau terpaksa berjiran dengan jiran yang tidak prihatin. Sungguh mereka itu tidak mendalami sunnah Rasulullah SAW tentang adab berjiran.

Maria sudah beralih ke tempatnya semula. Adegan yang menyeramkan tadi sudah selesai. Kini, cerita itu sudah beralih ke babak di dalam kelas pula.

“Eh, Zira. Hari tu aku rasa macam nak bertempik je, tak tidur aku dibuatnya. Cuba kau fikir, patut ke tidak? Main guli pukul 2:00 pagi. Aku rasa macam nak naik ke atas dan sound kat anak diorang tu. Tak de otak ke gamaknya,” adu Maria dengan mata terbeliak menahan amarah.

“Hiiish… apa punya mak bapaklah biar je anak tu memekak tengah-tengah malam,” sambungnya seperti mahu memulakan sesi meluahkan perasaan pula.

“Ya lah, macam berjiran dengan orang sakit otak pulak. Tengah-tengah malam main guli. Haritu dibantainya ubah-ubah perabot. Pukul berapa entah. Aku buat bodoh je. Nasib baik mata tengah mengantuk gila, kalau tak, mau aku meong seharian kat pejabat,” cerita Zira pula.

“Aku rasalah, memang kita kena bersemuka jugak dengan jiran kita kat atas ni. Slow talk sikit. Bukan nak marah. Kita semua ni adult, ya tak?” kata Zira meminta sokongan daripada Maria.

Maria mengangguk dan menunggu Zira menghabiskan luahannya. Namun apabila dilihatnya Zira terus menutup mulut dengan raut wajah yang tegang, Maria menambah.

“Aku pun faham. Sebagai jiran, memang kita kena faham masalah orang, entah-entah siang hari memang diorang sibuk, malam hari je baru boleh buat macam-macam untuk cantikkan rumah. Yalah, kan kat atas kita ni orang kelamin duduk. Dah tu, anak kecik diorang tu, entah-entah jenis yang tak makan saman ke apa ke.”
“Yalah… Betullah apa kau cakap tu. Tapi kalau kita berdua je aku tak naklah, aku segan,” jawab Zira.

“A’ah, kan. Nanti bini dia salah faham, jeles ke apa ke. Lain nak bincang, jadi bergaduh pulak. Orang perempuan kan selalu emo. Mudah buruk sangka.”

“Amboi Maria… macamlah engkau tu bukan perempuan, nak saspek orang pulak,” ejek Zira lalu mencebir ke arah Maria.
Maria ketawa kecil, tahu dia bersalah. Dengan berkata begitu, menandakan dia juga seorang yang kuat berprasangka.

“Tapi…” Maria tidak mahu kalah.

“Orang lelaki pun kuat prasangka, kan.”

“Ish, malaslah nak layan kau. Dah terkeluar topik tu,” balas Zira, tidak berminat. Dia terus memusatkan perhatiannya kepada cerita Korea di hadapannya.

Apa pun, sebenarnya memang dia bersetuju dengan cadangan Maria tadi. Selepas berbincang lagi buat beberapa ketika, mereka bersetuju untuk mengajak, ataupun memaksa Emi dan Siti, dua orang lagi rakan serumah mereka untuk menemui jiran mereka di tingkat atas.

Tiba-tiba mereka terlopong. Apa tidaknya, sekarang kedengaran bunyi sebuah perabut besar sedang dikalih atau ditolak. Perabut besar seperti almari pakaian atau sofa tiga tempat duduk. Atau mungkin juga, meja makan untuk enam orang atau untuk lapan orang.

Maria dan Zira tidak dapat meneka kerana mereka tidak pernah menziarahi jiran mereka di atas itu. Jadi mereka tidak tahu sama ada jiran mereka itu tergolong dalam golongan mewah, sederhana mewah, sederhana atau apa?

Kedua-duanya bertukar-tukar pandangan lalu mengangkat bahu. Kedua-duanya mengeluh dan tanpa dirancang, serentak mereka menjerit sambil mendongak, “Hoi!!! Boleh tolong diam sikit tak???”
Selepas kata-kata diucapkan, kedua-duanya beradu pandangan lagi dan tiba-tiba, kedua-duanya ketawa terbahak-bahak.

“Eh, sama pulak,” ujar Zira, disulami tawa.

Maria mengangguk sambil menepuk-nepuk bahu Zira. Sesekali, meluahkan marah yang tidak kena pada tempatnya boleh mendatangkan kelucuan pula.

…bersambung

Bab akan datang:
Siapakah jiran yang tinggal di atas apartment mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience