Surina berada di hospital. Bukan kerana dirinya hendak melahirkan tetapi kerana melawat suaminya, Khairul . Khairul terlibat dalam kemalangan jalanraya. Bukan itu saja, Khairul didapati memandu dalam keadaan mabuk. Surina duduk di sisi pembaringan Khairul di hospital itu.
Airmatanya tak henti-henti mengalir. Sambil itu Surina juga tidak lupa memohon kepadaNya supaya diselamatkan suaminya itu. Kecederaan yang dialami oleh Khairul agak teruk juga. Kakinya patah dan tengkorak kepalanya retak. Khairul masih tidak sedarkan diri sedangkan anak-anak dan isteri serta keluarganya di kampung sudah sampai mengelilingi, terpaku melihat keadaan Khairul yang parah itu.
“Kak, pegilah balik berehat. Biar kami yang tunggu abang Khairul di sini”, adik bongsu Khairul bersuara.
Surina masih tersedu-sedan menahan sebak dihatinya. Tidak sanggup dia hendak meninggalkan Khairul di situ walaupun ada saudara kandung dan ibu ayah yang menemaninya. Surina mahu turut menemani Khairul di hospital juga. Dia mahu berada di sisi Khairul .Dia mahu apabila Khairul sedar nanti, dia turut berada di situ. Tidak henti-henti hatinya berdoa akan kesejahteraan Khairul .Surina tidak mahu kehilangan Khairul .Sungguh tidak mahu! Perlahan-lahan dia membisikkan doa yang biasa diamalkannya setiap kali selepas solat. Secebis kertas yang agak lusuh yang tertulis doa itu berada di tangan Surina, terketar-ketar suaranya apabila melafazkan doa itu.
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kau ampunilah dosaku yang telah ku buat. Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas. Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal. Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan. Kau peliharakanlah lidah aku dari kata-kata nista. Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu ini. Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan. Ya Allah sekiranya suamiku ini adalah pilihanMu di Arash, berikanlah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya.
Sekiranya suami ku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titianMu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untuk ku di JannahMu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu, peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu maka berikanlah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya.
Tetapi Ya Allah sekiranya suamiku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang, kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu. Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan duniaMu, limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk pada nafsu yang melalaikan, kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku perbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan kau pandulah aku untuk menariknya keluar dari terus terlena.
Ya Allah Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap membuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam melunaskan tanggungjawabku sebagai isteri Kau hukumlah aku di dunia ini tetapi bukan di akhiratMu. Sekiranya aku ingkar dan derhaka berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu.
Ya Allah kuatkanlah hati dan semangatku tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu. Jadikan aku isteri yang disenangi suami. Bukakan hatiku untuk terus menghayati agamaMu. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah. Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan kerana aku pasrah dengan dugaanMu kerana aku sedar hinanya aku kerana aku insan lemah yang kerap keliru kerana aku leka dengan keindahan duniaMu kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMukerana pendek akal ku mengharungi ujianMu. Ya Allah Ya Tuhankuaku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati isteri yang dikasihi isteri yang soleha isteri yang sentiasa dihati. Amin, amin Ya Rabbal Allamin”
Share this novel