Bab 13

Short Story Series 55082

Sebulan berlalu, Tan Sri Mansur tidak lagi datang ke rumah Rina setelah gadis itu melarangnya tetapi barang-barang keperluan hidup Rina tidak henti-henti dihantarkan oleh bapa mertuanya itu. Entah bila masanya pula Tan Sri Mansur datang tanpa sepengetahuannya dia tidak tahu. Setiap pagi Ahad pasti barang-barang itu sudah berada di ampin rumahnya. Pada awalnya Rina tidak menggunakan barang-barang tersebut tetapi apabila mengenangkan usaha bapa mertuanya itu yang meredah jalan raya selama dua jam hanya untuk menghantar barang-barang itu kepadanya dia cuba melembutkan hatinya agar menerima penerimaan daripada Tan Sri Mansur itu. Itu juga hanya barang keperluan yang diambilnya, duit yang berada di dalam sampul tidak diusiknya dan menunggu waktu untuk dipulangkan kepada bapa mertuanya itu.

Latihan industri sudah tamat seminggu yang lalu dan duit bantuan zakat juga sudah semakin berkurangan. Dia bersyukur dalam waktu yang sama kerana duit bantuan yang berbaki boleh disimpan untuk dirinya nanti mencari pekerjaan. Rina teringat kata-kata bapa mertuanya sewaktu perbualan mereka tempoh hari bahawa suaminya itu tidak berada di Malaysia dan menetap di luar negara. Jadi dia tidak akan bertemu suaminya di Kuala Lumpur jika dia mahu mencari kerja di sana.

Jujur Rina katakan bahawa dia menjadi trauma untuk menjejakkan kakinya ke ibu kota Malaysia itu selepas apa yang terjadi. Dia tidak mahu bertemu secara sengaja atau tidak dengan suaminya itu. Kata orang, Kuala Lumpur itu kecil saja. Pusing-pusing pasti akan berjumpa juga jadi dia tidak mahu mengambil risiko itu. Selepas mengetahui Haikal tiada di Malaysia, dia memikirkan balik keputusannya untuk mencari kerja di bandar itu.

Rina mengusap perutnya, dia bakal melahirkan tidak lama lagi. Tidak mungkin selamanya dia mampu menyorokkan anaknya itu daripada orang kampung. Lambat laun pasti orang akan mendapat tahu. Dia tidak mahu anaknya hidup dalam momokan orang sekeliling yang akan memanggilnya anak haram. Rina juga sudah mengambil keputusan, selepas anaknya lahir dia akan meminta fasakh. Tidak mungkin selamanya dia akan hidup dengan 'gantung tak bertali'. Lelaki itu tidak boleh 'menyimpan' dirinya dalam sangkar yang tidak kelihatan kerana dia juga mempunyai hak untuk terbang bebas.

Rina menyambung menyapu halaman rumahnya agar tidak kelihatan bersepah dengan daun-daun kering. Ketika Rina sedang asyik menyapu tiba-tiba sebuah kereta masuk ke halaman rumahnya. Rina mengenali kereta itu. Kereta itu adalah milik Syahiran. Mahu apa lelaki itu datang ke rumahnya? Rina memberhentikan pekerjaannya dan menunggu Syahiran turun daripada kereta. Disisinya ada Syuhada bersama, Rina melihat wajah Syuhada yang sentiasa masam apabila bertemu dengannya.

"Assalamualaikum Rina, apa khabar?" Syahiran berbasa basi. Syuhada berjalan ke arahnya dengan malas dan berpura-pura senyum sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Rina.

"Alhamdulillah, baik. Ada apa kau datang ke mari?" Rina memandang Syahiran sekilas sebelum memandang ke bawah. Dia tidak mahu mempelawa mereka untuk masuk ke dalam rumahnya seperti selalu yang dilakukan oleh dirinya apabila ada tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya. Entah kenapa saat itu hatinya seakan ditusuk duri apabila melihat mereka berdua terutama Syahiran. Dia tidak pernah merasakan itu saat di universiti tetapi kali ini hatinya seakan sudah tertutup untuk kawannya itu. Apa yang berlaku di universiti terhadapnya sudah menjadi sebahagian luka di dalam hatinya dan luka itu susah untuk disembuhkan.

"Aku mahu bawa Syuhada jumpa nenek dan atuk. Lepas graduasi kami akan melangsungkan perkahwinan. Alang-alang berjumpa kau disini aku mahu menjemput kau datang ke majlis kami nanti." Syahiran memberitahu Rina tujuan kedatangannya ke situ dan dia dapat melihat wajah Syuhada yang muncung apabila dia menjemput Rina datang ke majlis perkahwinan mereka.

"Barakallahu fi kum, semoga kau berdua jadi keluarga sakinah dan mawaddah. Terima kasih menjemput aku tapi maaf aku tidak dapat datang ke majlis kau. Demi kebaikan kita bersama lebih baik aku tidak hadir. Aku juga yakin mak kau pasti tidak mahu aku ke sana setelah apa yang terjadi." Rina mendoakan mereka kebaikan walaupun mereka pernah menyakiti hatinya.

"Baguslah kalau kau sedar. Aku bukan apa, aku tak mahulah hari bahagia aku nanti kacau bilau sebabkan masalah kau. Aku harap kau faham. Oh, kau tahu tak Aqil juga akan berkahwin dengan pilihan keluarganya? Baik orangnya sebaik namanya, Shofwah. Aku datang ke majlis pertunangan mereka hari itu. Pandai betul keluarga Aqil memilih pasangan hidup yang baik untuk Aqil." Syuhada sengaja membangkitkan nama Aqil tiba-tiba di hadapan Rina. Dia mahu melihat reaksi Rina ketika mendengar nama itu.
Rina diam seketika.

"Alhamdulillah, Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Sesungguhnya lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik dan begitu juga sebaliknya." Rina tidak cepat melatah. Dia mahu berlapang dada dan dia sudah pun melupakan Aqil dalam kehidupannya. Memang sejak dia dinikahi oleh Haikal, nama Aqil terus dibuang jauh walaupun ketika itu hatinya sedikit tidak rela. Walau bagaimanapun lelaki itu adalah lelaki pertama yang mampu mengetuk pintu hatinya.

Entah mengapa Syuhada pula terasa bagai disindir oleh Rina. Dia terasa dengan kata gadis itu walaupun tidak ditujukan kepadanya. Macam kau baik sangat! Hati Syuhada mendongkol geram melihat reaksi Rina yang tenang jauh meleset dari yang disangkanya.

"Eh, kamu bukan Syahiran ke?"Ketika itu tiba-tiba Mak Jenab datang menghampiri mereka. Mak Jenab yang sememangnya terkenal dengan mulut becoknya di kampung mereka itu mula bertanya itu dan ini kepada Syahiran dan Syuhada yang baru datang daripada Kuala Lumpur itu.

"Oh, kamu dah nak khawin. Ini gadis pilihan kamu? Cantiknya. Makcik ingat kamu bercinta dengan Si Rina ni. Rapat semacam sahaja daripada dulu sampaikan semua orang kampung kata kau berdua pasangan serasi. Berdiri sama tinggi duduk sama rendah.” Mak Jenab berkata selamba dan ketawa seperti mahu mengapikan-apikan Syuhada.

"Tidaklah makcik, kami kawan baik saja. Saya sudah anggap Rina seperti ahli keluarga saya sendiri." Syahiran berpura-pura senyum walaupun ketika itu dia berasa tidak selesa apatah lagi apabila melihat jelingan maut daripada Syuhada. Mulut puaka betul makcik ni!

"Maaflah, makcik cakap macam itu. Kamu jangan tersinggung pula. Lelaki dan perempuan mana boleh kawan baik mesti ada sesuatu diantara keduanya, betul tak? Tapi kalau Syahiran dan Rina kata mereka hanya bersahabat maksudnya betullah tu agaknya." Makcik Jenab menampar lembut lengan Syuhada sambil berketawa.

"Eh, tak adalah. Saya memang tahu mereka berdua ni kawan baik. Kami satu universiti yang sama." Syuhada berpura-pura tersenyum walaupun hatinya ketika itu sedang sakit dengan kata-kta Mak Jenab. Siaplah kau, Rina!

"Oh ya, Rina bila kau bersalin?" Tiba-tiba Syuhada bertanya kepada Rina dengan nada bersahaja seperti dia memang sengaja bertanya akan hal itu dihadapan Mak Jenab. Sepertinya makcik itu tidak mengetahui bahawa Rina sedang mengandung kerana perut wanita muda itu memang tidak begitu kelihatan seperti orang yang sedang mengandung.

Mata Rina membulat. Mulut Mak Jenab ternganga. Syahiran juga turut sama terkejut dengan pertanyaan Syuhada itu.

Rina mengudurkan langkahnya apabila Mak Jenab datang menghampirinya. Rina tidak sempat berbuat apa-apa apabila tangan Mak Jenab tanpa segan silu menyentuh perutnya yang keras. Dahi Rina mengeluarkan peluh dingin. Rahsianya sudah terbongkar! Terbongkar pula pada wanita yang tidak sepatutnya! Apa yang patut dia lakukan?

"Mak Jenab, tunggu dulu. Dengar penjelasan saya." Rina cuba mengejar Mak Jenab yang sudah lari meninggalkan mereka. Rina tidak dapat mengejarnya kerana dia sedang sarat mengandung. Hampir longlai kakinya kerana tiba-tiba badannya terasa menggeletar. Mata Rina mencerlung memandang Syuhada dan Syahiran saat itu.

"Oopps, sorry. Orang kampung tak tahu ke kau mengandung?" Syuhada berpura-pura simpati walaupun ketika itu hatinya melonjak gembira. Entah kenapa melihat gadis itu sedih membuatkan hatinya gembira. Apa yang dia tahu dia memang tidak menyukai Rina terutama apabila mengetahui gadis itu terlalu rapat dengan lelaki yang dicintainya itu.

"Kenapa kau berdua buat aku macam ini?" Rina bertanya menahan amarahnya.

"Alah, manalah kita orang tahu yang orang kampung tak tahu kau mengandung." Syuhada cuba membela dirinya yang nyata dia memang bersalah ketika itu. Syahiran menggelengkan kepalanya melihat sikap Syuhada tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa kerana begitu sayangkan wanita itu.

"Pergilah Syahiran bawa Syuhada daripada sini. Aku harap kau tidak ke sini lagi selepas ini." Rina menghalau walaupun dengan suara yang perlahan.

"Rina, maafkan Syuhada dia tidak sengaja." Syahiran cuba mahu memujuk hati Rina yang terluka dengan perbuatan Syuhada sebentar tadi.

"Pergi Syahiran! Aku kata pergi! Aku tak nak tengok muka kau berdua lagi." Rina mencerlung memandang Syahiran. Nada suaranya juga sudah naik sedikit daripada tadi.

Syahiran akur. Tangan Syuhada ditarik masuk ke dalam kereta. Syahiran sempat meminta maaf sekali lagi tetapi Rina sudah memalingkan tubuhnya menandakan gadis itu tidak mahu lagi bercakap dengannya. Penyapu ditangan Rina dicampak ke tanah dengan lemah. Langkahnya juga longlai hampir saja dia jatuh ke tanah. Rina masuk ke dalam rumahnya dan ditutup semua tingkap dan pintu kerana dia tahu pasti berita tentang kehamilannya bakal disebarkan oleh Mak Jenab tidak sampai satu hari.


Aqil menoleh ke sebelah tempat duduk penumpang melihat Tan Sri Mansur yang hanya menatap keluar tingkap sejak daripada tadi di sepanjang perjalanan mereka. Aqil mula semakin berasa risau kerana sejak kebelakangan ini Tan Sri Mansur seperti orang di dalam kesusahan. Apabila ditanya pasti bapanya itu akan menafikan seperti menyembunyikan sesuatu daripada dirinya. Kereta yang dipandu Aqil dibelokkan ke kiri apabila aplikasi waze yang dipakainya menyuruh pemandu membelok ke kiri. Sejak daripada tadi dia tidak tahu kemana arah tujuan mereka. Ketika ditanya Tan Sri Mansur tidak menjawab. Tan Sri Mansur hanya memberikan alamat tempat yang mahu mereka tuju.

Aqil mendekatkan badannya ke stereng kereta apabila jalan raya itu tidak membekalkan lampu jalan sehingga menyukarkan dirinya yang memandu ketika waktu malam seperti itu.

"Papa, sebenarnya kita nak ke mana ni?" Aqil bertanya apabila sekali lagi dia membelok ke kiri seperti yang diarahkan suara wanita di dalam aplikasi waze itu. Matanya sempat menangkap perkuburan Islam di sisi kirinya. Seram sejuk!
Tan Sri Mansur menoleh ke arah Aqil dan mengeluh perlahan. Dia tidak mahu melibatkan Aqil di dalam masalahnya tetapi dia juga tidak mempunyai keberanian untuk pergi sendirian ke rumah Rina. Sudah sebulan berlalu, apakah hati gadis itu akan luluh dan menerima dirinya sebagai bapa mertua wanita itu?

"Kita akan pergi meminta kemaafan seseorang Aqil." Tan Sri Mansur berkata hampir tidak kedengaran.

"Kemaafan daripada siapa, pa? Aqil tak fahamlah. Ada apa-apa yang papa sembunyikan daripada Aqil ke?" Aqil bertanya mula tidak sedap hati dengan ucapan Tan Sri Mansur itu. Apakah yang bapanya itu lakukan sehingga tidak sabar-sabar mahu meminta maaf kepada orang itu? Bukankah sekarang dunia sudah maju? Kenapa tidak berbalas mesej sahaja sehingga sampai harus datang ke Kuala Selangor pada waktu malam seperti ini.

"Aqil, sebenarnya... Abang kamu sudah berkahwin." Tan Sri Mansur memberitahu Aqil berita perkahwinan yang dirahsiakan oleh Haikal kepada mereka.

"What?" Hampir saja kereta yang dipandu Aqil itu hilang kawalan apabila terkejut mendengar berita daripada Tan Sri Mansur itu. Kereta yang dipandu diketepikan dan dihidupkan lampu kecemasan. Aqil menoleh memandang Tan Sri Mansur yang menunduk meraup wajahnya berkali-kali.

"Papa tahu kamu terkejut dengar berita ini, papa juga seperti kamu waktu pertama kali papa mengetahuinya." Tan Sri Mansur memandang ke arah Aqil yang masih tidak percaya dengan apa yang baru dikatakan sebentar tadi oleh dirinya.

"Astaghfirullahalazim, kenapa dia tak beritahu kita? Papa tahu daripada mana ni?" Aqil seperti tidak percaya bahawa Haikal merahsiakan perkara itu kepada mereka. Mengapa harus berkahwin sorok-sorok? Mengapa tidak beritahu terus terang saja jika abangnya itu benar-benar mahu berkahwin dengan gadis pilihannya?

"He will never admit, Aqil. Aqil bukan tak tahu perangai Haikal tu yang suka berganti perempuan macam berganti baju. Hidup penuh dengan keseronokan yang sia-sia. Menghabiskan duit dengan berfoya-foya pada kencing syaitan dan perempuan. Papa dapat tahu Haikal sudah menikah bila Mak Sofi kemas bilik dia dan jumpa surat nikah mereka. Papa upah perisik untuk mengetahui kebenarannya dan ternyata mereka kena tangkap basah di rumah Haikal, Aqil. Mereka dipaksa berkahwin dan Haikal meninggalkan tanggungjawabnya itu dengan gantung tak bertali." Tan Sri Mansur malu menceritakan keaiban anak kandungnya itu kepada Aqil, anak angkatnya.

Aqil beristighfar sekali lagi. Ya Allah! Apa yang sudah kau lakukan, Haikal?

"Papa berjumpa dengan gadis itu sebulan yang lalu tetapi nampaknya gadis itu sangat membenci Haikal dan keluarga kita. Dia tidak mahu bertemu dengan kita semua. Dia anak yatim piatu, Aqil. Dosa kita membiarkan dia bersendirian seperti itu. Papa malu dengan apa yang terjadi tetapi papa lebih malu pada Allah nanti di akhirat jika papa diminta pertanggungjawaban atas apa yang berlaku pada gadis itu kerana salah papa tidak mendidik Haikal dengan baik." Tan Sri Mansur mengalirkan air mata tidak malu menangis dihadapan anaknya itu.

"Papa, tak salah. Papa sudah menjaga kami dengan baik cuma terkadang kami yang lupa dengan didikan agama yang papa berikan." Aqil memeluk Tan Sri Mansur sebelum melanjutkan perjalanan mereka apabila emosi mereka sudah kembali tenang. Tahulah dia kini apa yang merunsingkan hati bapa angkatnya itu. Dia juga turut merasakan perkara yang sama apabila mengetahuinya. Kasihan gadis itu ditinggalkan gantung tidak bertali. Memang kuasa ditangan suami tetapi suami tidak berhak memperlakukan isteri seperti itu kerana itu sudah dikira suami berlaku zalim terhadap isteri. Isteri juga mempunyai hak dengan meminta fasakh, mengapa gadis itu tidak mengadu pada jabatan agama? Aqil tertanya-tanya sendiri.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Aqil melihat si pemanggil dan nama tunangnya tertera. Shofwah, gadis yang ditunanginya seminggu yang lalu. Gadis itu amat cantik dan lemah lembut orangnya. Shofwah baru balik daripada Mesir kerana menyambung pengajiannya disana dan kini menjadi doktor pelatih di hospital swasta. Dia hanya bertaaruf dengan gadis itu sebanyak tiga kali pertemuan sebelum dia bersetuju untuk merisik gadis itu menjadi pasangan hidupnya. Semuanya berlaku dengan cepat dalam masa sebulan itu kerana dia mahu melupakan gadis bernama Rina Altafunisa dalam hidupnya.

"Ada apa Shofwah?" Aqil langsung bertanya sebaik menjawab panggilan telefon daripada gadis itu. Ini pertama kali gadis itu menelefon dirinya. Tan Sri Mansur di sisinya hanya mendiamkan diri dan melayan perasaan tidak memperdulikan perbualan Shofwah dan Aqil di dalam telefon yang diaktifkan pembesar suara kerana Aqil sedang memandu.

"Maafkan Shofwah mengganggu, Shofwah mahu menyampaikan pesanan ayah. Ayah menjemput abang dengan tan sri makan malam di rumah minggu depan." Shofwah terus sahaja memberitahu tujuan dia menelefon tunangnya itu.

"InsyaAllah, nanti khabarkan lagi. Terima kasih kerana menjemput kami. Shofwah di mana sekarang?" Aqil bertanya sengaja mahu mengambil hati tunangnya itu. Dia harus berusaha membuatkan dirinya jatuh cinta kepada Shofwah.

"Shofwah di hospital, on duty." Shofwah menjawab perlahan seperti malu-malu apabila ditanya oleh Aqil.

"Baiklah, kerja baik-baik. Abang matikan telefon dulu kerana abang sedang memandu. Nanti abang mesej Shofwah sebaik sampai di rumah." Aqil menamatkan panggilan telefon selepas memberi salam. Aqil mengeluh perlahan tidak didengari oleh Tan Sri Mansur. Shofwah gadis yang baik, dia tidak boleh mengecewakan gadis itu. Dia tidak mahu menjadi seperti apa yang dilakukan oleh Haikal kepada isterinya, tidak bertanggungjawab. Dia akan sedaya upaya mencuba melupakan Rina Altafunisa dengan menggantikan Shofwah Najwa di dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience