BAB 11

Romance Completed 3997

“Nasib baik tak keluar doa makan lagi. Kalau tak saya dah makan awak tadi.” Spontan suara Doktor Karnain yang keluar membuatkan langkah Nasuha terhenti. Bila dia berpaling melihat lelaki itu, terkejut beruk dibuatnya.

Doktor Karnain sedang berdiri sambil bersilang kaki dengan kedua-dua tangannya dimasukkan di dalam kocek seluar. Dan tatkala Nasuha memandangnya, Doktor Hisyam merenung nakal sambil mengenyit mata. Mahunya, jantung Nasuha tak tergolek keluar. Sudahlah Doktor Karnain tu handsome. Kalau buat aksi macam Bond ni tak ke terkulai dibuatnya Nasuha nanti. Ah, kegedikan sudah mula melanda. Nasuha, behawe! Ini hospital!

Nasuha masuk ke dalam Wad Pediatrik dan menghampiri katil Hadid. Hadid tiada di situ. Baru sahaja kakinya mahu melangkah ke arah katil yang lain, tiba-tiba telinganya menangkap suara Hadid yang memanggilnya lemah.

Pantas Nasuha melihat sekeliling. Agak mengejutkan apabila dia melihat Hadid sedang mengerekot di atas lantai. Hampir separuh badannya terperosok di bawah katil. Dengan cepat sepasang tangan Nasuha mendapatkan Hadid. Ditariknya anak itu ke atas katil lalu dibaringkan. Suara Hadid yang agak lemah merisaukan Nasuha. Tangan Nasuha melekap di atas dahi Hadid. Agak panas. Hadid masih meracau-racau dengan bahasa yang tidak difahami.

Nasuha mahu bergerak dari situ untuk memanggil jururawat yang lebih pakar, atau kalau perlu terus menghubungi doktor. Tetapi tangan Hadid yang kemas memegang pergelangan tangan kanannya menahan dia di situ. Hadid terus meracau-racau sebelum matanya terkatup.

“Man. Hadid !” Nasuha menampar lembut pipi kanak-kanak itu. Sayangnya Hadid tidak bereaksi.

“Hadid ! Bangun dik. Jangan takutkan akak.” Hadid masih tetap begitu.

Panik mula menguasai diri walaupun Nasuha tahu dia tidak boleh berperasaan seperti itu. Pantas dia mula berfikir. Tak perlu tunggu lagi. Kakinya bergerak laju. Daripada melangkah kepada berlari. Bilik Doktor Karnain dituju. Pada ketika ini tidak ada nama lain yang terlintas dalam ruang mindanya selain nama doktor lelaki muda itu.

Sampai di pintu bilik Doktor Karnain, Nasuha terus menerpa. Tidak ada salam mahupun ketukan di muka pintu. Doktor Karnain yang sedang tekun di meja kerja memanggung kepala. Kerutan jelas kelihatan di dahi melihat reaksi Nasuha yang cemas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience