SEPERTI hari semalam juga, Noni terus mengheret lengan ibu ke ruang tamu
apabila kereta Mukhriz beredar dari halaman rumah.
Ibu yang sudah tahu apa yang bakal ditanya berkata, “Kalau masa dia
esok, mungkin mak ni tak sempat duduk pun.”
“Cepatlah mak. Yang mana satu mak nak ni?”
Ibu menggeleng lagi. “Along kamu pun tak gelojoh macam kamulah.”
“Alah… diam-diam along tu, dalam hati menjerit-jerit nak tahu tu, mak.
Cepatlah…”
“Mak tak tahu nak buat pilihan. Dua-dua lawa, dua-dua elok budi pekerti…
dua-dua boleh jadi menantu mak,” balas ibu.
“Mak tak tahu?” tanya Noni lagi.
Aku ketawa kecil. “Kalau Noni pula? Yang mana satu Noni pilih?”
Noni terdiam. Lama dia termenung. “Haahlah… susah nak pilih. Dua-dua
smart. Dua-dua Noni suka.”
“Tahu pun apa masalah along,” balasku. Sememangnya aku sangat bertuah
kerana mengenali dua orang lelaki yang baik.
“Kalau sudah dua-dua baik, cubalah along timbang dari segi agamanya.
Kerana apa pun kelebihan dalam dunia ini, ilmu agamalah panduan yang
sebenar.” Ibu bersuara.
“Masalahnya, mak. Dua-duanya bagus dari segi ilmu agamanya. Yang seorang
tu belajar jurusan agama di Jordan. Yang sorang lagi tu tak kurang juga.
Malah ayahnya imam besar.Ibunya ustazah.”
“Pening… pening…” kata Noni sambil tersandar ke kerusi.
“Macamlah… kita nak pilih untuk dia pula,” sindir ibu.
Noni tersengih.
“Kalau Noni … Noni pilih yang mana Noni paling cinta. Yang mana Noni tak
boleh hidup tanpa dia.”
Buk! Sebiji kusyen hinggap ke kepala Noni . Bukan dibaling oleh aku tetapi
oleh ibu.
“Buatlah macam tu. Kalau kamu saja tak boleh hidup tanpa dia, dia boleh
hidup tanpa kamu… alamatnya baru anak satu, dia dah cari orang lain,”
balas ibu.
Ketawa Noni memudar. Wajahnya bingung. Mungkin kata-kata ibu tidak dapat
dicerna oleh fikirannya yang dipenuhi oleh bayangan romantika.
“Macam nilah, along. Mak dah jumpa kedua-duanya, mak dah tengok apa yang
mak patut tengok. Jadi, pada mak dua-dua mak setuju. Sekarang
terpulanglah pada along semula. Yang mana along pilih, itulah mak akan
terima.”
Aku angguk. Walaupun jawapan ibu tidak banyak membantu namun nampaknya
ibu sudah merestui siapapun yang aku akan pilih nanti. Sedikit-sebanyak
aku berasa lega. “Along akan pilih Mukhriz,” jawabku.
Ibu dan Noni sama-sama terdiam. Ruang tamu rumahku bertukar hening.
“Kenapa?” Noni bertanya setelah puas mendiamkan diri.
“Walaupun along tak hidangkan Kuih Goyang tadi, dia masih sudi menjamah
Almond London. Tapi Haikal… tak jamah Kuih Goyang.”
Noni garu kepala. “Sebab tu saja?”
“Along percaya, dia seorang yang boleh bertolak-ansur jika hidup bersama
along nanti. Along bukanlah gadis yang sempurna, yang dapat menyediakan
segala-gala yang diminta. Jika dia sudi menjamah apa yang ada tanpa
banyak soal, maknanya dia boleh menyesuaikan diri dengan sekeliling.
Along rasa dia boleh menerima along seadanya.”
Itulah yang sebenarnya. Aku senang sekali melihat sikap Mukhriz tadi.
Sesungguhnya aku telah menerima petunjuk setelah menunaikan solat sunat
istikharah beberapa malam yang lalu.
Ibu tersenyum seraya mengangguk perlahan.
“Bertolak-ansur tu sangat penting dalam rumah tangga. Selagi ada
tolak-ansur, adalah tulang belakang sesuatu perkahwinan.”
“Nampaknya… selepas ni, tiap-tiap tahunlah mak kena buat Kuih Goyang,”
usik Noni .
“Tak apa, untuk menantu.”
“Dan cucu-cucu, mak pula,” sambung Noni .
Kali ini aku memilih untuk mendiamkan diri. Aku dah lama buat keputusan muktamad.. Di antara Biskut Almond London dan Kuih Goyang sah sah lah aku pilih yang itu.
Share this novel