BAB 1

Drama Completed 343

Rumi menguap panjang. Rasa mengantuknya tidak kebah-kebah biarpun sudah beberapa gelas air kopi diminum olehnya. Mihun goreng yang dibawa dari rumah juga sudah tidak bersisa. Sesekali dia menoleh ke arah jam tangan di pergelangan tangannya. Jarum pendek sudah begitu menghampiri pukul enam petang. Bermakna tugasnya untuk hari itu hampir selesai. Sementara menunggu penggantinya tiba, Rumi membelek-belek jam tangan berjenama terkenal miliknya yang dibeli di pasar malam. Biarpun harganya sangat murah, Rumi begitu menyayangi jam itu.

"Manalah si Dhani ni..?! Selalu masa-masa macam ni dia dah timbul..", rungutnya seorang diri.

Laluan kaki lima tempat dia berteleku itu sememangnya dikerumuni ramai. Tetapi keadaan hiruk-pikuk sebegitu tidak langsung melekakan dirinya. Sudah lama dia bertugas di sini dan sudah acapkali dia bertemu dengan berbagai ragam manusia yang menjadi asam-garam kehidupan di bandar itu. Ada yang jujur, ada yang penuh tipu daya, ada yang baik hati, ada juga yang kejam dan berbagai lagi.

Rumi sudah lali dengan semua itu. Demi tugas yang diamanahkan, dia sanggup tercongak seharian di situ biar apa pun halangannya. Berbekalkan selaras senapang patah, Rumi sentiasa berada dalam keadaan berwaspada. Bila-bila masa sahaja sesuatu yang tidak dijangka akan terjadi dan jika itu berlaku, Rumi akan kehilangan mata pencariannya malah dia juga mungkin akan kehilangan nyawa. Pekerjaannya sebagai seorang pengawal keselamatan di bank itu yang terletak di tengah-tengah kota menuntut dirinya supaya sentiasa berjaga-jaga.

Pernah satu ketika dahulu beberapa orang lelaki berbadan sasa dan bertopeng menceroboh masuk sambil melepaskan beberapa tembakan rambang. Rumi yang pada ketika itu terperanjat dengan tindakan mengejut itu serta-merta menyembunyikan dirinya bersama-sama orang awam yang lain. Ini kerana pada waktu itu dia hanya bersenjatakan cota manakala penjahat-penjahat tersebut bersenjatakan pistol automatik dan juga pump gun. Dia tidak mahu mati katak. Dia tahu peluangnya untuk memberkas penjenayah-penjenayah itu adalah mustahil. Mana mungkin sebatang cota boleh memenangi senjata moden seperti itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience