BAB 4

Drama Series 9442

Irzam membuka pintu rumah flat itu kemudian dia menapak masuk perlahan-lahan. Matanya mencari kelibat isteri yang tersayang.

“Assalamualaikum ! "

Beg kerja yang berada di bahu diletak atas meja. Terus Irzam melabuhkan punggung pada sofa dan matanya dipejam sebentar.

Rose yang baru sahaja selesai solat isyak terus keluar dari bilik. Dengar saja suara Irzam laju senyuman terukir pada bibirnya.

“Abang dah makan ?" soal Rose lembut.

Mata Irzam yang sedang tertutup rapat dibuka perlahan. Satu senyuman manis dihadiahkan kepada Rose. Dia hanya menggeleng menjawab pertanyaan itu.

“Kalau macam tu sayang panaskan lauk dulu."

Rose mahu bangun tetapi belum sempat Irzam sudah menarik tangannya kembali. Terus dia terduduk semula.

“Kenapa ?" soal Rose pelik.

“Abang minta maaf." ujar Irzam.

Muka Rose tiba-tiba berkerut.

“Dah kenapa abang minta maaf pula ?" soal Rose lagi.

Laju Irzam menarik tangan isterinya dan digenggam lembut.

“Abang minta maaf sebab balik lambat dan selalu tak ada masa dengan sayang dan anak-anak kita ni."

Tangan Irzam dibawa pula ke perut isterinya yang sudah membulat itu.

Rose hanya tersenyum mendengar kata-kata yang baru saja keluar dari mulut suaminya.

“Tak pa la bang, lagipun abang balik lambat sebab kerja kan ? nak cari duit untuk anak-anak kita juga. Sayang faham..." Rose menggenggam tangan Irzam kuat untuk menghilangkan perasaan bersalah lelaki itu.

“Thanks sayang, sebab faham keadaan kita." Irzam sudah mengukir senyuman manis.

Rose membalas senyuman suaminya itu semula. Tiba- tiba ingatan Rose merawang kepada kisah lepas.

Sekali pun mereka berdua dalam keadaan susah, Irzam tak pernah mengeluh dengan kehidupan mereka sekarang ini. Rose tahu, suaminya itu memang lelaki yang baik dan tabah.

Tak pernah melihat kekurangan yang ada padannya. Dulu lelaki itu sanggup hidup susah semata- mata mahu bersamanya dan sampai sekarang Irzam masih setia walaupun mereka hanya tinggal di flat yang serba kekurangan.

Walaupun perkahwinan mereka berdua dihalang oleh keluarga Irzam, tetapi takdir itu yang membawa mereka hingga ke harini.

Ya ! mama dan papa Irzam tidak setuju mereka berdua berkahwin kerana dia bukan menantu pilihan mereka. Rose hanya anak yatim piatu, tidak sama taraf dengan keluarga mereka.

Tetapi disebabkan Irzam terlalu sayangkan Rose, dia sanggup meninggalkan kehidupan mewah yang dia miliki. Irzam sanggup dibuang keluarga sendiri.

Hati Rose tiba-tiba jadi sayu apabila dia mengingati semua itu. Terlalu banyak yang sudah suaminya korbankan untuk melihat dia bahagia. Apa perlu lelaki itu meminta maaf ? sepatutnya dia yang harus meminta maaf.

Melihat isterinya itu sedang berkhayal terus buat Irzam mengherotkan bibirnya.

“Ha ! termenung lagi."

Rose kembali tersedar apabila disergah Irzam. Dia hanya tersenyum sumbing kepada lelaki itu. Kantoi pula dia sedang mengelamun.

“Tak pa la bang, biar sayang panaskan lauk dulu. Abang pergi mandi okey ?" ujar Rose.

Irzam hanya menggangguk apabila Rose sudah bangun. Mata Irzam hanya mengikut langkah isterinya itu sampai ke dapur.

Tiba-tiba ada keluhan pada bibirnya, dia tahu apa yang sedang difikirkan Rose. Kadang-kadang Irzam rasa serba salah dengan wanita itu.

Dia tidak mampu memberi kehidupan yang lebih sempurna dan rumah yang besar kepada Rose, cukup dengan flat kecil ini saja.

Isterinya itu sedikit pun tidak pernah meminta apa-apa darinya asalkan mereka anak beranak boleh hidup bersama sudah.

Irzam tahu Rose tak pernah pandang kekayaan yang dimiliki keluarganya dahulu dan sebab itu Rose sanggup hidup bersamanya walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Mama dan papa tak pernah melihat kebaikan Rose, apa yang mereka lihat hanya latar belakang wanita itu.

Disebabkan Rose anak yatim piatu dan dibesarkan di rumah kebajikan, mama dan papa terus membenci wanita itu.

“Abang !!! tolong sayang kejap." laung Rose dari dapur.

Irzam terus tersedar apabila Rose memanggilnya. Laju dia bangun dan kakinya dibawa ke dapur.

_______________________________

“Tadi sayang jumpa Syai." ujar Rose tiba-tiba.

Irzam yang sedang elok makan terus berhenti apabila nama Syaiha disebut. Teringat dia kepada adik iparnya. Lama juga dia tidak berjumpa gadis itu

“Lama abang tak jumpa, sihat ke dia ?" soal Irzam.

Rose senyum lebar. “Sihat je tapi tu la tak habis- habis bising pasal prof dia tu."

Irzam buat muka pelik. “Prof. Hadi tu ke ?" soalnya lagi.

“Yelah, prof mana lagi kan ?"

Irzam terus ketawa. Tahu benar Syaiha memang tak ngam dengan pensyarahnya sorang itu. Setiap kali Syaiha jumpa mereka berdua ada saja maki hamun yang keluar dari mulut gadis itu.

“Abang ingat dah masuk sem baru ni dia dah tak belajar dengan prof Hadi tu, rupanya makin menjadi."

Pantas Irzam ketawa. Rose yang dari tadi tersenyum mendengar apa yang dikata Irzam juga ikut sama-sama ketawa.

“Cuba la abang suruh kawan baik abang tu lembut sikit dengan Syai. Ini tak bila jumpa Syai ada je dia nak marah." ujar Rose sambil menyenduk nasi ke dalam pinggannya.

Irzam yang sedang menghirup air laju menggeleng.

“Biar la, dua-dua keras kepala."

Rose membulatkan mata. “Ishh ! boleh pula macam tu."

“Nanti ada masa kita pergi jumpa Syai ya, lama tak jumpa dia." Irzam meneruskan suapannya.

“Yelah kalau abang cakap macam tu. Abang nak tambah nasi lagi ?" Rose mempelawa.

Irzam menolak “Tak pa, abang dah kenyang."

Rose meneruskan makannya manakala Irzam pula sudah habis makan. Air yang berada dalam cawan dicapai dan dihirup Irzam.

Seketika suasana meja makan itu senyap sunyi. Cuma bunyi kunyahan Rose yang kedengaran. Pandangan Rose tiba-tiba tepat kepada suaminya.

“Abang..." panggil Rose lembut.

Irzam yang sedang ralit minum air terus memaling memandang Rose.

“Kenapa ?" soal Irzam pula.

“Sayang nak tanya sikit boleh ?" Rose sudah buat muka comel.

Irzam mengecilkan mata apabila isterinya sudah buat muka seperti itu. Lain macam je !

“Tanya je la."

“Abang janji tak marah ?" soal Rose lagi.

Dia sudah selesai makan. Pinggan yang berada didepan ditolak ke tepi supaya dia berada dalam keadaan selesa. Maklum la nak tanya benda serius ni !

“Kalau tak tanya macam mana saya nak marah ?" Irzam pula sudah menjongket keningnya.

Rose jadi serba salah mahu bertanya tentang hal ini. Wajah suaminya dipandang lama. Ada kerutan pada wajah itu.

“Sayang cuma nak tanya..." Rose berhenti sekejap mahu mengambil nafas.

“Abang tak nak pergi jumpa papa dengan mama ke ? bagitahu pasal cucu mereka ni." sambungnya lagi. Wajah Rose sudah ditundukkan sedikit.

Tiba-tiba wajah Irzam bertukar mendung. Hilang terus senyuman yang ada pada wajahnya tadi. Pantang kalau persoalan itu yang keluar.

“ Tak." jawab Irzam acuh tak acuh saja.

“Tapi sayang dah nak bersalin pun. Tak kan abang tak nak bagi mereka tengok cucu mereka ?" Rose cuba memujuk.

Tiba-tiba Irzam mendengus kasar.

“Sayang lupa apa mereka buat kat kita ?!" soal Irzam kasar.

Rose pula sudah mengeluh. “Sayang tahu bang, tapi mereka tetap atuk dan nenek untuk anak-anak kita."

“Mereka yang buang kita jadi mereka juga dah buang cucu-cucu mereka !" Suara Irzam tiba-tiba naik.

“Abang ! tak baik cakap macam tu." Rose sudah mengeluh.

“Dengar sini Rose, abang tak suka cakap pasal hal ni. Rose lupa apa yang mereka buat kat Rose ? mereka hina Rose ! abang tak nak anak-anak kita nanti terima nasib sama macam Rose. Biar, satu hari nanti bila mereka dah sedar mereka sendiri akan cari kita. Abang dah cukup terseksa selama ni ! abang tak nak dengar lagi Rose cakap pasal ni !"

Laju Irzam bangun dari kerusi. Langkahnya diatur ke dapur. Langsung tak pandang Rose yang sudah terdiam di tempat duduknya.

Rose mengeluh panjang. Susah nak runtuhkan ego suaminya itu, dua-dua pihak tak nak mengalah ! kalau macam tu siapa yang akan menang akhirnya ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience