Perdamaian!

Romance Completed 117449

BAB 18          

            “HUH! Apa dia ingat duit macam daun pokok ke?! Berhenti tepi jalan dengan berlagak terus bagi duit kat orang tak kenal beratus-ratus. Wahhh!! Dia ingat dia anak Gabenor Bank Negara ke apa. Main cop-cop duit aje!”

            Aku menyepak tin kosong yang menghalang jalanku ke tepi. Kalau boleh dengan si jin tu sekali aku nak sepak! Berani dia tunjuk muka kat depan aku lagi. Ingat muka kau tu kacak sangat ke?!

            Aku berhenti di sebuah gerai tepi jalan yang betul-betul berada di depan sebuah permis. Mataku terus melihat tonggeng ayam goreng di atas meja.

            “Wahh! Selalunya ada kat pasar malam aje!” aku tersenyum panjang.

            “Adik nak apa?” soal mak cik itu ramah.

            “Tonggeng ni lima cucuk.” pintaku dengan ceria.

            Mak cik itu mengambil lima cucuk tonggeng ayam dan memasukkan dalam plastik. Aku menunggu dengan sabar. Lama dah tak makan ni!

            “Er... adik ni nampak macam budak sekolah lagi. Tak pergi sekolah ke?” tiba-tiba suami mak cik itu menegur aku. Entah dari mana dia datang. Tiba-tiba muncul di sebelah mak cik itu.

            “Betullah...” mak cik itu mendekatkan mukanya menilik wajah aku.

            “Er... saya bukan budak sekolahlah. Saya baru habis SPM.” Jawabku selamba yang mungkin. Sejak bila aku pandai menipu ni? Huh... sejak bila lagi. Sekilas wajah si bedebah itu terlintas di kepalaku.

            “Bukannya apa... semakin banyak kes budak ponteng sekolah sekarang ni. Kami cuma ingin menegur. Baru boleh jadi masyarakat yang prihatin.” balas pak cik itu melihat aku dengan curiga.

            “A'hah... betul tu pak cik. Saya pun tak boleh tengok perangai budak-budak sekolah sekarang ni. Bila dia orang buat perkara tak bermoral seperti ponteng sekolah, merempit, merompak, itu bermakna dia orang menghancurkan tamadun yang dibina. Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Betul tak?”

            Aku membuat wajah sedikit berlagak pandai. Amacam, ada nampak macam gaya orang dewasa tak?

            “Wahh... adik ni mesti dah masuk universiti kan. Pandai betul berbahasa. Nah, ini tonggeng kamu.”

            “Tonggeng saya?!” Aku terkejut. Berubah wajahku. Tonggeng a.k.a punggung.

            Serentak pak cik dan mak cik itu ketawa besar. Aku pula sudah termalu sendiri. Haish!

            “Maaflah, mak cik tersilap cakap.” mak cik itu berhenti ketawa.

            “Terima kasih!” Selepas membayar aku terus berlari meninggalkan gerai mak cik itu. Sungguh aku dah malu gila. Padah berbohong!

            Sementara menunggu waktu tamat sekolah aku terpaksa merayau di kawasan ini dahulu. Aku sudah berjanji untuk berjumpa Senior Ray di asrama. Petang nanti barulah aku akan ke rumah Sir Adam untuk memohon maaf. Hari ini penuh dengan aktiviti! Aku duduk di sebuah padang rumput yang agak berbukit. Berhadapan dengan tasik buatan yang cantik lagi indah. Kalau petang-petang adalah orang datang berjogging di kawasan ini. Aku dulu selalu juga datang sini dengan ayah. Kami bersenam bersama di hujung minggu.

            Ayah... cepatlah sihat. Semoga keluarga kita kembali seperti dulu. Aku tiba-tiba rasa sebak. Pantas aku menahan air mata dari mengalir. Aku membuka plastik yang berisi tonggeng ayam itu dengan perlahan.

“Walaupun kau tonggeng, tapi kaulah bahagian yang paling sedap tahu tak. Memang leceh... bila orang tahu aku suka makan kau. Ada yang gelakkan aku jugak. Apa masalahnya? Bukannya makan tahi ayam pun. Ah! Lantaklah... yang penting aku suka kau!”

            Aku tersenyum sambil membelek-belek tonggeng ayam goreng itu. Sedapnyaaa!!

**********

 

             “TAK sangka Aya betul-betul datang.” Ray tersenyum manis.

            Aku mengilas tangan ke dada. “Saya orang yang menepati janji.” Sempat aku melihat sekeliling. Bimbang jika ada yang perasan aku di sini.

            “ Jangan risau... taman asrama jarang orang datang . Maaflah saya tak dapat keluar jumpa Aya kat luar. Dan suruh Aya datang sini pulak. Saya ada meeting dengan ahli Persatuan Pelajar lepas ni.”

            Aku mengangguk lemah sambil menunduk memandang rumput yang menghijau. Tiba-tiba baru aku teringat akan sesuatu. Beg galas yang berada di atas riba aku selongkar dan aku mengeluarkan jaket hitam milik Senior Ray.

            “Maaf sebab dah lama simpan. Saya pulangkan kat senior... terima kasih.”

            Ray tersenyum dan mengambil jaketnya dari tangan aku. “Kalau Aya simpan pun tak apa...”

            “Tak apa. Senior...” aku terus memandangnya di sebelah. “Macam mana boleh tahu pasal saya dan Harry?”

            Ray tersenyum lagi, kali ini lebih panjang. “Nampaknya hal ni dah buat Aya runsing kan? Maaflah, saya sepatutnya berdiam diri aje sampai semuanya berakhir. Tapi itulah... saya tak pasti sampai bila Harry nak pegang Aya. Itulah yang buat saya risau...”

            “Sejak bila? Sejak bila awak tahu semua ni, Senior Ray?” aku semakin serius. Aku sendiri tidak percaya yang aku semakin bertegas hari demi hari.

            “Cik Aya janganlah buat muka tegang macam ni. Saya nak cerita pun jadi susah.” Ray ketawa kecil.

            Aku turut tersenyum. Tawar. Macam mana muka aku tak ketat. Dua orang lelaki yang masing-masing buat aku hampir hilang akal muncul dengan tiba-tiba dalam hidup aku.

            “Dalam bilik tu... sebenarnya saya ada kat pintu bilik presiden. Saya dengar perbualan Aya dan Harry. Bila Aya nak keluar, saya terus berundur. Nampak macam saya baru tiba aje kan?” penjelasan Ray sangat ringkas dan padat.

            Aku mengecilkan mata memikirkan peristiwa itu. Ya, selepas aku keluar dari bilik Harry memang aku terserempak Ray. Tak sangka pulak...

            “Saya dengar perbualan Harry dan Aya... walaupun saya dah tahu, saya sengaja nak tengok reaksi Aya dengan memberi tiket ke majlis tu. Memang betul la apa yang saya dengar. Aya memang terpaksa aje... kalau bukan pasal tu. Mesti Aya dah terima jadi pasangan saya ke majlis tu kan?”

            Aku terkejut mendengar kata-kata Ray. Dia ni memang suka buat andaian.

            “Senior...banyak perkara yang berlaku beberapa hari ni. Jadi, fikiran saya dah terlalu kusut. Saya harap... senior bagi saya masa.”

            “Saya tak pernah paksa Aya cakap apa-apa. Saya tahu... Aya dah banyak menanggung beban. Lagipun... saya suka jika jadi kawan tempat Aya luahkan segalanya. Menjadi telinga untuk mendengar masalah Aya. Dan menjadi pelindung Aya...”

            “Terima kasih...”

            “Kalau Aya nak... saya boleh suruh Harry lepaskan Aya.”

            Aku tersentak. Nafasku mula menjadi tidak teratur. Kenapa aku berperasaan begini?

            “Harry pasti akan faham kalau...”

            “Tak perlu!” aku pantas memotong ayat Ray. Ray ternyata terkejut. Dia matanya memandangku tepat.

            “Er... sebenarnya... saya rasa tentu Harry ada sebab-sebab tertentu kenapa dia buat macam ni. Jadi... saya harap dapat bantu dia. Senior pun tahu kan... dia tak ada kawan pun. Jadi, dia tak tahu nak minta tolong sesiapa. Mungkin cara dia nampak macam paksa saya. Tapi... dia sebenarnya perlukan pertolongan saya...”

            “Maksud Aya... Aya sanggup dipergunakan?” Ray seperti tidak berpuas hati.

            Aku pantas bangun berdiri. “Mungkin senior tak faham. Tapi, Harry tak ada sesiapa untuk mendengar masalah dia. Saya pergi dulu.” Aku terus membuka langkah. Perasaan aku sungguh kacau-bilau tika ini.

            “Aya! Aya!” Ray bangun dan cuba memanggil aku. Namun aku tidak mampu menoleh. Aku sungguh celaru sekarang ini. Kenapa aku tiba-tiba jawab macam itu. Aku betul-betul tidak menyangka yang aku akan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Bukankah aku sangat membenci Harry? Ya, aku sangat bencikan dia. Tapi kenapa mesti aku membela dia di depan Senior Ray?!

            “Aya... adakah... awak sukakan Harry?” Ray mengeluh. Memandang gadis itu pergi seperti tersiat-siat hatinya.

**********

            “Harry... kenapa awak menolak Cik Sallyna?” soalku perlahan. Aku duduk di tepi tingkap bas. Memandang luar tanpa berkelip mata. Fikiranku sudah melayang. “Betul ke? betul ke aku sanggup dipergunakan?”

            Bas berhenti untuk mengambil penumpang. Aku tidak bergerak. Masih memandang ke arah luar. Kenapa hidup aku semakin rumit? Kenapa sangat susah nak jujur pada perasaan sendiri?

            “Jom turun!” Tanganku ditarik kasar. Terperanjat biawak aku dibuatnya.

            “Hey!” aku cuba menarik kembali tanganku.

            “Aku cakap turun dari bas ni!”

            Beberapa penumpang kelihatan tercengang melihat kami. Aku cuak. Bila masa mamat ni naik bas ni? Harry menonong jalan sambil menarik tangan aku menuju ke pintu bas. Aku terkecoh-kecoh mengikutnya. Dia ni memang dahsyat betullah! Macamlah tak boleh ajak elok-elok!

            Bas itu bergerak pergi. Aku melihat kereta Limo yang selalu dinaiki Harry itu tersadai di tepi jalan. Dia mengejar bas itu ke? Sudah hilang akal ke apa?!

            “Aku nak kau pergi minta maaf kat atuk hari ni jugak!” Harry terus menengking aku.

            “Awak ni pun dah terjangkit penyakit lembap saya ke? Memang bas ni menuju ke perumahan atuk awak kan!”

            Harry tergamam. Dia melepaskan lenganku. “Betul ke?”

            “Betullah, lembap!” aku merengus sambil menggosok lenganku yang terasa sakit. Tangan gajah ke apa. Sakit kot!

            “Kenapa kau pergi sekolah aku tadi?” Tiba-tiba Harry mengubah topik.

            “Hah!” aku tersengih sinis. “Sejak bila atuk awak wasiatkan sekolah tu kat awak.”

            “Hey! Kau jangan nak main-main dengan aku ye... aku bagi muka kat kau pun sebab atuklah. Kalau tak...”

            “Kalau tak, apa?!” aku menentang matanya. Tidak peduli orang yang lalu-lalang memandang ke arah kami. Lama. Lama kami saling menatap wajah masing-masing. Harry menelan liur. Terasa sukar untuk meneruskan ayatnya ketika ini.

            “Tuan muda, Cik Aya. Sila masuk dalam kereta sekarang. Tuan besar tengah tunggu di rumah.”

**********

            MELANGKAH dengan lemah sekali memasuki rumah. Aku melihat adik-adikku sedang mengulang kaji di ruang tamu. Abang Is pula berada di dapur. Kedengarannya seperti dia sedang memasak untuk makan malam. Aku menarik nafas dalam-dalam.

            “Kak Aya dah balik!” tegur adikku Naufal yang berumur 10 tahun itu.

            “Hari ni pun lambat, Kak Aya tak baik tunjuk sikap macam ni kat adik-adik tahu tak.” Marhani memuncung. Pensel di tangan dihayun kiri dan kanan.

            “Haha,” Aku tersengih kecil. “Dah tahu perangai akak tak baik janganlah ikut.” aku berkira-kira untuk naik ke bilik.

            “Macam mana?”

            Aku menoleh melihat Abang Is di pintu dapur yang sedang memegang senduk. Dia menyilang tangan ke dada. Menanti reaksi aku.

            Erk. Ini kalau silap jawab habislah. Aku melihat sekali lagi senduk di tangannya. Wajahnya juga serius. Perlu ke buat muka macam tu? Haish!

            “Aya... Aya dah pergi minta maaf.” ujarku perlahan. Tidak berani mengangkat muka.

            “Esok kau kena pindah ke sana. Ingat Aya, Abang bukan nak halau kau... tapi hidup kau akan lebih baik di sana. Abang akan sibuk dengan belajar lepas ni. Kerja part time lagi nak sara adik-adik. Sekurangn-kurangnya... kau tak perlu risau semua tu bila tinggal kat sana. Boleh tumpukan pada pelajaran aje. Faham tak?” Abang Is berubah serius dan tegas.

            Aku mengangguk. “Saya faham...” aku memusing badan. Melangkah lemah menaiki anak tangga satu persatu.

            Marhani dan Naufal memandang aku dan Abang Is sillih berganti. Aku tidak pasti sama ada mereka mengerti apa yang aku dan Abang Is tanggung selama ini.

            “Aaahhhh!” aku melompat ke atas katil. Mengambil bantal dan menyembamkan muka. “Hidup aku akan lebih baik kat sana?!” aku memukul tilam beberapa kali melepaskan geram. Kemudian aku berhenti. Aku bangun dan duduk di hujung katil. Memandang ke luar tingkap. Langit yang gelap tidak menampakkan sebutir pun bintang. Malam sepatutnya lebih cantik dari siang... petang tadi, aku benar-benar tidak menyangka aku dan Harry boleh berbaik dan merungkai segala salah faham. Mungkin kerana aku sudah letih... letih kerana berperang dengan perasaan sendiri.

            Tiba di rumah agam Sir Adam petang itu Harry terus menarik aku keluar dari kereta dengan kasar. Aku terkecoh-kecoh mengikutnya dari belakang. Dia membawa aku masuk mengikut pintu lain dan bukannya pintu utama. Ruang itu kelihatan lebih santai dari ruang tamu. Dindingnya kaca dan menembus ke pemandangan luar yang kelihatan jelas kolam renang besar berbentuk empat segi. Harry menutup pintu. Aku menarik tangan dari pegangannya. Mataku meliar melihat sekeliling. Tak ada sesiapa!

            “Kenapa bawak saya ke sini?! Saya nak keluar.” aku membuka langkah.

            “Tunggu dulu.” Harry menarik aku kembali. Dia memegang kedua belah bahuku. Aku menelan liur kerana dadaku sudah bergetar.

            Harry menarik nafas. Seperti sukar untuk meluahkan kata-katanya. “Begini...” Harry akhirnya memulakan ayatnya. “Aku... aku minta maaf atas semua yang berlaku sebelum ni.”

            “Apa?” aku tersengih sinis. “Awak letak apa kat bahu saya kali ni? Lipas? Cicak?” aku menolak tangannya. Lantas melihat ke dua belah bahuku. Tak ada apa-apa. Mujurlah...

            Harry mengeluh. “Aku tak nak orang cakap aku kejam menganiaya anak yatim macam kau. Aku tahu... atuk buat semua ni sebab nak tolong keluarga kau. Tapi disebabkan aku... kau menolak untuk tinggal kat sini. Itu tak adil untuk kau...”

            “Jadi?”

            “Jadi...” Harry merenungku. “Aku akan balik tinggal di asrama. Kau tinggallah kat sini dengan tenang.”

            Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar kali ini. “Awak...” aku pula yang serba salah. Siapa cucu Sir Adam sebenarnya. Kenapa mesti dia pulak yang keluar dan aku masuk ke dalam rumah ini? Aku tak seteruk itulah!

            “Aku tinggal kat mana pun tak ada apa yang berubah. Setiap bulan pun duit aku masuk. Tapi kau? Lebih baik kau tinggal aje kat sini. Dan jaga atuk baik-baik.”

            Harry memusingkan badan. Dia seraya mahu meninggalkan ruang itu.

            Aku pantas menarik tangannya. Mendadak Harry berhenti dan menoleh melihat aku dengan wajah terkejut.

            Aku menunduk. Jantungku seperti ingin putus tatkala ini. Aku dapat merasakan Harry memusingkan seluruh tubuhnya menghadap aku. Aku perlahan-lahan memanggung kepala.

            Air mataku tiba-tiba bergenang. “Tak perlu pergi ke mana-mana... saya akan tinggal kat sini.”

            Harry tergamam. Perlahan-lahan Harry memegang mukaku. Menyeka air mataku dengan jarinya. Apa lagi... semakin kuatlah aku menagis.

            “Jangan sakitkan hati saya lagi. Tolong jangan sakitkan hati saya lagi...”

            “Aya... aku betul-betul...minta maaf.”

            Aku terasa jantungku seperti ingin pecah. kenapa aku tiba-tiba menangis pulak ni? 

            Harry menarik aku dalam pelukannya. Aku memejam mata. Air mataku mengalir lagi. Tubuhnya sangat hangat dan aku dapat merasakan degupan jantungnya. Cuma degupan itu sebenarnya bukan untuk aku. Aku dapat rasakan Harry... sangat menyukai Cik Sallyna. Apa sebabnya dia buat seperti ini... aku pasti akan mencari jawapannya.

            “Jangan menangis lagi... aku dah minta maaf kan?” Harry mengusap kepalaku.

            “Jangan awak berani panggil saya lembap lagi!”

           “Baiklah... baiklah...” Harry tersenyum. “Tapi boleh panggil badut kan?”

            “Itu pun tak boleh!”

            Harry tersenyum lagi, tiba-tiba juga Harry berhenti mengusap kepalaku. “Aya... mesti kau dah banyak sakit kerana aku, kan?”

            Aku terdiam seribu bahasa. Tidak mahu menjawab soalanya itu. Akhirnya pertanyaan Harry itu hanya berlalu seperti awan yang ditiup angin.

            ‘Mungkin... saya sendiri yang memilih untuk rasa terluka...’

**********

           

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience