Surya : Bab 22
"Bersedia!" Keempat mereka berdiri dan laungan nama Tuhan kedengaran. Blok C kini dikelilingi oleh pagar yang tidak dilihat oleh manusia. Dan fungsinya untuk menghalang daripada Surya terlepas daripada kawasan itu.
Haron sudah selesai menentang makhluk-makhluk ciptaan Karim Surya. Mengah Haron terduduk. Tak menang tangan apabila melihat makhluk itu makin bertambah apabila dipotong dua. Seperti tapak sulaiman yang menjalankan persenyawaan aseksual. Putus, bercambah. Putus, bercambah.
Kini, dia perlu membantu Rizal. Melihat tumbukan Rizal beberapa kali mengena tubuh Surya dan kulit Surya juga sedikit melebam. Tapi, lebih teruk Rizal apabila hampir terjatuh dari aras itu. Nasib baik sempat memaut pada palang besi yang ada di situ. Selepas menarik Rizal ke atas, Haron pula menghadap Karim Surya.
"Engkau mahu apa? Pengkhianat kaum!"
"Manusia ini tak patut diganggu! Lepaskan mereka!"
"Dia hak aku! Engkau tidak ada hak untuk menghalang! Kahkahkah!" Satu libasan menyusuli gelak tawa itu. Pantas Haron mengelak tapi sedikit terkena pada pehanya.
Selepas membaca sesuatu, Rizal datang menghulurkan serbuk itu kepada Haron. Lalu dihembus serbuk itu menjadi jerebu. Seluruh blok C di selubungi asap tebal. Rizal dan Haron memejapkan mata dan menarik nafas. Mereka berdua mengesan kedudukan titik tenaga Karim Surya pada tubuh Surya. Jadi setiap serangan tidak akan mengena pada Surya tapi pada Karim Surya. Kedengaran juga Karim Surya merintih seperti menahan pedih. Rizal dan Haron serentak memulakan serangan.
Satu tendangan daripada Rizal mengena pada Karim Surya. Disusuli tumbukan dan cakaran Haron yang cukup pantas. Rizal pula mencengkam dan menumbuk tubuh Karim Surya.
Selepas hampir sejam bertempur, kelihatan Surya sudah terbaring. Rizal dan Haron mula membuka mata dan menghembuskan nafas. Tenaga Karim Surya mula melemah dan suasana kampus menjadi sunyi. Asap jerebu itu juga semakin berkurang dan menjadi serbuk-serbuk halus semula. Rizal mendekati tubuh Surya sambil mulutnya membaca sesuatu.
Tubuh Surya terangkat dan beberapa bilah pedang menembusi tubuhnya. Terkesima Rizal dan Haron.
"Jika aku tidak dapat, tiada siapa pun akan dapat dia!"
Karim Surya keluar dari tubuh Surya membentuk satu jasad. Kini, dia menggunakan tenaga Surya yang diserap untuk menentang Rizal. "Mari cucuku, kita berentap!" Karim Surya mencampak tubuh Surya. Haron menyambut Surya meskipun nyaris terjatuh dari bumbung.
Pertempuran terakhir dua sedarah itu bermula. Setiap gerak geri Karim Surya cukup pantas. Tapi, kerana sisa serbuk cincin itu masih ada menjadi kelebihan buat Rizal. Setiap tumbukan dan pukulan Rizal mengena, kulit Karim Surya melepuh. Rizal pula sebaliknya. Dia seakan menyerap tenaga Karim Surya dan kemudian Karim Surya terhenti.
"Bapak..." Satu suara meniti gegedang telinga Karim Surya.
"Andika..."
Share this novel