BAB 11

Romantic Comedy Completed 5761

Hazimi merenung anak mata Wieyda . Wieyda menunduk, kalah dengan renungan itu. Bila sudah tidak tahu untuk berbuat apa, dia akhirnya bermain-main dengan straw di dalam gelasnya yang masih berisi separuh.

“Abang memang dah dapat rasa.. cuma abang mintak maaf, abang tak boleh. Abang boleh bagi seratus sebab kenapa abang tak boleh terima sesiapa pun dalam hidup abang buat masa ni.” Hazimi merenung wajah Wieyda . Wieyda mula terasa mahu menangis. Kenapalah dia ikut sangat idea si Sara tuh. Sekarang bukan Sara yang tanggung malu!

“Wieyda memang bohong abang selama ni bila Wieyda cakap Wieyda sayang abang macam abang sendiri.. Hakikatnya Wieyda sayang abang lebih dari tu.. Wieyda …” Wieyda ketap bibir. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudah berterus terang, biar berterus terang semuanya.. Erk?

“Abang dah agak..” Hazimi menjawab tenang. Selama ini memang dia dapat menduga. Perhatian Wieyda terhadapnya sangat berlainan. Wieyda sangat baik, dan lembut dengannya. Wieyda sangat manja dan menjadi diri sendiri setiap kali dengannya. Dia dapat merasakan semua itu. Dia dapat mengesan semua perasaan Wieyda walaupun seringkali bibir itu menuturkan, ‘Wieyda sayang abang macam abang Wieyda sendiri..’. Walaupun tahu apa yang tersirat di hati gadis itu dia tetap mendiamkan diri. Kerana dia tidak mahu ada hati yang terluka jika dia membuka isu itu. Melihat Wieyda tidak menunjukkan perangai yang pelik-pelik, malah setia menjadi seorang ‘adik’ yang baik dan prihatin macam dulu, dia diamkan saja dan menganggap tiada apa-apa yang perlu dia rungkaikan.

“Wieyda memang tipu abang bila Wieyda kata Wieyda sayang abang macam abang je. Wieyda tak mahu abang rasa tak selesa dan serba salah kalau Wieyda cakap terus terang dengan abang. Wieyda jugak takut nanti abang akan jauhkan diri dari Wieyda bila abang tau..”

“Wieyda … Ya Allah..” Hazimi menguak rambutnya. Tidak sangka hal ini terjadi malam ini. Tadi dia meminta Wieyda menemaninya makan kerana tidak mahu makan keseorangan, apa lagi dia mahu lari dari memikirkan masalahnya yang sedang berperang dingin dengan buah hati pengarang jantung di kampung sana!

“Wieyda.. Dengar ni. Abang tak boleh terima perasaan Wieyda pada abang. Abang tak.. abang tak boleh.. Abang boleh bagi banyak sebab kenapa abang tak boleh.”

“Salah satu sebabnya…?” Wieyda menyoal, dalam malu tapi rasa mahu tahu mendesaknya bertanya.

“Sebab abang dah ada seseorang yang bakal abang jadikan seorang isteri. Dia kawan sekampung abang. Kami dah merancang nak ikat tali pertunangan lepas abang tamat belajar ni.” tenang Hazimi bersuara. Anak matanya redup memandang wajah keruh Wieyda.

Wieyda angguk sambil tersenyum. Senyuman paksa yang tiada serinya, sekadar menutup walang di hati. Hazimi bagaikan baru tersedar. Wieyda terlalu pandai berlakon. Gadis ini mampu tersenyum dalam keadaan hati bersedih. Yeah.. dia baru tersedar. Selama ini pun Wieyda pasti berlakon sebagai adik yang baik kepadanya, yang sentiasa tersenyum, agar dia merasa selesa. Ah, hatinya serba salah. Dia tahu Wieyda terluka dan sedih.

“Tak apalah kalau macam tu. Abang lupakan saja apa yang Wieyda cakap malam ni. Wieyda tak mahu ia nanti mengganggu abang dan buat abang tak selesa selepas ni.. Maafkan Wieyda.” Wieyda bersuara, sambil menghabiskan air dalam gelasnya. Jus tembikai yang manis pada awalnya sudah terasa tawar tanpa sebarang rasa. Hazimi tunak memandangnya. Mencari riak kecewa pada wajah gadis itu yang telah mempertaruhkan perasaan malu untuk berterus-terang dengannya. Dia kagum dengan Wieyda yang berani meluahkan, tapi dia tidak mampu membalas apa yang Wieyda rasa.

“Ye..kejap lagi aku naik..dah..dah nak siap dah..” Wieyda yang menjawab panggilan Sara diperhatikan. Dia menghirup airnya sehingga habis, lantas menuju ke kaunter, membuat bayaran. Dia tahu, Wieyda pun tentu mahu pulang saat ini.

“Thank you abang, belanja tadi..” Wieyda masih berlagak selamba di depannya bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Dia sekadar mengangguk.

“Wieyda …maafkan abang..kalau selama ni cara abang layan Wieyda buat Wieyda salah faham..” Hazimi bersuara, lembut. Selama ini dia tidak tahu, kebaikannya melayan Wieyda, kelembutan butir bicaranya bersama Wieyda, kenakalannya mengusik Wieyda telah membuatkan gadis itu jatuh hati padanya. Wieyda menggeleng sahaja. Tidak mahu Hazimi rasa bersalah.

“Bukan salah abang. Abang memang abang yang baik yang Allah pernah berikan untuk Wieyda sepanjang Wieyda kat sini. Wieyda yang salah sebab tak pandai jaga hati dan tak pandai bezakan semua ni..” jawabnya, senyuman tidak lekang di bibir. Hatinya menangis, tapi dia tidak rela melihat riak wajah bersalah di wajah Hazimi. Maka dia sebolehnya mahu tersenyum sehingga lelaki itu berlalu. Biarpun hakikatnya rasa malu tetap bertandang di hati, dia kuatkan hati melalui saat itu.

“Abang balik dulu. Pergilah naik.. Elok-elok..” Hazimi beralih ke motorsikalnya yang diparkir. Wieyda mengangguk, lantas berlalu. Dia berhenti di celah-celah lorong menuju anak tangga. Memerhati Hazimi berlalu. Serta merta dia mengesat air mata yang tiba-tiba tumpah tanpa isyarat.

‘Elok-elok’.. Wieyda mengesat air mata. Hazimi tidak pernah lupa berpesan sepatah pesanan itu kepadanya. Wieyda senyum sendiri. Dia seorang abang…yang baik..

‘Allah…padamkan rasa yang ada dalam hati ini kerana aku sudah terlalu lemah untuk memadamkannya sendiri.’ Dia berbisik dalam doa, lantas mendaki anak tangga. Buat masa ini dia hanya memerlukan Sara untuk dipinjamkan bahu buatnya menangis!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience