SUASANA sepi dan sayu di hospital pada petang yang mendung itu seolah-olah ingin memberi khabar duka. Aku melangkah longlai menghala ke wad ICU dengan tangan yang menggigil, malah seluruh tubuhku menggeletar. Pintu wad dibuka perlahan dan kaki kananku mendahului langkah yang lemah itu. Aku harus kuat dan tidak boleh mempamerkan wajah sugul ini kerana aku harus mendampingi dia pada saat-saat akhir seperti ini.
“Puan, suami puan sudah tiada harapan…”
Aku menarik nafas dalam-dalam apabila kata-kata doktor pakar itu tergiang kembali. Aku melihat ke arah katil yang menempatkan suamiku yang terbaring kaku. Segala wayar berselirat dan aku yakin dia sangat sakit. Terlalu sakit…
Aku duduk di sisi dia di atas bangku yang dingin. Aku memandang wajahnya yang seperti sedang tertidur dengan nyenyak. Air mataku hanya bergenang dan tidak menitis. Ketika ini aku hanya mahu memohon ampun atas segala dosaku.
“Adam…” Suaraku benar-benar tersekat di kerongkong. Tangannya aku sentuh dan masih terasa hangat. Masih...
“Adam. Tolong dengar kali ini. Saya… saya…” Tanganku kembali menggigil. Kali ini air mataku menitis juga. Aku sedih? Layakkah aku besedih?
“Saya nak minta maaf…”
Aku menunduk kerana tidak mampu menahan rasa sebak. Aku melepaskan juga esakan itu. Aku tidak kuat. Sungguh aku tidak kuat. Lelaki ini membesar bersama aku, kami meniti alam remaja juga bersama. Sehingga akhirnya dia menjadi suami aku. Cuma...
“Tya…”
Aku pantas mengangkat muka memandang dia. Lelaki itu membuka mata separuh dan memberi aku senyuman yang mungkin dipaksa dengan seluruh kudratnya yang masih tersisa. Ya Tuhan! Aku mohon jangan Engkau biarkan aku dihukum sebegini…
“Adam…” Aku tetap membalas senyumannya dengan menyeka pantas air mataku.
“Ini kali pertama… Saya nampak air mata awak untuk saya…” luahnya perlahan.
Aku hampir tersedak dengan air mataku sendiri. Aku mengetap bibir rapat lalu menggeleng perlahan ketika mendengar ayat yang begitu menusuk itu.
“Jangan fikir tentang saya… saya nak awak sembuh, Adam,” luahku dengan bersungguh.
“Saya tidak punya masa yang banyak… tapi saya nak cakap sesuatu…” Adam masih boleh bercakap dengan agak jelas sambil merenungku dalam. Hatiku terlerai dengan renungan itu walaupun namanya tidak pernah terpahat.
“Saya minta maaf… sebab tak dapat besarkan anak itu bersama awak.”
“Saya akan menjaga dia dengan baik. Awak jangan bimbang…” Aku berikrar. Lantas apa lagi yang aku mampu di saat ini? Aku menunduk melihat perutku yang sarat dan semakin menghampiri tarikh untuk melahirkan.
Adam memejam mata dan membukanya perlahan tanda satu anggukan yang aku mampu mengerti.
“Tya… hidup awak harus diteruskan. Jangan pernah mengalah… Awak harus berjuang sendiri selepas ni…”
Aku mengangguk pantas dan air mataku sudah tidak mampu diseka lagi. Mengalir dan terus mengalir.
“Kalau awak nak mulakan hidup baru… Pastikan lelaki itu adalah orang yang awak cintai…”
Aku menunduk dan menangis teresak-esak. “Maafkan saya, Adam. Saya seharusnya menghargai awak…”
“Tidak perlu… saya cukup bahagia, dapat menjadi pelindung awak, Tya… sehingga hujung nyawa saya. Saya tahu cinta itu tidak boleh dipaksa… tetapi saya tak pernah menyimpan rasa kesal. Awak tak ada dosa dengan saya, Tya.”
Aku menggenggam tangannya dengan erat. Aku cuba mengawal tangisan dan cuba memberinya peluang melihat aku tabah dengan keadaan ini.
“Terima kasih…” ucapku dengan sepenuh hati dan aku yakin dia mengerti maksudku.
“Sama-sama… Moga hidup awak akan lebih baik… besarkan anak itu seperti anak-anak lain.”
Aku mengangguk dan terus mengangguk. Sehingga pandangan mata Adam tidak berkedip lagi. Aku memejam mata dan terus menghamburkan tangisan yang entah kerana kesal atau apa. Apa yang pasti, aku sedih. Aku sedih dengan hidupku yang tidak pernah indah di atas kesilapanku yang lalu…
Adam hadir ketika aku sangat memerlukan tangan untuk berpaut. Kini, dia juga telah pergi meninggalkan aku sendirian bersama anakku di dalam kandungan ini… Seperti wasiat Adam, aku harus berjuang sendirian. Sehingga… aku bertemu insan yang aku cintai. Tidak… aku tidak mempercayai perkataan itu lagi. Aku tidak perlukan cinta dalam hidupku. Aku hanya perlu kekuatan untuk terus hidup di dunia yang kejam ini…
Share this novel
test_account
test_account
test_account