Hari-hari terus berlalu.
Sejak Farez berkenalan dengan Delaila, hubungan antara dia dan Alif Najmi menjadi hambar. Farez tidak lagi berkunjung ke rumah. Alif pula, saban malam melepak sendirian di Syam Burger Corner. Hatinya kosong. Kadang-kadang rindu pada Farez mengetuk jiwa, tapi setiap kali dia cuba menghubungi, layanan Farez tidak seperti dulu.
Hubungan itu seperti benang yang kian putus — ditarik, namun semakin renggang.
Sebaik pulang dari pejabat, Alif mencuba sekali lagi. Dia tidak mahu membiarkan persahabatan mereka hilang begitu saja. Dicapainya iPhone15 di meja, lalu mendail nombor Farez.
“Assalamualaikum, Riz. Kau kat mana?”
“Waalaikumussalam… Aku kat rumah bakal mertua.”
“Oh ya ke? Sorry ganggu. Saja nak ajak keluar makan, tu pun kalau kau free.”
“Sorry Lif. Malam ni busy sikit. Awek aku fly malam ni. Sekejap lagi aku nak hantar dia ke airport.”
“Oh... Tak apa lah. Hati-hati jalan.”
Panggilan ditamatkan. Sunyi. Entah kenapa, dada Alif terasa berat. Seolah-olah dia baru saja kehilangan sesuatu yang amat penting.
Dia sedih. Kecewa. Farez, sahabat baik yang pernah bersumpah setia — kini makin jauh.
“Beginilah dunia hari ini... Cinta lebih utama dari sahabat.” bisik Alif sendirian.
________________________________________
Dalam perjalanan menuju ke stesen LRT, sebuah kereta berhenti di tepi jalan.
“Lif! Kau nak balik ke? Jom aku hantar.” jerit Umar Amsyar dari dalam kereta.
“Apa mimpi kau Umar, tiba-tiba nak tumpangkan aku?” soal Alif sambil tersenyum, menyarung tali pinggang keledar.
“Tak ada mimpi apa. Kebetulan nampak kau, alang-alang lalu rumah sewa kau sekali.”
Umar Amsyar, bekas rakan kolej yang kini bekerja di syarikat lain, memang peramah dan senang didekati. Namun, Alif jarang bersama dengannya — Umar terlalu sosial, terlalu bebas untuk jiwa Alif yang konservatif.
“Lif... aku nak tanya sesuatu. Harap kau tak marah.”
“Tanya je lah. Aku takkan marah.”
“Kawan kau tu... dia serius ke dengan Delaila?”
Alif berkerut. “Kawan aku? Siapa? Delaila mana pula?”
“Ala... yang bawa GTi tu. Farez. Aku kenal sangat Delaila tu. Dulu adik angkat aku. Kau nasihatlah sikit kawan kau tu. Bahaya perempuan tu.”
“Entahlah Umar. Aku tak nak masuk campur hal peribadi mereka. Nanti dikata aku kacau daun.”
“Lif, sebagai kawan, kau patut selamatkan dia. Delaila tu... satu taman tahu perangai dia. Dia dah ada balak. Kerja bouncer di kelab malam. Aku pun kenal lelaki tu. Hidup mereka dah macam laki bini.”
Alif terdiam. Kata-kata Umar bagaikan belati, menikam logik dan kepercayaannya.
“Kau tahu tak Lif, dia mengandung. Sekarang dia cari pak sanggup — dan kawan kau mungkin jadi mangsa. Dalam Islam pun haram jadi pak sanggup macam tu.”
Alif menarik nafas dalam.
“Aku tahu Umar. Tapi ini melibatkan hati dan perasaan orang. Farez sayangkan dia. Aku tak sampai hati nak rosakkan hubungan tu. Lagipun, mana tahu kau pun ada niat lain terhadap Delaila.”
“Lif... aku cuma nak kau buka mata. Kau tahu sendiri Farez pernah cerita pasal masa silam Delaila. Tapi dia tetap terima, sebab percaya Delaila nak berubah. Tapi Lif, kalau dia dah berubah... kenapa masih ada hubungan dengan lelaki tu? Dan... kenapa dia tak jujur pasal kandungan tu pada Farez?”
Alif terdiam lagi. Fikirannya kusut. Hati yang rapuh sukar menimbang antara fitnah dan kebenaran.
________________________________________
“Umar... lepas ni kau balik terus ke?”
“Ya. Kenapa?”
“Aku ingat nak ajak kau makan. Dah beberapa malam aku tak makan nasi.”
“Okay je. Asalkan kau belanja!” jawab Umar sambil ketawa.
Dia menghubungi isterinya, memaklumkan tidak pulang makan malam. Isterinya tidak kisah — dia tahu Alif bukan jenis kaki perempuan, dan kalau keluar dengan Alif, Umar takkan buat hal.
“Belanja makan? Tak jatuh muflis pun.” balas Alif, sama-sama ketawa.
________________________________________
Kereta Umar menyusuri lorong-lorong sesak kota Kuala Lumpur. Lampu neon memantul dari cermin tingkap, menyerlahkan wajah mereka yang masing-masing dibebani dengan cerita dan rahsia hidup.
“Inilah Kuala Lumpur, Lif. Kalau kau ada cita-cita nak beli kereta, lupakan. Lebih baik simpan duit kahwin.”
“Aku pun fikir macam tu. Aku balik kampung pun jarang-jarang. Sementara bujang ni, baik aku guna LRT. Aku nak beli rumah dulu. Lepas tu baru fikir kahwin. Selagi menyewa ni, rasa belum layak nak jaga anak dara orang.”
“Kalau kau rasa tak mampu jaga anak dara, kau jaga je balu-balu datuk. Kau ada rupa, Lif. Kalau masuk majalah Maskulin, confirm menang. Taste datin-datin tu memang macam kau.”
“Eh kau ni! Ada ke suruh aku kahwin dengan orang tua? Kau tu pandai kahwin dengan model muda bergetah.”
“Ni KL bro. Kat sini, umur 20 pun dah jadi datin. Kau nak, aku boleh minta Suzane rekomenkan. Dia ada ramai kenalan datin single.”
“Eh kau keluar dengan aku ni, Suzane tak marah ke?”
“Nak marah apa? Aku keluar dengan kau, bukan menggatal.”
“Bila lagi nak ada zuriat? Tak silap aku dah dua tahun kau kahwin kan?”
“Inshaa Allah, lagi lima bulan aku timang cahaya mata pertama.”
“Alhamdulillah. Lepas ni bertaubat la Umar. Dah tiba masa bersara dari jadi kaki clubbing. Ganti dengan kaki masjid pula.”
Umar senyap. Tersentak. Tapi dia tahu, itu bukan sindiran — itu nasihat dari seorang sahabat yang jujur.
Dalam hatinya, Umar tahu... dia tak boleh kekal begini selamanya.
Dia akan jadi ayah tak lama lagi. Dan seorang ayah tak layak membesarkan anak dalam kelab malam.
Share this novel